"Ya Allah, kurniakanlah ke atasku ketenangan, dan tetapkanlah pendirianku bersama-sama pendukung-pendukung kebenaran, dan tabahkanlah hatiku dengan mengingati Engkau, dan kurniakanlah akan daku keredhaan dengan perkara yang Engkau redhai"

Showing posts with label DAKWAH. Show all posts
Showing posts with label DAKWAH. Show all posts

Saturday, February 20, 2010

tak semudah buat tomyam laa



"Macam mana nak buat tomyam, awak..?"
"Awak main campak-campak je.. asalkan rasa macam tomyam, ok dah tu.."
 "Owh, orang dah pandai buat selalu cakap main campak-campak je..huhu.."


Itu dialog bagaimana mahu bikin tomyam. 
Hmmm... Kalau tak pernah buat, main campak je segala perkakas (bahan-bahan) tomyam tu. Kalau reti dan pernah buat pun, main campak-campak juga. Asalkan di pandangan mata kita, itu adalah tomyam. Asalkan hiduan bau itu, aromanya adalah tomyam. Asalkan bira dicicip rasanya, itu adalah tomyam.. 
Maka ia adalah tomyam. Ia benar-benar sebuah tomyam!!


Tapi saudara-saudaraku, 
menegakkan kalimah ALLAH, tidak semudah melakukan tomyam. Membuktikan rasa cinta kepada Rasulullah bukan seperti mudahnya membikin seketul tomyam. Boleh main masukkan segala macam sesuka hati.. Intro saja nii... 



Coba tanyakan dirimu, apa kata dirimu, kiranya kamu diberi ijin bertemu dengan Rasulullah s.a.w seketika.. apa kan kamu bicara dengan Rasulullah kiranya kamu punyai seminit untuk bicara bersama baginda..?
Ingin sekali kami bertemu dengan mu, insan yang dalam masa yang sama baginda mengingati mati...dan dalam masa yang sama tersenyum dikala bertemu masyarakat...dan dalam masa yang sama begitu digeruni kawan dan lawan... Baginda lah yang akhlaqnya adalah Al-Qur'an...
Masha'Allah... bahkan air mata kah yang kan mengalir? Ya Rasulullah... kami merindui mu, meski kami tak pernah bertemu denganmu... Kami merindui mu, meski kami tidak pernah berbicara denganmu..


Namun, apakah pantas kita kata kita mencintai dan merindui baginda, tetapi.......
dalam masa yang sama kita kita meminggirkan sunnah Nabi?
...sejauhmana kita benar-benar mempraktikkan sunnah Nabi SAW dalam kehidupan harian kita? Kalau solat masih tinggal, aurat anak isteri masih terdedah, fikiran masih sekular,..



Jika kita adalah golongan yang tidak meminggirkan sunnah Rasulullah s.a.w, ayuh, sama-sama buktikan;
dan saya mengajak diri saya dan saudara-saudara juga sahabat-sahabat, rakan sekampus, dan teman yang membaca, agar sama-sama kita berpuasa sunat hari Khamis ni, boleh?
Jom pakat ramai-ramai puasa sunat, dan join IFTHAR JAMA'IE hari Khamis ni... jom pakat solat berjama'ah...sama-sama imarahkan masjid.

Ulama' melahirkan kebimbangan terhadap masyarakat yang ada pada hari ini,
"Aku bimbang, manusia tidak ingin dan tidak berusaha menjadi tetamu ALLAH di dunia, bagaimana dia nak jadi tetamu ALLAH di akhirat.."

Justeru, moh le kite pakat ramei2 ke sejid naa....

tak dapat buat semua, jangan tinggal semua...
kalau ada kekangan nak datang solat berjamaah waktu zohor ke, datang lah solat berjama'ah waktu subuh.. =)


Cinta tidak lahir dari bicara semata, bahkan ia melalui pembuktian anggota...
sebagai mana 'aqidah kita.. kita muslim bukan hanya pada nama, tetapi pembuktian keteguhan aqidah muslim dan imannya  itu melalui ibadah dan gerak aggotanya..
Sebuah pondok kecil takkan siap terbina andai percikan liur saja yang bias, tanpa susulan tindakan dimulakan.



 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ 

Sekeping promotion...





Jom sertai KEMBARA '10.... Cuba perhati sedikit iklan bergambar kat sebelah tu... Macam-macam ada.. Jemputlah datang beramai-ramai ye..  

Saturday, October 10, 2009

WAHAI MANUSIA! SIAPAKAHKAMU?

Firman Allah SWT:

"Hai manusia! apakah yang telah memperdayakan kamu (dengan berbuat durhaka) terhadap Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang telah menciptakan kamu dan menyempurnakan kejadiaan kamu dan menjadikan(susunan tubuh) kamu seimbang dalam bentuk apa sahaja yang dikehendaki. Dialah yang menyusun tubuhmu.”
- Surah al-Infithar: ayat 6-8.


“Wahai manusia! Siapakah kamu?”


1. Adapun orang-orang yang beriman mengatakan:

Kamu ialah satu penciptaan Allah SWT dan satutiupan suci dari sisi Allah SWT.
Allah SWT menjadikan kamu dengan kekuasaan-Nya. Ditiup-Nya ke dalam diri kamu dengan ruh dari sisi-Nya. Dimuliakan kamudaripada seluruh makhluk-Nya yang lain. Seluruh malaikat telah sujud kepadamu.Allah SWT telah mengajar kepadamu segala sesuatu. Diletakkan di bahu kamuamanah, lantas kamu memikulnya. Dilimpahkan ke atas kamu nikmat-nikmatdari sisi-Nya baik yang zahir mahu pun batin. Dijadikan untuk kamu seluruhisi langit dan bumi. Dimuliakan kamu dengan setinggi-tinggi kemuliaan.Diciptakan kamu dengan sebaik-baik penciptaan. Dipersiapkan kamu dengan sesempurna persiapan. Diberikan kepadamu pendengaran, penglihatan dan hati. Dijelaskan kepadamu dengan dua jalan (yang buruk dan yang baik) dan ditunjukkan kepada kamu dua persimpangan. Dipermudahkan kepada kamu dalam membuat pilihan terhadap jalan-jalan itu. Dengan izin-Nya dan penciptaan-Nya, kamu dapat terapung di air dan terbang di udara bahkan dapat memecahkan atom-atom. Dengan fikiran dan kemampuan kamu, kamu dapat melampaui lapisan-lapisan awan dan langit (serta bumi).


Lantaran itu adakah lagi penciptaan dan kejadian yang lebih mulia, lebih suci dan lebih agung daripada penciptaan Rabbani ini?

Seterusnya hidup kamu yang singkat di dunia tidak akan terhenti setakat ini sahaja. Kamu akan dihidup dan dibangkitkan kembali. Kamu akan dihimpunkan semula. Kamu akan menempuh hidup baru dengan penuh kemuliaan di dalam satu negeri yang penuh dengan kenikmatan dan kebaikan,dengan syarat kamu mengerti rahsia kamu dijadikan dan seterusnya kamu beramal dengan penuh keikhlasan semata-mata kerana Allah SWT, al-Ma’bud, al-Khaliq.


Firman Allah SWT:

“Tidak Aku jadikan jin dan manusia malainkan untuk pengabdian kepada-Ku. Aku tidak mengkehendaki rezki sedikitpun daripada mereka dan Aku tidak mengkehendaki supaya mereka memberi Aku makan.”
- Surah az-Zariyat: ayat 56-57.

Kematian yang kamu bimbang dan takuti itu tidak lain melainkan hanyalah satu perpindahan dari hidup di dunia kepada kehidupan yang satu lagi.


Firman Allah SWT:

“Dan tiadalah kehidupan di dunia ini melainkan senda gurau dan mainan belaka. Dan sesungguhnya akhirat itulah sebenarnya kehidupan, jika mereka mengetahui.”
- Surah al-Ankabut: ayat 64.

Jasad kamu tidak lain adalah seolah-olah satu sangkar dan jiwa kamu terkurung di dalamnya. Seolah-olah ia adalah satu pakaian terhadap jiwa kamu sehingga sampai kepada satu ketika di mana kamu menemui kematian. Semoga Allah S.W.T. merahmati orang-orang ‘Arif yang berkata:

Akulah burung dan inilah sangkarku (jasadku),
Bila ku terbang darinya, tinggallah ia terkatung-katung,
Pakaian adalah masa,
Kini ku merindui pulang,
Dapat ku bertemu Allah dengan sebenarnya,
Jangan kau kira maut itu adalah kesudahan,
Bahkan hanyalah dari sini (dunia) ke sana(akhirat).


2. Sebaliknya, orang-orang Meterialis dan suka membantah akan mengatakan:

Kamu wahai manusia,
hanyalah satu genggaman tanah, berasal daripada setitis mani yang terperangkap di dalam rahim. Dengan masa, lama kelamaan kamu akan luput dan fana. Tiada apa-apa lagi selepas itu. Siapakah yang dapat menghidupkan tulang belulang yang telah hancur luluh. Demikian juga kata-kata orang yang terdahulu daripada mereka.

Firman Allah SWT:

“Dan mereka berkata: Kehidupan ini tidak lain hanyalah kehidupan di dunia sahaja, kita mati dan kita hidup dan tiada yang dapat membinasakan kita melainkan masa.”
- Surah al-Jaathiyah: ayat24.

Orang-orang yang terkemudian daripada mereka berkata,
“Diri kamu hanyalah adunan unsur-unsur bumi dan kehidupan kamu adalah peredaran sistem-sistem fisiologi semata-mata. Segala sentimen, perasaan dan kewujudan, fikiran dan kudrat, keazaman dan kemahuan hanyalah kesan daripada adunan unsur-unsur bumi dan natijah daripada percampuran tanah dan air. Kehidupan hanyalah pusingan hari-hari tertentu yang dapat kamu mengambil kesempatan untuk kamu berseronok-seronok dan berfoya-foya. Sesungguhnya dunia ini untuk makan, minum dan tidur. Bila ini semua luput, maka selamat tinggallah dunia.


Wahai saudara, perhatikanlah:

Wahai saudara, itulah permasalahan hidup sebenarnya, jika kamu perhatikan betul-betul, jika kamu renungkan betul-betul,

kamu tidak akan tergolong ke dalam golongan orang-orang yang lalai dan leka dengan kewujudan mereka, yang tidak mengambil berat terhadap kewajipan insaniyyah mereka.

Kamu akan menjadi orang-orang yang sedar terhadap matlamat hidup dan jalan yang harus kamu tempuhi.

Seperkara yang inginku nasihatkan kepadamu:

Ambil peluang untuk bersendirian seketika di waktu malam atau siang. Pergunakanlah ia untuk merenung dengan sedalam-dalamnya terhadap kehidupan individu dan jamaah.

Apabila kamu telah mencapai hakikat pandangan yang pertama tadi, iaitu pandangan orang-orang yang beriman, kamu akan dapat menyedari di manakah kamu yang sebenarnya. Sesungguhnya kamu akan dapat meningkatkan dirimu kepada matlamat sebenar. Seterusnya kamu akan menuju Allah SWT Yang Maha Agung. Kamu akan mensucikan dirimu dengan mengingati-Nya, mentaati-Nya, muraqabah kepada-Nya dan sentiasa takutkan-Nya. Sesiapa yang mengenali dirinya nescaya ia akan mengenali Rabb-nya.

Jangan kamu merasa aneh jika terdapat orang yang memilih pandangankedua, pandangan orang-orang yang sesat. Ada dua jalan, jalan fitnah ataujalan hidayah.

Firman Allah SWT:

“Maka tatkala mereka melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat dan Kami timpakan kepada orang-orang yang zalim siksaan yang keras disebabkan mereka selalu berbuat fasik. Maka tatkala mereka bersikap sombong terhadap apa yang dilarang mereka daripada mengerjakannya, Kami katakan kepada-Nya, “Jadilah kamu kera yang hina”.”
- Surah al-’Araf: ayat 165-166.




