Sunday, March 21, 2010
Thursday, January 29, 2009
Iktibar dari Siri Panglima Islam
Sebagai mahasiswa Islam, seharusnya kita mengambil iktibar dari kisah Panglima Islam, Salahuddin Al-Ayyub
Kekuatan aqidah teras kemenangan Islam
a.Lihatlah bagaimana zaman Salahuddin Al-Ayyubi, kekuatan aqidah beliau dan tentera Islam ketika itu telah menggerunkan musuh Islam.
b.‘Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha dengan kamu sehinggalah kamu mengikuti agama (cara hidup) mereka. Katakanlah, sesungguhnya petunjuk Allahlah merupakan sebenar-benar petunjuk. Dan sekiranya engkau mengikuti kemahuan mereka setelah engkau mengetahui, maka tidak ada bagimu wali dan penolong dari (siksa) Allah’ (al-Baqarah : 120)
c.Bangkitkan kembali jiwa yang mencintai Islam; agar tidak mudah terpedaya dengan anasir yang dibawa oleh musuh ISLAM. (eg: song, sports ext.)
Peribadi
a.Pada suatu hari ketika Salahuddin Al Ayubi sedang berjalan di luar Baitul Maqdis seorang perempuan yang memakai salib menegurnya:
“Hai pahlawan yang agung, tuan telah berhasil mengalahkan musuh-musuh tuan. Tetapi kenapa tuan tidak membalas seperti tindakan yang kejam yang telah mereka lakukan terhadap tentera tuan?
Salahuddin menjawab; “agama yang saya anut melarang melakukan perbuatan kejam seperti yang dilakukan pihak musuh Islam memerintahkan kepada kami supaya menepati janji, memaafkan kesalahan orang lain dan melupakan kekejaman yang pernah dilakukan pihak musuh saat mereka berkuasa”. Perempuan tua tersebut akhirnya memeluk agama Islam kerana tertarik dengan ajaran Islam yang melarang mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi. Lantas, Pemuda Islam manakah yang mewarisi ketinggian akhlak Salahuddin Al Ayubi?
Jadilah mahasiswa yang sensitive / mengambil cakna terhadap keadaan semasa/persekitaran.
Mementingkan keberkatan
a.Semasa dalam peperangan bukan tidak pernah pasukan Salahuddin Al-Ayubi dikalahkan. Sebagai panglima beliau membuat siasatan. Ironinya, siasatan utama beliau adalah berasaskan apa yang menghalang keberkatan dari Allah SWT dalam perjuangan kita kali ini. Memang pada akhir siasatan beliau akan dapat menemui ada dosa yang dilakukan oleh salah seorang tentera Islam, misalnya sambil dalam perjalanan ke medan tentera Islam mengambil barang yang bukan hak. Maka dosa itu menghalang keberkatan Allah SWT untuk umat Islam memenangi perjuangan itu, Perlu diingat, bukan perjuangan ini sahaja, tetapi apa jua perjuangan umat Islam. Sayangnya ramai umat Islam pada hari ini melihat dosa kecil sebagai kecil tetapi itulah punca perjuangan Islam masa kini belum menemui kejayaan/keberkatan.
b.Semasa dalam Perang Salib, pada malamnya beliau meninjau dan melawat ke khemah-khemah pejuang Islam. Pada esoknya yang dibawa pergi berjuang hanyalah kelompok yang sebelah malamnya bangkit untuk berqiamullail dan meninggalkan kelompok yang tidak berqiamullail. Logik akal mengatakan sepatutnya kita akan membawa tentera yang telah mendapat rehat yang cukup yakni tidur yang cukup untuk berjuang. Tetapi tidak bagi Salahuddin Al Ayubi, beliau hanya membawa yang boleh mendatangkan keberkatan Allah SWT.
PERSOALAN BUAT KITA…
1. Jika diamati sebaik-baiknya, beliau juga adalah seperti kita. Lahirnya Salahuddin Al-Ayyubi, sebagai seorang muslim, sama seperti kita juga.
Namun, apa bezanya antara kita dengan beliau yang telah banyak berkorban, berjuang, berjihad fi sabilillah? Apakah penyebabnya beliau banyak menyumbang untuk Islam? Bukankah kita sama seperti beliau?
2. Dalam umurnya seperti dan seusia kita sekarang ini, berapa banyakkah sumbangan yang telah beliau sumbangkan pada Islam? Dan berapa banyak pulakah sumbangan yang telah KITA sumbangkan untuk Islam?
Lantas,
“Dimanakah silapnya kita?”
“Mengapa kita tidak boleh menjadi seperti beliau?”
“Apa yang menyebabkan bezanya kita dengan beliau?”
Perkara inilah yang perlu kita kaji dan cari. Bukan setakat cari sahaja, bahkan hinggalah ke puncanya. Bila diketahui puncanya, maka lakukanlah usaha kita sehabis mungkin. Hapuskan yang jahiliyah hingga ke akar umbi! Kemudiannya barulah kita bertawakkal sepenuh tawakkal pada Allah Yang Maha Mencipta, Yang Maha Agung, Yang Maha Mengasihani.
Thursday, January 22, 2009
AWAS! Tiket hilangnya 'izzah umat Islam
Renungkanlah bagaimana peribadi Umar bin Khattab ra ketika hari pertamanya memeluk Islam. Bukanlah lembut dan perlahan tamparan jahiliah yang menghinggap di pipi seorang adik ,Fathimah; bukanlah seluruh Makkah tidak mengenali akan kebengisan manusia yang bernama Umar ini, akan tetapi apabila telah datangnya ketetapan ALLAH, dipancari hidayah dalam hati si Umar, dia berkata;
“Ya Rasulullah, bukankah kita dalam kebenaran?”
“Ya.” Jawab Baginda.
Bukankah mereka dalam kebatilan.”
“Ya.”
"Lalu mengapa kita harus sembunyi-sembunyi?"
"Lalu apa pendapatmu Umar?"
"Serulah Islam terang-terangan."
Maka Rasulullah saw menggelarnya Al-Farouq kerana Allah menganugerahkan kepadanya kemampuan membezakan yang haqq dan yang batil.
Ibnu Mas’ud berkata,
"Kami menjadi lebih terhormat sejak Umar memeluk Islam."
Pembukaan al-Quds adalah kemuncak kehebatan yang terukir dalam sejarah. Ianya dibuka oleh Umar selaku Amirul Mukminin. Beliau bergilir dengan pembantunya dalam menaiki unta.
