"Ya Allah, kurniakanlah ke atasku ketenangan, dan tetapkanlah pendirianku bersama-sama pendukung-pendukung kebenaran, dan tabahkanlah hatiku dengan mengingati Engkau, dan kurniakanlah akan daku keredhaan dengan perkara yang Engkau redhai"

Saturday, September 26, 2009

Cerita dari kampong <1>

Tatkala pengumuman Hari Raya selesai diumumkan....

Pphhiiieewww....Boom..Kebaabooomm...

Sakit telinga juga dengar bunyi-bunyi mercun ni. Sebenarnya, sakit telinga, tidak lah sangat pun. 
"Jangan di aduh sakit dikaki,
kerna hakikat sakit di hati,
jangan di omel sakit di telinga,
kerna hakikat sakit di jiwa.."

Agak-agaknyalah, sakit kat mana? haa... sendiri jawab ya..

Pelik juga. Ni mengalahkan kawan-kawan tiong hua kita. Gedebung sana, gedebang sini.. atas bumbung, depan rumah. (Mulalah membebel ni..)

"Depa ni seronok sungguh hambat (halau) Ramadhan.."

kata abang, "bukan halau Ramadhan. Ramadhan dah pi, tak di nama menghalau Ramadhan. Ni nama dia celebrate pembebasan syaitan. seronok syaitan dah bebas."

Adik-adik tersengih. Ada benar juga. Amboi, seronok sakan depa naa.. 

Awat depa tak main bom teruih? bulih kita pakat-pakat hantaq pi Palestin. Tolong saudara-saudara kita kat sana. 

Kak pulak bersuara,
"Apa main bom.. Tak payah. Bawak merecun pun tak pa dah, sebab puak-puak Zionis ni pun sebenarnya pengecut ja.."  


"Hoooiiyyoo..?"


Saja bercerita meluangkan masa. Nak membebel, kawan-kawan belum balik sini lagi... jadi membebel dalam blog sajja.. 

Saturday, September 12, 2009

MEREKA YANG MENGHAYATI DAN MEMPERJUANGKAN ISLAM


Hakikatnya, manusia adalah manusia.
Fitrah kejadian yang membuatkan manusia mencari-cari kebenaran dan memiliki pelbagai perasaan; suka duka, gumbira, sedih ceria, marah dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, fitrah yang sedia ada dididik mengikut acuan Al-Qur’an dan sunnah. Dan fitrah kejadian manusia yang inginkan dan mencari-cari kebenaran serta berada dalam landasan aqidah Islam membawa kepada individu yang mempunyai fikrah yang jelas.

Sudah pastinya golongan yang mempunyai fikrah yang jelas, maka bentuk kehidupan mereka yang menghayati dan memperjuangkan Islam tentulah berbeza dengan manusia lain. Mereka secara fizikalnya tetaplah manusia. Antaranya ialah: 

Terikat dan menurut ajaran Islam.

Iman bukan sekadar cita-cita. Iman adalah kepercayaan yang tertanam di dalam hati dan diterjemahkan melalui amal perbuatan. Allah SWT sering mengaitkan iman dengan amalan.
Firman Allah SWT:
maksudnya;
“...orang-orang yang beriman dan beramal soleh ...” (Al-’Ashr: 3)

Dalam hubungan ini Allah SWT mengingatkan
janganlah kita mengajak manusia lain berbuat baik sedangkan kita melupai diri kita sendiri.

Firman Allah SWT:
“Mengapa kamu menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri padahal kamu membaca Al Kitab, tidakkah kamu berfikir?”. (Al-Baqarah : 44)


Mengutamakan kepentingan Islam.

Sabda Rasulullah SAW: mafhumnya;
“Berkisarlah untuk kepentingan Islam di mana kepentingannya berkisar.”

Baginda mengingatkan lagi dengan sabda yang bermaksud;
“Sesiapa yang berpagi-pagian tidak mengambil berat hal ehwal orang Islam yang lain maka ia bukanlah dari golongan mereka (Islam).”

Rasulullah SAW menjelaskan secara langsung dengan sabda yang bermaksud;
“Engkau memegang pos-pos penting daripada pos-pos Islam, maka (awas) jangan sampai musuh dapat lolos daripada penjagaanmu.”


