"Ya Allah, kurniakanlah ke atasku ketenangan, dan tetapkanlah pendirianku bersama-sama pendukung-pendukung kebenaran, dan tabahkanlah hatiku dengan mengingati Engkau, dan kurniakanlah akan daku keredhaan dengan perkara yang Engkau redhai"

Showing posts with label mahasiswa. Show all posts
Showing posts with label mahasiswa. Show all posts

Saturday, February 20, 2010

tak semudah buat tomyam laa



"Macam mana nak buat tomyam, awak..?"
"Awak main campak-campak je.. asalkan rasa macam tomyam, ok dah tu.."
 "Owh, orang dah pandai buat selalu cakap main campak-campak je..huhu.."


Itu dialog bagaimana mahu bikin tomyam. 
Hmmm... Kalau tak pernah buat, main campak je segala perkakas (bahan-bahan) tomyam tu. Kalau reti dan pernah buat pun, main campak-campak juga. Asalkan di pandangan mata kita, itu adalah tomyam. Asalkan hiduan bau itu, aromanya adalah tomyam. Asalkan bira dicicip rasanya, itu adalah tomyam.. 
Maka ia adalah tomyam. Ia benar-benar sebuah tomyam!!


Tapi saudara-saudaraku, 
menegakkan kalimah ALLAH, tidak semudah melakukan tomyam. Membuktikan rasa cinta kepada Rasulullah bukan seperti mudahnya membikin seketul tomyam. Boleh main masukkan segala macam sesuka hati.. Intro saja nii... 



Coba tanyakan dirimu, apa kata dirimu, kiranya kamu diberi ijin bertemu dengan Rasulullah s.a.w seketika.. apa kan kamu bicara dengan Rasulullah kiranya kamu punyai seminit untuk bicara bersama baginda..?
Ingin sekali kami bertemu dengan mu, insan yang dalam masa yang sama baginda mengingati mati...dan dalam masa yang sama tersenyum dikala bertemu masyarakat...dan dalam masa yang sama begitu digeruni kawan dan lawan... Baginda lah yang akhlaqnya adalah Al-Qur'an...
Masha'Allah... bahkan air mata kah yang kan mengalir? Ya Rasulullah... kami merindui mu, meski kami tak pernah bertemu denganmu... Kami merindui mu, meski kami tidak pernah berbicara denganmu..


Namun, apakah pantas kita kata kita mencintai dan merindui baginda, tetapi.......
dalam masa yang sama kita kita meminggirkan sunnah Nabi?
...sejauhmana kita benar-benar mempraktikkan sunnah Nabi SAW dalam kehidupan harian kita? Kalau solat masih tinggal, aurat anak isteri masih terdedah, fikiran masih sekular,..



Jika kita adalah golongan yang tidak meminggirkan sunnah Rasulullah s.a.w, ayuh, sama-sama buktikan;
dan saya mengajak diri saya dan saudara-saudara juga sahabat-sahabat, rakan sekampus, dan teman yang membaca, agar sama-sama kita berpuasa sunat hari Khamis ni, boleh?
Jom pakat ramai-ramai puasa sunat, dan join IFTHAR JAMA'IE hari Khamis ni... jom pakat solat berjama'ah...sama-sama imarahkan masjid.

Ulama' melahirkan kebimbangan terhadap masyarakat yang ada pada hari ini,
"Aku bimbang, manusia tidak ingin dan tidak berusaha menjadi tetamu ALLAH di dunia, bagaimana dia nak jadi tetamu ALLAH di akhirat.."

Justeru, moh le kite pakat ramei2 ke sejid naa....

tak dapat buat semua, jangan tinggal semua...
kalau ada kekangan nak datang solat berjamaah waktu zohor ke, datang lah solat berjama'ah waktu subuh.. =)


Cinta tidak lahir dari bicara semata, bahkan ia melalui pembuktian anggota...
sebagai mana 'aqidah kita.. kita muslim bukan hanya pada nama, tetapi pembuktian keteguhan aqidah muslim dan imannya  itu melalui ibadah dan gerak aggotanya..
Sebuah pondok kecil takkan siap terbina andai percikan liur saja yang bias, tanpa susulan tindakan dimulakan.



 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ 

Sekeping promotion...





Jom sertai KEMBARA '10.... Cuba perhati sedikit iklan bergambar kat sebelah tu... Macam-macam ada.. Jemputlah datang beramai-ramai ye..  

Tuesday, February 10, 2009

Apakah selama ini kita beruzlah jasadiah, saudaraku?

Helaian risalah yang berselerakan di kafeteria dipungut. Hatinya panas dengan sikap mahasiswa, yang dikatakan sebagai golongan keintelektualan, tapi bahan-bahan begini dicampak merata-rata.
Kalau ia pun tak nak, bagilah pada orang lain. Ini tidak, main campak-campak je.
Getus hatinya.

