"Ya Allah, kurniakanlah ke atasku ketenangan, dan tetapkanlah pendirianku bersama-sama pendukung-pendukung kebenaran, dan tabahkanlah hatiku dengan mengingati Engkau, dan kurniakanlah akan daku keredhaan dengan perkara yang Engkau redhai"

Wednesday, February 25, 2009

Wahai Pejuang Dakwah – Apa Masalah-mu?

“Kita tidak akan berjaya dengan kepimpinan seperti yang ada hari ini. Saya tidak berpuas hati. Saya nak berundur”, keluh seorang ahli gerakan Islam.

”Agenda kami adalah untuk mengekalkan perbezaan di antara kami dan kamu”, tegas seorang ahli gerakan Islam yang lain.

”Ana tidak mahu terlibat dengan usrah seperti ini. Kenapa mesti Tauhid yang tiga ini? Di mana Sifat yang 20 itu? Silibus ini silibus Wahabi!”, marah seorang lagi ahli sebuah gerakan Islam.

Hairan…

Selepas begitu lama berjuang dan begitu banyak idea dan teori dikupas, gerakan Islam hari ini masih tidak berganjak secara yang signifikan di dalam gerak kerja mereka. Malah sering pula kelihatan berundur atau memutar pusingan yang sama.

MASALAH ILMU?

Apakah gerakan Islam hari ini tidak cukup ILMU? Adakah persoalan hari ini merupakan persoalan ILMU?

Jika dahulu, mungkin. Penyertaan seseorang di dalam gerakan Islam adalah bermotifkan amal. Mereka mahu bekerja, dan melakukan sesuatu untuk membantu agama. Lantas generasi era itu tidak banyak bertanya. Mereka tidak begitu mementingkan TAHU terhadap ILMU sebanyak-banyaknya, kerana terbukti bahawa tahu banyak, tidak semestinya menghasilkan kerja dan sumbangan yang banyak.

Lantas di suatu ketika, gerakan Islam tidak kisah sangat jika ada pendukungnya yang tersilap memahami beberapa aspek nas. Jika ada ahli yang meletakkan maksud Wala’ pada konteks yang salah, atau memahami konsep Jamaatul Muslimin secara simplistik atau silap, ia bukanlah isu yang perlu diperbesarkan kerana yang semua itu hanya PROSES. Apa yang perlu diutamakan adalah OUTPUT, iaitu AMAL. Kerja! Selagi mana ahli gerakan Islam bekerja, maka maksud penglibatan mereka sudah tercapai.

Maka usaha pembetulan tasawur itu menjadi agenda perkaderan biasa. Sesekali pemimpin dan alim ulama yang sedar akan menegur. Tidaklah sampai jadi satu isu.

Apatah lagi untuk sebuah gerakan Islam yang membuka penyertaan kepada semua lapisan masyarakat. Ada profesor universiti, ada juga penarik beca dan si buta huruf. Semuanya berkumpul di dalam gerakan Islam ini untuk memberikan suasana yang realistik terhadap realiti masyarakat. Ia tidak mencipta realiti alternatif.

Tetapi kesan keterbukaan ini, susahlah hendak mendidik ahli dan pendukung. Ada ahli yang masuk ikut pintu politik, dan ada juga yang masuk ikut pintu Tarbiyah. Pemimpin gerakan Islam bekerja keras untuk memanfaatkan kesemua kategori ahlinya ke arah yang sama, bekerja untuk Islam. Tidak semua kerja gerakan Islam boleh dibuat oleh ‘orang Tarbiyah’. Selalu sahaja orang yang banyak ilmu, berat untuk memanjat tiang menggantung poster dan bendera. Dalam masa yang sama banyak juga kerja gerakan Islam tidak boleh dilakukan oleh ‘orang yang masuk ikut pintu politik’. Membahaskan polisi gerakan Islam, hala tuju dan muhasabah dari semasa ke semasa, memerlukan kepada ILMU yang mantap. Lantas keterbukaan gerakan Islam untuk menerima ahli daripada lapisan yang pelbagai, melengkapkan rumusan keahlian.


Generasi Mahu Tahu

Namun, zaman kurang memberikan perhatian kepada selok-belok ILMU tentang PROSES, sudah berubah. Hari ini, generasinya mahu TAHU. Tahu sebanyak mungkin. Mereka mahu tahu semua perkara, sebelum mereka membuat keputusan untuk mendukung perjuangan Islam.

Ia suatu perkembangan yang baik.

Makin mahu tahu, makin tinggilah desakan untuk memperkemaskan aspek ILMU.

Faham-faham yang cincai tidak lagi boleh diangkat sebagai rukun komitmen yang pertama. Kena faham benda yang betul ini, betul-betul.


Ilmu Punca Masalah

Tetapi, tahu banyak, tidak menyelesaikan masalah gerakan Islam. Malah kelihatannya seperti tambah menyulitkan keadaan. Maklum sahaja, ILMU memang boleh membawa kepada kebaikan, tetapi ILMU juga punca manusia melampau dan hilang resmi padi.

Kerana pada masa mereka didatangi oleh Rasul-rasul yang diutus kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (untuk menyelamatkan mereka, mereka mengejek-ejeknya, dan) mereka bergembira dengan ILMU yang ada pada mereka; dan dengan yang demikian mereka pun diliputi oleh azab yang mereka ejek-ejek dahulu. [Surah Ghafir 40: 83]

Ilmu sepatutnya memudahkan manusia mencari kebaikan dan kebenaran. Tetapi terbukti ilmu juga pernah menjadi punca kesombongan manusia.

Untuk tetap istiqamah di jalan perjuangan, pendukung gerakan Islam sudah pun diberi ingatan.

Al-Sheikh Fadhl Hasan Abbas di dalam kitabnya Khumasiyyat Mukhtaarah fi Tahdzib al-Nafs al-Ammaarah telah menukilkan bahawa al-Hasan rahimahullah, telah berpesan:

“Sesungguhnya agama itu telah dijadikan Allah di antara ‘DUA JANGAN’ iaitu “Janganlah kamu melampau” dan “Janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim”.