Semoga Allah SWT menunjukkan kepada kita sebaik-baik jalan dan petunjuk yang lurus.


Oleh: Asy-Syahid al-Imam Hasan al-Banna  

Sunday, June 14, 2009

Manhaj Haraki

Manhaj itu sistem, haraki pula, gerakan.

Manhaj haraki merupakan langkah-langkah yang jelas lagi terang sebagaimana yang telah dipelopori oleh baginda Rasulullah s.a.w sejak baginda di utuskan, sehinggalah baginda wafat. 

Kenapa perlu ikuti manhaj haraki mengikut sirah nabawi yang berlaku secara berperingkat?

Kita dikehendaki menyusuri dan mengikuti peringkat gerakan ini selangkah demi selangkah agar suatu gerak kerja tersusun dan jelas. Lalu, mengikuti perjalanan gerakan islam, maka perlunya kita mencontohi dan meneladani langkah-langkah yang telah digerakkan oleh Rasulullah s.a.w.

Firman Allah swt dalam surah al-Ahzab, ayat ke 21 (33:21) ;

Dalam usaha mencari mardhatillah (keredhaan Allah),  maka mengikuti langkah-langkah yang ditunjuki oleh Rasulullah adalah satu usaha yang tidak akan sia-sia, insha'Allah. Kerana kita mempercayai bahawasanya manhaj haraki ini manhaj ketuhanan (rabbaniyah). Allah teguhkan utusan-Nya dalam melaksanakan langkah-langkah ini, dan kita sedari bahawa ianya bukanlah lahir dari tindak balas dari keadaan semasa yang dihadapi. Semua ini adalah aturan dan rencana Allah. 

Langkah-langkah dan tahapan melalui sirah ini dibahagikan kepada 5 peringkat, iaitu:


1. Dakwah dan stratergi secara rahsia.
pada peringkat ini, dakwah dilakukan berdasarkan pemilihan, iaitu pada golongan kerabat terdekat, pemilihan  berdasarkan keupayaan pendakwah  atas kebiasaan mad'u. Penyahut seruan dakwah yang paling utama dan terawal adalah insan yang paling dekat dengan baginda, seorang isteri yang mulia lagi setia, iaitu Saidatina Khadijah r.a (dari kalangan wanita pertama di bumi yang beriman ketika itu), diikuti oleh Abu Bakar as-siddiq, 'Ali bin Abi Talib kwj dan Zaid bin Harithah.
Peringkat ini bermula dari turunnya wahyu kepada baginda Nabi Muhammad s.a.w, sehingga sampai ke firman Allah swt, 


2. Dakwah secara terbuka dan stratergi secara rahsia;
yang mana pada peringkat ini, ia tamat pada tahun ke-10 kerasulan.
Sebagaimana Rasulullah berdiri di Bukit Safa dan menyeru kepada kaum Quraisy, secara terang-terangan, menyeru kepada mentauhidkan Allah serta beriman dengan risalahnya dan beriman kepada hari akhirat. Ini salah satu kaedah dalam berdakwah. Sebagaimana sekarang menggunakan konsep ceramah, forum, debat, dan sebagainya. 

3. menegakkan negara; 
Usaha di peringkat ini termasuklah pemergian Rasulullah ke Thaif, untuk mendakwahkan Banu Thaif kepada Islam dan mencari perlindungan dan sokongan dari mereka sebagaimana disebutkan oleh Ibnu Ishak, ".. kepada mereka Rasulullah menjelaskan bahawa kedatangannya adalah untuk mencari sokongan dalam menyebarkan Islam dan menghadapi kaumnya yang telah menentangnya.  (sementelah, Rasulullah mencari sokongan dari mereka yang  belum beriman menghadapi kaumnya yang menentang seruan kepada Islam, maka apa salahnya kerjasama Muslim dengan non-Muslim di negara kita? maka tiadalah salahnya berlaku pakatan sedemikian rupa, kerana ia lebih kepada membawa maslahah untuk agama sendiri.)
peringkat ini tamat pada permulaan tahun pertama hijrah.

4. Negara dan Penetapan ketuanya. mengasaskan negara;
tamat dengan termeterainya perjanjian hudaibiyyah.

5. Menyebarkan dakwah di muka bumi.
terhenti dengan wafatnya Rasulullah s.a.w. 

Setelah tamatnya setiap peringkat, maka bermulalah pula peringkat yang berikutnya dari penyambung mata rantai-mata rantai perjuangan risalah Rasulullah. Dan kita bermula pada peringkat pertama. Sebagaimana jatuhnya khilafah Islamiyah pada tahun 1924 (3 Mac 1924M). Dan kesinambungan perjuangan penyebaran risalah rasul diteruskan oleh As-syahid Imam Hasan al-Banna, yang mana beliau memulakan sebagaimana peringkat pertama yang telah dilakukan dalam manhaj sirah; dakwah dan stratergi secara rahsia. 

dan sekarang kita pula dari pelbagai peringkat, langkah dan tahap kita di peringkat mana..?


maraji' :
al-manhaj al-haraki lil siraatunnabawi

Monday, May 25, 2009

Tok guru...

cont'...

Tugas kita di atas muka bumi ini tidak lain, adalah menyambung risalah Nabi Muhammad, Rasul kita..

Al-ulama' warasatul anbiya'...
ulama' itu pewaris nabi.

menyebut tentang ulama' ni, teringatlah pula saya kepada ulama' tersohor tanah air. ulama' yang disegani dan digeruni kawan dan lawan. 

Tak nak ulas panjang, sapa nak kenal peribadi tuan guru, sebagai seorang pemimpin ulung yang zuhud meski dunia serba penuh fitnah dunia ni, boleh beli buku Kemilau Peribadi Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pelbagai golongan mengagumi keperibadian beliau. Golongan muda. Golongan tua. Remaja. Politikus. Politibai. Politipu. Artis. Mahasiswa. segala peringkat. Semua menyayangi Tok Guru. Ini mutiara berharga umat. 

Kagum, kagum juga. Tapi, Tok Guru juga manusia. Persoalan Ustazah Wan Ubaidah, suatu hari, Tok Guru akan pergi meninggalkan kita. Tapi siapa pula akan menggantikan Tok Guru? Tok Guru tak pernah memalingkan muka , memasamkan muka depan siapapun hatta berurusan dengan muslimat. Siapa akan menggantikan ulama' sufi haraki ini..?

Begitulah sedikit sebanyak persoalan yang dilontarkan, menjadi cabaran buat golongan muda, terutama mahasiswa yang bergerak demi agama-Nya...gerakan  Mahasiswa Ulama'.

sebelum saya lupa, saya berkongsi lagi. pada pemerintahan beliau (TGNA) di Kelantan, beliau memperkenalkan cuti 2 hari (yang kini telah dilaksanakan di negara kita, mengikut contoh dari Kelantan...takpa, yang baik, kita ikoot..). Sehari untuk bersama keluarga, dan sehari lagi kata tok guru, untuk cari ilmu. Umpamanya, di Kelantan, ada kuliah dhuha setiap pagi Jumaat di dataran ilmu, KB. Semua ini usaha untuk menyebarkan ilmu.

Jadi, sempena cuti ni, carilah ilmu. Kalau di kampus, kita asyik membaca mengira, apa salahnya cuti-cuti ni gi cari majlis-majlis ilmu. Tak dapat pergi ceramah/kuliah-kuliah, cari CD ceramah ke MP3 (ni bukan sigma ye) ke, share ceramah-ceramah (lebih elok dari share cerita2). Tak boleh pun, cari buku-buku ilmiah. Membaca itu teman bagi orang yang berilmu. Banyakkan membaca..

bersambung...
nak gi kelas pulak..

Sunday, May 24, 2009

ORANG YANG AJAIB

Salam sejahtera, 
Ingin saya kongsikan bicara agar perkongsian ini dapat membina taqwa.
agar obor semangat yang pernah suram kembali cerah menyala;
kilauan yang malap kembali terang kemilaunya.. 

Kita seiring sejalan, selangkah sehayun mengharungi dunia yang penuh caca merba sekarang. Bak kata ustaz Azizan, segalanya dah loqlaq. Politik pun loqlaq. Pemerintahan yang ada pun loqlaq. Jadi kita jangan jadi loqlaq. Carilah pengisian untuk mengelakkan keloqlaq-an berlaku dalam diri kita. Jadi, saya ingin kongsikan sedikit sebanyak dari apa yang diperolehi bersama Ustazah Wan Ubaidah Omar.

ORANG-ORANG YANG AJAIB

Sabda baginda Rasulullah saw;

”Sungguh ajaib perihal orang mukmin, sesungguhnya semua urusan mereka adalah kebaikan. Dan keadaan ini tidak ada melainkan kepada orang yang beriman saja. Sekiranya dia medapat karunia dia akan bersyukur, maka jadilah karunia itu baik untuknya. Manakala apabila ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu kebaikan untuknya.”(HR Muslim)


Imam Hasan al-Banna turut menekankan perihal ini dalam kerangka membina benih-benih Muslim yang baik; orang-orang Muslim Mu’min itu ajaib. 
Apakah yang menyebabkan beliau berkata demikian?
Kerana...
Muslim Mu’min itu...
Dimanapun dia berada,
Dia menjunjung sunnatullah.
Pabila musibah melanda, dia tidak melihat musibah itu adalah musibah, sebaliknya dia memandang musibah itu sebagai ujian.

Sebagai contoh, 
Apabila di penjarakan atau lebih mudah difahami, apabila di ISA kan, ia memandang pemenjaraan itu sebagai peluang untuknya beruzlah lantaran untuk lebih bertaqarrub ilallah.

Apabila di buang ke luar negara/ ke tempat lain, ia memandang bahawasanya itulah peluang baginya untuk terus mengembangkan da’wah Islam ke semerata ceruk dan pelusuk dunia tanpa mengira dimanapun ia berada.

Benarlah, benarlah bahawasanya,

Seorang muslim mukmin itu umpama benih yang baik.
Dicampak ia ke lautan, menjadilah ia sebuah pulau.
Dicampak ke belukar, menjadilah ia sebuah perkampungan.
Dicampak ke angkasa, menjadilah ia awan, berkepul menitiskan hujan membasahi bumi. (....)

Hidup dan matinya atas landasan manhaj yang Islami.

Ustazah Wan Ubaidah turut menceritakan bahawa selepas suaminya kembali ke rahmatullah, beliau memasakkan tekad. Beliau begitu optimis. 

Saya memandang semua yang ALLAH beri ini (pemergian suami), sebagai suatu pembebasan untuk saya melangkah jauh, menginfaqkan diri kepada Islam, berkerja dengan jema’ah Islamiyah secara terus.

Jadi, muslimat juga tiada alasan untuk tidak atau mengelakkan diri dari berkecimpung dalam medan da'wan, kerana setiap pelosok adalah medan bagi kita berpencah demi Islam.

Tugas kita di atas muka bumi ini tidak lain, adalah menyambung risalah Nabi Muhammad, Rasul kita..

Dah nak maghrib... 
Lain kali sambung lagi..
Insha’Allah.


Bersambung......

 

Thursday, April 30, 2009

sTaNd ToGeTheR

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamu'alaikum wbt..

Pertama dan selamanya segala pujian dipanjatkan kepadaNYA. Nikmat yang cukup banyak DIA kurniakan kepada kita.

"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?"

Alhamdulillah, semalam tamatlah sudah peperiksaan akhir semester. Atas desakan sahabat dan adik-adik yang disayangi, maka hari ni muncullah sedikit penulisan setelah sekian lama tidak menulis.

Dicongak kira nya, semester ini menemui penghujungnya.. dengan pelbagai peristiwa, karenah, ujian dan segala macam. Yang pasti syukur, DIA kurniakan kudrat kepada hamba-hambaNYA untuk melalui dan mengharungi segala yang mendatang.