“AL-AQSA FI KHATAR!!”

Begitu bunyinya muka utama risalah tersebut. Dila kurang faham. Perkataan Al-Aqsa menarik minatnya. Rakan sebiliknya gemar berbincang mengenai al-Aqsa. Tapi dia tidak pernah ambil kisah. Baginya, biarlah mereka nak bincang pun, biarlah mereka bergerak kesana ke mari pun, asalkan tidak mengganggu kehidupan sehariannya, itu memadai baginya. Namun, kali ini, apabila terpandang perkataan ’Al-Aqsa’, timbul rasa ingin tahu, apa sebenarnya yang dikecohkan rakan sebiliknya. Dia membelek-belek risalah tersebut. Dia bingung. Rupanya, dia juga seperti mereka yang mencampak-campak risalah. Tiada perasaan ingin tahu. Hatinya sekali lagi bergetar, marahkan diri.

************

”Kak, apa maksud ni?”
Dila menunjukkan salah satu risalah yang dipungutnya tadi.

Fathma mengambil risalah tersebut.
”AL-AQSA dalam bahaya.”
Dia meneliti isi dalam risalah, seraya menoleh ke arah sahabat sebiliknya yang sedang melipat pakaian.
“Aishya, ni kan risalah yang di provide semalam?” Fathma memandang Aishya. Aishya berhenti seketika dari melipat pakaiannya. Direnungnya risalah tersebut..

”Dila pungutkan tadi, di kafe. Banyak sangat atas lantai. Maaf, kak. Dila rasa, risalah ni juga yang akak bagi pada Dila semalam. Tapi Dila tak hiraukan.”
Wajah Dila kelihatan begitu suram.

Fathma tersenyum.
”Tak mengapa. Dila pun banyak kerja yang perlu diselesaikan semalam,kan?”

Ahh..positifnya kak Fathma.
Isi kandungan risalah begitu menarik minatnya. Hari-hari sebelum ni, juga semalam, Dila abaikan nikmat pendengaran yang ALLAH kurniakan. Dila tidak ambil pusing. Dia tidak segan silu lagi bertanya.

”Kak, Dila ada baca tadi risalah tu..”
Aishya menoleh memandang Dila. Masih ada ruang di hati Dila, ruang hati yang menyayangi saudara se’aqidahnya. Hatinya berbunga.

Dila tunduk. Malu rasanya dia menatap wajah teman sebiliknya. Seorang sebaya dengannya. Seorang lagi setahun tua darinya.
”Tapi Dila tak faham, apa sebenarnya yang berlaku.. Dila tak faham. Tapi hati Dila macam disentap-sentap bila Dila baca semua tu. Akak, Aishya.. jelaskan pada Dila, boleh?”

Fathma dan Aishya berpandangan sesama mereka. Ini lah antara masa yang dinanti-nanti.

”Dila, sebagaimana yang Dila baca, Al-Aqsa fi Khatar, Al-Aqsa dalam bahaya. Dari dulu lagi ia dalam bahaya. Sekarang bahayanya bertambah. Ingat tak, Saidina Umar Al-Khatab, Amirul Mu’minin?” Fathma takkan lepaskan peluang emas. Namun, Fathma perlu berstratergi menyampaikannya, supaya suntikan ini berjaya meresap ke hatinya, dan hati yang mendengarkannya.

”A’aa..Hebat dia.. Kenapa dengan Umar Al-Khatab tu?” Rasa ingin tahu mengasak hatinya.

”Semasa pemerintahan beliau, itulah zaman kegemilangan Islam, zaman keemasan Kerajaan Islam. Beliau berjaya memasuki Baitul Muqaddis tanpa berlaku sebarang pertumahan darah, dimana pembebasan Baitul Maqdis ni telah membuka era baru dalam lipatan sejarah. Setelah sekian lama, kiblat pertama umat Islam ini dikotori dengan pelbagai pengamalan syirik dan kecurangan kepada Allah, kini ia milik umat Islam semula dalam mengembalikan kegemilangannya sebagai kota ketiga paling suci dalam Islam.”

Dila mendengar dengan penuh teliti. Aishya yang baru siap mengemas pakaiannya segera mendapatkan sahabat sebiliknya.

”Yahudi mengaku dia golongan terpilih,kan? Yahudi dan Kristian cuba merampas tanah itu, dan mereka berjaya pada perang pertama. Lepas tu seorang pemuda Islam bersama sahabat-sahabatnya aturkan stratergi, untuk dapatkan kembali tanah yang selayaknya untuk orang Islam. Sebab, tanah tu sudah dibebaskan semasa pemerintahan Umar. Betul tak?” Dila berkongsi terhadap apa yang diketahuinya daripada artikel yang dia telah baca.