Pesan ini merujuk kepada firman Allah SWT yang mendefinisikan maksud Istiqamah iaitu:

Oleh itu, hendaklah Engkau (Wahai Muhammad) sentiasa tetap bertistiqamah sebagaimana yang diperintahkan kepadaMu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang Penolong pun yang lain dari Allah. kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan. [Huud 11: 112-113]


Ketika berjuang untuk Islam, jangan melampau!

Terbukti golongan pelampau inilah yang kemudiannya gugur. Mereka yang dahulunya berminat dengan perbuatan kutuk-mengutuk hingga ke tahap kafir mengkafir, membenci subjek kebencian secara berlebihan, hingga mengheret hawa nafsu dalam ‘perjuangannya’, mereka ini jatuh sendiri kerana mereka lupa bahawa agama yang diperjuangkannya itu, dijadikan Allah di antara ‘dua jangan’!

Dan salah satu punca kepada sikap melampau itu adalah ILMU, selain harta [Rujuk Al-‘Alaq 96: 6-7] dan kekuatan / kuasa [Rujuk Fussilat 41: 15]

Apabila seseorang itu melampau di dalam perjuangannya, dia terjebak pula kepada JANGAN yang kedua. Jika dahulu dia melampau-lampau dalam menegur dan menentang pemerintah yang dikecam zalim, pelampau ini pula yang melompat dan menjadikan dirinya sebahagian daripada manusia zalim itu tadi.

Sufyan al-Thauri rahimahullah pernah ditanya oleh seorang lelaki. Katanya, “aku menjahit pakaian untuk si zalim itu, apakah aku termasuk di dalam golongan yang cenderung kepada kumpulan manusia zalim itu?” Sufyan menjawab, “Tidak, bahkan engkau sendiri adalah termasuk di dalam golongan yang zalim. Orang yang cenderung kepada golongan yang zalim itu adalah mereka yang menjual jarum kepadamu agar engkau boleh menjahit. Mereka itulah golongan yang cenderung kepada kaum zalimin!” [Khumasiyyat Mukhtaarah fi Tahdzib al-Nafs al-Ammaarah, muka surat 155]

Nyata sekali, masalah utama gerakan Islam bukanlah pada ILMU kerana hari ini kita semakin TAHU dengan ILMU itu.

Malah lebih ironi, pengetahuan yang semakin bertambah itu, tidak menjadikan hasil kerja semakin bertambah. Kita memang tidak bertindak berasaskan apa yang kita TAHU, sebaliknya digerakkan oleh apa yang kita MAHU. Maka ilmu yang memberitahu semata-mata, tidak membantu gerakan Islam!


MASALAH KEMAHIRAN?

Jika ILMU bukan masalah utama gerakan Islam, maka bagaimana pula dengan kemahiran?

Ada gerakan Islam yang mahu mengekalkan method dakwah secara manual dan konservatif. Dakwah hanya dengan lisan, mengetuk pintu rumah ke rumah, seperti perlakuan dakwah di zaman Nabi s.a.w. Mereka ada justifikasinya yang tersendiri.

Manakala gerakan Islam yang lebih anjal, mencuba segala teknik dakwah dan menggarap sekalian kemahiran yang ada untuk menjayakan perjuangan Islam. Dari era penguasaan teknik menggunakan mesin taip, hinggalah kepada memanfaatkan teknologi ICT hari ini, gerakan Islam terus maju setapak demi setapak, malah menggusarkan saingan gerakan Islam yang lebih berminat untuk menyekat air seperti dinding empangan.

Pemerintah menggunakan segala akta, sedangkan maklumat dan ilmu terus percuma dan melanggar sekatan di era ledakan teknologi maklumat hari ini.

Kemahiran apakah yang tiada pada sebuah gerakan Islam? Segala macam kemahiran sudah diperolehi sama ada melalui pembelajaran, atau pun melalui penyertaan tenaga mahir itu sendiri ke dalam saf gerakan Islam.

Tetapi adakah kemahiran itu sudah menganjak gerakan Islam ke suatu peningkatan yang signifikan?


Kemahiran Syarat Kesempurnaan Taqwa

Kemahiran memang bukan persoalan yang kecil. Tatkala kumpulan pertama Islam cuba menundukkan Constantinople pada tahun 44H, mereka ada segala nilai Taqwa kerana Abu Ayyub al-Ansari dan Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhum adalah generasi yang dididik sendiri oleh tangan Nabi s.a.w. Atas janji Rasulullah s.a.w terhadap pembebasan Constantinople, mereka pergi dengan keyakinan itu.

Tetapi mereka gagal. Salah satu faktornya berkait rapat dengan soal kemahiran. Mereka tidak mempunyai maklumat kajian yang cukup tentang kekuatan sebenar Constantinople. Mereka tidak biasa berperang di kawasan yang dikelilingi laut seperti Constantinople dan mereka tidak tahu teknik peperangan apakah yang menjadi pegangan kota yang mahu ditundukkan itu.

Mereka gagal.

Memperlengkapkan diri dengan ILMU dan MAKLUMAT adalah sebahagian tuntutan SUNNATULLAH.


Satu demi satu usaha dilakukan. Setiap kegagalan pertama menjadi teladan usaha berikutnya. Akhirnya kejayaan dicapai oleh insan biasa yang luar biasa, 800 tahun selepas era Nubuwwah, apabila Constantinople kecundang di tangan Sultan Othmaniyyah, Muhammad al-Fatih pada tahun 857H (1453M) dan tenteranya.

Gabungan komitmen mereka terhadap SYARIATULLAH dan SUNNATULLAH, telah melayakkan mereka untuk membuat anjakan dunia dengan pembukaan kota Istanbul, hari itu.

Keperluan bagi sebuah gerakan Islam untuk memperlengkapkan diri dengan ILMU dan KEMAHIRAN memang tidak boleh dinafikan.

Masih Belum Mahirkah Gerakan Islam Hari Ini?