Berasa mulia (’izzah) dengan  kebenaran Islam dan yakin kepada Allah SWT. 

Berasa mulia dengan  kebenaran Islam dan yakin kepada Allah SWT adalah antara sifat-sifat orang-orang beriman.

Allah mengingatkan dalam al-Quran di dalam firman-Nya yang bermaksud;
“Janganlah kamu berasa hina (lemah) dan jangan kamu berasa duka cita dan kamu adalah lebih tinggi (mulia) jika kamu (benar-benar) beriman.” (Ali Imran: 139)

Ketika para sahabat Rasulullah SAW berada dalam perlindungan kerajaan Habsyah dan menemui rajanya, Najasyi, paderi dan pendita yang ada di Istana Najasyi meminta mereka sujud untuk menghormati Raja Najasyi. Tetapi Ja’far bin Abi Thalib r.a yang menjadi ketua rombongan  itu menjawab:
“Kami tidak sujud melainkan untuk Allah SWT.”


Bekerja untuk Islam dan  bekerjasama dengan pekerja-pekerja Islam. 

Apabila kita mengaku Muslim, kita harus bekerja untuk Islam. Kita patut bekerja secara berjama’ah, bekerjasama dengan para pendakwah lain yang menyeru kepada Allah SWT, menyuruh melakukan kebaikan dan melarang melakukan kemungkaran.

Kita harus bekerja keras untuk mewujudkan individu muslim, rumah tangga muslim, masyarakat muslim dan negara yang melaksanakan Islam dalam pemerintahan.

Firman Allah SWT: maksudnya;
“Kami akan perkuatkan tenagamu dengan saudaramu.” (Al-Qashash: 35)

Firman Allah SWT lagi: bermaksud;
“Bertolong-menolonglah kamu dalam urusan kebaikan dan jangan kamu bertolong-menolong dalam dosa dan permusuhan.” (Al-Maidah: 2)

Sabda Rasulullah SAW: maksudnya;
“Seorang muslim dengan seorang muslim yang lain  adalah seperti binaan yang tersusun. Sebahagiannya meneguhkan sebhagian yang lain.”

“Tangan (pertolongan) Allah di atas (bersama) jamaah.”

“Sesungguhnya serigala itu memakan kambing yang terpencil (daripada kumpulannya).”

“Hendaklah kamu bersama-sama Jama’ah al-Muslimin dan kepimpinan mereka.”

Friday, September 11, 2009

Batu pun lembut

Indahnya pabila kau tahu
Allah tiada akan membiarkanmu

Meskipun di hatimu tiada menginsafi
Dikau disayangi-Nya dikau milik-Nya

Kalimah-Nya imanmu
Hidayah harapanmu

Dikau musafir dalam kehidupan
Kerna itu kau perlukan
Bantuan-Nya dan jua hidayah-Nya

Nikmat dicurahkan-Nya untukmu
Meskipun dirimu tiada bersyukur
Tiada kau takuti siksa api neraka ?
Yang bakal menimpa mereka yang derhaka

Pintalah selalu pengampunan-Nya
Pohon dari-Nya hidayah dan cinta-Nya
Pasti kau kan bahagia

Bahagia selamanya....



Lagu 'Cinta Allah' dendangan kumpulan Brothers kedengaran. Stesen radio yang baru beberapa bulan ditubuhkan itu kerap menghidangkan lagu-lagu melunak jiwa. Masih terngiang-ngiang juga akan lontaran karya pendengar. Cerpen bertajuk 'batu pun boleh retak'. Sedangkan batu yang kita katakan keras kong, ada kesannya apabila dialirkan air berkali-kali..Tetapi hati manusia yang hitam pekat, walau datang Utusan Allah, tetap tidak ada kesan. menunjukkan betapa kerasnya hati manusia; lebih keras dari seketul batu.


Tiba-tiba saja dia teringat sesi perbincangan, unsur-unsur pembentukan aqidah. Muramasa  kata, unsur pembentukan aqidah ada 3. 
1) Unsur akal atau pemikiran.
2) Unsur iradah atau daya kemahuan/kehendak.
3) Unsur wujdan atau perasaan.