Saya memohon maaf sepanjang perkenalan kita semua, kenal secara berdepan, secara langsung mahupun tak langsung.
Pada kata yang terkasar mahupun terlaser sikit mulut ni, saya mohon maaf...
Pada diri yang suka makan (betul ke...? entoh le..), dan ilmu yang di ajar secara langsung mahupun tak langsung, saya mohon dihalalkan..
Pada laku yang tidak menyenangkan, peribadi yang penuh kekurangan, cacat cela yang menjengkelkan dipandangan kalian, dipohon seinfiniti kemaafan...
dan pada segala yang membuatkan kalian kurang senang, kemaafan juga tetap saya pohonkan... segala-galanya, saya mohon maaf atas kekurangan dan kesilapan..

dan saya, selaku penganjur (penganjur apa pulak ni...penganjur kepada rasa tidak senang, salah silap saya dsb..) saya minta maaf, dan memaafi segalanya...
Terima kasih kepada semua.. semoga ALLAH merahmati dan memberkati kehidupan kita semua.

"Dan (bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan- perbuatan keji, dan apabila mereka marah mereka memberi maaf." -Asy Syuura:37

"Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik dari sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun." -Al Baqarah:263

sebagai penutup kata,
di akhir semester yang kita lalui..
moga pertemuan di semester hadapan, kita bertemu dan kita berada dalam keadaan lebih aman, dan bertemu kita dalam keadaan penuh taat kepadaNYA..

Selamat bercuti bagi sesi pengajian.. namun kita tiada cuti dari segi amanah sebagai hamba-NYA..
binalah dan bentuklah diri, didiklah diri dan peribadi, agar kita menjadi hamba yang Soleh dan Muslih..

“ Keluarlah dari kepompong, lihat dunia disekeliling kita dengan hati. Dunia menderita kerana mereka kehilangan hati mereka sendiri. Sedang kita tertipu untuk melengkapkan diri semata-mata tanpa menyeru orang lain kepada Islam. Kita bukan nak jadi ahli sufi semata-mata, tapi kita perlu menjadi da’ie dan murabbi. Sesungguhnya dakwah lah yang mendekatkan diri kita dengan Allah, dakwah lah yang memberi kita ruang untuk sentiasa memperbaiki diri. Jalan dakwah ini jalan yang penuh duri. Tertusuk tubuh kita melalui pelbagai posisi. Namun yang menguatkan kita terus melangkah adalah Ilahi.. Manusia yang hanya tahu untuk memperbaiki diri tanpa memulakan dakwah adalah manusia yang hidup untuk dirinya sendiri. Lihatlah masyarakat yang menderita di sekeliling kita.. Normal kah kita kalau tidak rasa kasihan dan mahu membantu mereka? Bukankah Islam itu kekuatan dan kemenangan?”

Maaf dan terima kasih atas segalanya...
moga dipertemukan kita dalam himpunan yang baik, di dunia dan di Mahsyar kelak..



STAND TOGETHER

Here we are living in this world
A journey to the end
We are servants
We bow to Allah
From Him a helping hand
We are different races
From countries far and wide
Together we can face it
Uphold what’s pure and right
We can stand and work hand in hand
We’re stronger when we unite
Share the words and spread the truth
With iman Allah’s light
In our hearts can’t fake it
When Allah’s love embraced
Together we can make it
The world a better place

Everything in life
We can take everything in stride
Cause we live in this worldly life
Can only try
Every dream we have
We want to have the very best
But we can only face the test
For we can try

And in team we stand
And in team we can
We can make it through the day
We can help each other one another
And in team we should stay
Let us take the guidance from Allah
And Rasulullah
We can face the world
We can make it through the night

Wednesday, April 1, 2009

NAFSU YANG MERANGSANGNYA

Ada 5 halangan dan cabaran yang dihadapi oleh para dai’e , yang mana salah satunya adalah : Nafsu yang merangsangnya. (nafsin tunaazi’ah).

Nafsu merupaka wadah dan tempat berlakunya interaksi baik dan buruk, jahat; halal dan haram, haqq dan bathil. Ia merupakan bekas yang sedia menerima apa sahaja. Baik yang bai, mahupun buruk. Hidayah, mahupun dhalalah.

Dalam kesibukan, tidak kira lah apa jua kesibukan; sama ada akademik, siasah, gerakan, bisness dan sebagainya, seorang da’ie mungkin terlupa akan dirinya sendiri. Saya juga. Kita beri perhatian kepada orang-orang sekeliling, bantu dan bentukkan program, jalan dan menjalankan program, melibatkan diri dalam mentarbiyyah orang lain; namun dalam masa yang sama kita lupakan diri dan hak diri kita, supaya ditingkatkan dalam segala segi. Keasyikan yang ini serta keterlupaan pada diri membuatkan jiwa menjadi keras, lembab, dan akhirnya membatu.
Mungkin anda tidak nampak sekaran, tetapi, renung dalam-dalam, apakah terdapat simptom-simptom seperti:

i- tidak boleh menerima teguran orang lain
ii- kurang berlapang dada
iii- tidak lagi sensitif dengan perihal agama dan jama’ah
iv- rasa malas untuk melaksanakan gerak kerja Islam secara berkumpulan
v- keberatan untuk bersama-sama sahabat dalam apa-apa aktiviti
vi- memberi apa jua alasan sebagai pelepasan diri; dan sekutu dengannya.

Jika terdapat simptom-simptom tersebut, maka berhati-hatilah dan carilah jalan keluar darinya.

Kurangnya peka kita terhadap didikan jiwa pada diri kita membawa kepada kekerasan hati. Didikan keras yang diterima bukanlah sebab utama memberi kelembutan jiwa seseorang, ataupun membawa keterikatan teguh seseorang kepada gerakan Islam. Tetapi sebenarnya didikan jiwa itu sendiri. Tak kira lah nak buat cara apapun. Keras? Lembut? Asalkan tidak mengabaikan didikan ruhiyyah, jiwa, agar hati dan jiwa-jiwa tidak keras.

Firman ALLAH dalam surah al-Baqarah : 74,


Maksud : Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal diantara batu-batu itu sungguh ada yang mengalir sungai-sungai dari padanya dan diantaranya sungguh ada yang terbelah lalu keluarlah mata air dari padanya dan diantaranya sungguh ada yang meluncur jatuh, karena takut kepada Allah. Dan Allah sekali-sekali tidak lengah dari apa yang kamu kerjakan.


Ingin saya kongsikan hasil pembacaan sebuah buku karanganUst Fathi Yakan yang berjudul BAHTERA PENYELAMAT dalam Kehidupan Pendakwah;

bahawa petanda awal kerugian diri adalah :

Mengabaikan peningkatan dan latihan diri supaya mengikut kehendak syara’.
Seorang da’ie dituntut supaya melakukan perhitungan diri terlebih dahulu sebelum memperhitungkan atau berkira-kira dengan kesalahan orang lain. Mendidik diri sebelum mendidik orang lain. Walau bagaimanapun, bukan lah mengabaikan terus antara salah satunya. Asleh nafsaka wad’u ghairaka.

Saidina ’Ali kwjh berpesan,
Sesiapa yang menjadikan pemimpin orang lain, maka hendaklah ia mulai dengan mengajar dirinya sendiri sebelum mengajar orang lain. Asuhannya terhadap orang lain biarlah dengan perilaku sebelum dengan tutur kata. Orang yang mengajar dan mengasuh dirinya sendiri lebih berhak dimuliakan/ dihargai dari orang yang mengajar dan mengasuh orang lain.


WAHAI DA’IE, PELIHARALAH HATIMU...

Penyakit hati ataupun masalah hati bukan lah sahaja kepada masalah ’jiwa kacau’ ataupaun masalah cinta sahaja. Malahan ia melibatkan penyakit hasad, riya’, ’ujub dan sebagainya.

Dan di antara tanda hati itu sihat, adalah ia bersih dari keinginan menipu, hasad dengki dan permusuhan.

Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah saw,
”Siapakah orang yang paling baik, ya Rasulullah?”

Maka baginda Rasulullah menjawab,
”Tiap mu’min yang makhmumul qalbi.”

Lantas, baginda ditanya lagi,
”Apakah yang dimaksudkan dengan makhmumul qalbi?”

Baginda menjawab,
”Iaitu orang yang amat bertaqwa; tidak menipu, zalim, khianat, mengambil yang bukan hak dan tidak menaruh hasad dan dengki.”


Dan antara yang membuktikan hati masih selamat ialah sifat tenang dalam menghadapi apa jua keadaan, berlapang dada, dan jauh pandangan...

Yahya Ibn Mu’az berpesan,
”Berjihadlah melawan nafsu dengan riadhah, (latihan ruhani).”

Latihan ruhani yang dimaksudkan punyai 4 perkara, iaitu :
i- Sedikit makan
ii- Sedikit tidur
iii- Bercakap sekadar perlu
iv- Sabar menanggung gangguan orang lain.


Marilah kita nilai dan hitung diri kita sebelum kita dihitung. Menimbang sebelum ditimbang. Supaya kita benar-benar bersedia menghadapi Hari Perhitungan.

Wednesday, February 25, 2009

Wahai Pejuang Dakwah – Apa Masalah-mu?

“Kita tidak akan berjaya dengan kepimpinan seperti yang ada hari ini. Saya tidak berpuas hati. Saya nak berundur”, keluh seorang ahli gerakan Islam.

”Agenda kami adalah untuk mengekalkan perbezaan di antara kami dan kamu”, tegas seorang ahli gerakan Islam yang lain.

”Ana tidak mahu terlibat dengan usrah seperti ini. Kenapa mesti Tauhid yang tiga ini? Di mana Sifat yang 20 itu? Silibus ini silibus Wahabi!”, marah seorang lagi ahli sebuah gerakan Islam.

Hairan…

Selepas begitu lama berjuang dan begitu banyak idea dan teori dikupas, gerakan Islam hari ini masih tidak berganjak secara yang signifikan di dalam gerak kerja mereka. Malah sering pula kelihatan berundur atau memutar pusingan yang sama.

MASALAH ILMU?

Apakah gerakan Islam hari ini tidak cukup ILMU? Adakah persoalan hari ini merupakan persoalan ILMU?

Jika dahulu, mungkin. Penyertaan seseorang di dalam gerakan Islam adalah bermotifkan amal. Mereka mahu bekerja, dan melakukan sesuatu untuk membantu agama. Lantas generasi era itu tidak banyak bertanya. Mereka tidak begitu mementingkan TAHU terhadap ILMU sebanyak-banyaknya, kerana terbukti bahawa tahu banyak, tidak semestinya menghasilkan kerja dan sumbangan yang banyak.

Lantas di suatu ketika, gerakan Islam tidak kisah sangat jika ada pendukungnya yang tersilap memahami beberapa aspek nas. Jika ada ahli yang meletakkan maksud Wala’ pada konteks yang salah, atau memahami konsep Jamaatul Muslimin secara simplistik atau silap, ia bukanlah isu yang perlu diperbesarkan kerana yang semua itu hanya PROSES. Apa yang perlu diutamakan adalah OUTPUT, iaitu AMAL. Kerja! Selagi mana ahli gerakan Islam bekerja, maka maksud penglibatan mereka sudah tercapai.

Maka usaha pembetulan tasawur itu menjadi agenda perkaderan biasa. Sesekali pemimpin dan alim ulama yang sedar akan menegur. Tidaklah sampai jadi satu isu.

Apatah lagi untuk sebuah gerakan Islam yang membuka penyertaan kepada semua lapisan masyarakat. Ada profesor universiti, ada juga penarik beca dan si buta huruf. Semuanya berkumpul di dalam gerakan Islam ini untuk memberikan suasana yang realistik terhadap realiti masyarakat. Ia tidak mencipta realiti alternatif.