Namun, kemahiran apakah lagi yang belum ada pada sebuah gerakan Islam? Kemahiran hari ini sudah mencecah tahap yang jauh terkehadapan berbanding dengan 50 tahun yang lalu. Namun, sudahkah kemahiran itu menyumbang kepada peningkatan kualiti persembahan gerakan Islam secara yang signifikan?

Masih banyak persoalan yang timbul di sekitar isu ini.

Jika ilmu bukan isu utama, jika kemahiran bukan masalah pertama, maka isu apakah yang menyumbang kepada kelesuan gerakan Islam hari ini? Isu apakah yang menjadikan gerakan Islam terperosok ke dalam lubang kesilapan yang sama?

Jawapannya boleh dicari melalui persoalan-persoalan ini:

1. Apakah yang menjadi halangan kepada dua gerakan Islam untuk saling bekerjasama mencapai matlamat yang sama? Ilmu, kemahiran atau sikap?

2. Apakah yang menjadi punca kepada ketidaksefahaman di antara sesama ahli gerakan Islam sehinga satu demi satu agenda perjuangan mati oleh perpecahan dalaman? Ilmu, kemahiran atau sikap?

3. Apakah yang menjadi punca kepada satu demi satu ahli gerakan Islam bertindak secara reaktif, menterjemahkan rasa tidak puas hatinya bukan kepada menawarkan penyelesaian, tetapi pergi kepada membuka satu demi satu kelompok serpihan yang baru? Ilmu, kemahiran atau sikap?

4. Apakah yang menjadi punca kepada gerakan Islam gagal mentadbir kemenangan dan gagal juga menghadapi kekalahan secara yang positif? Ilmu, kemahiran atau sikap?

5. Apakah punca, gerakan Islam yang sepatutnya bekerja untuk mengumpulkan manusia dan menjana mereka untuk bekerja demi Islam, masih terjebak ke dalam irama pertelingkahan manhaj, yang sudah berkali-kali merugikan masa dan tenaga Islam, sehingga gerakan Islam itu sendiri menaja perpecahan umat atau mereka sendiri turut berpecah? Ilmu, kemahiran atau sikap?

6. Apakah punca kepada gerakan Islam hingga lebih berminat untuk mengekalkan perbezaan, berbanding dengan penyelesaian?

7. Apakah punca yang menjadikan seorang yang berILMU dan berKEMAHIRAN tinggi, boleh bertindak dan bercakap seperti orang tidak berILMU dan berKEMAHIRAN rendah? Ilmu, kemahiran atau sikap?

Persoalan ini masih panjang, sepanjang sejarah gerakan Islam itu sendiri.

Oleh kerana saya benar-benar khuatir dalam mencari jawapan kepada persoalan-persoalan itu tadi, saya cuba mengalihkan percakapan dan penulisan saya daripada soal menambah ILMU dan MAKLUMAT, kepada pembetulan SIKAP.

Amat malu bagi pendukung agenda sebesar AGENDA ISLAM, kalah oleh persoalan SIKAP yang terlalu asas dan mudah.

Betulkanlah SIKAP, ia MUQADDIMAH AGAMA dan PERJUANGAN...

[Sumber Asal Artikel: Ustaz. Hasrizal Abdul Jamil]

Friday, February 20, 2009

BANGUN!!

kian lama langkah kian lesu,
bicara kian layu,
gerak kian beku.

Eiit.. sahabat-sahabat,
Kita mendukung Risalah!!
BANGUN!!
Make up your heart!
ujian macam-macam keadaan, lain orang, lain ujiannya.
Bukan kita seorang je diuji. Pantaslah sedar. Keluar dari kepompong paranoia!! pergantungan dan positifnya kita dgn apa yang ALLAH aturkan, itu kunci berjayanya kita!

“ Hai anak Adam, carilah Aku nescaya engkau akan bertemu denganKu. Jika engkau dapat menemuiKu ertinya engkau telah mendapat segala-galanya. Tapi jikalau Aku luput darimu ertinya engkau telah luput dan kehilangan segala-galanya. Sewajarnyalah engkau mengasihiKu dari segala-gala yang lain.” ( Hadis Qudsi)

Manusia tercipta kerana bergerak dan untuk bergerak; maka bergeraklah, dan Dia sentiasa bersama hamba-hambaNYA. Tangkaslah. Jangan biarkan ia lesu, layu dan membeku.

Saturday, February 14, 2009

Apa salahnya menangis?

Apa salahnya menangis, jika dengan menangis itu manusia menjadi sedar. Sedar akan kelemahan-kelemahan dirinya, saat tiada lagi yang sanggup menolongnya dari jatuh dan tersungkur, melainkan Allah Swt. Kesedaran yang membawa manfaat dunia dan akhirat. Bukankah keadaan hati manusia tidak pernah stabil? Selalu berbolak balik menuruti keadaan yang dihadapinya.

Ketika seseorang menghadapi kebahagiaan maka hatinya akan gembira dan saat dilanda musibah bukan sedikit orang yang putus asa bahkan berpaling dari kebenaran.

Sebahagian orang menganggap menangis itu adalah hal yang hina, ia merupakan tanda lemahnya seseorang. Bangsa Yahudi selalu mengecam ketika anaknya menangis dan dikatakan tidak akan mampu melawan musuh-musuhnya. Para orang tua di Jepun akan memarahi anaknya jika mereka menangis kerana dianggap tidak tegar menghadapi hidup. Menangis adalah hal yang hanya dilakukan oleh mereka yang tidak mempunyai prinsip hidup.

Bagi seorang muslim yang mukmin, menangis merupakan buah kelembutan hati dan petanda kepekaan jiwanya terhadap berbagai peristiwa yang menimpa dirinya mahu pun umatnya. Rasulullah Saw menitiskan air matanya ketika kematian anaknya, Ibrahim. Abu Bakar As-shiddiq ra digelar oleh anaknya Aisyah ra sebagai Rojulun Bakiy (Orang yang selalu menangis). Beliau senantiasa menangis, dadanya bergolak manakala salat di belakang Rasulullah Saw kerana mendengar ayat-ayat Allah. Abdullah bin Umar suatu ketika melalui sebuah rumah yang di dalamnya ada sesorang sedang membaca Al Qur'an, ketika sampai pada ayat:
"Hari (ketika) manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam" (Al Muthaffifin: 6).

