"Ya Allah, kurniakanlah ke atasku ketenangan, dan tetapkanlah pendirianku bersama-sama pendukung-pendukung kebenaran, dan tabahkanlah hatiku dengan mengingati Engkau, dan kurniakanlah akan daku keredhaan dengan perkara yang Engkau redhai"

Tuesday, June 23, 2009

23

Alhamdulillah, tamat menjawab soalan pekso tadi..

"Camna pekso?"

"Pekso? ooo... 'dia' sihat.."

teringat dialog dengan BiGbRo suatu ketika dahulu. Macam-macam. Ini gaya orang angau nak balik rumah. Angau? Jangan salah tafsiran pulak. 

Teringat malam kelmarin, ayah telefon.
Pagi sebelum tu, saya telefon ayah.  Seperti biasa, soalan ayah dapat ku agak dan agakan ku tepat sekali. [selalu-selalu lah teefon dan tanyakan khabar keluarga.. anda akan mampu menghafal skripnya. ('',)  ]

dan iniantara dialog tambahan,
"balik bila..?"
"23 ni, ayah.."
"betul la ayah cakap, 23.. mak kata 22.."

malam semalam, mak telefon. Ku sangka abang telefon, kerana paparan di skrin telefon menunjukkan BiGbRo telefon. Jawab telefon, aiikkk.. suara budak-budak. Si kembar. 

"Kak balik bila?"
"23 ni. awat?" terdengar suara si kembar beritahu mak. 'mak, kak kata 23..'

suara mak bagi salam. Seperti dapat di agak, soalan 'balik bila' pun sampai ke telinga ku.

"23, ni mak.."
"laa... mak ingat 22 ni."
"kalau balik 22, 'chek' tak amek periksa la nanti.."
mak ketawa.
"periksa bila? bukan 22 ka?"
"periksa pun 23 ni. petang."
"laa.. mak ingat  22.."
"22 tu kak ti periksa."

dialog yang seterusnya adalah dirahsiakan skripnya.

Begitulah, ibu bapa. 
Kasih mereka, adakala kita nampak. Tampak kita akan kasih mereka, itu baru berapa percent saja. Berapa banyak lagi %an yang kita sedar dan tak sedari. Sesungguhnya saya, anda, menyedari akan kasihnya mereka kepada kita. 

Jadi, hargai mereka di kala masih ada.
Jadilah anak yang benar-benar soleh dan solehah, di hadapan mereka dan di belakang mereka. Dalam pengetahuan mereka atau luar pengetahuan mereka. 

Moga kita menjadi anaksoleh/ah yang sentiasa mendoakan kebahagiaan dan kesejahteraan mereka di dunia dan akhirat. Moga kita ini adalah saham yang baik buat mereka.

Mak, ayah, kepulangan saya ke rumah kali ini, saya akan jadi lebih baik. 

>>> Jadilah anak yang paling soleh dan muslih dalam keluarga

Sunday, June 21, 2009

Selamat Maju Jaya


Selamat maju jaya kepada semua sahabat-sahabat yang bakal menghadapi peperiksaan pada minggu ini. Kepada yang membaca, terbaca, dan yang tidak terbaca sekalipun, semoga ALLAH memberkati kita dan ilmu yang kita pelajari. 

Kita hamba, maka jadilah kita sebenar-benar hamba kepada-NYA... 

tulip putih


Alhamdulillah. Aku masih berkesempatan bernafas di kala terbit sinar mentari di pagi dhuha. Betap indah ciptaan Allah. Subhanallah.


Ramai orang berbicara bunga. Bunga itu juga antara ciptaan Allah, ciptaan begitu unik. Dalam banyak-banyak bunga, aku menyukai si tulip.

Dalam banyak-banyak tulip, aku menggemari tulip putih. Apatah lagi kuntuman bunga berwana putih, daun dan batangnya yang hijau. Subhanallah, comelnya... Mungkin kerana hijau dan putih itu warna kegemaran. Ya warna kegemaran. Ramai orang mengatakan aku punyai maksud tersirat disebalik warna kegemaran itu. Warna tetaplah warna.