Pemuda Islam yang dimaksudkan Dila ialah Salahuddin Al-Ayyubi. Aishya memandang Fathma. Usaha mereka bersama beberapa sahabat lagi tidak tersia begitu. Masih ada yang punyai semangat inkuiri tentang perkara sekeliling. Aishya bersyukur dan berharap ramai mahasiswa akan turut mengikut jejak Dila.

Salahuddin Al-Ayyubi terbilang sebagai pahlawan dan Panglima Islam yang besar. Pada beliau terkumpul sifat-sifat berani, wara’, zuhud, khusyu’, pemurah, pemaaf, tegas dan lain-lain sifat terpuji. Para ulama dan penulis sejarah telah memberikan kepujian yang melangit. Sifat pemurah dan pemaafnya diakui oleh lawan mahupun kawan.
Seorang penulis sejarah mengatakan: “Hari kematiannya merupakan kehilangan besar bagi agama Islam dan kaum Muslimin, kerana mereka tidak pernah menderita semenjak kehilangan keempat-empat Khalifah yang pertama (Khulafaurrasyidin). Istana, kerajaan dan dunia diliputi oleh wajah-wajah yang tertunduk, seluruh kota terbenam dalam dukacita, dan rakyat mengikuti keranda jenazahnya dengan tangisan dan ratapan.”


Dila menelan liur. Jantungnya berdegup kencang secara tiba-tiba.
Owh, hebatnya mereka dahulu. Aku langsung tiada apa-apa. Aku langsung jauh dari memikirkan masalah ini. Aku langsung tidak pernah ambil peduli akan agamaku, apatahlagi tentang umatnya.

Bicara Aishya dan Fathma seperti di awang-awangan.

Fathma yang menyedari akan perubahan Dila memberi isyarat kepada Aishya, agar menangguhkan bicaranya.

**************

”Akak, jom kita keluar berjalan-jalan. Ambil angin petang. Dah lama tak keluar bersama-sama akak..” pinta Dila.

Fathma tersentak.
Ya Allah, selama ini aku hanya memandang sahabat-sahabat yang merapatkan diri dengan usrah. Tapi aku lupakan adik yang telah sekian lama berada sebilik denganku. Aku hanya bercerita hanya kerana untuk melepaskan tanggungjawab, bukan kerana pembinaan ukhuwwah sebenar. Aku lah sebenarnya yang kabur dengan matlamat dan marhalah da’wah.

”Aishya nak ikut, boleh? Kita ajak Farha sekali ye..?”

”Ok je. Lagi ramai, lagi best. Eii..seronoknya..” kedengaran suara riang Dila. Dia mengenakan tudung ungu sepadan dengan baju sukannya.

Aishya menutup buku karangan Munir Al-Ghadhban. Jari-jemarinya menekan-nekan butang huruf pada telefon bimbitnya.

******

Track jogging serta sekitar ruang legar kampus sudah terisi dengan pelbagai aktiviti mahasiswa. Rata-ratanya gemar melakukan aktiviti ringan. Ada yang berjogging, berbasikal dan tidak kurang juga yang berjalan-jalan sekadar mengambil angin. Dalam keramaian dan kepelbagaian aktiviti, tidak ketinggalan juga pasangan-pasangan merpati berjoli-joli turut ber-riadhah.

Masalah pergaulan kian berleluasa. Kalau dahulu, begitu sukar baginya melihat mahasiswa berpasang-pasangan secara terang-terangan walaupun ianya ketika riadhah. Namun kini, berdubelan sudah mejadi trend.

”Aishya, semalam Dila dah tengok video yang Aishya bagi. Kasihan mereka. Mereka berhempas-pulas menjaga maruah ISLAM dan ummahnya.. Tapi kita org ISLAM disini bergelak tawa dengan kesenangan yang ada.. Mereka berjaga malam, tidak tidur demi menjaga Al-Aqsa, tanda maruah ISLAM dan ummahnya..tapi kita disini, tidur lena tidak berjaga.. apa yg kita ada? AL-AQSA dalam bahaya, tapi suasana disini pula cuba mengundang bahaya. Eii..geramnye tengok diorang. Makin bertambah-tambah banyaknya.” Dila mengomel.

”Kalau orang-orang yang menjaga perbatasan pergaulan dan menutup aurat juga turun riadhah, Farha rasa mesti diorang segan, kan?” kata-kata Farha mematikan lamunan Fathma.

”Maksud Farha?” Dila yang sedang bermain daun-daun kering menoleh ke arah Farha, meminta penjelasan untuk mengetahui apa yang dilontarkan oleh rakannya yang sememangnya pendiam itu.

”Dulu, orang ingat lagi, semasa cuti semester. Orang pergi CC dengan abang dan adik perempuan, Fasihah. Memang ramai budak-budak di sana. Macam-macam jenis cara berpakaian. Bercampur lelaki dan perempuan. Kebanyakannya bermain game, download lagu, dan ada yang menemani kawan-kawan diorang je. Lepas beberapa minit kami duduk di CC tu, remaja-ramaja tu keluar seorang demi seorang. Sehinggakan hanya tinggal kami bertiga je.