Abu Ubaidah selaku panglima perang yang membuka al-Quds berkata,”Amirul Mukminin, saya harap engkau tidak melakukannya didepan banyak orang. Semua orang menunggumu untuk menyerahkan kunci sementara engkau berketrampilan begitu lusuh.”
“Wahai Abu Ubaidah, andainya ungkapan ini tidak dilontarkan olehmu. Abu Ubaidah, kita adalah manusia yang paling hina.” Jawab Umar.
Seakan Umar mahu berpesan, “Kemuliaan itu tidak terletak pada pakaian dan tunggangan, namun terletak pada jiwa seseorang.” Kini kita mengetahui bagaimana kehormatan ditanamkan pada diri.
Fahamilah kata-kata al-Farouq,
“Nahnu qaumun a’azzanallah bil Islam, famahna nabtaghi izzah, bi ghairi ma a’azzanallah, azallanallahu.
Kita adalah kaum yang hina, kemudian Allah muliakan kita dengan Islam, barangsiapa yang mencari kemuliaan selain dari apa yang Allah muliakan kita, maka Allah pasti akan menghina kita.”
Selepas 12-kurun Palestin di bawah pemerintahan Islam, ia jatuh semula ke tangan kuffar. Salahuddin Al-Ayyubi berjaya mengambil alih pemerintahan tersebut selama beberapa masa, dan ia jatuh semula.. Peristiwa ini berselang-seli berlaku. Kini, dunia menyaksikan lagi Palestin menjadi tumpuan. Dimana pemuda yang persis Umar dan Salahuddin?
Ya ma'asharal muslimeen wal muslimaat..
Sedarlah. Ingatlah kembali kata-kata Saidina Umar,
Kita adalah kaum yang hina, kemudian Allah muliakan kita dengan Islam, barangsiapa yang mencari kemuliaan selain dari apa yang Allah muliakan kita, maka Allah pasti akan menghina kita.
Maka apakah kita mencampakkan diri kita sendiri ke lembah kehinaan..?
HINA
Antara keadaan yang membuat seseorang menjadi hina ialah ketika dia dizalimi.
Hadith Qudsi Allah mengatakan;
“Sungguh tidak ada hijab antara Allah dan doa hamba yang dizalimi. Allah akan mengangkat doanya ke langit.” (Muslim:121)
Tikamana manusia lemah dihina oleh makhlukNya (manusia yang tak berhati perut), Allah tidak membiarkan makhluk-Nya dizalimi, lalu menawarkan kemuliaan yang tinggi iaitu doa yang pasti termakbul, sebagaimana dinyatakan dalam hadis qudsi di atas.
Walau bagaimanapun, itu hanyalah faktor luaran yang menyebabkan manusia dihina, tanpa kerelaan mereka. Dalam kes hina ni, tiada istilah paksa rela. Orang normal, orang yang siuman, dia takkan tawarkan diri dia untuk dihina dan diperhinakan orang lain. Tapi yang menjadi puncanya, manusia ni ada yang sengaja menempah tiket kehinaan yang percuma, secara tak sedar. Macam mana tu? Apa tiket-tiketnya yang membuatkan manusia akan menjadi hina ?
TIKET 1: Menghambakan diri kepada syaitan.
Ingat lagi tak cikgu-cikgu, ustaz ustazah cerita semasa zaman sekolah dolu-dolu?
Setelah dihalau dari syurga, Iblis kata, dia akan cari jalan nak sesatkan manusia, supaya manusia ni jadi teman dia nanti. Dia ni (Iblis) nak manusia menjadi hina dan hilang kehormatan.
Firman Allah dalam surah al-isra’, ayat 62 yang bermaksud,
“Dia (iblis) berkata; ‘Terangkanlah kepadaku inikah orangnya yang Engkau muliakan atas diriku? Sesungguhnya jika Engkau memberi tangguh kepadaku sampai hari kiamat, nescaya benar-benar akan aku sesatkan keturunannya, kecuali sebahagian kecil.”
(al-Isra:62)
Maksud ayat di atas adalah obsess Iblis untuk menjadikan manusia sebagai pengikutnya yang Penghinaan yang pertama adalah ketika manusia menjadi hamba syaitan. Macam mana? Ada ke orang sign kontrak dengan iblis ni? Ni nak habaq mai, iblis ni dia bisik supaya lalai dari solat, seronok masa muda, masa dok di kampus, di megamall, sepuasnya dengan alasan muda hanya sekali, nanti tua, tak boleh patah balik jadi muda; menikmati dunia yang ilusi ni sepuas-puasnya, padahal ianya adalah terlarang. Masa tu, syaitan tertawakan mereka yang termakan bisikannya..BERHATI-HATI..
TIKET 2 : Mengikuti hawa nafsu dalam semua aspek kehidupan.
Manusia sekarang ada macam-macam penyakit gila. Gila harta, gila kuasa, gila kecantikan, gila glamour. Macam-macam. Benda-benda ni yang di perlumbakan. Manusia berlumba-lumba untuk kecantikan. Dia cari botox. Berlumba-lumba cari harta. Dia tak kira tu halal haram.Riba’. Gila kuasa, nak kekal/dapat kedudukan tinggi, dia bagi rasuah.
Firman Allah,
“Maka pernahkan kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsu sebagai Tuhannya.” (al-Jatsiyah:23)
Rasulullah saw bersabda;
“Celakalah hamba dirham dan dinar” (Ibnu Majah)
Kata Ibnu Taymiyah,
”Orang yang terpenjara adalah siapa yang dipenjarakan oleh hatinya hingga meninggalkan Tuhannya. Sementara orang yang tertawan adalah siapa yang ditawan oleh hawa nafsunya. Mereka hina, tertawan dan terpenjara.”
Ada mulut-mulut bersoksek,
”Buat apa ambil pusing hal orang?Aii..ni dah jaga tepi kain orang? Dah masuk periuk nasik orang.”
Jangan gusar,
Bukankah Allah berfirman dalam surah Aali ’imran:110 ;
“Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada makruf dan mencegah dari yang mungkar.” (ali ’Imran:110)
TIKET 3 : Tidak lagi peka terhadap Allah, agama, pedoman hidup dan ummah.
Kita ada panduan ulung, tapi kita biarkan ia menjadi hiasan saja. Simpan dalam almari, disaluti debu. Maka jadilah dia suci dalam debu.