Muramasa menerangkan, bahawa ketiga-tiga unsur ini saling bertalian erat dan kuat. Kesempurnaan aqidah adalah daripada keutuhan dan keteguhan simpulannya dalam jiwa. 
Keutuhan dan keteguhannya pula tidak wujud melainkan ia terbentuk dari jalinan yang erat antara ketiga-tiga aspek penting ini yang juga merupakan tiga daya kekuatan dalam diri manusia. Melalui proses ketiga-tiga unsur tadi yang terjalin dan searah jalan tanpa ada pertentangan; iaitu pembuktian dan kelogikan akal, kerelaan hati serta kehangatan perasaan dapat melahirkan aqidah yang sempurna yang akan membentuk kesempurnaan peribadi atau sahsiahnya dan menjadi kompas pengarah atau pembentuk corak dan warna hidupnya samada dalam lingkungan individu, mahupun dalam lingkungan keluarga ataupun dalam lingkungan kemasyarakatan yang lebih besar.

Hakikatnya, ciri-ciri aqidah tidak memadai hanya berada di atas permukaan akal atau intelek, demikianjuga tidak cukup berada di atas penenimaan dan pengakuan sahaja, tetapi perlu mengisi dan menyerapi setiap ruang diri dan jiwanya sehingga sebati dengan perasaan dan sentimen yang sihat

Dia faham kesemua itu. Perlu ketiga-tiga unsur itu. Tetapi dia masih ingat. Bahawa, unsur pembentukan aqidah ada 4.
Jangan lupa, unsur paling penting, dan unsur ke-empat adalah unsur hidayah. Petunjuk. Kalau ada ketiga-tiganya, tapi tidak dapat hidayah dari ALLAH, maka tidak lah terbentuk aqidah Islamiyah pada seseorang. Contohnya, orientalis barat. mereka ada akal, nak juga berfikir, bukan sekadar berfikir, tapi siap mengkaji lagi. Pada perasaan mereka, mereka tahu Islam itu agama yang benar tetapi bilamana hidayah Allah tak sampai kepada mereka, menyebabkan mereka menggunakan pengetahuan yang ada untuk mengelirukan dan mencaca merbakan umat Islam.
kerana hidayah itu milik ALLAH, Dia berhak memberi dan menarik kepada siapa yang Dia kehendaki..... 



jangan biar ia tersia-sia

Sesi angkut-mengangkut beg kini bermula. Kegembiraan jelas terpancar diwajah. Siapa tak suka pulang kampung. Menatap wajah ibu bapa. Beramah mesra dengan adik beradik. Menatap wajah ibu bapa pun sedah besar kebaikan disisi ALLAH, inikan pula meringankan bebanan ibu bapa. Ya, kegembiraan yang terpancar kerana itu tidaklah ada salahnya. Bahkan sangatlah baik. NAK BALIK.... 

Namun apakah halnya pula kegembiraan menghitung detik-detik tamatnya Ramadhan? Apakah dengan sedar tidak sedar kita telah dan berusaha menghalau kehadiran Ramadhan.

Jauhnya kita hari ni...

Manakan tidak..
Rata-ratanya, pada hari-hari terakhir pada bulan Ramadhan adalah hari shopping sakan. Hari-hari terakhir pada bulan Ramadhan adalah hari pembaziran wang dengan membakaw duit (bunga api, mercun). Berbeza dengan orang-orang soleh. Yang padanya, hari-hari terakhir pada bulan Ramadhan adalah hari-hari duka buat mereka. Hati dan jantung bagaikan disentap-sentap gelisahnya. 

Ramadhan,
bulan yang ALLAH bukakan pintu syurga seluas-luasnya, pintu neraka ditutup serapat-rapatnya, bahkan diikatnya syaitan, musuh nyata kita.
Ramadhan,
yang pada awalnya rahmat, pertengahannya keampunan, dan penghujungnya pembebasan dari api neraka.
Ramadhan,
bulan yang ALLAH menjadikannya sebagai penghubung antara seorang hamba yang terpalit dosa noda, dengan ALLAH swt. 