Selepas keluar dari pusat komputer tu, abang orang tanya, ’perasan tak tadi?’ Orang tak perasan apa-apa pun. Then, dia cakap, kita keluar datang sini pun, kira da’wah juga. Da’wah bil hal. Tak perlu bercakap pun, asalkan kita jaga akhlaq dan perbuatan kita. Itu pun menjadi da’wah.. betul tak, kak?” Farha yang sememangnya pemalu tersipu-sipu malu. Rona merah semulajadi pada wajahnya tampak jelas.

Fathma dan Aishya megangguk tanda setuju.

”Betul tu. Macam Farha cakap tadi, da’wah bil hal lebih berkesan kerana orang nampak dan ianya lebih praktikal buat da’ie.
Sama juga macam kat sini. Kalau kita asyik terperuk dibilik, dengan alasan di luar sana banyak perlakuan maksiat, maka kita telahpun melakukan uzlah jasadiah.” Fathma membuat kesimpulan.

”Haa...kak, Dila tak faham. Uzlah jasadiah tu ape? Pagi tadi kan, Dila pun ada dengar ustaz menyebut tentang uzlah. Ada dua. Uzlah nafsiah dan uzlah jasadiah. Tapi, Dila kurang jelas tentang ni. Akak terang kan, boleh?”

Kata Aishya, ’Uzlah jasadiah ialah pengasingan diri secara fizikal. Manakala uzlah nafsiah adalah pengasingan diri secara dalaman. Uzlah jasadiah bercanggah dengan Islam, kerana beri peluang Jahiliyyah mendominasi tapak-tapak kuasa ataupun mendominasi setiap sudut.

Mereka berpisah dengan masing-masing memikirkan persoalan uzlah.

Ahh..Fathma, apakah selama ini kita beruzlah jasadiah, wahai Fathma? Apakah kita tergolong dalam golongan yang memencilkan diri kerana kita tidak turun ke lapangan umat, hanya kerana kita menganggarkan ada perkara yang lebih aula' buat diri kita, tetapi mengabaikan mereka yang lain?

Thursday, January 29, 2009

tiada manja-manja di jalan ini

“Maka berangkatlah kamu ke jalan Allah sama ada kamu senang atau berat dan berjihadlah dengan harta dan jiwa kamu.” (At-Taubah : 41)

Wahai saudara-saudaraku, anak-anak muda Islam yang beriman!

Perjalanan dakwah yang kita lalui ini tidak disediakan hamparan permaidani merah sebagai alas, bahkan bukanlah pula perjalanan ini ditaburi emas permata, banglo mewah dan kereta. Ia merupakan perjalanan panjang yang penuh tentangan dan rintangan hebat dan berat, secara terangan mahupun secara berlindung-lindungan, dari dalaman mahupun luaran. Mehnah dan ibtila’ itu pasti menerjah dilorong-lorong sepanjang perjalanan.

Jika dibuka kembali lipatan sejarah, jika direnung kembali buku-buku sirah, maka kita akan dapati sudah banyak sejarah orang-orang terdahulu sebelum kita mengenal tanggungjawab da’wah ini, yang merasakan pahit getirnya perjalanan dakwah ini. Ada yang diusir. Ada yang disiksa. Tidak ketinggalan juga, ada yang harus berpisah dengan sanak saudara dan kaum kerabat mereka. Namun, pahit getir perjuangan tidak membantutkan mereka. Buktinya, ada pada hebatnya pengorbanan mereka dalam jalan dakwah ini. Mereka telah merasakan dan sekaligus membuktikan cinta dan kesetiaan terhadap dakwah.

Lihatlah bagaimana Abu Huzaifah ketika peristiwa Ghazwah Badar. Apabila mayat ayahnya ’Utbah Ibn Rabi’ah diheret untuk dicampakkan ke dalam telaga buruk, berubah air mukanya. Lantas, Rasulullah saw yang melihatkan perubahan itu bertanya, ” Wahai Abu Huzaifah, aku dapati kamu terasa sesuatu terhadap ayahmu.” Lalu, apa yang dijawab Abu Huzaifah? ”Demi Allah, wahai Rasulullah, aku tidak terasa kerana dia dibunuh, tetapi aku mengharapkan dia masuk Islam dengan mendapat hidayah. Setelah dia mati dengan cara begini, aku terharu kerana matinya kafir, tidak seperti apa yang aku harapkan.” Ini rijal da’wah. Dia tak mengharapkan lainnya melainkan sinar Islam pada saudaranya. Bapanya. Berpisah mereka bukan sikit-sikit. Bukan kecil-kecil sebagaimana kita dizaman sekarang, yang baru nak keluar ke program da’wah dalam kampus. Dalam kampus. Jauh sikit pun, di luar kampus. Bukan luar negara lagi.