Rasulullah s.a.w juga menggemari warna hijau dan putih.

Apatah lagi dalam Al-Qur'an juga ada menyebutkan hijau. 

"Mereka itulah (orang-orang yang) bagi mereka surga 'Adn, mengalir sungai-sungai di bawahnya; dalam surga itu mereka dihiasi dengan gelang mas dan mereka memakai pakaian hijau dari sutera halus dan sutera tebal, sedang mereka duduk sambil bersandar di atas dipan-dipan yang indah. Itulah pahala yang sebaik-baiknya, dan tempat istirahat yang indah;" (18:31)

 Apakah kamu tiada melihat, bahwasanya Allah menurunkan air dari langit, lalu jadilah bumi itu hijau? Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui. (22:63)

Kedua syurga itu (kelihatan) hijau tua warnanya. (55:64)

Mereka bertelekan pada bantal-bantal yang hijau dan permadani-permadani yang indah. (55:76)

Banyak hijau. Putih juga banyak. 

Sesekali terlihat dan melihat bunga berwarna putih, yang daunnya hijau.. mengingatkanku akan sesuatu. (sesuatu apa?)


Saturday, June 20, 2009

WABAK SEPANJANG JALAN


1) AL-FUTUR 
Pengertian(bahasa) : -terputus atau terhenti sesudah berjalan, atau diam sesudah bergerak -malas, menangguh, melengah-lengah sesudah bergerak aktif dan bersungguh-sungguh Pengertian (istilah) : tahap yang paling rendah ialah malas,menangguh-nangguh,melengah-lengahkan dan yang paling tinggi ialah berhenti terus atau diam sesudahbergerak cergas secara berterusan. 

2) AL-ISRAF(PEMBOROSAN) 
Pengertian(bahasa) : - apa yang dibelanjakan bukan untuk ketaatan kepada Allah -Pembaziran atau tindakan yang melampaaui batas pengertian (istilah) –perbuatan yang melampaui batas keserderhanaan, samada dalam perkara makanan,minuman, pakaian , tempat tinggal, dan seumpamanya,yang merupakan naluri yang tersembunyi dalam diri manusia. 

3) AL-ISTI’JAL(GOPOH /TERBURU-BURU) 
Pengertian(bahasa) :- mendesak, minta di segerakan terburu-buru atau laju. Dalam istilah pendakwah : -keinginan untuk mengubah reality penghidupan masa kini dalam sekelip mata atau kurang dari sekelip mata tanpa menilai tentang kesan buruk yang akan berlaku disamping tidak memahami suasana persekitaran yang melingkungi mereka. 

4) AL-UZLAH(MEMENCILKAN DIRI) 
Pengertian (bahasa) : - menjauhkan atau menyisihkan. Menurut kamus lisan al arab-meminggir sesuatu atau mengetepikan maka dipinggirkan ia. Istilah pendakwah : -mengutamakan penghidupan secara berseorangan dengan meninggalkan penghidupan secara berjamaah. Cara yang demikian menjadikan seorang amilin merasai sudah cukup untuknya mendirikan Islam dalam dirinya sendiri, tanpa memperdulikan orang lain, sekalipun orang lain menghadapi kebinasaan atau kehilangan, atau seseorang itu cuba menegakkan Islam dalam dirinya sendiri. Kemudian secara berseorangan, ia berusaha sedaya upaya menegakkannya dikalangan orang ramai tanpa meminta pertolongan dan sokongan para amilin lain yang sama-sama berada di medan perjuangan. 

5) AL-I’JAB BIL NAFSI(TERPESONA DENGAN DIRI SENDIRI) 
Pengertian (bahasa) :- Gembira dan berharapan baik -Rasa besar dan membesarkan Istilah :- Suatu kegembiraan degan diri sendiri, hasil dari apa yang dilakukannya sama ada perkataan atau perbuatan tanpa menyinggung orang lain, tanpa mengambil kira perbuatan dan perkataan tadi baik atau buruk, terpuji atau terkeji. 