Apa lagi, Ramadhan yang pada malamnya, mengalirlah air mata ketakutan seorang hamba yang takutkan azab dan murka Pencipta; air mata pengharapan seorang hamba yang mengharapkan redha ALLAH dan juga diterima amalannya; air mata keinsafan seorang hamba yang tidak pernah sunyi dari melakukan dosa noda dalam keadaan sedar atau tidak, air mata keinsafan si penderhaka dan melanggar janji dengan Pencipta; air mata kerinduan seorang perindu yang merindui sapaan Pencipta; air mata kesyukuran seorang hamba yang berterima kasih pada pemberian, kurniaan yang tidak terhingga banyaknya....

Air mata dan tangisan mereka kerana merasakan diri belum sempat mengambil manfaat dengan sebaiknya di bulan Ramadhan. Sedih kerana bimbang dan khuatir amalan-amalan mereka tidak diterima. Hangus hati mereka kerana takut dosa-dosa mereka belum diampuni. Dan duka yang ada dihati dek kerana boleh jadi, Ramadhan kali ini adalah Ramadhan terakhir buat mereka, tidak lagi menemui mereka pada sesi akan datang. 

Tambatan cinta mereka kepada ALLAH , kepada Rasul dan agamanya begitu teguh. Tidak hairanlah, mengapa hati mereka bagai disiat-siat saat bulan Ramadhan bakal melabuhkan tirainya. Seperti orang bercinta, bila berpisah duka bertandang. Air mata setempayan.
Hakikat kepedihan hati meninggalkan apa yang kita cintai tak dapat disangkal. Begitu yang berlaku pada orang-orang soleh. 
Dan pada yang tidak mencintai apa-apa, maka dia takkan terasa dan merasai kehilangan apa-apa pun.

Astaghfirullah, jauhnya kita pada hari ini...

Ramadhan, disini menjadi titik tolak kita menambahbaikkan amalan dan kedekatan diri dengan ALLAH. Namun malang, masih ada yang menyia-nyiakan hadirnya ia. Datang dan perginya Ramadhan langsung tak berkesan dihati. Level tetap tiada perubahan, lebih malang dan celaka apabila semakin teruk dari yang sebelumnya.

Kiranya peluang ini tidak digunakan sebaiknya, maka penyesalan bakal menanti kita di kampung abadi..Na'uzubillah.

Pada Ramadhan yang mulia, dilapangkan seluasnya penjanaan dan sumber kekayaan kerohanian, manfaatkanlah ia sebaiknya, takut-takut ini adalah kali terakhir sapaan Ramadhan menyapa kita.

Monday, August 31, 2009

dan kita masih seperti ini

Di penghujung semester 1 bulan barakah, Ramadhan. Ya Allah, cepatnya masa berlalu. 'Cepat, pantas, dan rajin' sekali masa berlalu. (kenapa 'rajin'? berhati-hati guna perkataan.)  

Rupa-rupanya, kita menanti, kita merindui Ramadhan dengan menyambutnya dalam keadaan memberi ucapan 'Salam Ramadhan' sahaja. Tidak pun, dalam mengekalkan ciri kemelayuannya, 'Selamat Berpuasa'.

huh? 

Kala Rejab, kita sibuk sangat, sangat sibuk. Macam2 kesibukan. Terkadang, hingga solat pun terlewat mahupun dilewatkan.  
Bahkan Sya'aban juga sedemikian rupa. Bacaan al-Qur'an, tidak kita jaga. Pejuang Islam, takkan siakan masa lapang, diisinya dengan suatu perkara yang berfaedah.
Banyak perkara berfaedah, yang salah satu antaranya adalah baca qur'an. Saya berkata, salah satunya baca qur'an. salah satunya. Saya tak kata hanya baca qur'an sahaja perkara berfaedah. Jika kamu study, kamu berniaga, hatta apa saja kebaikan kamu lakukan, maka ia tetap juga perkara berfaedah. Tetapi sekarang saya memberi contoh, salah satu perkara berfaedah adalah membaca Al-Qur'an. Tadabbur. Itupun, dibulan Sya'aban, kita jarang-jarang buat. Kita sibuk lagi. Meeting, Liqa', esaimen2, test, dan pelbagai yang berkepelbagaian. 
Letih. Maghrib, isha' berjamaah tinggal. Subuh berjamaah pun tinggal. Lewat subuh.