Tetapi kesan keterbukaan ini, susahlah hendak mendidik ahli dan pendukung. Ada ahli yang masuk ikut pintu politik, dan ada juga yang masuk ikut pintu Tarbiyah. Pemimpin gerakan Islam bekerja keras untuk memanfaatkan kesemua kategori ahlinya ke arah yang sama, bekerja untuk Islam. Tidak semua kerja gerakan Islam boleh dibuat oleh ‘orang Tarbiyah’. Selalu sahaja orang yang banyak ilmu, berat untuk memanjat tiang menggantung poster dan bendera. Dalam masa yang sama banyak juga kerja gerakan Islam tidak boleh dilakukan oleh ‘orang yang masuk ikut pintu politik’. Membahaskan polisi gerakan Islam, hala tuju dan muhasabah dari semasa ke semasa, memerlukan kepada ILMU yang mantap. Lantas keterbukaan gerakan Islam untuk menerima ahli daripada lapisan yang pelbagai, melengkapkan rumusan keahlian.


Generasi Mahu Tahu

Namun, zaman kurang memberikan perhatian kepada selok-belok ILMU tentang PROSES, sudah berubah. Hari ini, generasinya mahu TAHU. Tahu sebanyak mungkin. Mereka mahu tahu semua perkara, sebelum mereka membuat keputusan untuk mendukung perjuangan Islam.

Ia suatu perkembangan yang baik.

Makin mahu tahu, makin tinggilah desakan untuk memperkemaskan aspek ILMU.

Faham-faham yang cincai tidak lagi boleh diangkat sebagai rukun komitmen yang pertama. Kena faham benda yang betul ini, betul-betul.


Ilmu Punca Masalah

Tetapi, tahu banyak, tidak menyelesaikan masalah gerakan Islam. Malah kelihatannya seperti tambah menyulitkan keadaan. Maklum sahaja, ILMU memang boleh membawa kepada kebaikan, tetapi ILMU juga punca manusia melampau dan hilang resmi padi.

Kerana pada masa mereka didatangi oleh Rasul-rasul yang diutus kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (untuk menyelamatkan mereka, mereka mengejek-ejeknya, dan) mereka bergembira dengan ILMU yang ada pada mereka; dan dengan yang demikian mereka pun diliputi oleh azab yang mereka ejek-ejek dahulu. [Surah Ghafir 40: 83]

Ilmu sepatutnya memudahkan manusia mencari kebaikan dan kebenaran. Tetapi terbukti ilmu juga pernah menjadi punca kesombongan manusia.

Untuk tetap istiqamah di jalan perjuangan, pendukung gerakan Islam sudah pun diberi ingatan.

Al-Sheikh Fadhl Hasan Abbas di dalam kitabnya Khumasiyyat Mukhtaarah fi Tahdzib al-Nafs al-Ammaarah telah menukilkan bahawa al-Hasan rahimahullah, telah berpesan:

“Sesungguhnya agama itu telah dijadikan Allah di antara ‘DUA JANGAN’ iaitu “Janganlah kamu melampau” dan “Janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim”.

Pesan ini merujuk kepada firman Allah SWT yang mendefinisikan maksud Istiqamah iaitu:

Oleh itu, hendaklah Engkau (Wahai Muhammad) sentiasa tetap bertistiqamah sebagaimana yang diperintahkan kepadaMu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang Penolong pun yang lain dari Allah. kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan. [Huud 11: 112-113]


Ketika berjuang untuk Islam, jangan melampau!

Terbukti golongan pelampau inilah yang kemudiannya gugur. Mereka yang dahulunya berminat dengan perbuatan kutuk-mengutuk hingga ke tahap kafir mengkafir, membenci subjek kebencian secara berlebihan, hingga mengheret hawa nafsu dalam ‘perjuangannya’, mereka ini jatuh sendiri kerana mereka lupa bahawa agama yang diperjuangkannya itu, dijadikan Allah di antara ‘dua jangan’!

Dan salah satu punca kepada sikap melampau itu adalah ILMU, selain harta [Rujuk Al-‘Alaq 96: 6-7] dan kekuatan / kuasa [Rujuk Fussilat 41: 15]

Apabila seseorang itu melampau di dalam perjuangannya, dia terjebak pula kepada JANGAN yang kedua. Jika dahulu dia melampau-lampau dalam menegur dan menentang pemerintah yang dikecam zalim, pelampau ini pula yang melompat dan menjadikan dirinya sebahagian daripada manusia zalim itu tadi.

Sufyan al-Thauri rahimahullah pernah ditanya oleh seorang lelaki. Katanya, “aku menjahit pakaian untuk si zalim itu, apakah aku termasuk di dalam golongan yang cenderung kepada kumpulan manusia zalim itu?” Sufyan menjawab, “Tidak, bahkan engkau sendiri adalah termasuk di dalam golongan yang zalim. Orang yang cenderung kepada golongan yang zalim itu adalah mereka yang menjual jarum kepadamu agar engkau boleh menjahit. Mereka itulah golongan yang cenderung kepada kaum zalimin!” [Khumasiyyat Mukhtaarah fi Tahdzib al-Nafs al-Ammaarah, muka surat 155]

Nyata sekali, masalah utama gerakan Islam bukanlah pada ILMU kerana hari ini kita semakin TAHU dengan ILMU itu.

Malah lebih ironi, pengetahuan yang semakin bertambah itu, tidak menjadikan hasil kerja semakin bertambah. Kita memang tidak bertindak berasaskan apa yang kita TAHU, sebaliknya digerakkan oleh apa yang kita MAHU. Maka ilmu yang memberitahu semata-mata, tidak membantu gerakan Islam!


MASALAH KEMAHIRAN?

Jika ILMU bukan masalah utama gerakan Islam, maka bagaimana pula dengan kemahiran?

Ada gerakan Islam yang mahu mengekalkan method dakwah secara manual dan konservatif. Dakwah hanya dengan lisan, mengetuk pintu rumah ke rumah, seperti perlakuan dakwah di zaman Nabi s.a.w. Mereka ada justifikasinya yang tersendiri.

Manakala gerakan Islam yang lebih anjal, mencuba segala teknik dakwah dan menggarap sekalian kemahiran yang ada untuk menjayakan perjuangan Islam. Dari era penguasaan teknik menggunakan mesin taip, hinggalah kepada memanfaatkan teknologi ICT hari ini, gerakan Islam terus maju setapak demi setapak, malah menggusarkan saingan gerakan Islam yang lebih berminat untuk menyekat air seperti dinding empangan.

Pemerintah menggunakan segala akta, sedangkan maklumat dan ilmu terus percuma dan melanggar sekatan di era ledakan teknologi maklumat hari ini.

Kemahiran apakah yang tiada pada sebuah gerakan Islam? Segala macam kemahiran sudah diperolehi sama ada melalui pembelajaran, atau pun melalui penyertaan tenaga mahir itu sendiri ke dalam saf gerakan Islam.

Tetapi adakah kemahiran itu sudah menganjak gerakan Islam ke suatu peningkatan yang signifikan?


Kemahiran Syarat Kesempurnaan Taqwa

Kemahiran memang bukan persoalan yang kecil. Tatkala kumpulan pertama Islam cuba menundukkan Constantinople pada tahun 44H, mereka ada segala nilai Taqwa kerana Abu Ayyub al-Ansari dan Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhum adalah generasi yang dididik sendiri oleh tangan Nabi s.a.w. Atas janji Rasulullah s.a.w terhadap pembebasan Constantinople, mereka pergi dengan keyakinan itu.

Tetapi mereka gagal. Salah satu faktornya berkait rapat dengan soal kemahiran. Mereka tidak mempunyai maklumat kajian yang cukup tentang kekuatan sebenar Constantinople. Mereka tidak biasa berperang di kawasan yang dikelilingi laut seperti Constantinople dan mereka tidak tahu teknik peperangan apakah yang menjadi pegangan kota yang mahu ditundukkan itu.

Mereka gagal.

Memperlengkapkan diri dengan ILMU dan MAKLUMAT adalah sebahagian tuntutan SUNNATULLAH.


Satu demi satu usaha dilakukan. Setiap kegagalan pertama menjadi teladan usaha berikutnya. Akhirnya kejayaan dicapai oleh insan biasa yang luar biasa, 800 tahun selepas era Nubuwwah, apabila Constantinople kecundang di tangan Sultan Othmaniyyah, Muhammad al-Fatih pada tahun 857H (1453M) dan tenteranya.

Gabungan komitmen mereka terhadap SYARIATULLAH dan SUNNATULLAH, telah melayakkan mereka untuk membuat anjakan dunia dengan pembukaan kota Istanbul, hari itu.

Keperluan bagi sebuah gerakan Islam untuk memperlengkapkan diri dengan ILMU dan KEMAHIRAN memang tidak boleh dinafikan.

Masih Belum Mahirkah Gerakan Islam Hari Ini?

Namun, kemahiran apakah lagi yang belum ada pada sebuah gerakan Islam? Kemahiran hari ini sudah mencecah tahap yang jauh terkehadapan berbanding dengan 50 tahun yang lalu. Namun, sudahkah kemahiran itu menyumbang kepada peningkatan kualiti persembahan gerakan Islam secara yang signifikan?

Masih banyak persoalan yang timbul di sekitar isu ini.

Jika ilmu bukan isu utama, jika kemahiran bukan masalah pertama, maka isu apakah yang menyumbang kepada kelesuan gerakan Islam hari ini? Isu apakah yang menjadikan gerakan Islam terperosok ke dalam lubang kesilapan yang sama?

Jawapannya boleh dicari melalui persoalan-persoalan ini:

1. Apakah yang menjadi halangan kepada dua gerakan Islam untuk saling bekerjasama mencapai matlamat yang sama? Ilmu, kemahiran atau sikap?

2. Apakah yang menjadi punca kepada ketidaksefahaman di antara sesama ahli gerakan Islam sehinga satu demi satu agenda perjuangan mati oleh perpecahan dalaman? Ilmu, kemahiran atau sikap?

3. Apakah yang menjadi punca kepada satu demi satu ahli gerakan Islam bertindak secara reaktif, menterjemahkan rasa tidak puas hatinya bukan kepada menawarkan penyelesaian, tetapi pergi kepada membuka satu demi satu kelompok serpihan yang baru? Ilmu, kemahiran atau sikap?

4. Apakah yang menjadi punca kepada gerakan Islam gagal mentadbir kemenangan dan gagal juga menghadapi kekalahan secara yang positif? Ilmu, kemahiran atau sikap?

5. Apakah punca, gerakan Islam yang sepatutnya bekerja untuk mengumpulkan manusia dan menjana mereka untuk bekerja demi Islam, masih terjebak ke dalam irama pertelingkahan manhaj, yang sudah berkali-kali merugikan masa dan tenaga Islam, sehingga gerakan Islam itu sendiri menaja perpecahan umat atau mereka sendiri turut berpecah? Ilmu, kemahiran atau sikap?

6. Apakah punca kepada gerakan Islam hingga lebih berminat untuk mengekalkan perbezaan, berbanding dengan penyelesaian?

7. Apakah punca yang menjadikan seorang yang berILMU dan berKEMAHIRAN tinggi, boleh bertindak dan bercakap seperti orang tidak berILMU dan berKEMAHIRAN rendah? Ilmu, kemahiran atau sikap?

Persoalan ini masih panjang, sepanjang sejarah gerakan Islam itu sendiri.

Oleh kerana saya benar-benar khuatir dalam mencari jawapan kepada persoalan-persoalan itu tadi, saya cuba mengalihkan percakapan dan penulisan saya daripada soal menambah ILMU dan MAKLUMAT, kepada pembetulan SIKAP.

Amat malu bagi pendukung agenda sebesar AGENDA ISLAM, kalah oleh persoalan SIKAP yang terlalu asas dan mudah.

Betulkanlah SIKAP, ia MUQADDIMAH AGAMA dan PERJUANGAN...

[Sumber Asal Artikel: Ustaz. Hasrizal Abdul Jamil]

Friday, February 13, 2009

DA’WAH ISLAMIYYAH TERAS KEBANGKITAN UMMAH











Wahai Penyeru Kebaikan!

Tiada suatu kepuasan pun yang di nikmati oleh seorang da’ie selain daripada apabila orang yang diseru menerima seruan yang disampaikan.