Ini bukti keikhlasan mereka. Keikhlasan membuatkan mereka gigih dalam pengorbanan dan menjadi permata bernilai buat sejarah umat da’wah ini. Pengorbanan yang telah mereka berikan dalam perjalanan dakwah ini menjadi contoh teladan kepada kita.

Berkata As-Syahid Sayyid Qutb,
"Kita akan merasai perjuangan ini sempit apabila memikirkan bahawa kita yang memulakan perjuangan dan akan mengakhiri perjuangan ini. Tetapi apabila kita memikirkan bahawa perjuangan ini bukan kita yang memulakan dan menamatkannya, maka ketika itu terasalah kita bagaimana luasnya perjuangan kita, bagaimana luasnya keluarga kita kerana keluarga kita bukan keluarga yang diikat oleh keturunan darah tetapi diikat oleh kesatuan 'Aqidah la ila illallah Muhamad al Rasullullah".



Wahai jiwa yang membara-bara demi menegakkan tertegaknya daulah Islamiah,

Renungkanlah pengalaman mereka sebagaimana yang difirmankan ALLAH SWT dalam surah At-Taubah: 42.
Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: "Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu." Mereka membinasakan diri mereka sendiri (disebabkan sumpah mereka yang palsu) dan Allah mengetahui bahwa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.
(At-Taubah : 42)

Tapisan ALLAH berlaku setiap masa. DIA memilih hamba-hamba-Nya yang benar-benar ikhlas dan sabar dalam memikul beban da’wah ini. Meniti sirah perjuangan Rasulullah dan para sahabat, mereka juga telah melihat siapakah antaranya yang dapat bertahan dalam mengarungi perjalanan yang berat itu. Hanya kikhlasan yang dapat mengukuhkan perjalanan dakwah ini. Keikhlasan dan kesetiaan yang menjadikan pemiliknya sabar dalam menghadapi cubaan dan ujian. Ini menjadikan mereka optimis menghadapi apa jua bentuk ujian, dan siap sedia berkorban untuk meraih kejayaan. Keikhlasan dan kesetiaan yang membawa jiwa-jiwa belia untuk berada pada barisan terdepan dalam perjuangan ini. Ini lah perasaan yang membuatkannya berbahagia dan sangat bersungguh-sungguh menikmati beban hidupnya. Setia dalam kesempitan dan kesukaran. Demikian pula setia dalam kelapangan dan kemudahan.

Berkata si pujangga,
Keimanan yang benar menjadikan perjalanan hidup umpama sebuah kisah cinta; kesetiaan dan pengorbanan menukar ujian pahit menjadi satu kenangan manis, kesabaran menjadikan segala beban yang ditanggung ringan dan mudah,
keyakinan pada janji-janji Allah menjadikan jiwa tenang ketika perjalanan begitu sukar,
kerinduan padaNya menjadi pembakar semangat setiap kali berdepan dengan kegagalan dan ujian berat...



Wahai sekalian pencinta tertegaknya Negara Islam,
Demikian orang orang yang benar-benar jujur, ikhlas dan setia dalam perjuangan. Sebaliknya orang-orang yang rapuh jiwanya dalam perjuangan ini tidak akan dapat bertahan lama. Merungut pada banyaknya tanggungjawab dan gerak kerja. Mengeluh pada beratnya beban, dan jauhnya perjalanan yang ditempuh. Mereka menolak untuk menunaikannya dengan segala macam bentuk alasan agar mereka diberi kelonggaran dan pengecualian untuk tidak turut serta. Menjadi berat hati berada dalam perjuangan ini dan hingga akhirnya lemah dan berguguran satu per satu, sebelum sampai pada tujuan perjuangan.

Serangan dari penyakit wahan telah merapuhkan hati dan melemahkan mental sehingga mereka tidak dapat menerima kenyataan pahit sebagai risiko dan sunnah dakwah ini. Malah mereka menggugatnya lantaran anggapan mereka bahwa perjuangan dakwah tidaklah harus mengalami kesulitan, malah ianya mudah lantaran adanya pertolongan.

Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu, hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian, dan hati mereka ragu-ragu, karena itu mereka selalu bimbang dalam keraguannya. Dan jika mereka mau berangkat, tentulah mereka menyiapkan persiapan untuk keberangkatan itu, tetapi Allah tidak menyukai keberangkatan mereka, maka Allah melemahkan keinginan mereka. dan dikatakan kepada mereka: "Tinggallah kamu bersama orang-orang yang tinggal itu."
(At-Taubah : 45-46)


Keikhlasan dan kesetiaan yang ada pada diri merupakan faktor kuatnya daya tahan dan teguhnya dalam dakwah ini. Sikap ini membuat mereka sentiasa bersedia dalam menggalas dan menjalankan tanggungjawabnya. Mereka punyai sistem on-call, bukannya sistem on the way. Bersiap sedia bila-bila masa. Mereka juga dapat menunaikan tugas dengan sebaik-baiknya. Mereka tidak mengira apakah kedudukan mahupun posisi dalam gerak da’wah. Sama ada mereka di atas, mahupun ditengah, ataupun di bawah. Bagi mereka, itu bukanlah faktor utama. Itu hanyalah alat. Yang penting, Islam tertegak. Da’wah berjalan lancar.