Kita megah, bangga apabila ada bingkai-bingkai tulisan ayat suci di dinding rumah, walhal sebenarnya kita menghina-nya kerana tak letakkan di hati kita. Agungkan penghibur/penyanyi,pelakon, pemain bola sepak(sanggup berjaga pukul 2,3 pagi) dan sukan lainnya, tapi pedoman al-Quran dan Islam kita campakkan ke lembah hina.
Al-Qur’an tak menjadi hina sedikit pun, kalaupun manusia ni campak dia jauh dari hati manusia. Tidak sesekali. Al-Quran dan Islam itu dijaga oleh Allah, dipelihara Allah.Kita hanya akan menjadi mulia jika memuliakannya dengan mengamalkannya.
Bahkan kita menjadi hina jika kita menghinakannya. Islam tak perlukan kita. Tapi kitalah yang memerlukan Islam. Al-Quran tidak perlukan kita, tapi kita lah yang memerlukan al-Quran sebagai hidayah,pedoman, penyuluh hidup kita.
TIKET 4 : Hilangnya kepercayaan kepada Allah swt.
Sesungguhnya segala sesuatu telah ditakdirkan Allah swt dan rata-rata dari kita mengetahuinya. Tetapi kepercayaan penuh itu berkurang, lantaran kurangnya pengharapan yang sempurna. Rezeki disangka pada tangan majikan, nasib ditentukan kaum keluarga, umur dan nyawa juga dirasakan pada tangan makhluk. Doktorlah penyelamat, ubatlah yang menyembuhkan..Dah, kalau makan ubat, tak sembuh-sembuh, nak salah kan siapa? Bukan. Bukan itu. Ubat hanyalah ikhtiar. Yang menyembuhkan, adalah ALLAH.
Macam tu juga berada di jalan dakwah. Orang yang terlibat dengan gerak kerja da’wah ni, kalau tak sibuk, tak tau lah apa dah dibuat. Kalau diuji sedikit, sebagai contoh, keputusan peperiksaan jatuh sikit, nak salahkan kerja-kerja da’wah banyak? Mana perginya keyakinan pada ALLAH? Allah dah janji dah dalam kitab suci, Al-Qur’an, dalam surah Muhammmad ayat 7.
”Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.”
(Hafal ayat, hafal maksud, tapi takmau paham-paham jugak.Ni yang jadi kes putus asa.)
Kita akan menjadi hina jika menghamba pada syaitan, mengutamakan nafsu, membelakangkan Allah dan hilang kepercayaan kepada Allah dan ummat Islam. Maka apa yang berlaku kepada kita? Kitalah menjadi ummat yang dikatakan oleh Nabi saw. Musuh mengerumuni kita umpama hidangan. Bilangan kita tak bererti kerana kita semuanya hina, hanya berkulitkan Islam dan bertopengkan nama Islam. Macam sabda Rasulullah, umat akhir zaman ni macam buih-buih di lautan. Banyak, tapi hilang kualiti. Maka Allah cabut kegerunan musuh terhadap kita dan jadilah kita manusia yang dihinakan kerana perbuatan kita sendiri.
Sedarlah, Bangkitlah
Jangan pandang ringan, jangan sambil lewa dalam mengamalkan ajaran Islam, kerana amaran sudah Rasulullah beri..
Dari Abdullah ibn Mas'ud, beliau berkata bahawa
Rasulullah menggariskan satu garisan dengan kayu yang dipegangnya. Kemudian baginda berkata, "Inilah jalan ALLAH, jalan yang betul" Baginda membuat garisan lagi disebelah kiri dan kanannya. Kemudian baginda berkata, "Jalan-jalan ini,tidak ada suatupun darinya, melainkan ada syaitan yang mengajak ke arahnya." Kemudian Rasulullah saw membaca ayat ALLAH,yang bermaksud, "Sesungguhnya, inilah jalankujalan yang betul, maka ikutlah.Jangan kamu ikut jalan-jalan yang lain, nanti kamu akan bercerai-berai dari jalannya."
Sekarang, ramai dah yang tak hiraukan amaran Rasulullah saw. Main-main. Tak bersungguh-sungguh berpegang dan selesaikan masalah ikut cara Islam. Akhirnya, mudah terpengaruh dengan fahaman yang direka-reka sebab kejahilan dari dalam, bercampur pula dengan campurtangan dan niat jahat musuh-musuh Islam.
Hiduplah mengikut acuan yang ALLAH wahyukan kepada Rasul-Nya, kerana itulah acuan terbaik, menepati firmanNYA,
Shibghah Allah. Dan siapakah yang lebih baik shibghahnya dari pada Allah? Dan hanya kepada-Nya-lah kami menyembah. (al-baqarah:138)
* Shibghah bererti celupan.
Shibghah Allah: celupan Allah yang bererti iman kepada Allah yang tidak disertai dengan kemusyrikan.
kembalilah kepada ajaran Islam yang sebenar, kerana itu acuan terbaik. Jangan pandai-pandai buat acuan sendiri..
Semoga kita ditetap dan diteguhkan dalam agama dan perjuangan.
Monday, January 12, 2009
Kembali gemilang...
Pagi tadi juga, suara saudaraku mengingatkan, kita jangan bicara dengan bicara lagha. Sekarang ini, melakukan sebarang usaha/ kerja/ gerak untuk Palestin adalah FARDHU AIN ke atas semua individu Muslim. Tiada masa lagi nak melaghakan diri.
Lihatlah Salahuddin Al-Ayyubi, saat orang-orang sekeliling mengajaknya berbual, dia berkata, ”Tidak! Aku hanya ingin berbicara mengenai jihad!”
Masha’Allah..
Semangat jihadnya yang terlalu tinggi sehinggakan beliau tidak akan bercakap-cakap sesuatu perkara melainkan perkara jihad. Hampir keseluruhan hidupnya dicurahkan untuk jihad. Beliau tidak kenal apa itu erti penat tetapi sentiasa berfikir akan kemaslahatan umat Islam. Beliau cukup sedih apabila Masjid Al-Aqsa dihuni golongan yang sentiasa dahagakan darah umat islam. Dan, ditakdirkan Allah swt, dialah pemerintah Islam selepas Al-Farouq berjaya membebaskan Al-Aqsa di tangan puak kuffar.