6) AL-GHURUR (TERTIPU DENGAN DIRI SENDIRI) 
Pengertian(bahasa) :-penipuan sama ada kepada diri sendiri atau kepada orang lain - seseorang yang tertipu dengan kebendaan dunia Istilah: -kekaguman seorang amilin dengan diri sendiri sehingga mengdorongnya ke tahap menghina dan memperkecil-kecilkan setiap apa yang diusahakan oleh orang lain yang menyerupai apa yang ia sedang lakukan. Sungguhpun demikian, sikapnya itu tidaklah sampai ke tahap memperlekehkan peribadi saingannya atau merendah-rendahkan peribadi mereka.

7) AL-TAKABBUR 
Pengertian (bahasa) :-menonjolkan kebesaran dan kesombongan -kebesaran dan kesombongan istilah : -seseorang amil itu menonjolkan kebesaran ke atas dirinya dalam bentuk menghina orang lain dan memperlekehkan kewibawaan mereka. 
Sebab-sebab Berlakunya :
1) Suasana membesar 
2) Tidak memahami fitrah diri
3) Berdampingan dengan orang yang salah (sesat, tidak berjiwa besar, tidak berakhlak) 
4) Tidak berpijak di alam nyata(too optimistic) 
5) Semangat yang membara 
6) Runtunan nafsu 
7) Tidak muhasabah diri dengan baik 
8) Tidak memahami ilmu dengan tepat 
9) Terlampau merendah diri 
10) Terlampau yakin dengan diri sendiri. 


(DR. AL SYED MUHAMMAD NOH) 

menongkah arus

 

Kampung Selebar Benang aman. Aman dan sunyi sepi. Bagusnya, suasana aman begini. Tenteram. Namun, masyarakat begitu asyik dengan kerja sendiri. Masing-masing dengan hal sendiri. Tetapi keadaan tetap aman dan terkawal. Anak-anak kecil bermain petang, penuh tawa riang. Ada bermain upih, pondok-pondok, dan sebagainya. Manakala anak-anak muda remaja pula bermain sesama keluarga mereka sahaja. Anak lelaki bermain guli, menangkap ikan, bermain layang. Anak-anak perempuan bermain batu seremban, congkak, bersiar-siar dan berbual. Harmoni juga biarpun pergaulan hanya dalam lingkungan keluarga mereka sahaja. Tiada percampuran. Ya. Masing-masing dengan hal masing-masing. Tiada pergaulan bebas, tiada peperangan, apatah lagi kecurian, dan rompakan. Rekod bersih. Tahniah warga Selebar Benang.

Berita pagi itu memberi khabaran, bahawa kenaikan minyak kira-kira dua hari esoknya akan beroperasi. Penduduk Selebar Benang tetap tenang. Tidak mengapa. Asalkan ikut arus, segalanya tetap harmoni. Pak Ketua merasa senang dengan respon penduduk. Baik benar anak buahnya. Tiada rungutan, tiada sungutan.

Seminggu selepas kenaikan, penduduk masih seperti sediakala. Cuma si bapa semakin kerap pulang ke rumah larut malam. Mencari nafkah menampung hidup. Anak-anak sudah diulit mimpi. Maka bertemu mata antara mereka hanyalah di kala sarapan pagi. Itu pun jika bapa keluar agak lewat ke kantornya.

Begitu pun, penduduk masih akur dengan tindakan atasannya.

Hinggalah suatu masa, anak-anak kecil merengek kelaparan. Anak-anak kecil merengek merindukan si bapa. Kenapa bapa sering tiada. Anak-anak remaja mula bosan ditinggalkan bersendirian. Rumah yang ceria kini bertukar rupa. Anak remaja mula kekosongan, lalu berkeliaran di kota raya.

Penduduk Selebar Benang perasan akan keadaan itu. Yang kaya menjadi sederhana. Yang sederhana kian miskin. Yang miskin terus miskin.