Pada saat itu juga beliau diam berdiri tegak dan merasakan betapa dirinya seakan-akan sedang menghadap Rabbnya, kemudian beliau menangis. Lihatlah betapa Rasulullah Saw dan para sahabatnya benar-benar memahami dan merasakan getaran-getaran keimanan dalam jiwa mereka. Lembutnya hati menghantar mereka kepada darjat hamba Allah yang peka.
Bukankah di antara tujuh golongan manusia yang akan mendapatkan naungan pada hari dimana tiada naungan kecuali naungan Allah adalah orang yang berdoa kepada Rabbnya dalam bersendirian kemudian dia menitiskan air mata? Tentunya begitu sukar menitiskan air mata ketika berdoa sendirian jika hati seseorang tidak lembut. Yang biasa dilakukan manusia dalam kesendiriannya justeru adalah maksiat. Bahkan tidak sedikit manusia yang bermaksiat ketika sendiri di dalam biliknya. Seorang mukmin sejati akan menangis dalam bersendirian di kala berdoa kepada Tuhannya. Sedar betapa berat tugas hidup yang harus dipikulnya di dunia ini.

Di zaman ketika manusia lalai dalam gemerlap dunia, seorang mukmin akan senantiasa menjaga diri dan hatinya. Menjaga kelembutan dan kepekaan jiwanya. Dia akan mudah menitiskan air mata demi melihat kehancuran umatnya.

Kesedihannya begitu mendalam dan perhatiannya terhadap umat menjadikannya orang yang peka terhadap permasalahan umat. Kita tidak akan melihat seorang mukmin bersenang-senang dan bersuka ria ketika tetangganya mengalami kesedihan, ditimpa berbagai ujian, cubaan, dan fitnah. Mukmin yang sesungguhnya akan dengan segera membantu meringankan segala beban saudaranya. Ketika seorang mukmin tidak mampu menolong dengan tenaga ataupun harta, dia akan berdoa memohon kepada Tuhan semesta alam.

Menangis merupakan sebuah bentuk pengakuan terhadap kebenaran. "Dan apabila mereka mendengarkan apa yang diturunkan kepada rasul (Muhammad), kamu lihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan kebenaran (Al Qur'an) yang telah mereka ketahui (dari kitab-kitab mereka sendiri) seraya berkata:
"Ya Rabb kami, kami telah beriman, maka catatlah kami bersama orang-orang yang menjadi saksi (atas kebenaran Al Qur'an dan kenabian Muhammad)". (QS. Al Maidah: 83).

Ja'far bin Abdul Mutholib membacakan surat Maryam ayat ke-16 hingga 22 kepada seorang raja Nasrani yang bijak. Sebaik sahaja mendengar ayat-ayat Allah dibacakan, bercucuranlah air mata raja Habsyah itu. Ia mengakui benarnya kisah Maryam dalam ayat tersebut, ia telah mengenal kebenaran itu dan hatinya yang lembut menyebabkan matanya sembab kemudian menangis. Raja yang rindu akan kebenaran benar-benar merasakannya.

Orang yang keras hatinya, akan sukar menangis ketika dibacakan ayat-ayat Allah. Bahkan ketika datang teguran dari Allah sekalipun ia justeru akan tertawa atau malah berpaling dari kebenaran. Sehebat apa pun bentuk penghormatan seorang tokoh munafik Abdullah bin Ubay bin Salul kepada Rasulullah Saw, sedikit pun tidak berpengaruh pada hatinya. Ia tidak peduli ketika Allah Swt mengecam keadaan mereka di akhirat nanti,
"Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan neraka yang paling bawah. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapatkan seorang penolong pun bagimereka". (An Nisa': 145)

Barangkali di antara kita yang belum pernah menangis, maka menangislah di saat membaca Al Qur'an, menangislah ketika berdoa di sepertiga malam terakhir, menangislah kerana melihat keadaan umat yang menyedihkan, atau tangisilah dirimu kerana tidak bisa menangis ketika mendengar ayat-ayat Allah. Semoga hal demikian dapat melembutkan hati dan menjadi penyejuk serta penyubur iman dalam dada. Ingatlah hari ketika manusia banyak menangis dan sedikit tertawa kerana dosa-dosa yang diperbuatnya selama di dunia.
"Maka mereka sedikit tertawa dan banyak menangis, sebagai pembalasan dari apa yang selalu mereka kerjakan". (At Taubah: 82).

Jadi apa salahnya menangis?.

Friday, February 13, 2009

DA’WAH ISLAMIYYAH TERAS KEBANGKITAN UMMAH











Wahai Penyeru Kebaikan!

Tiada suatu kepuasan pun yang di nikmati oleh seorang da’ie selain daripada apabila orang yang diseru menerima seruan yang disampaikan.

Inilah satu anugerah Allah s.w.t. yang tidak terhingga kepada hamba-hambaNya yang sentiasa bekerja siang dan malam untuk mengembangkan dan mendaulatkan agamaNya. Kepuasan ini tidak akan dapat dinilai dengan wang ringgit dan tidak mungkin dapat dirasa melainkan hanya kepada mereka-mereka yang bekerja mengajak orang lain memahami islam.

Sebagaimana yang diungkapkan oleh Rasulullah saw kepada Saidina ’Ali kwjh ketika Perang Khaibar.
”Jalankan tugasmu, teruskan perjalanan! Sehingga berada di halaman mereka, kemudia ajak mereka kepada Islam, khabarkan kepada mereka apa yang diwajibkan oleh Allah ke atas mereka daripada hak yang mesti ditunaikan. Manakala demi Allah, sesungguhnya engkau berjaya dengan sebabmu Allah memberi hidayah kepada seseorang terlebih baik kepadamu daripada mendapat seekor unta berwarna merah (barang yang paling mahal).”