Inilah satu anugerah Allah s.w.t. yang tidak terhingga kepada hamba-hambaNya yang sentiasa bekerja siang dan malam untuk mengembangkan dan mendaulatkan agamaNya. Kepuasan ini tidak akan dapat dinilai dengan wang ringgit dan tidak mungkin dapat dirasa melainkan hanya kepada mereka-mereka yang bekerja mengajak orang lain memahami islam.

Sebagaimana yang diungkapkan oleh Rasulullah saw kepada Saidina ’Ali kwjh ketika Perang Khaibar.
”Jalankan tugasmu, teruskan perjalanan! Sehingga berada di halaman mereka, kemudia ajak mereka kepada Islam, khabarkan kepada mereka apa yang diwajibkan oleh Allah ke atas mereka daripada hak yang mesti ditunaikan. Manakala demi Allah, sesungguhnya engkau berjaya dengan sebabmu Allah memberi hidayah kepada seseorang terlebih baik kepadamu daripada mendapat seekor unta berwarna merah (barang yang paling mahal).”

Mengubah manusia bukanlah suatu perkara yang mudah. Ianya sukar. Malahan, kita akui bahawa untuk membina sesebuah bangunan sekalipun, bukanlah satu perkara yang mudah terutama yang besar seperti mahligai di Putrajaya; ia memakan masa bertahun-tahun lamanya dan menelan belanja jutaan malah bilionan ringgit serta melibatkan ribuan pekerja.
Sesusah-susah membina bangunan, rijal da’wah mengetahui, bahawa untuk membina manusia adalah seribu kali ganda susahnya kerana manusia itu ada pemikiran, perasaan dan budaya yang mencorakkan kehidupan mereka.
Kita ambil contoh,
Nak menderma duit. Bukan senang nak keluarkan duit RM 1 umat Islam hari ini untuk tujuan infaq di jalan da’wah jika mereka tidak yakin dengan apa yang diseru. Amat wajarlah Allah s.w.t. memberikan ganjaran pahala yang sangat besar kepada mereka-mereka yang bergelar da’ie.

Mereka bukan sahaja dijanji dengan kurniaan di akhirat nanti tetapi juga anugerah yang tidak ternilai dengan menanamkan perasaan kepuasan dan gembira di hati da’ie-da’ie ini. Inilah kurniaan dan limpahan (jazbah) kepada mereka dari Allah s.w.t. Maka berembiralah wahai saudara-saudaraku, da’ie yang menghabiskan hidupnya berda’wah untuk menghidupkan hati-hati manusia.

Namun begitu, perkara yang indah untuk dikecapi, pastinya ada cabarannya, sepertimana yang digariskan oleh Fathi Yakan, dalam buku karangannya, Bahtera Penyelamat;

Sabda Rasulullah,
Al-Mu’minu baina khamsa shadaa id ( Orang Mu’min sentiasa diambang 5 dugaan yang susah) ;
1-Mu’minin yuhsiduh (Mu’min yang dengki kepadanya);
2-Munafiqin yubghidhuh (Munafiq yang benci kepadanya) ;
3-Kafirin yuqatiluh (Kafir yang memeranginya) ;
4-Syaithonin yudhilluh (syaitan yang menyesatkannya) ;
5-Nafsin tunaazi’uh (nafsu yang sering bertarung untuk mengalahkannya).
(Hadith ini di takhrijkan oleh Abu Bakar Ibnu Lal, dari hadith Anas, dalam tajuk; ”Akhlaq yang luhur”)

Ingin saya bawa saudara-saudara melihat cabaran keempat, yang digariskan Rasulullah; bahawa syaitan tidak akan senang duduk dengan tindakan saudara, mereka sudah berjanji dengan Allah s.w.t. untuk menipu dan menyesatkan manusia hinggalah manusia itu menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dalam hal ini kita semua tahu bahawa syaitan bukanlah makhluk biasa. Kepintaran dan kelicikannya amat-amat meperdayakan manusia hingga kadang-kadang kita tidak sedar bahawa kita telah terjebak dalam perangkapnya; Malah kerajinannya mendapat 1st class apabila dibandingkan dengan manusia. Kerana apa? Kerana mereka tidak mengenal erti putus asa.

Walaupun saya katakan tadi bahawa perasaan ”puas” yang dirasai oleh da’ie adalah merupakan satu anugerah dari Allah s.w.t. tetapi jika tidak diawasi ianya boleh melahirkan sifat keselesaan (comfort zone) kerana yakin akan terselamat dari seksaan api neraka dengan amalan-amalan yang dilakukan. Yang lebih membimbangkan ialah akan lahir sifat berbangga dengan ramainya bilangan pengikut dan memandang rendah kepada orang lain yang tidak berda'wah.
Pada ketika itu akan timbul sifat ria' dan 'ujub dengan kehebatan diri. Nauzubillah.

Inilah panahan-panahan dan tusukan-tusukan jarum syaitan yang begitu pantas dan cukup halus hinggakan tidak disedari oleh kita.
Siapa yang berani kata dan tahu bahawa amalannya atau kerja-kerja dakwahnya diterima Allah?
Tidakkah kita pernah membaca hadith riwayat Muaz Ibn Jabal tentang tiga golongan yang akan dicampak ke dalam neraka kerana tidak ikhlas kepada Allah s.w.t. walupun mereka berdakwah, menginfaq dan syahid dalam peperangan? Ini semua persoalan-persoalan yang mesti sentiasa bermain di dalam fikiran kita.

Jadi,kita nak buat apa? Berhenti beramal dan bekerja untuk islam?
No!
Tidak sama sekali!! Islam melarang keras umatnya dari berputus asa dengan rahmat Allah.

Untuk itu Allah telah membekalkan kita dengan satu senjata yang begitu ampuh bagi menangani syaitan. Senjata yang akan membakar segala sifat-sifat mazmumah dan menggantikannya dengan sifat-sifat mahmudah, yang akan membuat syaitan bertempiaran lari, yang akan menyebabkan kita menerima keampunan dari Allah s.w.t. seluas langit dan bumi iaitu dengan .....

BERISTIGHFAR !!!

Inilah senjata yang amat besar, yang akan menembusi pintu-pintu langit untuk terus pergi kepada Allah.
Persoalan buat diri saya dan saudara-saudara,
Berapa kalikah kita beristighfar sehari?

Saudara,
Jangan sekali-kali kita lupa bahawa walau banyak mana ilmu yang ada di dada, ianya hanyalah setitis air di lautan yang amat luas, sehebat mana kita bercakap dan berusaha, ia tidak akan mampu untuk merubah hati manusia tanpa kehendak dan pertolongan Allah s.w.t. Peristiwa Nabi Nuh dan isteri serta anaknya, Nabi Ibrahim dengan bapanya, Rasulullah dengan bapa saudara Baginda sudah cukup untuk mengajar kita siapakah sebenarnya yang memberikan hidayah.

Mari kita sama-sama bermuhasabah..

Kita tidak akan mampu bergerak walau selangkah tanpa izin Allah.
Hatta, kita tidak akan boleh mengeluarkan kata-kata jika tidak ada hidayah Allah.


Kita perlu menyedari, bahawa kita juga tergolong dalam golongan yang tertipu dengan bisikan syaitan, apabila kita menyampaikan da’wah, tapi dalam masa yang sama, kita abaikan penjagaan hubungan kita dengan Allah. Menyeru orang lain melakukan kebajikan, mengajak orang lain turun solat berjamaah, sedangkan diri kita, memberi seribu satu alasan untuk sama-sama berjamaah; penat? Mandi? Makan? Membasuh baju? Sedangkan masa terluang yang ada diisi dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Mari kita sama-sama bermuhasabah..

"Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami ini kasih kepada iman dan hiaskanlah iman itu dalam hati-hati kami; dan jadikanlah kami benci kepada kufur, fasiq, dan maksiat; dan jadikanlah kami termasuk di kalangan orang-orang yang mendapat petunjuk."

Tuesday, February 10, 2009

Apakah selama ini kita beruzlah jasadiah, saudaraku?

Helaian risalah yang berselerakan di kafeteria dipungut. Hatinya panas dengan sikap mahasiswa, yang dikatakan sebagai golongan keintelektualan, tapi bahan-bahan begini dicampak merata-rata.
Kalau ia pun tak nak, bagilah pada orang lain. Ini tidak, main campak-campak je.
Getus hatinya.

“AL-AQSA FI KHATAR!!”

Begitu bunyinya muka utama risalah tersebut. Dila kurang faham. Perkataan Al-Aqsa menarik minatnya. Rakan sebiliknya gemar berbincang mengenai al-Aqsa. Tapi dia tidak pernah ambil kisah. Baginya, biarlah mereka nak bincang pun, biarlah mereka bergerak kesana ke mari pun, asalkan tidak mengganggu kehidupan sehariannya, itu memadai baginya. Namun, kali ini, apabila terpandang perkataan ’Al-Aqsa’, timbul rasa ingin tahu, apa sebenarnya yang dikecohkan rakan sebiliknya. Dia membelek-belek risalah tersebut. Dia bingung. Rupanya, dia juga seperti mereka yang mencampak-campak risalah. Tiada perasaan ingin tahu. Hatinya sekali lagi bergetar, marahkan diri.

************

”Kak, apa maksud ni?”
Dila menunjukkan salah satu risalah yang dipungutnya tadi.

Fathma mengambil risalah tersebut.
”AL-AQSA dalam bahaya.”
Dia meneliti isi dalam risalah, seraya menoleh ke arah sahabat sebiliknya yang sedang melipat pakaian.
“Aishya, ni kan risalah yang di provide semalam?” Fathma memandang Aishya. Aishya berhenti seketika dari melipat pakaiannya. Direnungnya risalah tersebut..

”Dila pungutkan tadi, di kafe. Banyak sangat atas lantai. Maaf, kak. Dila rasa, risalah ni juga yang akak bagi pada Dila semalam. Tapi Dila tak hiraukan.”
Wajah Dila kelihatan begitu suram.

Fathma tersenyum.
”Tak mengapa. Dila pun banyak kerja yang perlu diselesaikan semalam,kan?”

Ahh..positifnya kak Fathma.
Isi kandungan risalah begitu menarik minatnya. Hari-hari sebelum ni, juga semalam, Dila abaikan nikmat pendengaran yang ALLAH kurniakan. Dila tidak ambil pusing. Dia tidak segan silu lagi bertanya.

”Kak, Dila ada baca tadi risalah tu..”
Aishya menoleh memandang Dila. Masih ada ruang di hati Dila, ruang hati yang menyayangi saudara se’aqidahnya. Hatinya berbunga.

Dila tunduk. Malu rasanya dia menatap wajah teman sebiliknya. Seorang sebaya dengannya. Seorang lagi setahun tua darinya.
”Tapi Dila tak faham, apa sebenarnya yang berlaku.. Dila tak faham. Tapi hati Dila macam disentap-sentap bila Dila baca semua tu. Akak, Aishya.. jelaskan pada Dila, boleh?”

Fathma dan Aishya berpandangan sesama mereka. Ini lah antara masa yang dinanti-nanti.

”Dila, sebagaimana yang Dila baca, Al-Aqsa fi Khatar, Al-Aqsa dalam bahaya. Dari dulu lagi ia dalam bahaya. Sekarang bahayanya bertambah. Ingat tak, Saidina Umar Al-Khatab, Amirul Mu’minin?” Fathma takkan lepaskan peluang emas. Namun, Fathma perlu berstratergi menyampaikannya, supaya suntikan ini berjaya meresap ke hatinya, dan hati yang mendengarkannya.

”A’aa..Hebat dia.. Kenapa dengan Umar Al-Khatab tu?” Rasa ingin tahu mengasak hatinya.

”Semasa pemerintahan beliau, itulah zaman kegemilangan Islam, zaman keemasan Kerajaan Islam. Beliau berjaya memasuki Baitul Muqaddis tanpa berlaku sebarang pertumahan darah, dimana pembebasan Baitul Maqdis ni telah membuka era baru dalam lipatan sejarah. Setelah sekian lama, kiblat pertama umat Islam ini dikotori dengan pelbagai pengamalan syirik dan kecurangan kepada Allah, kini ia milik umat Islam semula dalam mengembalikan kegemilangannya sebagai kota ketiga paling suci dalam Islam.”