Kecurian pula mula menapak. Kerana ingin menyambung hayat diri dan keluarga. Kes sosial mula menular. Hijrah kota raya masuk ke kawasan pendudukan sebegitu. Jiran-jiran sering bertingkah.
Hudzaifah termenung dan memikirkan..Jadi salah siapa sebenarnya? Bukan mereka yang menginginkan kekeruhan. Bukan jua mereka yang inginkan ketohoran. Bukan dia ingin menyalahkan siapa. Tetapi gara-gara siapa puncanya? Ini padahnya mengikut arus tanpa menilai ketelusannya. Getusnya. Bukanlah salah menongkah arus kerana mencari yang terbaik untuk kehidupan disini dan sana.

Thursday, June 18, 2009

borang

~

Perlahan-lahan laci meja ditarik. 
Dia melihat borang muhasabah. Kosong. Sudah lama tidak ditatap boring muhasabah. Tiada satupun dari senarai itu ditanda. 
Pengisian, solat berjemaah, pembacaan buku, solat dhuha, solat solat tahajjud, istikharah, hajat, taubat, baca al-qur’an, solat sunat rawatib dan segala jenis ibadah nawafil lain dia tidak menandakannya. Apa aku sudah buat selama ini? Aku terlupa tanda? Tidak, hakikatnya bukan masalah tanda atau tidak. Tapi menjadi masalah bila aku tidak melakukan hatta sebahagian dari senarai itu. Sibuknya aku. Hinggakan tidak sempat sediakan ruang masa eksklusif bersama Allah !

-

”Kenapa perlu borang-borang ni? Alah, birokrasi banyak betul la akak ni..”
Aku tersengih melemparkan kata-kata tersebut.
Kak Fathma tersenyum tenang.
”iye? Tapi kalau Dhiya’ nak improve ke arah sesuatu yang lebih mencabar lagi baik, untuk step permulaan, elok juga borang ni.”
”hmmphh..” satu keluhan keluar dari mulutku. Alah, borang je pun. Kalau orang nampak, mesti dia cakap riak. Saje nak menunjuk.
”Dhiya’ bimbang? Tak mengapa, akak takkan check. Dhiya’ sendiri. Itu pun kalu dhiya mahu. Apapun, akak tinggalkan pada dhiya’ ye..”
Kak Fathma beredar meninggalkan aku yang belum berpuas hati.

-

Tenang Aishah menyudahi bacaan kalamullah. Seusai meletakkan kitab suci itu ditempat bersih dan tersusun, dia bergegas ke meja belajar, menulis sesuatu. 

Aku yang sedari tadi menjadi pemerhati setia mendekatinya.
”Syah buat apa?”
”Tak de apa pun. Saje tulis-tulis.”
Aku melihat kertas di atas meja dengan anak mataku.
Tersentak. Hatiku disentap-sentap.

”Syah selalu catatkan ye?”
Aishah senyum. Tenang bersahaja raut wajahnya.

”Shah tahu, malaikat kiri kana sentiasa mencatat amalan kita untuk beri report kepada Allah. Bukan bermaksud Allah tak mampu melihat para hamba-Nya. Tapi itulah kekuasaan dan kemegahanNya selaku Pencipta. Dia berhak dan berkuasa atas segala sesuatu.”

Suka dia mendengar Aishah berbicara. 

”Shah belum jawab soalan saya..?”
“muqaddimah baru.” Dia ketawa kecil. Dhiya’ tersengih. Ade hati kenekan aku.

Hatinya berbunga juga. Sahabatnya boleh di bawa bergurau dan berbincang.

”Saya, sedikit saja saya catatkan.Untuk saya check diri saya. Sedikit benar masa saya peruntukkan bersama Allah.”

”Tapi, bukan ke apa saja kita lakukan, kita merasakan Allah bersama kita? Itu pun masa kita bersama Allah, kan?”

”Betul. Tapi juga, adakala kita alpa. Allah memerhati dan bersama kita, tapi adakala saya terlupa Allah itu sentiasa perhatikan dan bersama kita..” 
Aku termagu. 
”Allah memerhati kita sepanjang masa. Dia sayang hamba-Nya. Jadi, saya pun memupuk sayang dan cinta saya kepada Allah. Bukankah kekasih hati itu sering ingin masa yang ekslusif berdua bersama kekasih hatinya?”
Diam.