Mengubah manusia bukanlah suatu perkara yang mudah. Ianya sukar. Malahan, kita akui bahawa untuk membina sesebuah bangunan sekalipun, bukanlah satu perkara yang mudah terutama yang besar seperti mahligai di Putrajaya; ia memakan masa bertahun-tahun lamanya dan menelan belanja jutaan malah bilionan ringgit serta melibatkan ribuan pekerja.
Sesusah-susah membina bangunan, rijal da’wah mengetahui, bahawa untuk membina manusia adalah seribu kali ganda susahnya kerana manusia itu ada pemikiran, perasaan dan budaya yang mencorakkan kehidupan mereka.
Kita ambil contoh,
Nak menderma duit. Bukan senang nak keluarkan duit RM 1 umat Islam hari ini untuk tujuan infaq di jalan da’wah jika mereka tidak yakin dengan apa yang diseru. Amat wajarlah Allah s.w.t. memberikan ganjaran pahala yang sangat besar kepada mereka-mereka yang bergelar da’ie.

Mereka bukan sahaja dijanji dengan kurniaan di akhirat nanti tetapi juga anugerah yang tidak ternilai dengan menanamkan perasaan kepuasan dan gembira di hati da’ie-da’ie ini. Inilah kurniaan dan limpahan (jazbah) kepada mereka dari Allah s.w.t. Maka berembiralah wahai saudara-saudaraku, da’ie yang menghabiskan hidupnya berda’wah untuk menghidupkan hati-hati manusia.

Namun begitu, perkara yang indah untuk dikecapi, pastinya ada cabarannya, sepertimana yang digariskan oleh Fathi Yakan, dalam buku karangannya, Bahtera Penyelamat;

Sabda Rasulullah,
Al-Mu’minu baina khamsa shadaa id ( Orang Mu’min sentiasa diambang 5 dugaan yang susah) ;
1-Mu’minin yuhsiduh (Mu’min yang dengki kepadanya);
2-Munafiqin yubghidhuh (Munafiq yang benci kepadanya) ;
3-Kafirin yuqatiluh (Kafir yang memeranginya) ;
4-Syaithonin yudhilluh (syaitan yang menyesatkannya) ;
5-Nafsin tunaazi’uh (nafsu yang sering bertarung untuk mengalahkannya).
(Hadith ini di takhrijkan oleh Abu Bakar Ibnu Lal, dari hadith Anas, dalam tajuk; ”Akhlaq yang luhur”)

Ingin saya bawa saudara-saudara melihat cabaran keempat, yang digariskan Rasulullah; bahawa syaitan tidak akan senang duduk dengan tindakan saudara, mereka sudah berjanji dengan Allah s.w.t. untuk menipu dan menyesatkan manusia hinggalah manusia itu menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dalam hal ini kita semua tahu bahawa syaitan bukanlah makhluk biasa. Kepintaran dan kelicikannya amat-amat meperdayakan manusia hingga kadang-kadang kita tidak sedar bahawa kita telah terjebak dalam perangkapnya; Malah kerajinannya mendapat 1st class apabila dibandingkan dengan manusia. Kerana apa? Kerana mereka tidak mengenal erti putus asa.

Walaupun saya katakan tadi bahawa perasaan ”puas” yang dirasai oleh da’ie adalah merupakan satu anugerah dari Allah s.w.t. tetapi jika tidak diawasi ianya boleh melahirkan sifat keselesaan (comfort zone) kerana yakin akan terselamat dari seksaan api neraka dengan amalan-amalan yang dilakukan. Yang lebih membimbangkan ialah akan lahir sifat berbangga dengan ramainya bilangan pengikut dan memandang rendah kepada orang lain yang tidak berda'wah.
Pada ketika itu akan timbul sifat ria' dan 'ujub dengan kehebatan diri. Nauzubillah.

Inilah panahan-panahan dan tusukan-tusukan jarum syaitan yang begitu pantas dan cukup halus hinggakan tidak disedari oleh kita.
Siapa yang berani kata dan tahu bahawa amalannya atau kerja-kerja dakwahnya diterima Allah?
Tidakkah kita pernah membaca hadith riwayat Muaz Ibn Jabal tentang tiga golongan yang akan dicampak ke dalam neraka kerana tidak ikhlas kepada Allah s.w.t. walupun mereka berdakwah, menginfaq dan syahid dalam peperangan? Ini semua persoalan-persoalan yang mesti sentiasa bermain di dalam fikiran kita.

Jadi,kita nak buat apa? Berhenti beramal dan bekerja untuk islam?
No!
Tidak sama sekali!! Islam melarang keras umatnya dari berputus asa dengan rahmat Allah.

Untuk itu Allah telah membekalkan kita dengan satu senjata yang begitu ampuh bagi menangani syaitan. Senjata yang akan membakar segala sifat-sifat mazmumah dan menggantikannya dengan sifat-sifat mahmudah, yang akan membuat syaitan bertempiaran lari, yang akan menyebabkan kita menerima keampunan dari Allah s.w.t. seluas langit dan bumi iaitu dengan .....

BERISTIGHFAR !!!

Inilah senjata yang amat besar, yang akan menembusi pintu-pintu langit untuk terus pergi kepada Allah.
Persoalan buat diri saya dan saudara-saudara,
Berapa kalikah kita beristighfar sehari?

Saudara,
Jangan sekali-kali kita lupa bahawa walau banyak mana ilmu yang ada di dada, ianya hanyalah setitis air di lautan yang amat luas, sehebat mana kita bercakap dan berusaha, ia tidak akan mampu untuk merubah hati manusia tanpa kehendak dan pertolongan Allah s.w.t. Peristiwa Nabi Nuh dan isteri serta anaknya, Nabi Ibrahim dengan bapanya, Rasulullah dengan bapa saudara Baginda sudah cukup untuk mengajar kita siapakah sebenarnya yang memberikan hidayah.

Mari kita sama-sama bermuhasabah..

Kita tidak akan mampu bergerak walau selangkah tanpa izin Allah.
Hatta, kita tidak akan boleh mengeluarkan kata-kata jika tidak ada hidayah Allah.