Dila mendengar dengan penuh teliti. Aishya yang baru siap mengemas pakaiannya segera mendapatkan sahabat sebiliknya.

”Yahudi mengaku dia golongan terpilih,kan? Yahudi dan Kristian cuba merampas tanah itu, dan mereka berjaya pada perang pertama. Lepas tu seorang pemuda Islam bersama sahabat-sahabatnya aturkan stratergi, untuk dapatkan kembali tanah yang selayaknya untuk orang Islam. Sebab, tanah tu sudah dibebaskan semasa pemerintahan Umar. Betul tak?” Dila berkongsi terhadap apa yang diketahuinya daripada artikel yang dia telah baca.

Pemuda Islam yang dimaksudkan Dila ialah Salahuddin Al-Ayyubi. Aishya memandang Fathma. Usaha mereka bersama beberapa sahabat lagi tidak tersia begitu. Masih ada yang punyai semangat inkuiri tentang perkara sekeliling. Aishya bersyukur dan berharap ramai mahasiswa akan turut mengikut jejak Dila.

Salahuddin Al-Ayyubi terbilang sebagai pahlawan dan Panglima Islam yang besar. Pada beliau terkumpul sifat-sifat berani, wara’, zuhud, khusyu’, pemurah, pemaaf, tegas dan lain-lain sifat terpuji. Para ulama dan penulis sejarah telah memberikan kepujian yang melangit. Sifat pemurah dan pemaafnya diakui oleh lawan mahupun kawan.
Seorang penulis sejarah mengatakan: “Hari kematiannya merupakan kehilangan besar bagi agama Islam dan kaum Muslimin, kerana mereka tidak pernah menderita semenjak kehilangan keempat-empat Khalifah yang pertama (Khulafaurrasyidin). Istana, kerajaan dan dunia diliputi oleh wajah-wajah yang tertunduk, seluruh kota terbenam dalam dukacita, dan rakyat mengikuti keranda jenazahnya dengan tangisan dan ratapan.”


Dila menelan liur. Jantungnya berdegup kencang secara tiba-tiba.
Owh, hebatnya mereka dahulu. Aku langsung tiada apa-apa. Aku langsung jauh dari memikirkan masalah ini. Aku langsung tidak pernah ambil peduli akan agamaku, apatahlagi tentang umatnya.

Bicara Aishya dan Fathma seperti di awang-awangan.

Fathma yang menyedari akan perubahan Dila memberi isyarat kepada Aishya, agar menangguhkan bicaranya.

**************

”Akak, jom kita keluar berjalan-jalan. Ambil angin petang. Dah lama tak keluar bersama-sama akak..” pinta Dila.

Fathma tersentak.
Ya Allah, selama ini aku hanya memandang sahabat-sahabat yang merapatkan diri dengan usrah. Tapi aku lupakan adik yang telah sekian lama berada sebilik denganku. Aku hanya bercerita hanya kerana untuk melepaskan tanggungjawab, bukan kerana pembinaan ukhuwwah sebenar. Aku lah sebenarnya yang kabur dengan matlamat dan marhalah da’wah.

”Aishya nak ikut, boleh? Kita ajak Farha sekali ye..?”

”Ok je. Lagi ramai, lagi best. Eii..seronoknya..” kedengaran suara riang Dila. Dia mengenakan tudung ungu sepadan dengan baju sukannya.

Aishya menutup buku karangan Munir Al-Ghadhban. Jari-jemarinya menekan-nekan butang huruf pada telefon bimbitnya.

******

Track jogging serta sekitar ruang legar kampus sudah terisi dengan pelbagai aktiviti mahasiswa. Rata-ratanya gemar melakukan aktiviti ringan. Ada yang berjogging, berbasikal dan tidak kurang juga yang berjalan-jalan sekadar mengambil angin. Dalam keramaian dan kepelbagaian aktiviti, tidak ketinggalan juga pasangan-pasangan merpati berjoli-joli turut ber-riadhah.

Masalah pergaulan kian berleluasa. Kalau dahulu, begitu sukar baginya melihat mahasiswa berpasang-pasangan secara terang-terangan walaupun ianya ketika riadhah. Namun kini, berdubelan sudah mejadi trend.

”Aishya, semalam Dila dah tengok video yang Aishya bagi. Kasihan mereka. Mereka berhempas-pulas menjaga maruah ISLAM dan ummahnya.. Tapi kita org ISLAM disini bergelak tawa dengan kesenangan yang ada.. Mereka berjaga malam, tidak tidur demi menjaga Al-Aqsa, tanda maruah ISLAM dan ummahnya..tapi kita disini, tidur lena tidak berjaga.. apa yg kita ada? AL-AQSA dalam bahaya, tapi suasana disini pula cuba mengundang bahaya. Eii..geramnye tengok diorang. Makin bertambah-tambah banyaknya.” Dila mengomel.

”Kalau orang-orang yang menjaga perbatasan pergaulan dan menutup aurat juga turun riadhah, Farha rasa mesti diorang segan, kan?” kata-kata Farha mematikan lamunan Fathma.

”Maksud Farha?” Dila yang sedang bermain daun-daun kering menoleh ke arah Farha, meminta penjelasan untuk mengetahui apa yang dilontarkan oleh rakannya yang sememangnya pendiam itu.

”Dulu, orang ingat lagi, semasa cuti semester. Orang pergi CC dengan abang dan adik perempuan, Fasihah. Memang ramai budak-budak di sana. Macam-macam jenis cara berpakaian. Bercampur lelaki dan perempuan. Kebanyakannya bermain game, download lagu, dan ada yang menemani kawan-kawan diorang je. Lepas beberapa minit kami duduk di CC tu, remaja-ramaja tu keluar seorang demi seorang. Sehinggakan hanya tinggal kami bertiga je.

Selepas keluar dari pusat komputer tu, abang orang tanya, ’perasan tak tadi?’ Orang tak perasan apa-apa pun. Then, dia cakap, kita keluar datang sini pun, kira da’wah juga. Da’wah bil hal. Tak perlu bercakap pun, asalkan kita jaga akhlaq dan perbuatan kita. Itu pun menjadi da’wah.. betul tak, kak?” Farha yang sememangnya pemalu tersipu-sipu malu. Rona merah semulajadi pada wajahnya tampak jelas.

Fathma dan Aishya megangguk tanda setuju.

”Betul tu. Macam Farha cakap tadi, da’wah bil hal lebih berkesan kerana orang nampak dan ianya lebih praktikal buat da’ie.
Sama juga macam kat sini. Kalau kita asyik terperuk dibilik, dengan alasan di luar sana banyak perlakuan maksiat, maka kita telahpun melakukan uzlah jasadiah.” Fathma membuat kesimpulan.

”Haa...kak, Dila tak faham. Uzlah jasadiah tu ape? Pagi tadi kan, Dila pun ada dengar ustaz menyebut tentang uzlah. Ada dua. Uzlah nafsiah dan uzlah jasadiah. Tapi, Dila kurang jelas tentang ni. Akak terang kan, boleh?”

Kata Aishya, ’Uzlah jasadiah ialah pengasingan diri secara fizikal. Manakala uzlah nafsiah adalah pengasingan diri secara dalaman. Uzlah jasadiah bercanggah dengan Islam, kerana beri peluang Jahiliyyah mendominasi tapak-tapak kuasa ataupun mendominasi setiap sudut.

Mereka berpisah dengan masing-masing memikirkan persoalan uzlah.

Ahh..Fathma, apakah selama ini kita beruzlah jasadiah, wahai Fathma? Apakah kita tergolong dalam golongan yang memencilkan diri kerana kita tidak turun ke lapangan umat, hanya kerana kita menganggarkan ada perkara yang lebih aula' buat diri kita, tetapi mengabaikan mereka yang lain?

Thursday, January 29, 2009

tiada manja-manja di jalan ini

“Maka berangkatlah kamu ke jalan Allah sama ada kamu senang atau berat dan berjihadlah dengan harta dan jiwa kamu.” (At-Taubah : 41)

Wahai saudara-saudaraku, anak-anak muda Islam yang beriman!

Perjalanan dakwah yang kita lalui ini tidak disediakan hamparan permaidani merah sebagai alas, bahkan bukanlah pula perjalanan ini ditaburi emas permata, banglo mewah dan kereta. Ia merupakan perjalanan panjang yang penuh tentangan dan rintangan hebat dan berat, secara terangan mahupun secara berlindung-lindungan, dari dalaman mahupun luaran. Mehnah dan ibtila’ itu pasti menerjah dilorong-lorong sepanjang perjalanan.

Jika dibuka kembali lipatan sejarah, jika direnung kembali buku-buku sirah, maka kita akan dapati sudah banyak sejarah orang-orang terdahulu sebelum kita mengenal tanggungjawab da’wah ini, yang merasakan pahit getirnya perjalanan dakwah ini. Ada yang diusir. Ada yang disiksa. Tidak ketinggalan juga, ada yang harus berpisah dengan sanak saudara dan kaum kerabat mereka. Namun, pahit getir perjuangan tidak membantutkan mereka. Buktinya, ada pada hebatnya pengorbanan mereka dalam jalan dakwah ini. Mereka telah merasakan dan sekaligus membuktikan cinta dan kesetiaan terhadap dakwah.

Lihatlah bagaimana Abu Huzaifah ketika peristiwa Ghazwah Badar. Apabila mayat ayahnya ’Utbah Ibn Rabi’ah diheret untuk dicampakkan ke dalam telaga buruk, berubah air mukanya. Lantas, Rasulullah saw yang melihatkan perubahan itu bertanya, ” Wahai Abu Huzaifah, aku dapati kamu terasa sesuatu terhadap ayahmu.” Lalu, apa yang dijawab Abu Huzaifah? ”Demi Allah, wahai Rasulullah, aku tidak terasa kerana dia dibunuh, tetapi aku mengharapkan dia masuk Islam dengan mendapat hidayah. Setelah dia mati dengan cara begini, aku terharu kerana matinya kafir, tidak seperti apa yang aku harapkan.” Ini rijal da’wah. Dia tak mengharapkan lainnya melainkan sinar Islam pada saudaranya. Bapanya. Berpisah mereka bukan sikit-sikit. Bukan kecil-kecil sebagaimana kita dizaman sekarang, yang baru nak keluar ke program da’wah dalam kampus. Dalam kampus. Jauh sikit pun, di luar kampus. Bukan luar negara lagi.

Ini bukti keikhlasan mereka. Keikhlasan membuatkan mereka gigih dalam pengorbanan dan menjadi permata bernilai buat sejarah umat da’wah ini. Pengorbanan yang telah mereka berikan dalam perjalanan dakwah ini menjadi contoh teladan kepada kita.

Berkata As-Syahid Sayyid Qutb,
"Kita akan merasai perjuangan ini sempit apabila memikirkan bahawa kita yang memulakan perjuangan dan akan mengakhiri perjuangan ini. Tetapi apabila kita memikirkan bahawa perjuangan ini bukan kita yang memulakan dan menamatkannya, maka ketika itu terasalah kita bagaimana luasnya perjuangan kita, bagaimana luasnya keluarga kita kerana keluarga kita bukan keluarga yang diikat oleh keturunan darah tetapi diikat oleh kesatuan 'Aqidah la ila illallah Muhamad al Rasullullah".