Kini menjelang Ramadhan, kita masih selesa ditakuk lama. Saya teringat kata-kata pengetua sekolah dulu.
'dok seronok duduk dalam longkang . Tak mau naik-naik dah walaupun tau longkang tu busuk.'
Buatlah anjakan. Kalau dulu  solat lewat-lewat, ubahlah.. solat di awal waktu. Kalau sebelum ni payah nak bangun sama-sama tunaikan solat subuh berjamaah, sekarang bulan Ramadhan, bangun sahur, jangan tidoq balik. Pi ambik wudhu', pi solat berjamaah.  Tak boleh semua jangan tinggal semua. Tak boleh tidok balik, jangan tak pi masjid. Eh, apa pulak dah ni? ada kaitan ke? haa.. macam tu lah..

Kita golongan yang rugi, lantaran tidak tahu menghargai.
Kita orang yang tersia malamnya, dek asyik dalam buaian mimpi.
Kitalah, kitalah orang yang rugi, kerana tak mengambil peluang.

> set alarm, nak bangun bertahajjud.
> alarm berbunyi, 
>kejap lagti, awal lagi. tido dulu jap.
>bunyi lagi.
>ngantuk lagi. best tido. Esok ada lagi. Buat esoklah.
> (keesokannya)
>tadi tido lambat, siapkan esaimen. rehat jap. nanti takde tenaga nak posa esok.
>(maka tidaklah dilakukan olehnya akan solat malam itu)
>hari2 seterusnya berulang perkara yang sama. Penuh alasan dan kedangkalan.
Ramadhan menemui penghujung.
Tahun ke tahun, kunjungan Ramadhan datang dan pergi. Dan kita masih seperti ini. 
Mujur, sempat bertemu Ramadhan. Jika tiba-tiba pancit ditengah jalan Ramadhan pun tak sempat, nak cari alasan pun tak dapat. 

Suka saya memetik kata-kata Imam Hasan al-Banna, dalam buku Nasihat Ramadhan Daripada Orang-orang Soleh; Pandangan Sisi: TGNA,

kata Hasan al-Banna,

"Pada setiap hari di hadapanmu ada saat-saat istimewa pada pagi hari, juga pada petang hari, serta pada waktu sahur. Pada waktu-waktu itu jiwamu yang bersih dapat meninggi ke langit dan engkau pun boleh mendapatkan kebaikan dunia dan akhirat. Di hadapanmu juga ada musim-musim ketaatan, hari-hari untuk ibadah, malam-malam untuk bertaqarrub yang telah diajarkan oleh kitab sucimu, juga Rasulmu yang mulia. Maka jadilah engkau pada waktu-waktu mulia itu sebagai orang yang banyak berzikir, bukan orang yang lalai. Jadilah orang yang banyak beramal dan bukan pemalas. Manfaatkan lah waktu, sesungguhnya waktu bagaikan pedang, janganlah bertangguh, kerana tidak ada yang lebih berbahaya selain daripada bertangguh."


Lagi, memetik kata-kata Ibn Qayyim,

"Tahun adalah sebatang pohon. Bulan adalah dahannya. Hari adalah rantingnya. Jam adalah daunnya, dan nafas adalah buah-buahannya. Barangsiapa bernafas untuk ketaatan, maka buahnya pasti baik. Dan barangsiapa bernafas untuk kemaksiatan, maka buahnya pasti pahit. Musim menuainya adalah hari pembalasan. Pada saat itu akan jelas buah yang manis dan mana buah yang pahit. Maka bagaimanakah buah dari umur kita?

Sebelum usia kita berakhir, sebelum segalanya menjadi terlambat, agar kita tidak menuai umur dengan buah yang pahit dihari pembalasan, maka tanamlah di ladang-ladang waktu kita dengan pohon-pohon yang baik. Belajarlah cara-cara menggunakan waktu yang telah di praktikkan oleh para salaf, generasi awal Islam. Kerana mereka telah membuktikan, bahawa tiada waktu yang mereka lalui dengan sia-sia. Waktu mereka selalu terisi dengan ketaatan, kebaikan, dan produktiviti."