Kita perlu menyedari, bahawa kita juga tergolong dalam golongan yang tertipu dengan bisikan syaitan, apabila kita menyampaikan da’wah, tapi dalam masa yang sama, kita abaikan penjagaan hubungan kita dengan Allah. Menyeru orang lain melakukan kebajikan, mengajak orang lain turun solat berjamaah, sedangkan diri kita, memberi seribu satu alasan untuk sama-sama berjamaah; penat? Mandi? Makan? Membasuh baju? Sedangkan masa terluang yang ada diisi dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Mari kita sama-sama bermuhasabah..

"Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami ini kasih kepada iman dan hiaskanlah iman itu dalam hati-hati kami; dan jadikanlah kami benci kepada kufur, fasiq, dan maksiat; dan jadikanlah kami termasuk di kalangan orang-orang yang mendapat petunjuk."

Tuesday, February 10, 2009

Apakah selama ini kita beruzlah jasadiah, saudaraku?

Helaian risalah yang berselerakan di kafeteria dipungut. Hatinya panas dengan sikap mahasiswa, yang dikatakan sebagai golongan keintelektualan, tapi bahan-bahan begini dicampak merata-rata.
Kalau ia pun tak nak, bagilah pada orang lain. Ini tidak, main campak-campak je.
Getus hatinya.

“AL-AQSA FI KHATAR!!”

Begitu bunyinya muka utama risalah tersebut. Dila kurang faham. Perkataan Al-Aqsa menarik minatnya. Rakan sebiliknya gemar berbincang mengenai al-Aqsa. Tapi dia tidak pernah ambil kisah. Baginya, biarlah mereka nak bincang pun, biarlah mereka bergerak kesana ke mari pun, asalkan tidak mengganggu kehidupan sehariannya, itu memadai baginya. Namun, kali ini, apabila terpandang perkataan ’Al-Aqsa’, timbul rasa ingin tahu, apa sebenarnya yang dikecohkan rakan sebiliknya. Dia membelek-belek risalah tersebut. Dia bingung. Rupanya, dia juga seperti mereka yang mencampak-campak risalah. Tiada perasaan ingin tahu. Hatinya sekali lagi bergetar, marahkan diri.

************

”Kak, apa maksud ni?”
Dila menunjukkan salah satu risalah yang dipungutnya tadi.

Fathma mengambil risalah tersebut.
”AL-AQSA dalam bahaya.”
Dia meneliti isi dalam risalah, seraya menoleh ke arah sahabat sebiliknya yang sedang melipat pakaian.
“Aishya, ni kan risalah yang di provide semalam?” Fathma memandang Aishya. Aishya berhenti seketika dari melipat pakaiannya. Direnungnya risalah tersebut..

”Dila pungutkan tadi, di kafe. Banyak sangat atas lantai. Maaf, kak. Dila rasa, risalah ni juga yang akak bagi pada Dila semalam. Tapi Dila tak hiraukan.”
Wajah Dila kelihatan begitu suram.

Fathma tersenyum.
”Tak mengapa. Dila pun banyak kerja yang perlu diselesaikan semalam,kan?”

Ahh..positifnya kak Fathma.
Isi kandungan risalah begitu menarik minatnya. Hari-hari sebelum ni, juga semalam, Dila abaikan nikmat pendengaran yang ALLAH kurniakan. Dila tidak ambil pusing. Dia tidak segan silu lagi bertanya.

”Kak, Dila ada baca tadi risalah tu..”
Aishya menoleh memandang Dila. Masih ada ruang di hati Dila, ruang hati yang menyayangi saudara se’aqidahnya. Hatinya berbunga.

Dila tunduk. Malu rasanya dia menatap wajah teman sebiliknya. Seorang sebaya dengannya. Seorang lagi setahun tua darinya.
”Tapi Dila tak faham, apa sebenarnya yang berlaku.. Dila tak faham. Tapi hati Dila macam disentap-sentap bila Dila baca semua tu. Akak, Aishya.. jelaskan pada Dila, boleh?”

Fathma dan Aishya berpandangan sesama mereka. Ini lah antara masa yang dinanti-nanti.

”Dila, sebagaimana yang Dila baca, Al-Aqsa fi Khatar, Al-Aqsa dalam bahaya. Dari dulu lagi ia dalam bahaya. Sekarang bahayanya bertambah. Ingat tak, Saidina Umar Al-Khatab, Amirul Mu’minin?” Fathma takkan lepaskan peluang emas. Namun, Fathma perlu berstratergi menyampaikannya, supaya suntikan ini berjaya meresap ke hatinya, dan hati yang mendengarkannya.

”A’aa..Hebat dia.. Kenapa dengan Umar Al-Khatab tu?” Rasa ingin tahu mengasak hatinya.

”Semasa pemerintahan beliau, itulah zaman kegemilangan Islam, zaman keemasan Kerajaan Islam. Beliau berjaya memasuki Baitul Muqaddis tanpa berlaku sebarang pertumahan darah, dimana pembebasan Baitul Maqdis ni telah membuka era baru dalam lipatan sejarah. Setelah sekian lama, kiblat pertama umat Islam ini dikotori dengan pelbagai pengamalan syirik dan kecurangan kepada Allah, kini ia milik umat Islam semula dalam mengembalikan kegemilangannya sebagai kota ketiga paling suci dalam Islam.”

Dila mendengar dengan penuh teliti. Aishya yang baru siap mengemas pakaiannya segera mendapatkan sahabat sebiliknya.

”Yahudi mengaku dia golongan terpilih,kan? Yahudi dan Kristian cuba merampas tanah itu, dan mereka berjaya pada perang pertama. Lepas tu seorang pemuda Islam bersama sahabat-sahabatnya aturkan stratergi, untuk dapatkan kembali tanah yang selayaknya untuk orang Islam. Sebab, tanah tu sudah dibebaskan semasa pemerintahan Umar. Betul tak?” Dila berkongsi terhadap apa yang diketahuinya daripada artikel yang dia telah baca.