Lihat pula Sultan Muhammad Al-Fateh. Diceritakan, kapal-kapal laut tentera Uthmaniyah tidak dapat merempuh masuk kota Constantinople disebabkan oleh rantai besi yang melindungi Tanjung Emas. Tanjung Emas merupakan antara lautan yang mengelilingi Constantinople, selain daripada Selat Bhosphore dan Laut Marmara. Agak-agak kita, apa penyelesaian yang akan diambil oleh seorang Sultan yang juga panglima, Al-Fateh untuk mengatasi masalah ini? Logik aqal kita, ini suatu penyelesaian yang tak dapat diterima pakai oleh aqal fikiran kita yang normal.
Cuba kita bayangkan, kapal laut-kapal laut itu ditarik masuk ke perairan Tanjung Emas dengan menggunakan jalan darat. Kapal yang ditarik tu bukannya sedikit, tetapi 70 buah. 70 buah KAPAL !! bukan kerusi plastik! 
Kapal-kapal ni ditarik dari pantai Besiktas ke Galata melalui bukit tinggi dengan jarak melebihi 3 batu. Lantas, ditakdirkan Allah, Constantinople berjaya ditawan oleh umat Islam melalui pemimpinnya Sultan Muhammad Al-Fateh.
Bersesuaian dengan isyarat, dan menepati apa yang dikhabarkan oleh Nabi Muhammad saw ketika mana menggali parit sewaktu perang Khandak, "Kota Constantinople itu akan dibuka, rajanya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera".
Seingat saya, ketika saya dalam Tingkatan 3, saya membaca buku bertajuk Kamus Hidup Orang-orang Soleh, saya juga tidak terlepas pandang pada satu hadis:
Dari Abdullah, beliau berkata bahawa ketika dia dan sahabat berada di sisi Rasulullah SAW, tiba2 datang sekumpulan anak-anak muda dari kalangan Bani Hasyim. Bila terpandang akan mereka maka kedua mata Rasulullah SAW berlinang dan warna wajah baginda berubah. Abdullah pun bertanya,
"Mengapa kami melihat pada wajahmu sesuatu yang tidak kami sukai?”
Baginda menjawab: " Kami ahlul bait telah dipilih oleh Allah akan akhirat itu lebih baik dari dunia. Kaum kerabatku akan menerima bencana dan penyingkiran selepasku kelak sehingga datang satu kaum dari sebelah Timur dengan membawa bersama-sama mereka panji-panji hitam serta meminta kebaikan tetapi mereka tidak diberikan. Maka mereka pun berjuang dan beroleh kejayaan, lalu diberikanlah apa yang mereka kehendak itu. Tetapi mereka menolaknya kepada seorang lelaki dari kaum kerabatku yang akan memenuhi bumi dengan keadilan sebagai mana ia dipenuhi kedurjanaan. siapa di antara kamu yang sempat menemuinya maka datangilah mereka walaupun merangkak di atas salji: (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Terpaku membaca hadith tersebut. Rupa2 nya hari tu hampir tiba. Adakah kita mujahid dan mujahidah itu? Apakah layak kita menjadi antara mujahid dan mujahidah itu? Apakah kita tergolong dari kalangan mereka itu? Mahukah kita berada bersama-sama antara mujahid dan mujahidah itu?
Berkata Saidina Umar kepada sahabatnya: " Impikanlah"
Seorang pemuda berkata: " Aku mengimpikan jika sekiranya negeri ini dipenuhi dengan emas lalu aku infakkan pada jalan Allah."
Umar berkata lagi: "Impikanlah".
Seorang pemuda berkata: "Aku mengimpikan jika negeri ini dipenuhi dengan batu permata lalu aku infakkan pada jalan Allah."
Umar berkata lagi: "Impikanlah".
Mereka berkata: "Kami tidak tahu apa yang hendak dikatakan wahai Amirul Mukminin" Umar pun berkata: "Tetapi aku mengimpikan rijal seperti Abu Ubaidah bin al Jarrah, Muaz bin Jabal dan Salim, hamba Abu Huzaifah. Lalu aku meminta pertolongan dari mereka untuk meninggikan kalimah Allah".
Memetik kata imam Malik,
“Tidak gemilang umat akhir zaman, melainkan kembali laksanakan apa yang telah menyebabkan umat terdahulu menjadi gemilang.’
Apa yang penting kita mesti memiliki 3 prinsip :
• Iman dan Tawakkal maksudnya Yakin menang dan serah kepada Allah. ( rujuk surah Al Ahzab ayat 22 )
• Tegas : Tidak berganjak & cintakan syahid. ( sila rujuk surah Al Ahzab ayat 23 )
• Teruskan Dakwah & Istiqamah.
Allahu’alam.
Monday, January 5, 2009
Pokok Gharqad , pokok Krismas?
hadith sahih riwayat Al-Bukhari dan Muslim, mengenai peristiwa akhir zaman, menghampiri datangnya Yaumul Qiyaamah.
Sabda Rasulullah SAW,
"Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah akan berlaku peperangan di antara orang Islam dan Yahudi, maka pada waktu itu (tentera) Yahudi akan dibunuh oleh (tentera) Islam, sehingga apabila orang Yahudi berselindung di sebalik batu dan pokok, lalu batu dan pokok itu akan bersuara dengan katanya: 'wahai muslim, wahai hamba Allah, di belakangku ini ada Yahudi, marilah bunuhnya', kecuali POKOK GHARQAD (yang tidak bersuara), kerana sesungguhnya ia merupakan pokok Yahudi".
(Hadis sahih; Riwayat Imam Al-Bukhari, Muslim dan at-Tirmidzhi )
Hadith ini menceritakan mengenai peristiwa akhir zaman iaitu tikamana waktu hampirnya kedatangan hari kiamat. Pada masa ni, tentera Yahudi yang dipimpin oleh Dajjal akan berperang dengan orang Islam. Dalam peperangan ini, orang Islam akan dapat membunuh dan menewaskan orang Yahudi sehinggakan apabila mereka berselindung di sebalik mana-mana batu dan pokok untuk menyelamatkan diri, maka dengan izin Allah pokok dan batu akan memberitahu tentera Islam tentang Yahudi yang berlindung di sebaliknya. Akan tetapi ada satu pohon yang tetap berdiam diri dan akan bersekongkol dengan Yahudi iaitu pohon yang bernama Gharqad.
Dalam satu ceramah diceritakan bahawa puak2 Yahudi ni jadi gementar bilamana terdengar tentang kebenaran hadith ini, lantas dengan rancaknya mereka sekian lama mencari tapak untuk menanam pokok-pokok gharqad ni, dan kini ianya telah ditanam secara meluas di negara Haram Israel, untuk menghadapi tentera-tentera Islam pada akhir zaman ini. Dan, sekiranya benar pokok gharqad ini yang ditanam mereka, maka sahlah yahudi ini sememangnya mengakui kebenaran Islam tetapi kerana ego, mereka tetap menentang Islam!