Wahai sekalian perindu negeri akhirat,
Marilah kita menyelusuri perjalanan dakwah Abdul Fattah Abu Ismail, salah seorang murid Imam Hasan Al Banna yang selalu menjalankan tugas dakwahnya tanpa keluhan sedikitpun. Dialah yang disebutkan oleh Hasan Al Banna orang yang sepulang dari tempatnya bekerja sudah berada di kota lain untuk memberikan ceramah kemudian berpindah tempat lagi untuk mengisi pengajian dari waktu ke waktu secara larian. Dia selalu berpindah-pindah dari suatu kota ke kota lainnya untuk menunaikan amanah dakwah. Sesudah menunaikan tugas dengan sebaik-baiknya, dia merupakan orang yang pertama kali datang ke tempatnya bekerja (jangan cari alasan untuk datang lewat). Malah, ia yang membukakan pintu gerbangnya. Pernah ia mengalami keletihan hingga tertidur di sofa rumah Zainab Al-Ghazali. Melihat keadaan tubuhnya yang lelah dan penat itu, tuan rumah membiarkan tetamunya tertidur sampaikan dia bangun. Setelah menyampaikan amanah untuk Zainab Al-Ghazali, Abdul Fattah Abu Ismail bergegas untuk ke tempat seterusnya. Kerana keletihan yang dialaminya, Zainab Al-Ghazali memberikan wang untuk beliau bergerak menaiki teksi. Abdul Fattah Abu Ismail mengembalikannya sambil mengatakan,
“Dakwah ini tidak akan dapat dipikul oleh orang-orang yang manja.”
Zainab pun menjawab, “Saya sering ke mana-mana dengan teksi dan kereta-kereta mewah, tapi saya tetap dapat memikul dakwah ini dan saya pun tidak menjadi orang yang manja terhadap dakwah. Kerana itu, ambillah wang ini, tubuhmu letih dan engkau memerlukan istirehat sejenak.”
Ia pun menjawab, “Berbahagialah ibu. Ibu telah berjaya menghadapi ujian Allah swt. Berbentuk kenikmatan-kenikmatan seperti itu. Namun, saya bimbang saya tidak dapat menghadapinya sebagaimana sikap ibu. Terima kasih atas kebaikan ibu. Biarlah saya menaiki kenderaan umum saja.”


Duhai saudaraku yang dimuliakan Allah swt.

Itulah contoh orang yang telah membuktikan kesetiaannya pada dakwah lantaran keyakinannya terhadap janji-janji Allah swt. Janji yang tidak akan pernah dimungkiri sedikit pun. Janji yang tidak pernah gagal. Allah swt. telah banyak memberikan janji-Nya pada orang-orang yang beriman, yang setia pada jalan da’wah berbentuk pelbagai anugerah-Nya. Sebagaimana yang terdapat dalam Al-Qur’an.

Hai orang-orang yang beriman, jika kamu bertakwa kepada Allah, niscaya Dia akan memberikan kepadamu furqan (petunjuk yang dapat membedakan antara yang haq dan yang batil, dapat juga diartikan disini sebagai pertolongan) dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahanmu dan mengampuni (dosa-dosa)-mu. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.” (Al-Anfal: 29)

Dengan janji Allah swt. tersebut, orang-orang beriman tetap bertahan mengharungi jalan da’wah ini. Dan mereka menyedari bahawa perjuangan yang berat itulah sebenarnya menjadi kunci untuk mendapatkannya. Semakin berat perjuangan ini semakin besar janji yang diberikan Allah swt. Kesetiaan yang bersemi kukuh dalam diri, itulah yang membuat mereka tidak akan pernah menyalahi janji-Nya. Dan, mereka pun tidak akan pernah ingin merubah janji apatah lagi mengingkari kepada-Nya.

Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak merubah (janjinya). (Al Ahzab: 23)


Wahai teman – teman sepejuanganku dunia akhirat,
Aktivis da’wah sangat menyakini bahawa adanya kesabaran membuatkan mereka kuat menghadapi berbagai rintangan dakwah. Bila dibandingkan apa yang kita lakukan serta yang kita dapatkan sebagai risiko perjuangan di hari ini dengan keadaan orang-orang terdahulu dalam perjalanan dakwah ini, tidaklah seberapa. Pengorbanan kita di hari ini masih dipermukaan pengorbanan waktu untuk da’wah. Pengorbanan tenaga dalam gerak kerja untuk kepentingan da’wah. Dan sebahagian kecil adalah pengorbanan dari harta kita yang banyak. Cuba lihat pengorbanan orang-orang terdahulu, ada yang disalai di bawah panasnya mentari, digergaji, ada yang diikat dengan empat ekor kuda yang berlawanan arah, lalu kuda itu dipukul untuk lari sekencang-kencangnya hingga terkoyak orang itu. Ada pula yang dibakar dengan tungku yang berisi minyak panas. Mereka dapat menerima risiko kerana kesabaran yang ada pada dirinya. Dan mereka tetap tidak berpaling dari medan da’wah ini. ALLAHUKABAR! Bekalan kesabaran mereka tidak pernah berkurang sedikit pun kerana keikhlasan dan ke-taat-setiaan mereka pada Allah swt.

Dan berapa banyak nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikut (nya) yang bertakwa. Mereka tidak menjadi lemah karena bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Allah menyukai orang-orang yang sabar. (Ali Imran: 146)

Bila kita memandang kehidupan generasi pilihan, kita akan temukan kisah-kisah brilian yang telah menyuburkan dakwah ini. Muncullah pertanyaan besar yang harus kita tujukan pada diri kita saat ini. Apakah kita dapat menyemai dakwah ini menjadi subur dengan perjuangan yang kita lakukan sekarang ini ataukah kita akan menjadi generasi yang hilang dalam sejarah dakwah ini.

Ingat, dakwah ini tidak akan pernah dapat dipikul oleh orang-orang yang manja. Kita perlu menilai pentarbiyyahan agar ianya menyeluruh dan mampu mencetuskan al-yaqazah al-ruhiyyah (kesedaran rohani) supaya lahirnya beliawan dan beliawanis yang punyai hidup yang bererti, bercahaya ruhaninya, mengakar pemikirannya, dan berkembang gerakannya.

Dr Yusuf Al-Qardhawi dlm kitabnya Al-Iman wal Hayah menyatakan:
“Tidak mungkin manusia dapat menghindarkan diri daripada pelbagai kesulitan, begitulah kenyataan hidup, ramai yang bersua dengan kegagalan,ditinggalkan kekasih, penyakit menyerang tubuh, kehilangan harta benda dan seterusnya. Kemudian beliau mengambil hadis Rasulullah bermaksud:
“Perumpamaan org beriman yg ditimpa ujian bagai besi yg dimasukkan kdlm api lalu hilang karat dan tinggal yg baiknya saja”.

Dengarlah rintihan Zinnirah kepada Al-Khaleeq,
"Ini untukmu Ya Allah. Aku mengharungi kesengsaraan ini untuk mendapat kesenangan di akhirat kelak. Perjuangan ini sememangnya berat, selalu menderita dan sengsara kerana aku sedar untuk mendapat syurga. aku terpaksa menagih ujian berat, sedangkan neraka itu dipagari oleh pelbagai kesenangan.”
Inilah rintihan hati Zinnirah kepada Allah S.W.T ketika bermunajat kepada Allah di setiap malam sebagai penawar jiwa di atas segala kesusahan yang dia hadapi. Jiwanya semakin kukuh. Imannya semakin teguh.

Apabila tiba hari akhirat kelak, Allah Taala akan menghimpunkan seluruh mujahidin dalam satu saf semantara menanti masa untuk dimasukkan ke dalam syurga-Nya.
Mengenangkan munajat Uthman bin Affan,
“Sekiranya aku dihadapkan di hadapan Allah, untuk menanti keputusan sama ada aku diletakkan ke dalam syurga atau dicampakkan ke dalam neraka-Nya, maka aku lebih rela untuk menjadi debu kerana takutnya hati ini”.
Sedangkan Umar Al-Khattab yang imannya di akui penduduk langit dan bumi juga memukul dirinya kerana takut tergolong dalam golongan munafiq. Ini kan pula kita yang iman senipis sel bawang, yang mana kita mengenal perjuangan ini baru saja dipermukaan kulit buku, sebagai analogi nya.

Ya Allah, ampunilah dosa kami. Betapa tinggi ibadat mereka sehingga mereka sanggup menghabiskan masa berjam-jam lamanya untuk berdialog dengan-Mu sedangkan kami pula sebaliknya. Ya Allah, kasihilah kami. Betapa khusyu’ dan tawadhu’nya hati mereka sehingga mereka menangis mengenangkan dosa, sehingga berbekas aliran putih di bawah mata mereka lantaran tangisan mereka yang berpanjangan. Ya Allah, kami merindui belaian lembut maghfirah-Mu. Ampunilah segala kesilapan dan kealpaan kami.

Semoga Allah mengampuni kita dan meneguhkan kita dalam perjuangan.