Wahai jiwa yang membara-bara demi menegakkan tertegaknya daulah Islamiah,

Renungkanlah pengalaman mereka sebagaimana yang difirmankan ALLAH SWT dalam surah At-Taubah: 42.
Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: "Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu." Mereka membinasakan diri mereka sendiri (disebabkan sumpah mereka yang palsu) dan Allah mengetahui bahwa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.
(At-Taubah : 42)

Tapisan ALLAH berlaku setiap masa. DIA memilih hamba-hamba-Nya yang benar-benar ikhlas dan sabar dalam memikul beban da’wah ini. Meniti sirah perjuangan Rasulullah dan para sahabat, mereka juga telah melihat siapakah antaranya yang dapat bertahan dalam mengarungi perjalanan yang berat itu. Hanya kikhlasan yang dapat mengukuhkan perjalanan dakwah ini. Keikhlasan dan kesetiaan yang menjadikan pemiliknya sabar dalam menghadapi cubaan dan ujian. Ini menjadikan mereka optimis menghadapi apa jua bentuk ujian, dan siap sedia berkorban untuk meraih kejayaan. Keikhlasan dan kesetiaan yang membawa jiwa-jiwa belia untuk berada pada barisan terdepan dalam perjuangan ini. Ini lah perasaan yang membuatkannya berbahagia dan sangat bersungguh-sungguh menikmati beban hidupnya. Setia dalam kesempitan dan kesukaran. Demikian pula setia dalam kelapangan dan kemudahan.

Berkata si pujangga,
Keimanan yang benar menjadikan perjalanan hidup umpama sebuah kisah cinta; kesetiaan dan pengorbanan menukar ujian pahit menjadi satu kenangan manis, kesabaran menjadikan segala beban yang ditanggung ringan dan mudah,
keyakinan pada janji-janji Allah menjadikan jiwa tenang ketika perjalanan begitu sukar,
kerinduan padaNya menjadi pembakar semangat setiap kali berdepan dengan kegagalan dan ujian berat...



Wahai sekalian pencinta tertegaknya Negara Islam,
Demikian orang orang yang benar-benar jujur, ikhlas dan setia dalam perjuangan. Sebaliknya orang-orang yang rapuh jiwanya dalam perjuangan ini tidak akan dapat bertahan lama. Merungut pada banyaknya tanggungjawab dan gerak kerja. Mengeluh pada beratnya beban, dan jauhnya perjalanan yang ditempuh. Mereka menolak untuk menunaikannya dengan segala macam bentuk alasan agar mereka diberi kelonggaran dan pengecualian untuk tidak turut serta. Menjadi berat hati berada dalam perjuangan ini dan hingga akhirnya lemah dan berguguran satu per satu, sebelum sampai pada tujuan perjuangan.

Serangan dari penyakit wahan telah merapuhkan hati dan melemahkan mental sehingga mereka tidak dapat menerima kenyataan pahit sebagai risiko dan sunnah dakwah ini. Malah mereka menggugatnya lantaran anggapan mereka bahwa perjuangan dakwah tidaklah harus mengalami kesulitan, malah ianya mudah lantaran adanya pertolongan.

Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu, hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian, dan hati mereka ragu-ragu, karena itu mereka selalu bimbang dalam keraguannya. Dan jika mereka mau berangkat, tentulah mereka menyiapkan persiapan untuk keberangkatan itu, tetapi Allah tidak menyukai keberangkatan mereka, maka Allah melemahkan keinginan mereka. dan dikatakan kepada mereka: "Tinggallah kamu bersama orang-orang yang tinggal itu."
(At-Taubah : 45-46)


Keikhlasan dan kesetiaan yang ada pada diri merupakan faktor kuatnya daya tahan dan teguhnya dalam dakwah ini. Sikap ini membuat mereka sentiasa bersedia dalam menggalas dan menjalankan tanggungjawabnya. Mereka punyai sistem on-call, bukannya sistem on the way. Bersiap sedia bila-bila masa. Mereka juga dapat menunaikan tugas dengan sebaik-baiknya. Mereka tidak mengira apakah kedudukan mahupun posisi dalam gerak da’wah. Sama ada mereka di atas, mahupun ditengah, ataupun di bawah. Bagi mereka, itu bukanlah faktor utama. Itu hanyalah alat. Yang penting, Islam tertegak. Da’wah berjalan lancar.


Wahai sekalian perindu negeri akhirat,
Marilah kita menyelusuri perjalanan dakwah Abdul Fattah Abu Ismail, salah seorang murid Imam Hasan Al Banna yang selalu menjalankan tugas dakwahnya tanpa keluhan sedikitpun. Dialah yang disebutkan oleh Hasan Al Banna orang yang sepulang dari tempatnya bekerja sudah berada di kota lain untuk memberikan ceramah kemudian berpindah tempat lagi untuk mengisi pengajian dari waktu ke waktu secara larian. Dia selalu berpindah-pindah dari suatu kota ke kota lainnya untuk menunaikan amanah dakwah. Sesudah menunaikan tugas dengan sebaik-baiknya, dia merupakan orang yang pertama kali datang ke tempatnya bekerja (jangan cari alasan untuk datang lewat). Malah, ia yang membukakan pintu gerbangnya. Pernah ia mengalami keletihan hingga tertidur di sofa rumah Zainab Al-Ghazali. Melihat keadaan tubuhnya yang lelah dan penat itu, tuan rumah membiarkan tetamunya tertidur sampaikan dia bangun. Setelah menyampaikan amanah untuk Zainab Al-Ghazali, Abdul Fattah Abu Ismail bergegas untuk ke tempat seterusnya. Kerana keletihan yang dialaminya, Zainab Al-Ghazali memberikan wang untuk beliau bergerak menaiki teksi. Abdul Fattah Abu Ismail mengembalikannya sambil mengatakan,
“Dakwah ini tidak akan dapat dipikul oleh orang-orang yang manja.”
Zainab pun menjawab, “Saya sering ke mana-mana dengan teksi dan kereta-kereta mewah, tapi saya tetap dapat memikul dakwah ini dan saya pun tidak menjadi orang yang manja terhadap dakwah. Kerana itu, ambillah wang ini, tubuhmu letih dan engkau memerlukan istirehat sejenak.”
Ia pun menjawab, “Berbahagialah ibu. Ibu telah berjaya menghadapi ujian Allah swt. Berbentuk kenikmatan-kenikmatan seperti itu. Namun, saya bimbang saya tidak dapat menghadapinya sebagaimana sikap ibu. Terima kasih atas kebaikan ibu. Biarlah saya menaiki kenderaan umum saja.”


Duhai saudaraku yang dimuliakan Allah swt.

Itulah contoh orang yang telah membuktikan kesetiaannya pada dakwah lantaran keyakinannya terhadap janji-janji Allah swt. Janji yang tidak akan pernah dimungkiri sedikit pun. Janji yang tidak pernah gagal. Allah swt. telah banyak memberikan janji-Nya pada orang-orang yang beriman, yang setia pada jalan da’wah berbentuk pelbagai anugerah-Nya. Sebagaimana yang terdapat dalam Al-Qur’an.

Hai orang-orang yang beriman, jika kamu bertakwa kepada Allah, niscaya Dia akan memberikan kepadamu furqan (petunjuk yang dapat membedakan antara yang haq dan yang batil, dapat juga diartikan disini sebagai pertolongan) dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahanmu dan mengampuni (dosa-dosa)-mu. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.” (Al-Anfal: 29)

Dengan janji Allah swt. tersebut, orang-orang beriman tetap bertahan mengharungi jalan da’wah ini. Dan mereka menyedari bahawa perjuangan yang berat itulah sebenarnya menjadi kunci untuk mendapatkannya. Semakin berat perjuangan ini semakin besar janji yang diberikan Allah swt. Kesetiaan yang bersemi kukuh dalam diri, itulah yang membuat mereka tidak akan pernah menyalahi janji-Nya. Dan, mereka pun tidak akan pernah ingin merubah janji apatah lagi mengingkari kepada-Nya.

Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak merubah (janjinya). (Al Ahzab: 23)


Wahai teman – teman sepejuanganku dunia akhirat,
Aktivis da’wah sangat menyakini bahawa adanya kesabaran membuatkan mereka kuat menghadapi berbagai rintangan dakwah. Bila dibandingkan apa yang kita lakukan serta yang kita dapatkan sebagai risiko perjuangan di hari ini dengan keadaan orang-orang terdahulu dalam perjalanan dakwah ini, tidaklah seberapa. Pengorbanan kita di hari ini masih dipermukaan pengorbanan waktu untuk da’wah. Pengorbanan tenaga dalam gerak kerja untuk kepentingan da’wah. Dan sebahagian kecil adalah pengorbanan dari harta kita yang banyak. Cuba lihat pengorbanan orang-orang terdahulu, ada yang disalai di bawah panasnya mentari, digergaji, ada yang diikat dengan empat ekor kuda yang berlawanan arah, lalu kuda itu dipukul untuk lari sekencang-kencangnya hingga terkoyak orang itu. Ada pula yang dibakar dengan tungku yang berisi minyak panas. Mereka dapat menerima risiko kerana kesabaran yang ada pada dirinya. Dan mereka tetap tidak berpaling dari medan da’wah ini. ALLAHUKABAR! Bekalan kesabaran mereka tidak pernah berkurang sedikit pun kerana keikhlasan dan ke-taat-setiaan mereka pada Allah swt.

Dan berapa banyak nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikut (nya) yang bertakwa. Mereka tidak menjadi lemah karena bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Allah menyukai orang-orang yang sabar. (Ali Imran: 146)

Bila kita memandang kehidupan generasi pilihan, kita akan temukan kisah-kisah brilian yang telah menyuburkan dakwah ini. Muncullah pertanyaan besar yang harus kita tujukan pada diri kita saat ini. Apakah kita dapat menyemai dakwah ini menjadi subur dengan perjuangan yang kita lakukan sekarang ini ataukah kita akan menjadi generasi yang hilang dalam sejarah dakwah ini.

Ingat, dakwah ini tidak akan pernah dapat dipikul oleh orang-orang yang manja. Kita perlu menilai pentarbiyyahan agar ianya menyeluruh dan mampu mencetuskan al-yaqazah al-ruhiyyah (kesedaran rohani) supaya lahirnya beliawan dan beliawanis yang punyai hidup yang bererti, bercahaya ruhaninya, mengakar pemikirannya, dan berkembang gerakannya.

Dr Yusuf Al-Qardhawi dlm kitabnya Al-Iman wal Hayah menyatakan:
“Tidak mungkin manusia dapat menghindarkan diri daripada pelbagai kesulitan, begitulah kenyataan hidup, ramai yang bersua dengan kegagalan,ditinggalkan kekasih, penyakit menyerang tubuh, kehilangan harta benda dan seterusnya. Kemudian beliau mengambil hadis Rasulullah bermaksud:
“Perumpamaan org beriman yg ditimpa ujian bagai besi yg dimasukkan kdlm api lalu hilang karat dan tinggal yg baiknya saja”.

Dengarlah rintihan Zinnirah kepada Al-Khaleeq,
"Ini untukmu Ya Allah. Aku mengharungi kesengsaraan ini untuk mendapat kesenangan di akhirat kelak. Perjuangan ini sememangnya berat, selalu menderita dan sengsara kerana aku sedar untuk mendapat syurga. aku terpaksa menagih ujian berat, sedangkan neraka itu dipagari oleh pelbagai kesenangan.”
Inilah rintihan hati Zinnirah kepada Allah S.W.T ketika bermunajat kepada Allah di setiap malam sebagai penawar jiwa di atas segala kesusahan yang dia hadapi. Jiwanya semakin kukuh. Imannya semakin teguh.

Apabila tiba hari akhirat kelak, Allah Taala akan menghimpunkan seluruh mujahidin dalam satu saf semantara menanti masa untuk dimasukkan ke dalam syurga-Nya.
Mengenangkan munajat Uthman bin Affan,
“Sekiranya aku dihadapkan di hadapan Allah, untuk menanti keputusan sama ada aku diletakkan ke dalam syurga atau dicampakkan ke dalam neraka-Nya, maka aku lebih rela untuk menjadi debu kerana takutnya hati ini”.
Sedangkan Umar Al-Khattab yang imannya di akui penduduk langit dan bumi juga memukul dirinya kerana takut tergolong dalam golongan munafiq. Ini kan pula kita yang iman senipis sel bawang, yang mana kita mengenal perjuangan ini baru saja dipermukaan kulit buku, sebagai analogi nya.