Lihatlah orang yahudi ini, atas keegoaan dan sikap bongkak mereka (yang telah pun tercatat dalam Qur’an) menyebabkan mereka tidak menerima ajaran Islam, sebaliknya terus berusaha memerangi umat Islam dari secara berterusan. Mereka menentang orang Islam, mereka menagih dan dahagakan darah orang Islam, dan dalam masa yang sama mereka mempercayai kesahihan hadith ini. Celaru identiti? Xjuga.. ni orang kata ‘baloq liat...’(ketegaq).
Ramai juga yang tertanya-tanya tentang bagaimanakah pokok Gharqad ni. Ada yang
menyatakan bahawa Pokok Gharqad ni pokok Krismas (hok slalu dihias2 masa hari krismas tu), dan ada pula yang menyatakan bahawa ia pokok ru (pokok kat tepi pantai nu) , ada yang kata dia tu speseh pokok kaktus dan macam2 halnya. Kiri kanan ni, di letakkan gambar pokok Gharqad yang diambil dari laman web (mane tah..xingt pulak).. Allahu'alam..
Saturday, October 18, 2008
Air Mata Ar-Raji'
Peristiwa ar-Raji’ telah berlaku pada bulan Safar tahun ke-4 Hijrah, di mana beberapa orang wakil daripada qabilah ‘Adal dan Qarah telah datang menemui Rasulullah s.a.w , meminta baginda Rasulullah saw agar menghantar beberapa orang sahabat supaya mengajar al-Quran dan hukum-hukum agama kerana di sana (ar-Raji’) terdapat sambutan yang baik kepada ajaran Islam. Lalu Rasulullah sa.w menghantar 6 orang sahabat (menurut riwayat imam Bukhari 10 orang sahabat) di mana Mar’id bin Abi Mar’id dilantik menjadi ketua kepada rombongan pendakwah tersebut. (menurut riwayat al-Bukhari, ketuanya adalah 'Asim bin Tsabit).
Ketika sampai di kawasan ar-Raji’ iaitu di suatu kawasan yang bernama Huzail, tiba-tiba mereka telah didatangi bala tentera yang lengkap bersenjata menunggu untuk bertindak. Mereka datang beramai-ramai mengepung para sahabat yang ditugaskan untuk menjalankan tugas dakwah itu dan berkata,
“Lebih baik kamu semua menyerah diri kepada kami kerana kami tidak akan melakukan apa-apa kepada kamu. Kami cuma mahu mendapatkan sesuatu daripada orang-orang Mekah jika kami menyerahkan kamu kepada mereka”.
Tetapi ketua rombongan pendakwah Islam itu tidak mahu mahu menyerah dan mengambil keputusan lebih baik mati bertempur daripada menyerah serta tidak sekali-kali percaya kepada janji-janji orang musyrikin itu lalu beliau dan beberapa orang sahabat yang lain menentang musuh sehingga mereka gugur syahid.
Seorang perempuan musyrikin Quraisy dimana salah seorang anaknya dibunuh dalam satu peperangan oleh ‘Asim bin Thabit iaitu salah seorang daripada pendakwah yang telah gugur syahid itu telah bernazar untuk minum arak dalam tempurung kepala ‘Asim tetapi Allah memelihara kepalanya daripada diambil oleh musuh apabila Allah mengahantarkan sekumpulan lebah untuk menjaga jasadnya.
Manakala 3 orang daripada mereka yang masih tinggal iaitu Zaid bin Abi ad-Dasinah, Khubaib bin ‘Adi dan Abdullah bin Tariq telah mengambil keputusan untuk menerima janji yang ditawarkan oleh musuh Islam itu. 3 orang tawanan tadi dibawa ke Mekah untuk dijual.
Ketika mereka tiba di Zuhran, Abdullah bin Tariq berjaya melepaskan diri daripada ikatan lalu menyambar pedang dan melawan musuh sehingga dia gugur syahid. 2 orang yang masioh tinggal terus dibawa ke Mekah dan dijual dengan bayarannya ialah membebaskan 2 tawanan daripada qabilah Huzail yang ditawan oleh pihak kafir Quraisy.
Khubaib bin ‘Adi telah dibeli oleh Bani al-Harith bin ‘Ammar bin Naufal kerana dia telah membunuh pemimpin mereka Harith dalam peperangan Badar.
Khubaib telah diperhinakan dan dipukul berkali-kali dengan cara yang menyakitkan dan juga telah dipenjarakan. Pada suatu hari ketika Khubaib sedang bercukur di rumah Bani Harith tempat kurungannya, tiba-tiba seorang anak kecil dari keluarga itu datang menghampiri Khubaib lalu dia mengambil anak itu dan diletakkan atas ribaannya. Apabila si ibu menyedari anak kecilnya tiada di sisi lalu dia melihat ke arah Khubaib dan terlihat anaknya berada atas ribaan Khubaib yang sedang memegang pisau cukur. Khubaib melihat kepada si ibu lalu berkata :
“ Aku tahu perasaanmu iaitu menganggap bahawa aku akan membunuh anak ini bagi membalas dendam terhadap apa yng diperlakukan kepadaku. Demi Allah aku tidak akan melakukan perkara kejam itu”.
Selepas itu dia melepaskan anak kecil itu walau pun dia boleh membunuhnya atau pun menjadikannya tebusan untuk membebaskannya tetapi dia tidak berbuat demikian. Si ibu begitu takjub melihat apa yang berlaku dan memuji kemuliaan akhlak Khubaib. Inilah dia antara kesan daripada tarbiah Rasulullah s.a.w yang dapat kita sama-sama lihat. Seterusnya Khubaib di bawa ke Tan’im untuk dibunuh di mana sebelum itu dia telah meminta agar diberi peluang untuk dia melakukan solat sunat 2 rakaat. Setelah selesai solat lalu dia berkata dengan tegas :
“ Demi Allah, jika tidak kerana bimbang kamu menuduh aku pengecut nescaya aku akan bersembahyang lebih panjang lagi”.
Kemudian dia berdoa :
“Wahai Tuhanku! Hitungkanlah mereka semua dan binasakanlah mereka semua sehingga jangan tinggalkan walau pun seorang”.