Pemuda Islam yang dimaksudkan Dila ialah Salahuddin Al-Ayyubi. Aishya memandang Fathma. Usaha mereka bersama beberapa sahabat lagi tidak tersia begitu. Masih ada yang punyai semangat inkuiri tentang perkara sekeliling. Aishya bersyukur dan berharap ramai mahasiswa akan turut mengikut jejak Dila.

Salahuddin Al-Ayyubi terbilang sebagai pahlawan dan Panglima Islam yang besar. Pada beliau terkumpul sifat-sifat berani, wara’, zuhud, khusyu’, pemurah, pemaaf, tegas dan lain-lain sifat terpuji. Para ulama dan penulis sejarah telah memberikan kepujian yang melangit. Sifat pemurah dan pemaafnya diakui oleh lawan mahupun kawan.
Seorang penulis sejarah mengatakan: “Hari kematiannya merupakan kehilangan besar bagi agama Islam dan kaum Muslimin, kerana mereka tidak pernah menderita semenjak kehilangan keempat-empat Khalifah yang pertama (Khulafaurrasyidin). Istana, kerajaan dan dunia diliputi oleh wajah-wajah yang tertunduk, seluruh kota terbenam dalam dukacita, dan rakyat mengikuti keranda jenazahnya dengan tangisan dan ratapan.”


Dila menelan liur. Jantungnya berdegup kencang secara tiba-tiba.
Owh, hebatnya mereka dahulu. Aku langsung tiada apa-apa. Aku langsung jauh dari memikirkan masalah ini. Aku langsung tidak pernah ambil peduli akan agamaku, apatahlagi tentang umatnya.

Bicara Aishya dan Fathma seperti di awang-awangan.

Fathma yang menyedari akan perubahan Dila memberi isyarat kepada Aishya, agar menangguhkan bicaranya.

**************

”Akak, jom kita keluar berjalan-jalan. Ambil angin petang. Dah lama tak keluar bersama-sama akak..” pinta Dila.

Fathma tersentak.
Ya Allah, selama ini aku hanya memandang sahabat-sahabat yang merapatkan diri dengan usrah. Tapi aku lupakan adik yang telah sekian lama berada sebilik denganku. Aku hanya bercerita hanya kerana untuk melepaskan tanggungjawab, bukan kerana pembinaan ukhuwwah sebenar. Aku lah sebenarnya yang kabur dengan matlamat dan marhalah da’wah.

”Aishya nak ikut, boleh? Kita ajak Farha sekali ye..?”

”Ok je. Lagi ramai, lagi best. Eii..seronoknya..” kedengaran suara riang Dila. Dia mengenakan tudung ungu sepadan dengan baju sukannya.

Aishya menutup buku karangan Munir Al-Ghadhban. Jari-jemarinya menekan-nekan butang huruf pada telefon bimbitnya.

******

Track jogging serta sekitar ruang legar kampus sudah terisi dengan pelbagai aktiviti mahasiswa. Rata-ratanya gemar melakukan aktiviti ringan. Ada yang berjogging, berbasikal dan tidak kurang juga yang berjalan-jalan sekadar mengambil angin. Dalam keramaian dan kepelbagaian aktiviti, tidak ketinggalan juga pasangan-pasangan merpati berjoli-joli turut ber-riadhah.

Masalah pergaulan kian berleluasa. Kalau dahulu, begitu sukar baginya melihat mahasiswa berpasang-pasangan secara terang-terangan walaupun ianya ketika riadhah. Namun kini, berdubelan sudah mejadi trend.

”Aishya, semalam Dila dah tengok video yang Aishya bagi. Kasihan mereka. Mereka berhempas-pulas menjaga maruah ISLAM dan ummahnya.. Tapi kita org ISLAM disini bergelak tawa dengan kesenangan yang ada.. Mereka berjaga malam, tidak tidur demi menjaga Al-Aqsa, tanda maruah ISLAM dan ummahnya..tapi kita disini, tidur lena tidak berjaga.. apa yg kita ada? AL-AQSA dalam bahaya, tapi suasana disini pula cuba mengundang bahaya. Eii..geramnye tengok diorang. Makin bertambah-tambah banyaknya.” Dila mengomel.

”Kalau orang-orang yang menjaga perbatasan pergaulan dan menutup aurat juga turun riadhah, Farha rasa mesti diorang segan, kan?” kata-kata Farha mematikan lamunan Fathma.

”Maksud Farha?” Dila yang sedang bermain daun-daun kering menoleh ke arah Farha, meminta penjelasan untuk mengetahui apa yang dilontarkan oleh rakannya yang sememangnya pendiam itu.

”Dulu, orang ingat lagi, semasa cuti semester. Orang pergi CC dengan abang dan adik perempuan, Fasihah. Memang ramai budak-budak di sana. Macam-macam jenis cara berpakaian. Bercampur lelaki dan perempuan. Kebanyakannya bermain game, download lagu, dan ada yang menemani kawan-kawan diorang je. Lepas beberapa minit kami duduk di CC tu, remaja-ramaja tu keluar seorang demi seorang. Sehinggakan hanya tinggal kami bertiga je.

Selepas keluar dari pusat komputer tu, abang orang tanya, ’perasan tak tadi?’ Orang tak perasan apa-apa pun. Then, dia cakap, kita keluar datang sini pun, kira da’wah juga. Da’wah bil hal. Tak perlu bercakap pun, asalkan kita jaga akhlaq dan perbuatan kita. Itu pun menjadi da’wah.. betul tak, kak?” Farha yang sememangnya pemalu tersipu-sipu malu. Rona merah semulajadi pada wajahnya tampak jelas.

Fathma dan Aishya megangguk tanda setuju.

”Betul tu. Macam Farha cakap tadi, da’wah bil hal lebih berkesan kerana orang nampak dan ianya lebih praktikal buat da’ie.
Sama juga macam kat sini. Kalau kita asyik terperuk dibilik, dengan alasan di luar sana banyak perlakuan maksiat, maka kita telahpun melakukan uzlah jasadiah.” Fathma membuat kesimpulan.