Masa kita?
Manfaatkan masa yang ada, agar kita tak tergolong dalam golongan rugi.

Sunday, August 23, 2009

2 Ramadhan...

Saturday, August 22, 2009

SALAM RAMADHAN

Biasanya, persediaan dilakukan sebelum memasuki sekolah. Nak beli baju sekolah, kasut sekolah, beg sekolah. Biasanya lah. Dan sebagai umat Islam, yang merindui kehadiran Ramadhan, pastinya akan membuat beberapa persiapan sebelum melangkah kaki memasuki madrasah Ramadhan, melangkah masuk dengan penuh keazaman yang tinggi. Perkara asas yang ingin dicapai adalah melalui ibadah puasa yang difardhukan ke atas kita umat Islam, adalah TAQWA. Ya, kita nak capai taqwa.

Ramadhan acapkali di sebut sebagai sebuah madrasah. kerana itu kita kena bersedia untuk mendidik (mentarbiyah) dan dididik (ditarbiyyah).  

Ramadhan seringkali disinonimkan dengan pesta ibadah. Yang ganjarannya dilipat gandakan. Merintih dan bermunajat dinihari, di sepertiga malam dalam Ramadhan, ia berbeza dengan munajat di bulan-bulan lain. Auranya berbeza. Dan perbezaan itu dirasai oleh orang-orang soleh. Bagaimana kita? kita merindui Ramadhan, dan kita isikan, manfaatkan kehadiran Ramadhan kali ini dengan sebaiknya. 

Saya masih ingat, sewaktu zaman kanak-kanak dulu (sekolah rendah), 'tok' suruh kami adik-beradik baca qur'an, khatam 30 juzuk al-qur'an. 'Sapa khatam qur'an dapat RM50..'
Kami pun baca pagi petang siang malam. Ada masa lapang, kami pulun baca qur'an. Tepi tingkap rumah, atas kerusi.. Rasa tak larat nak teruskan bacaan, kami tidur. Ya lah, RM 50 tu kira banyak lah. Nak beli cekelat (gula-gula), ais..
Tu masa kecik-kecik. Didikan awal untuk kanak-kanak, ada perangsang untuk habiskan 30 juzu'. 

Sekarang dah besar, takkan nak kena suruh baca qur'an lagi.. Takkan nak tunggu RM 50 'tok'.
Pandai-pandai pikir maaa.....

dah bertahun-tahun kita masuk madrasah Ramadhan. Eh, takkan tak nak upgrade skill? Upgrade lagi bacaan al-qur'an. Kali ni bukan setakat baca. Sekarang kita tadabbur dan hayati makna-maknanya. Lagi, target surah hafazan...

Target kita nak capai taqwa. Jadi, upgrade dari masa ke semasa dari segi amalan kita. Dan Ramadhan menjadi titik tolaknya agar kita menjadi hamba sebenar-benar hamba, taqwa menjadi pakaian kita.


Namun, amat menyedihkan, pesta ibadah Ramadhan juga turut dicemari dengan pesta berdubel-dubelan lainan jantina. Lihat di kafeteria. Astaghfirullah..
saya bertanyakan diri dan sahabat saya semalam, ini pesta ibadah ke pesta perkapelan?

Seorang hamba Allah, sebelum memasuki Ramadhan, dia menangis. Tangisan itu bukan kerana dia tidak suka akan hadirnya Ramadhan, tetapi dia takut dia tak diberi kesempatan untuk bermunajat pada malam Ramadhan. "Ya ALLAH, sempatkan aku bertemu Ramadhan dan izinkan aku beribadah pada-MU di bulan Ramadhan.."
Dia gembira dan hatinya berbunga, bilamana Allah masih beri peluang kepadanya untuk bertemu Ramadhan.  Gunakan peluang sebaiknya. Kerna, RAMADHAN kali ini tak sama dengan RAMADHAN lalu. 

apapun, selamat menjalani ibadah puasa. Semoga taqwa kita peroleh.