Kemudian dia bersyair antaranya :
“ Demi sesungguhnya aku tidak peduli sekiranya aku dibunuh sebagai seorang Islam di mana sahaja anggota yang dibunuh. Perkara itu kerana Allah jika ia mengkehendaki nescaya Dia memberkati setiap anggota yang dihiris”.
Lantas, bangunlah Uqbah bin al-Harith lalu membunuh Khubaib dan gugurlah seorang sahabat yang tabah dan berani mati kerana Islam.
Pada hari yang sama mereka membunuh seorang lagi sahabat iaitu Zaid bin ad-Dasinah, yang dibeli oleh Safuan bin Umaiyyah. Abu Sufian yang menjadi pemimpin taghut pada masa itu bertanya kepada Zaid :
“ Apakah pendapat kamu jika Muhammad berada sekarang mengantimu supaya kami dapat pancungkan lehernya?”.
Dengan tegas Zaid menjawab :
“ Demi Allah! Aku tidak rela sekali pun nabi Muhammad s.a.w terkena duri sedangkan aku bersama-sama keluargaku”.
Abu Sufian berkata :
“ Aku tidak pernah bertemu sesorang itu begitu kasih kepada seseorang yang lain seperti para sahabat Muhammad kasih kepada Muhammad”.
Selepas itu Zaid dibunuh oleh musuh tanpa belas kasihan. Inilah dia kasih sayang para sahabat terhadap diri Rasulullah s.a.w dan Islam sehingga mereka lebih rela mati daripada melihat baginda dikhianati dan Islam dihina.
Firman ALLAH dalam surah Al-Ahzab,
Maksunya : "Antara orang-orang mukmin itu ada mereka yang telah menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Maka di antara mereka ada yang telah gugur syahid dan antara mereka ada pula yang menunggu (datangnya syahid) dan mereka sedikit pun tidak mengubah janjinya.." (al-Ahzab:23)
Begitulah kesungguhan dan kejujuran Rasulullah saw untuk mengajak dan menyelamatkan manusia dengan Islam; dan mereka yang dihantar bukanlah daripada kalangan panglima-panglima tentera Islam, tetapi dari kalangan yang sekadar mengajar Al-Qur’an dan hokum-hukum agama. Walaupun demikian, mereka tetap mempunyai sifat kepahlawanan Islam yang bersedia untuk mati syahid. Mereka bukan sahaja mempunyai ilmu untuk menjadi guru agama dan mengajar semata-mata, tanpa bersedia berjuang mempertahankan dan meninggikan kalimah ALLAH SWT. Begini sifat generasi pertama, hasil madrasah dan tarbiyyah Rasulullah; yang mana mereka ini menjadi pahlawan di siang hari, dan ahli-ahli ibadah dimalam hari. Ataupun, mereka ini mencari kayu api disiang hari, dan tekun beribadah di malam hari.
Bagaimana dengan kita pada hari ini?. Adakah kita terus rela melihat Islam dimaki, umat Islam dibunuh dan dihalau dari tanahair mereka sendiri, Hukum Allah dipersenda, Sunnah nabi dihina,para ulama’ dicerca oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan memang bencikan Islam daripada dilaksana.
Dan kebanyakan umat manusia hari ini pula, bekerja kuat disiang hari, mengqadha’ tidur di malam hari. Ataupun, bekerja (shift) dimalam hari, qadha’ tidur di siang hari, melewati solat-solat fardhu. Alangkah jauhnya kita… Itu pun masih nak berlagak menjadi orang hebat? Mengandaikan diri sudah terbaik ? Sama-sama fikirkan...
Friday, September 5, 2008
Amanah itu...itu amanah
katakanlah, “Wahai ALLAH, yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki . Engkau memuliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki . Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu. Engkau masukkan malam ke dalam siang, dan Engkau masukkan siang ke dalam malam . Engkau keluarkan yang hidup dari yang mati dan Engkau keluarkan mati dari yang hidup . Dan Engkau beri rezeki kepada siapa yang Engkau kehendaki tanpa hisab.”
(Ali ‘Imran : 26-27)
semuanya milik ALLAH. siapa-siapa pun kena beringat. Tok ketua, Sandikugan, orang yang menaip, orang yang membaca.. siapa-siapa jua. semua di atas dunia ni hanyalah ilusi lagi ujian. Kuasa dan pangkat. Sememangnya, itu adalah amanah dan dalam masa yang sama, itunya adalah ujian. Teringat pula pesanan yang disampaikan oleh seorang saudara seislam , jawatan ni merupakan penghinaan didunia dan penyesalan diakhirat. (khizyun fiddunya wannadamah fil akhirah).
Apabila perkara-perkara ini diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka hal itu akan menghilangkan kepentingan ummat dan kaum Muslimin.
Monday, August 18, 2008
Solat berjemaah lah...
Bismillahirrahmanir rahim...
Assalamu'alaikum wbt..
Mudah-mudahan kita semua sntiasa dalam limpahan rahmat dan barakah serta melalui liku-liku kehidupan dengan jalan yang diredhaanNYA. Insya'Allah. sedikit peringatan utk diri yang sntsa alpa, dan buat sahabat shbiyyah...
"dan berilah peringatan, kerana memberi peringatan itu amat bermanfaat kepada orang2 beriman."
Susah benar nak ke masjid tanpa hidayah ALLAH.Tambah- tambah lagi pada waktu subuh. Dan hidayah pula bukan jenis pucuk dicita ulam mendatang. Kena usaha untuk mendapatkannya. Beruntunglah sesiapa yang selalu mendapat hidayah dan taufik.
Ana ingin kongsikan sedikit sebanyak tentang kuliah yang dibawa oleh Tn Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat & Ust Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai SOLAT..
Solat sangat penting. Solat adalah sumber kekuatan umat Islam. Tanpa solat, atau solat dengan seribu macam kelalaian, menjadikan umat Islam pada hari ini mudah diperkotak-katik oleh musuh-musuhnya. Bercakap mengenai kekhusyukan, cukup sedap untuk digoreng. Tapi, untuk praktikalnya, memang sukar, bg diri ana yang pnuh kekhilafan.
Sebaik-baik makhluk adalah mereka yang diberi kebahagiaan di dunia dan bahagia pula di akhirat. Dan di antara mereka yang mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat adalah mereka yang diberi Qalban khasyi'aa (hati yang khusyu') ;hati yang tunduk kpd ALLAH swt.