Ada benarnya. Tetapi manusia sekarang lebih fokuskan cinta hatinya kepada dunia. Bahkan, tiada usaha mendekati Allah. Aku juga. Berbicara tentang Islam dan perjuangan. Dakwah dan tarbiyah. Akhlaq dan moral. Pemerintahan dan penguasaan. Ekonomi dan sosial. Pendidikan dan kesihatan. Kehormatan dan kemuliaan. Isu semasa dan sebagainya. Tetapi langkahku berjinak dan menyediakan waktu bersama Allah secara terus melalui ibadah malam tidak berganjak. Aku berfikir, pernahkah aku berusaha? Pernahkah aku meminta Aishah sama-sama kejutkan aku untuk solat malam bersamanya? Aku tiada usaha. Kalaupun dikejutkan, aku memejam kembali mata. Penat dan mengantuk. Penat di siang harinya kerana banyak bekerja. Gerak kerja memerlukan ramai orang untuk memikul dan menggalasnya. Tapi sekarang masih sedikit. Jadi aku penat bekerja. Malamnya tidurku begitu lena, hingga dikejutkan, aku tiadalah upaya. Malunya aku. Aku belum cukup persiapan. Hatiku lirih.

”shah.. saya penah diberi borang muhasabah.” ujarku perlahan.
Aishah memerhatiku. Wajahnya menunjukkan minat mendengar. Aku mengambil borang muhasabah yang diusik dua hari lalu. Malu dia menunjukkan kepada Aishah.

”Bagusnya. Lagi sistematik susun aturnya, kan? Untungnya awak.”
”Tiada untungnya kalau tiada apa-apa yang dibuat jika kita tiada usaha lakukan, kan?”
Aishah diam. Dia dapat membaca apa yang bermain difikiran sahabatnya. Diamnya seketika seketika, seraya berkata. 

”Ramai orang bermula dari kosong. Selepas kosong, matematiknya, jika kosong ditambah satu, maka jadi ia satu, kan? Ditambah lagi, meningkat lagi. Sama juga dengan botol kosong, jika diisi air mutlak, penuh ada lah air tu dalam botol. 
pepatah arab cakap, awwalu-shshajaratiNnawah - pangkal dari pohon kayu adalah dari tunas yang kecil. Tidak mengapa, semalam adalah semalam. biarkan ia berlalu dan ambil iktibar darinya.Hari ini jadikan ia lebih baik dari semalam. Esok dan seterusnya jauh lebih baik. Dhiya’, saya tak mampu lakukan semua itu.” 

”Tapi...”
”Kalau tak boleh semua, jangan tinggalkan semua..”
Serentak aku dan Aishah mengungkapkannya. Kami tersenyum dan ketawa kecil.

Benarlah, sahabat yang baik membawa kita kepada mengingati Allah Cukup kita melihat dia, kita ingat kepada Allah, ingat untuk mendekatkan diri kita kepada Allah. 

”Aishah, tolong kejutkan saya ye. Jangan tinggalkan saya sorang-sorang. Saya tahu buat masa sekarang, saya tak konsisten. Tapi, apa salahnya paksa diri untuk perkara yang baik, kan?”
Aishah mengangguk.

Aku memerhati borang muhasabah sekali lagi. Kali ini biar ia di conteng dengan garisan-garisan kecil. Ini juga jadi pembakar semangat untuk lebih teruja mendekatkan diri kepada Rabbul Jaliil.

Buat bekalan dirinya juga semua itu. Terima kasih sahabat..

~


silibus

Hujan lebat. Kilat menyambar. Guruh berdentum kuat.
Lain-lain sudah ketiduran. Tetapi kantuk belum datang. Saya meneruskan study.