Ya Allah, ampunilah dosa kami. Betapa tinggi ibadat mereka sehingga mereka sanggup menghabiskan masa berjam-jam lamanya untuk berdialog dengan-Mu sedangkan kami pula sebaliknya. Ya Allah, kasihilah kami. Betapa khusyu’ dan tawadhu’nya hati mereka sehingga mereka menangis mengenangkan dosa, sehingga berbekas aliran putih di bawah mata mereka lantaran tangisan mereka yang berpanjangan. Ya Allah, kami merindui belaian lembut maghfirah-Mu. Ampunilah segala kesilapan dan kealpaan kami.

Semoga Allah mengampuni kita dan meneguhkan kita dalam perjuangan.

Iktibar dari Siri Panglima Islam

Sebagai mahasiswa Islam, seharusnya kita mengambil iktibar dari kisah Panglima Islam, Salahuddin Al-Ayyub

Kekuatan aqidah teras kemenangan Islam

a.Lihatlah bagaimana zaman Salahuddin Al-Ayyubi, kekuatan aqidah beliau dan tentera Islam ketika itu telah menggerunkan musuh Islam.

b.‘Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha dengan kamu sehinggalah kamu mengikuti agama (cara hidup) mereka. Katakanlah, sesungguhnya petunjuk Allahlah merupakan sebenar-benar petunjuk. Dan sekiranya engkau mengikuti kemahuan mereka setelah engkau mengetahui, maka tidak ada bagimu wali dan penolong dari (siksa) Allah’ (al-Baqarah : 120)

c.Bangkitkan kembali jiwa yang mencintai Islam; agar tidak mudah terpedaya dengan anasir yang dibawa oleh musuh ISLAM. (eg: song, sports ext.)



Peribadi


a.Pada suatu hari ketika Salahuddin Al Ayubi sedang berjalan di luar Baitul Maqdis seorang perempuan yang memakai salib menegurnya:
“Hai pahlawan yang agung, tuan telah berhasil mengalahkan musuh-musuh tuan. Tetapi kenapa tuan tidak membalas seperti tindakan yang kejam yang telah mereka lakukan terhadap tentera tuan?
Salahuddin menjawab; “agama yang saya anut melarang melakukan perbuatan kejam seperti yang dilakukan pihak musuh Islam memerintahkan kepada kami supaya menepati janji, memaafkan kesalahan orang lain dan melupakan kekejaman yang pernah dilakukan pihak musuh saat mereka berkuasa”. Perempuan tua tersebut akhirnya memeluk agama Islam kerana tertarik dengan ajaran Islam yang melarang mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi. Lantas, Pemuda Islam manakah yang mewarisi ketinggian akhlak Salahuddin Al Ayubi?

Jadilah mahasiswa yang sensitive / mengambil cakna terhadap keadaan semasa/persekitaran.



Mementingkan keberkatan


a.Semasa dalam peperangan bukan tidak pernah pasukan Salahuddin Al-Ayubi dikalahkan. Sebagai panglima beliau membuat siasatan. Ironinya, siasatan utama beliau adalah berasaskan apa yang menghalang keberkatan dari Allah SWT dalam perjuangan kita kali ini. Memang pada akhir siasatan beliau akan dapat menemui ada dosa yang dilakukan oleh salah seorang tentera Islam, misalnya sambil dalam perjalanan ke medan tentera Islam mengambil barang yang bukan hak. Maka dosa itu menghalang keberkatan Allah SWT untuk umat Islam memenangi perjuangan itu, Perlu diingat, bukan perjuangan ini sahaja, tetapi apa jua perjuangan umat Islam. Sayangnya ramai umat Islam pada hari ini melihat dosa kecil sebagai kecil tetapi itulah punca perjuangan Islam masa kini belum menemui kejayaan/keberkatan.

b.Semasa dalam Perang Salib, pada malamnya beliau meninjau dan melawat ke khemah-khemah pejuang Islam. Pada esoknya yang dibawa pergi berjuang hanyalah kelompok yang sebelah malamnya bangkit untuk berqiamullail dan meninggalkan kelompok yang tidak berqiamullail. Logik akal mengatakan sepatutnya kita akan membawa tentera yang telah mendapat rehat yang cukup yakni tidur yang cukup untuk berjuang. Tetapi tidak bagi Salahuddin Al Ayubi, beliau hanya membawa yang boleh mendatangkan keberkatan Allah SWT.



PERSOALAN BUAT KITA…

1. Jika diamati sebaik-baiknya, beliau juga adalah seperti kita. Lahirnya Salahuddin Al-Ayyubi, sebagai seorang muslim, sama seperti kita juga.
Namun, apa bezanya antara kita dengan beliau yang telah banyak berkorban, berjuang, berjihad fi sabilillah? Apakah penyebabnya beliau banyak menyumbang untuk Islam? Bukankah kita sama seperti beliau?

2. Dalam umurnya seperti dan seusia kita sekarang ini, berapa banyakkah sumbangan yang telah beliau sumbangkan pada Islam? Dan berapa banyak pulakah sumbangan yang telah KITA sumbangkan untuk Islam?


Lantas,
“Dimanakah silapnya kita?”
“Mengapa kita tidak boleh menjadi seperti beliau?”
“Apa yang menyebabkan bezanya kita dengan beliau?”

Perkara inilah yang perlu kita kaji dan cari. Bukan setakat cari sahaja, bahkan hinggalah ke puncanya. Bila diketahui puncanya, maka lakukanlah usaha kita sehabis mungkin. Hapuskan yang jahiliyah hingga ke akar umbi! Kemudiannya barulah kita bertawakkal sepenuh tawakkal pada Allah Yang Maha Mencipta, Yang Maha Agung, Yang Maha Mengasihani.

Hasutan Sang Paderi

Jerussalem merupakan kota Suci bagi ketiga-tiga agama samawi yakni Islam, Yahudi dan Kristian. Di dalam kota inilah letaknya Masjid Al-Aqsa yang dibangun oleh Nabi Sulaiman dan menjadi Kiblat pertama umat Islam sebelum beralih ke Baitullah di Makkah. Ketika Nabi Muhammad Isra’, singgah dan solat di masjid ini sebelum Mi’raj ke langit. Nabi Isa as. juga dilahirkan di Baitullaham berdekatan kota Jerussalam ini.
Di masa pemerintahan Khalifah Umar bin Khattab (13-23 H/634-644 M) Jerussalam dapat direbut oleh kaum Muslimin dalam suatu penyerahan kuasa secara damai. Khalifah Umar sendiri datang ke Jerussalem untuk menerima penyerahan kota Suci itu atas desakan dan persetujuan Uskup Agung Sophronius.
Berabad abad lamanya kota itu berada di bawah pentadbiran Islam, tapi penduduknya bebas memeluk agama dan melaksanakan ajaran agamanya masing-masing tanpa ada gangguan. Orang-orang Kristian dari seluruh dunia juga bebas datang untuk mengerjakan haji di kota Suci itu dan mengerjakan upacara keagamaannya. Orang-orang Kristian dari Eropah datang mengerjakan haji dalam jumlah rombongan yang besar dengan membawa obor dan pedang seperti tentera. Sebahagian dari mereka mempermainkan pedang dengan dikelilingi pasukan gendang dan seruling dan diiringkan pula oleh pasukan bersenjata lengkap.
Sebelum Jerussalem ditadbir Kerajaan Seljuk pada tahun 1070, upacara seperti itu dibiarkan saja oleh umat Islam, kerana dasar toleransi agama. Akan tetapi apabila Kerajaan Seljuk memerintah, upacara seperti itu tidak dibernarkan, dengan alasan keselamatan. Mungkin kerana upacara tersebut semakin berbahaya. Lebih-lebih lagi kumpulan-kumpulan yang mengambil bahagian dalam upacara itu sering menyebabkan pergaduhan dan huruhara. Disebutkan bahawa pada tahun 1064 ketua Uskup memimpin pasukan seramai 7000 orang jemaah haji yang terdiri dari kumpulan Baron-baron dan para pahlawan telah menyerang orang-orang Arab dan orang-orang Turki.
Itulah yang membimbangkan Kerajaan Seljuk. Jadi larangan itu demi keselamatan Jemaah haji Kristian itu sendiri. Malangnya, tindakan Seljuk itu menjadi salah anggapan oleh orang-orang Eropah. Ketua-ketua agama mereka telah berkempin bahawa kebebasan agamanya telah dicabuli oleh orang-orang Islam dan menyeru agar Tanah Suci itu dibebaskan dari genggaman umat Islam.
Patriach Ermite adalah paderi yang paling lantang dan bertungkus lumus mengapi-apikan kemarahan umat Kristian. Dia asalnya seorang tentera, tapi kemudian menjadi paderi, berwatak kepala angin dan cepat marah. Dalam usahanya untuk menarik simpati umat Kristian, Ermite telah berkeliling Eropah dengan mengenderai seekor kaldai sambil memikul kayu Salib besar, berkaki ayam dan berpakaian compang camping. Dia telah berpidato di hadapan orang ramai sama ada di dalam gereja, di jalan-jalan raya atau di pasar-pasar. Dia menceritakan sama ada benar atau bohong kisah kunjungannya ke Baitul Maqdis.
Katanya, dia melihat pencerobohan kesucian ke atas kubur Nabi Isa oleh Kerajaan Turki Seljuk. Diceritakan bahawa jemaah haji Kristian telah dihina, dizalimi dan dinista oleh orang-orang Islam di Jerussalem. Serentak dengan itu, dia menggalakkan orang ramai agar bangkit menyertai perang untuk membebaskan Jerussalem dari tangan orang Islam. Hasutan Ermite berhasil dengan menggalakkan. Paus Urbanus II mengumumkan ampunan seluruh dosa bagi yang bersedia dengan suka rela mengikuti Perang Suci itu, sekalipun sebelumnya dia merupakan seorang perompak, pembunuh, pencuri dan sebagainya. Maka keluarlah ribuan umat Kristian untuk mengikuti perang dengan memikul senjata untuk menyertai perang Suci. Mereka yang ingin mengikuti perang ini diperintahkan agar meletakkan tanda Salib di badannya, oleh kerana itulah perang ini disebut Perang Salib.
Paus Urbanus menetapkan tarikh 15 Ogos 1095 bagi pemberangkatan tentera Salib menuju Timur Tengah, tapi kalangan awam sudah tidak sabar menunggu lebih lama lagi setelah dijanjikan dengan berbagai kebebasan, kemewahan dan habuan. Mereka mendesak Paderi Patriach Ermite agar berangkat memimpin mereka. Maka Ermite pun berangkat dengan 60,000 orang pasukan, kemudian disusul oleh kaum tani dari Jerman seramai 20.000, datang lagi 200,000 orang menjadikan jumlah keseluruhannya 300,000 orang lelaki dan perempuan. Sepanjang perjalanan, mereka di izinkan merompak, memperkosa, berzina dan mabuk-mabuk. Setiap penduduk negeri yang dilaluinya, selalu mengalu-alukan dan memberikan bantuan seperlunya.
Akan tetapi sesampainya di Hongaria dan Bulgaria, sambutan sangat dingin, menyebabkan pasukan Salib yang sudah kekurangan makanan ini marah dan merampas harta benda penduduk. Penduduk di dua negeri ini tidak tinggal diam. Walau pun mereka sama-sama beragama Kristian, mereka tidak senang dan bertindak balas. Terjadilah pertempuran sengit dan pembunuhan yang mengerikan. Dari 300,000 orang pasukan Salib itu hanya 7000 sahaja yang selamat sampai di Semenanjung Thracia di bawah pimpinan sang Rahib.
Apabila pasukan Salib itu telah mendarat di pantai Asia kecil, pasukan kaum Muslimin yang di pimpin oleh Sultan Kalij Arselan telah menyambutnya dengan hayunan pedang. Maka terjadilah pertempuran sengit antara kaum Salib dengan pasukan Islam yang berakhir dengan hancur binasanya seluruh pasukan Salib itu.

Template Design | monera87