Mengimbau kembali salah satu kuliyah Tuan Guru Nik Abdul Aziz;
kita patut set dalam minda kita rukun solat itu ada 14. Selalunya kita diajar rukun solat itu 13, bermula dengan niat, berakhir dengan tertib. Patut ditambah satu lagi rukun, iaitu khusyuk. Tanpa kekhusyukan, kosonglah solat, tiadalah kekuatan, lemahlah umat.
Sebab tu Islam menggalakkn kita supaya solat berjama'ah. Krn apa? Dalam ramai2 smbhyng, boleh jadi imam x khusyu' tapi makmumnya khusyu'.
Boleh jd jg, si A x khusyu' tp si B khusyhu'. Maka ALLAH menerima kesemua sembahyang mereka sebagai sembahyang sempurna. Sebab tu kita kne solat berjama'ah.
Didikan dari solat berjama'ah...
-eratkan silaturrahim.
-membina tanggungjawab
cth: - dalam solat kne tutup aurat, maka di luar sembahyang kita wajib tutup aurat.
- dalam solat mata kita tengok pada tmpt sujud. x kelih kiri kanan. maka diluar solat, kita kne jaga pandangan, jangan meliarkan pandangan.
- dalam solat, telinga tertumpu kpd bacaan Qu'an al-karim, maka di luar solat,biar kita tumpu kpd kalimah2 yg baik
- dalam solat ada imam dan makmum; pemimpin dan pengikut. Makmum, walaupun dia hebat, x boleh mendahului imam.
-membina kepimpinan -> memimpin dan dipimpin.
kalau nak dihuraikan, memang banyak kelebihan dan didikan yg kita terima scr terus daripada solat tu sndri. ALLAH tarbiyyah kn hambaNYA melalui pelbagai cara.Ujian merupakan tarbiyyah dr ALLAH.
Dan solat juga satu tarbiyyah utk hmbaNYA bg melalui dan meneruskan khidupan, agar mjadi hamba yang cemerlang di dunia, gemilang di akhirat...
jangan pulak jadi cemerlang gemilang terbilang dalam sesuatu pkra, tapi akhirnya temberang dalam pkara yang difardhukn oleh ALLAH kpd hmbaNYA..
Jika hari ini kita sihat, dan dikurniakan pelbagai nikmat, tetapi x ambil kesempatan utk laksanakn solat scr berjama'ah terutamanya di masjid, pasti kelak, akan menyesal dengan perbuatan pada hari ini, apabila ditayangkan semula lakonan di dunia...
Tikamana org lain solat jama'ah di masjid, tapi diri pula sibuk dgn pkara2 yg tidak mbawa maslahah kpd ISLAM...
astaghfiruLLAHal'azhim. ...
ampuni dosa hamba2MU ya ALLAH.... Ampuni dosa kedua Ibubapa kami...dan saudara2 kami...
"kalau di dunia pun kita x mampu nak jadi tetamu ALLAH,mcm mana nk jadi tetamu ALLAH di akhirat."
jadi, sama2lh kita ambil peluang utk solat jama'ah di masjid, sementara masih sihat, cergas, dan dalam suasana pembelajaran disini..ambillh peluang sementara putus segala nikmat kurniaanNYA. .
"Jangan tertipu dgn badan yg sihat, krn mati x syarat sakit..jangan tertipu dgn umur yang muda, krn mati x syarat tua.."
wallahu'alam
wassalam.
p/s: ni siaran ulang tayang...
Encik Sumpah-Sumpah
Ku sangka sumpah itu seperti haiwan sumpah-sumpah. Rupanya tidak sama sekali.
Sumpah-sumpah ni, sejenis haiwan yang boleh bertukar-tukar warna kulitnya. Keistimewaan yang ALLAH bagi kepada beliau, Encik Sumpah-sumpah ni, untuk lindungi dirinya dari pemangsa.
Tapi, kalu sumpah ni... hmm... sila la rujuk kamus dewan lah ek..
Kalu haiwan spesies sesumpah ni, boleh la nak main tukar kaler badan dia. tapi kita yang beraqal ni, jangan main-main dengan sumpah.
Orang tua-tua acap kali berpesan, jangan bermain sumpah. Kelak sumpah akan memakan diri.
itu kata org tua-tua.. boleh la nak kata goreng ke, rebus ke, bakar ke..
tapi ingat, jangan bermain-main dengan apa yang sudah ALLAH berfirman. ALLAH dah beri peringatan tentang sumpah dalam kitab suci Al-Qur'an Kareem,

"Dan janganlah kamu jadikan sumpah-sumpahmu sebagai alat penipu di antaramu, yang menyebabkan tergelincir kaki (mu) sesudah kokoh tegaknya, dan kamu rasakan kemelaratan (di dunia) karena kamu menghalangi (manusia) dari jalan Allah; dan bagimu azab yang besar. "
(An-Nahl : 94)
kalau dah tak dapat tahan lagi mulut nak bersumpah, kemukakan 4 saksi yang adil.

"Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita bohong itu? Olah karena mereka tidak mendatangkan saksi-saksi maka mereka itulah pada sisi Allah orang- orang yang dusta."
(An-Nuur : 13)
"sumpah orang Islam dengan meletakkan Quran di atas kepala dan bukannya di atas tangan. Sumpah seperti itu (letak kitab atas tangan) adalah meniru amalan orang Kristian. Ini karut.
Islam hanya menerima sumpah dengan menyebut Wallahi, Wabillahi, Watallahi, ” kata TGNA
p/s: sumpah-sumpah (sesumpah) jauh lebih comel dari orang yang menjadikan sumpah yang diada-adakan sebagai pelindung dirinya.
'A'isyah di fitnah...
Dalam kesibukan cerita fitnah dalam negara yang kian hari kian menjengkelkan, sebuah lagu baru sahaja selesai didengari .Aisyah Humaira. Nyanyian kumpulan UNIC. Bagus liriknya. Alangkah tak kemananya dunia ni, berita fitnah di media massa, dan masa ini juga pabila menghayati lirik ni, terkenangkan 'A'isyah al-humaira' difitnah.. Mengimbau kembali sorotan kisah dan ujian buat Humaira' ...