Monday, August 17, 2009

MLM

‘Multi Level Marketing’ (MLM) adalah salah satu stratergi pemasaran yang digunakan secara meluas kini. Walaupun MLM berteraskan jualan langsung, namun sistem dan perjalanan antara MLM tertentu dengan yang lain adalah berbeza.

Justeru, hukum halal haram MLM tidak boleh diukur berdasarkan namanya sahaja, bahkan ia mestilah dilihat juga dari sudut perjalanan MLM itu sendiri. Ini kerana, hukum suatu perkara berkait rapat dengan hakikatnya.

Walau bagaimanapun, disini saya bukanlah ingin menceritakan perjalanan MLM mahupun membahaskan MLM kerana saya bukanlah orang yang arif dalam perkara ini. Namun, konsep MLM ini menjadi tarikan dan begitu bermakna apabila kita menerapkan ia dalam konteks dakwah dan saham akhirat kita.

Saya berkira-kira para pembaca telahpun mendengar dan berfikir mengenai

MLM:stratergies dakwah di dunia, dan saham akhirat.

Dalam penerangan dan perkongsian ini, saya lebih gemar menggunakan da'ie sebagai nuqaba' dan mad'u sebagai anak buah.

Para pembaca sekalian, semoga dirahmati Allah..

Seperti mana sebuah bisnes dan perniagaan yang mempromosikan produk yang berkualiti dan terbaik, memerlukan 'promoter' juga yang berkualiti lagi terbaik. Seperti itu juga Islam. Memerlukan jentera dan da'ie yang begitu kualiti dan komited untuk menyebar sampaikan dakwah Islam kepada semua.

Mari kita berandaian..

Anda sebagai seorang naqib/ah memegang 1 kumpulan usrah di kampus.

Pada Tahun Pertama anda memasuki kampus, anda mendakwahkan barangkali 7 orang mad'u. Dan anda mampu mendakwahkan 2 orang anak buah sehingga jelas fikrah Islam dan boleh berkerja untuk Islam.

Maka pada tahun ke dua, akan ada 3 orang naqib/ah (2+1). Setiap seorang memegang 7 anak buah. Dan setiap orang berjaya mendakwahkan lagi 2 orang, maka pada tahun ke-2, seramai 6 orang mad'u berjaya di dakwahkan dan menjadi penggerak.

Dan pada tahun ke-3, seramai 9 orang naqib/ah (6+3) akan meneruskan misi Islam. Dan setiap naqib/ah memegang 7 orang lagi anak buah, berjaya mendakwahkan 2 orang dari setiap kumpulan, menjadikan 18 orang.

Tahun ke-4, 18 orang naqib/ah akan jalankan usrah dan berjaya mengkaderkan 2 orang anak buah dari setiap kumpulan, menjadikan 36 orang.


Bayangkan, sepanjang berada di kampus, anda telah berjaya mendakwahkan 35 orang! Itu baru anda seorang, dalam ramai-ramai nuqaba'. Bayangkan 2 orang, 3 orang nuqaba' dan apatahlagi kesemua nuqaba' ..
Betapa ramai yang bakal menjadi pendokong dan sama-sama mendokong perjuangan. Bahkan menyemarakkan biah solehah di kampus sendiri akan menjadi lancar ....

Apa yang lebih membahagiakan kita,melihat adik-adik yang kita pernah dakwahkan menjadi seorang naqib/ah berjaya, dan jauh lebih baik dari kita.

Ya, seorang naqib/ah merasa bahagia melihat anak-anak buahnya mempunyai pakej yang cukup baik sebagai seorang da'ie.

Pun begitu, bayang-bayang tak kan ada kalau objek tiada. Maksudnya, apa yang kita bayangkan, perkiraan tadi tidak akan terjadi dan berhasil jika tiada tindakan dari kita.

Maka, 
wahai para nuqaba' yang bertanggungjawab terhadap apa yang dipertanggungjawabkan, laksanakan tanggungjawab dan amanah dengan penuh bertanggungjawab.

Template Design | monera87