Iktibar dari Siri Panglima Islam

Sebagai mahasiswa Islam, seharusnya kita mengambil iktibar dari kisah Panglima Islam, Salahuddin Al-Ayyub

Kekuatan aqidah teras kemenangan Islam

a.Lihatlah bagaimana zaman Salahuddin Al-Ayyubi, kekuatan aqidah beliau dan tentera Islam ketika itu telah menggerunkan musuh Islam.

b.‘Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha dengan kamu sehinggalah kamu mengikuti agama (cara hidup) mereka. Katakanlah, sesungguhnya petunjuk Allahlah merupakan sebenar-benar petunjuk. Dan sekiranya engkau mengikuti kemahuan mereka setelah engkau mengetahui, maka tidak ada bagimu wali dan penolong dari (siksa) Allah’ (al-Baqarah : 120)

c.Bangkitkan kembali jiwa yang mencintai Islam; agar tidak mudah terpedaya dengan anasir yang dibawa oleh musuh ISLAM. (eg: song, sports ext.)



Peribadi


a.Pada suatu hari ketika Salahuddin Al Ayubi sedang berjalan di luar Baitul Maqdis seorang perempuan yang memakai salib menegurnya:
“Hai pahlawan yang agung, tuan telah berhasil mengalahkan musuh-musuh tuan. Tetapi kenapa tuan tidak membalas seperti tindakan yang kejam yang telah mereka lakukan terhadap tentera tuan?
Salahuddin menjawab; “agama yang saya anut melarang melakukan perbuatan kejam seperti yang dilakukan pihak musuh Islam memerintahkan kepada kami supaya menepati janji, memaafkan kesalahan orang lain dan melupakan kekejaman yang pernah dilakukan pihak musuh saat mereka berkuasa”. Perempuan tua tersebut akhirnya memeluk agama Islam kerana tertarik dengan ajaran Islam yang melarang mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi. Lantas, Pemuda Islam manakah yang mewarisi ketinggian akhlak Salahuddin Al Ayubi?

Jadilah mahasiswa yang sensitive / mengambil cakna terhadap keadaan semasa/persekitaran.



Mementingkan keberkatan


a.Semasa dalam peperangan bukan tidak pernah pasukan Salahuddin Al-Ayubi dikalahkan. Sebagai panglima beliau membuat siasatan. Ironinya, siasatan utama beliau adalah berasaskan apa yang menghalang keberkatan dari Allah SWT dalam perjuangan kita kali ini. Memang pada akhir siasatan beliau akan dapat menemui ada dosa yang dilakukan oleh salah seorang tentera Islam, misalnya sambil dalam perjalanan ke medan tentera Islam mengambil barang yang bukan hak. Maka dosa itu menghalang keberkatan Allah SWT untuk umat Islam memenangi perjuangan itu, Perlu diingat, bukan perjuangan ini sahaja, tetapi apa jua perjuangan umat Islam. Sayangnya ramai umat Islam pada hari ini melihat dosa kecil sebagai kecil tetapi itulah punca perjuangan Islam masa kini belum menemui kejayaan/keberkatan.

b.Semasa dalam Perang Salib, pada malamnya beliau meninjau dan melawat ke khemah-khemah pejuang Islam. Pada esoknya yang dibawa pergi berjuang hanyalah kelompok yang sebelah malamnya bangkit untuk berqiamullail dan meninggalkan kelompok yang tidak berqiamullail. Logik akal mengatakan sepatutnya kita akan membawa tentera yang telah mendapat rehat yang cukup yakni tidur yang cukup untuk berjuang. Tetapi tidak bagi Salahuddin Al Ayubi, beliau hanya membawa yang boleh mendatangkan keberkatan Allah SWT.



PERSOALAN BUAT KITA…

1. Jika diamati sebaik-baiknya, beliau juga adalah seperti kita. Lahirnya Salahuddin Al-Ayyubi, sebagai seorang muslim, sama seperti kita juga.
Namun, apa bezanya antara kita dengan beliau yang telah banyak berkorban, berjuang, berjihad fi sabilillah? Apakah penyebabnya beliau banyak menyumbang untuk Islam? Bukankah kita sama seperti beliau?

2. Dalam umurnya seperti dan seusia kita sekarang ini, berapa banyakkah sumbangan yang telah beliau sumbangkan pada Islam? Dan berapa banyak pulakah sumbangan yang telah KITA sumbangkan untuk Islam?


Lantas,
“Dimanakah silapnya kita?”
“Mengapa kita tidak boleh menjadi seperti beliau?”
“Apa yang menyebabkan bezanya kita dengan beliau?”

Perkara inilah yang perlu kita kaji dan cari. Bukan setakat cari sahaja, bahkan hinggalah ke puncanya. Bila diketahui puncanya, maka lakukanlah usaha kita sehabis mungkin. Hapuskan yang jahiliyah hingga ke akar umbi! Kemudiannya barulah kita bertawakkal sepenuh tawakkal pada Allah Yang Maha Mencipta, Yang Maha Agung, Yang Maha Mengasihani.

Template Design | monera87