Rasa macam dah tepu buat masa sekarang, terlintas pula usrah. Teringat kata-kata Almarhum Ust Fadhil Noor dulu.  
"jangan biarkan sehari dalam hidupmu berlalu tanpa memikirkan tentang islam"

Mak ayah rajin benar bawa abang, kakak dan saya dengar ceramah beliau dan seangkatannya. 

Saya meneruskan menaip.  Teringat silibus usrah. 

Silibus usrah.

Silibus usrah ini boleh dikatakan sebagai maudhu'. Bahan dalam topik perbincangan. 

ia rukun dakwah ketiga.

1- da'ie

2- mad'u

3-maudhu'

jadi, ia juga penting, sebagai guide line.. sebagai bahan bacaan dan persediaan.. membawa kearah pemerkasaan nuqaba'.

Nuqaba' terlalu bergantung kepada teks silibus, menyebabkan mad'u kurang thiqah, kurang percaya kepada naqib/ah?
Lalu, teks usrah perlu dibakar agar nuqaba' tidak membawa teks usrah?

Saya berkata, tidak.Jangan lah bakar. Nak bawa, bawalah. Kita manusia. Tiada masalah. Nak bawa buku rujukan banyak pun tidak mengapa. Bawalah. Tapi, sebelum di bawa, sebelum hadiri usrah, pastikan siap study topik yang bakal diperbincangkan. 

Kurang persediaan dari naqib/ah sendiri yang menyebabkan ketidak percayaan.. Bukan kerana naqib/ah bawa teks usrah. Saya kata, nak bawa, bawalah. Tak nak bawa, tak payah lah bawa. Jangan susah-susah. Buatlah apa yang kita yakini benar, selagi tak langgar syariat. Tapi pastikan, buat homework dululah.



Nak promote barangan niaga yang kualiti tinggi, tapi tak prepare, secanggih dan sekualiti mana pun barang tu, kalau cara promote lintang pukang, maka orang tak terbeli barang tu. Sebab? sebab promoter tak buat preparation atau kurang persediaan untuk promotion.

Apatah lagi kita nak promote Islam, nak orang lain sama-sama menghayati dan mengamalkan Islam secara keseluruhannya. Kena ada..? Kena ada persediaan yang baik..    

Saya membebel di pagi hari dalam blog. Nak membebel pada orang, semua dah tidur. Mood study sudah datang kembali. Selamat belajar, selamat buat homework, selamat berqiamullail. Semoga ALLAH memelihara dan merahmati kita semua. 

Berusahalah, semoga kita tergolong dalam golongan yang berusaha ke arah kemenangan ISLAM.

Jangan kita jadi orang-orang yang hanya ingin melihat kemenangan Islam. Mengambil manfaat hanya bila menang, tetapi semasa orang berusaha kearah kemenangan, kita dok mano...? Umpama 'kacau bubur asyura'. Orang lain sibuk kacau, kita goyang kaki  menunggu siap masak. Bila dah masak, kita yoya-yoya mengerumuni bubur asyura.

Islam dah naik dah. cumanya kita dok mano masa orang kijo untuk Islam? -titm

Wednesday, June 17, 2009

Siapa pula?


Siapakah orang yang sombong? 
Orang yang sombong adalah orang yang di beri penghidupan tapi tidak mahu sujud pada yang menjadikan kehidupan itu iaitu Allah Rabbul alaamin, Tuhan sekelian alam. Maka bertasbihlah segala apa yang ada di bumi dan langit pada TuhanNya kecuali jin dan manusia yang sombong diri.

Siapakah orang yang kuat? 

Orang yang kuat ialah orang yang dapat menahan kemarahannya ketika ia dalam kemarahan.

Siapakah orang yang telah mati hatinya?
Orang yang telah mati hatinya adalah orang yang diberi petunjuk melalui ayat-ayat Quran, Hadis dan cerita-cerita kebaikan namun merasa tidak ada apa-apa kesan di dalam jiwa untuk bertaubat. 