--------------------------------------------------------------------------------
Wajah berseri pipi kemerahan
Engkau digelar Aisyah Humaira
Namun bukan inginku bicarakan
Hingga dirimu jadi sanjungan
Tetapi merahnya darah perjuangan
Peniup semangat suami
Khabar al-ifqi satu titik pemula
Telah mencalar kebahagiaan
Fitnah-munafiqun tak kenal sesiapa
Insan yang mulia atau sahaya
Hatta dirimu ummahatul mukminin
Yang setanding al-muqatsirin
Usah ditanyakan mengapa
Lewatnya turun wahyu itu
Bagi membuktikan kepalsuan
Tuduhan seorang pendusta
Tetapi lihatlah hikmahnya
Di sebalik tiap kejadian yang telah berlaku
Tuhan tidak akan pernah mempersia-sia
Ketabahan seorang insan
Dalam mengharungi arus kehidupan
Yang penuh mehnah ujian
Takkan terhidu harum mewangi
Jika tak dinyalakan setanggi
Takkan terasa manisnya hidup
Andai tak dilambung gelora
Engkau isteri sejati yang memangku nabi
Saat hujung nyawakan pergi
Sungguh beruntungnya dikau punyai suami
Yang amat mengasihi umatnya
Dia insan yang mulia
Kau semadikannya di ruang kamarmu
---------------------------------------------------------------
Khabar al-ifqi satu titik pemula
Al-Ifqi yang dimaksudkan adalah peristiwa dusta atau bohong (FITNAH) yang dilemparkan kepada isteri Rasulullah saw; Saidatina ‘A'isyah r.a, setelah tamatnya perang dgn Bani Mushtaliq (Sya’ban 5 H). Peperangan tersebut turut disertai oleh kaum munafiq, dan diikuti pula ‘A'isyah (setelah berdasarkan undian yang dijalankan oleh Rasulullah saw terhadap isteri-isterinya.) Dalam perjalanan mereka kembali dari medan peperangan, mereka berhenti pada suatu tempat. ‘A'isyah keluar dari tandunya untuk suatu keperluan, kemudian kembali. Tiba-tiba dia merasakan kalungnya hilang, lalu dia pergi lagi mencarinya. Ketika sedang mencari kalung itu, rombongan berangkat dengan menyangkakan bahwa ‘A'isyah (14 tahun) masih ada dalam tandu tersebut. Setelah ‘A'isyah mengetahui, rombongan tersebut sudah berangkat, dia duduk di tempatnya dan mengaharapkan mereka akan kembali menjemputnya.
Kebetulan, ketika itu seorang sahabat Nabi, Safwan ibnu Mu’aththal sedang melalui jalan tersebut , maka dilihatnya seseorang sedang tidur sendirian dan dia terkejut lalu mengucapkan:
“Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un, isteri Rasulullah s.a.w..?”
‘A’isyah terbangun. Lalu dia dipersilakan oleh Safwan mengendarai untanya. Safwan berjalan menuntun unta sehingga mereka bertemu semula dengan bala tentera Islam di suatu tempat bernama Nahru Zahirah. Orang-orang yang melihat mereka terkejut dan membicarakannya menurut pendapat masing-masing. Mulailah timbul desas-desus. Kemudian pemimpin munafiq, ’Abdullah bin Ubai mengambil kesempatan , lalu menabur fitnah ke atas ‘A’isyah r.a. dan fitnah tersebar dengan bertambah luas dengan kadar yang begitu cepat, sehingga menimbulkan kegoncangan di kalangan kaum muslimin dan ada yang terpengaruh dengannya.
Di kala fitnah tersebut berleluasa, Rasulullah mendiamkan diri, menyebabkan Humaira’ merasakan sikap Rasulullah sudah berubah terhadapnya, lalu meminta izin untuk pulang ke rumah bapanya, Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA.
Rasulullah datang ke rumah Abu Bakar dan bertemu ’A’isyah r.a. Baginda bertasyhud dan bersabda,
”Wahai ’A’isyah, sesungguhnya telah sampailah kepadaku berita tentangmu; jika sekiranya kamu seorang yang bersih dari fitnah itu, maka ALLAH akan membersihkanmu, dan jika sekiranya kamu mengerjakan dosa, maka beristighfarlah dan bertaubatlah kepada ALLAH, kerana seorang hamba itu apabila mengaku dosanya kemudian dia bertaubat kepada ALLAH, nescaya ALLAH menerima taubatnya.”
Lantas, ’A’isyah menangis, seraya menjawab,
” Demi ALLAH, aku telah mendengar berita itu, begitu juga kamu telah mendengarnya, supaya puas hati kamu, maka aku suka menegaskan bahawa sesungguhnya aku masih bersih daripada fitnah itu dan ALLAH Maha Mengetahui bahawa aku bersih, tetapi kamu tidak mempercayai, jika sekiranya aku mengaku demikian, ALLAH Maha Mengetahui aku ini tidak bersalah nescaya kamu mempercayainya. Demi ALLAH! Aku tiada apa yang hendak diperkatakan, melainkan seperti yang pernah diucapkan oleh Nabi Yusuf a.s ,
”Sabar itulah yang paling baik dan ALLAH sahaja yang dimohon pertolongan-Nya terhadap apa yang kamu sifatkan terhadapku..” (surah Yusuf : 18) ”
Maka dengan sebab itulah Allah swt telah menurunkan beberapa ayat dalam surah an-Nur dengan tujuan untuk membebaskan Saidatina ‘Aisyah r.a dari belenggu berita bohong yang menjadi fitnah kepadanya.

”Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga...” (An-Nur : 11)
”...Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezki yang mulia (syurga).” (An-Nur : 26)
Apabila ayat-ayat ini dibaca kepada ’A’isyah, maka kedua-dua orang tuanya menyuruh ’A’isyah bangun menghormati Rasulullah s.a.w., namun, ’A’isyah menjawab,
"Demi ALLAH, aku tidak bangun kepadanya, dan aku tidak mahu memuji melainkan ALLAH sahaja.”
Bersempena peristiwa fitnah ini, maka dijatuhkan hukuman sebat sebanyak 80 kali kepada mereka yang menyebarkan fitnah di kalangan lelaki dan perempuan. ’Abdullah bin Ubai dibiarkan dari hukuman ini kerana mencukupi bagi dirinya akan janji ALLAH untuk menyeksanya di hari akhirat dan kerana ingin mengelakkan fitnah yang lebih besar.
Rujukan:
[1] Al-Qur’an Tafsir
[2] TG Haji Abdul Hadi Awang, Fiqh Al-Harakah Dari Sirah Nabawiyyah (Jilid 2), Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam, Selangor, 2001.
[3] Munir Al-Ghatban, Manhaj Harakah