Siapakah orang yang dungu otaknya?
Orang yang dungu otaknya ialah orang yang tidak mahu melakukan ibadat tetapi menyangka bahawa Tuhan tidak akan menyiksanya dengan kelalaiannya itu dan sering merasa tenang dengan kemaksiatannya.

Siapakah orang yang lemah?
Orang yang lemah ialah orang yang melihat akan kemaksiatan di depan matanya tetapi tidak sedikitpun menunjukkan kebencian di dalam hatinya akan kemunkaran itu.

Siapakah orang yang bakhil?
Orang yang bakhil lagi kedekut ialah orang yang berat lidahnya untuk membaca selawat keatas junjungan Rasulullah s.a.w.

Siapakah orang yang buta?
Orang yang buta adalah orang yang tidak mahu membaca dan meneliti akan kebesaran Al Quran dan tidak mahu mengambil pelajaran daripadanya.

Siapakah orang yang tuli?
Orang yang tuli adalah orang yang diberi nasihat dan pengajaran yang baik namun tidak diendahkannya.

Siapakah orang yang sibuk?
Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s.

Siapakah orang yang manis senyumannya?
Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang ditimpa musibah lalu dia kata “Inna lillahi wainna illaihi rajiuun.” Lalu sambil berkata, “Ya Rabbi, Aku redha dengan ketentuanMu ini”, sambil mengukir senyuman.

Siapakah orang yang menangis airmata mutiara?
Orang yang menangis air mata mutiara adalah orang-orang yang sedang bersendiri lalu mengingat akan kebesaran Tuhan dan menyesal akan dosa-dosanya lalu mengalir air matanya.

Siapakah orang yang kaya?
Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak loba akan kenikmatan dunia yang sementara ini.

Siapakah orang yang miskin?
Orang yang miskin adalah orang yang tidak puas dengan nikmat yang ada sebaliknya sentiasa menumpuk-numpukkan hartanya.

Siapakah orang yang pandai?
Orang yang pandai ialah orang yang bersiap-siap untuk hari kematiannya kerana dunia ini berusia pendek sedang akhirat kekal abadi.

Siapakah orang yang bodoh?
Orang yang bodoh ialah orang yang beria-ia berusaha sekuat tenaga untuk dunianya sedangkah akhiratnya diabaikan.

Siapakah orang yang maju dalam hidupnya?
Orang yang maju dalam hidupnya adalah orang-orang yang sentiasa mempertingkat ilmu agamanya.

Siapakah orang-orang yang mundur hidupnya?
Orang yang mundur dalam hidupnya adalah orang yang tidak memperdulikan akan halal dan haramnya akan sesuatu perkara itu.

Siapakah orang yang gila itu?
Orang yang gila itu ialah orang yang tidak sembahyang kerana hanya dua syarat saja yang memperbolehkan seseorang meninggalkan sembahyang, pertama sekiranya ia haid dan kedua ketika ia tidak siuman akalnya.

Siapakah orang yang rugi?
Orang yang rugi ialah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikan.

Siapakah orang yang selalu ditipu?
Orang yang selalu ditipu ialah orang muda yang menyangka bahawa kematian itu berlaku hanya pada orang tua.

Siapakah orang yang paling cantik?
Orang yang paling cantik ialah orang yang mempunyai akhlak yang baik.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yg paling luas?
Orang yang mempunyai rumah yang paling luas ialah orang yang mati membawa amal-amal kebaikan. Kuburnya akan diperluaskan saujana mata memandang.

Siapakah orang yg mempunyai rumah yang sempit?
Orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit ialah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikan lalu kuburnya akan menghimpitnya.

Siapakah orang yang mempunyai akal?
Orang yang mempunyai akal ialah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah menggunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari seksa neraka.

sibuk

Sebagai pelajar, kita tak dapat lari dari banyaknya assingment, projek, menguruskan program, aktiviti kelab, dan masa yang ada juga kita keluar bersosial dengan masyarakat.
Penyibuk pun, sibuk jugak. Maka semua itu dikira sebagai sibuk. Buzy. Tapi, sibuk itu boleh diringankan dengan bantuan sanak saudara, atau sahabat-sahabat, atau jiran terdekat, atau mana-mana masyarakat.

Terkadang, kerana kesibukan yang kita alami dan lalui menjadi suatu lumrah dalam hidup.Sebati dengan jiwa raga, ringan mulut mengungkapnya. Hinggakan, jika berada dalam situasi yang tidaklah sesibuk mana pun, ungkapan ”buzy” tu tetaplah menjadi kegemaran, apatah lagi apabila diajak untuk melakukan kebaikan atau lebih mudah difahami, apabila dijemput ke program ilmiah, majlis-majlis ilmu, apa sahaja program. Sibuk.

-
”Amin, jom kita pergi dengar ceramah malam esok?”
”aku tak dapat la, Pian. Banyak kerja. Lusa nak kena hantar.”

”ok, kau buat kerja dulu. Ha’ah, Amin. Hujung minggu ni ada program bla..bla..blaa...jom join. Bla..bla..bla...”
”aku tak macam kau. Kau boleh la gi sana-sini. Aku sibuk.”

”Kau sibuk apa, Amin?”
”Aku sibuk, kau penyibuk..”

-Tamat episod tambahan. Huh?-
-

Mendengarkan bait-bait kuliah TITM, saya tertarik dengan kata-kata beliau. Rupa-rupanya kita belum sibuk sebenarnya. ea?

Kita sekarang tidaklah sesibuk mana. Anda siapapun, belum mencapai tahap kesibukan sebenar.
Anda PM? Masih ada orang boleh bantu.TPM boleh bantu. Ramai lagi boleh bantu. 

'Siapakah orang yang sibuk?
Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s. '

Anda MB? Ada exco-exco negeri yang tidak korupsi akan membantu anda. Masih ada lagi.
Anda Presiden bagi badan-badan pelajar? Mereka yang berada dalam organisasi kepimpinan juga dapat membantu anda.
Apa saja.
Anda pelajar? Banyak assingment nak kena siapkan, tak tahu buat, tak cukup masa.. Anda punyai rakan-rakan, sahabat-sahabat membantu anda. Anda boleh minta tolong.
Apatah lagi anda seorang anak. Sekiranya anda masih punyai ibu bapa, maka mereka lah orang pertama akan menyedari anda kesibukan menguruskan hidup anda, dan merekalah orang pertama menghulurkan bantuan dan berperasaan bila anda punyai masalah.

Maka, kita masih punyai orang-orang yang akan membantu meringankan kesibukan kita.

Sibuk :
1- sibuk yang tidak boleh dielakkan – menghadapi sakaratil maut
2- sibuk yang di atas dunia -mengumpul harta, mengejar pangkat.....
Jadi, kita bukanlah berada dalam kesibukan sebenar.

Kerana kesibukan sebenar,
Apabila datangnya kesibukan sebenar, kita tidak mampu lagi bersua dengan sahabat-sahabat, apatah lagi masyarakat.
Sibuknya kita dengan urusan kita,
Hinggakan yang terdekat juga tidak mampu membantu megurangi apatah lagi mengatasi kesibukan kita.
Bukan, bukan buat-buat sibuk..
Tapi ketika itu adalah kesibukan sebenar.
Saat Izrael bertemu dengan kita.

-
Ketika Rasulullah sedang sakit, nazak, para sahabat bertemu ’Aa’isyah bertanyakan keadaan Rasulullah s.a.w,
”Bagaimanakah keadaan Rasulullah sekarang?”
”Rasulullah sedang sibuk dengan diri dia. Orang lain tak boleh tolong.”
”Sibuk apa?”
”Sibuk menghadapi sakaratil maut.”
-

Sementara hayat masih ada, manfaatkan lah masa yang ada sebaiknya.
Sementara masih ada kelapangan, carilah bekalan untuk kehidupan di akhirat.

”berkerjalah untuk urusan duniamu seakan-akan kamu akan hidup selamanya, dan beramallah untuk akhiratmu seakan-akan kamu akan mati esok hari.”

Fastabiqul khairat!

Template Design | monera87