”Haa...kak, Dila tak faham. Uzlah jasadiah tu ape? Pagi tadi kan, Dila pun ada dengar ustaz menyebut tentang uzlah. Ada dua. Uzlah nafsiah dan uzlah jasadiah. Tapi, Dila kurang jelas tentang ni. Akak terang kan, boleh?”

Kata Aishya, ’Uzlah jasadiah ialah pengasingan diri secara fizikal. Manakala uzlah nafsiah adalah pengasingan diri secara dalaman. Uzlah jasadiah bercanggah dengan Islam, kerana beri peluang Jahiliyyah mendominasi tapak-tapak kuasa ataupun mendominasi setiap sudut.

Mereka berpisah dengan masing-masing memikirkan persoalan uzlah.

Ahh..Fathma, apakah selama ini kita beruzlah jasadiah, wahai Fathma? Apakah kita tergolong dalam golongan yang memencilkan diri kerana kita tidak turun ke lapangan umat, hanya kerana kita menganggarkan ada perkara yang lebih aula' buat diri kita, tetapi mengabaikan mereka yang lain?

Check & balance

Dikala terjaga, bersyukurlah kerana ALLAH memberi izin untuk berbicara dengan-Nya tatkala sekelilingmu sunyi diselang seli dengan dengkuran. Kerana ada dikalangan hamba yang tidak diberi keizinan, meskipun berpuluh-puluh jenis deringan jam loceng di kiri kanan.
Bertahajjudlah kerana disitu punya kunci kekuatan dalaman.
Alangkah indah, kiranya ia tercetus dari nuraninya sekeping hati, bukan kerana itu suruhan rakan taulan mahupun ianya salah satu dari tentatif program.
Namun, kiranya belum merasakan dan dirasakan, maka usahakanlah ia dengan mendisiplinkan diri dalam taqarrub ilallah.
Jangan diabaikan perkara utama (kedekatan diri dengan al-Khaliq), kerana ianya akan membawa kesan yang cukup mpengaruhi seluruh sistem kehidupan, tidak terkecuali samaada di dalam perjuangan mahupun persaudaraan, di dalam hati dan jiwa, mahupun kotak fikiran.
Alangkah peliknya dan teramat lah malang apabila kita berbicara persoalan tarbiyah, dalam masa yang sama kita tidak menjaga dan memperbaiki hubungan kita dengan Allah. Bercakap tentang perjuangan, tetapi solat dipenghujung waktu. Cacat lagi tempang!

Satu contoh yang boleh dikongsi bersama.
Sekepal tanah dibentukkan menjadi bulat, dengan menggunakan air. Tanpa siraman air, tanah akan kering dan mudahlah ia retak dan hancur berderai.
Begitu juga apabila berbicara mengenai ukhuwwah (persaudaraan). Apabila persaudaraan itu tidak dipaksikan, dibina dan dijalin dengan hati yang cinta dan rindu akan ar-Rahman, maka janganlah dihairankan, apabila hanya dengan sedikit teguran membuatkan hubungan menjadi renggang. Persaudaraan dibina hanya di luaran. Makan bersama, bergurau senda, bergelak ketawa bersama, tetapi tidak pada ingat mengingati antara satu sama lain.


to be continue.....

Monday, February 2, 2009

Sekadar retorikkah?

Tikamana seluruh dunia sayu dan marahkan puak Zionis dan sekutunya, masih ada lagi golongan yang menyanjung-nyanjung mereka.

Masakan tidak, di persidang ekonomi dunia di Switzerland, Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan bangun meninggalkan sidang dewan tersebut dalam keadaan berang sebagai bantahan kerana tidak diberikan masa yang mencukupi bagi menjawab kenyataan yang dibuat oleh Simon Peres, Presiden Israel, yang berucap panjang dan memberikan pelbagai alasan yang tidak munasabah sam sekali, terhadap penyembelihan dilakukan tentera Israel di Gaza. Salah satu daripada kenyataannya, dia mengatakan bahawa HAMAS lah sebenarnya yang mendorong Israel ke kancah peperangan, kerana ia melancarkan roketnya ke kawasan penempatan Israel..

Rabu lalu, Erdogan mengutuk pencerobohan Israel terhadap Gaza dan beliau tidak bersetuju langkah mengkategorikan HAMAS sebagai salah sebuah pertubuhan pengganas. Dalam masa yang sama, beliau menyeru Presiden Amerika yang baru, Barrack Obama supaya mengkaji semula definisi pertubuhan-pertubuhan pengganas yang terdapat di Timur Tengah. -sumber: Palestinkini.info

Di Yaman, kita saksikan pula bagaimana kebangkitan dan kesedaran mereka terhadap isu Palestin ini.
Hari ini, seramai 58 ahli parlimen Yaman yang telah bersetuju dan mendesak kerajaan Yaman agar tidak lagi menerima kunjungan Mahmoud Abbas yang kini telah tamat tempoh sebagai Presiden Palestin. Abbas dikecam kerana telah mengkhianati aspirasi rakyat Palestin dan terbabit dan bersekongkol dengan Zionis-Israel dalam menentang para pejuang kemerdekaan Palestin. -sumber: Palestinkini.info

Saya kira, tidak perlu dihuraikan satu persatu mengenai kebangkitan dan kesedaran masyarakat dunia yang ada pada hari ini terhadap kekejaman dan betapa terkutuknya Israel.

Namun, begitu dan amatlah menyedihkan, sebuah negara yang mengaku sebagai negara Islam, masih lagi menyanjung-nyanjung apa saja yang datang dari barat, walaupun ia hanya sekadar hiburan!! Dan konsert sebegini begitu mudah diluluskan! sedangkan untuk mengadakan program Islamik begitu sukar. Nak buat program mengenai Palestin pun sukar, permit dan sebagainya yang penuh birokrasi. Nah, sekarang, mudahnya orang luar menerobos masuk hanya kerana ianya HIBURAN! Cukup malang & menyedihkan!

'PENYANYI terkenal antarabangsa yang popular dengan lagu Umbrella, Rihanna atau nama sebenarnya Robyn Rihanna Fenty bakal menemui peminatnya dalam konsert Xpax Ignites Rihanna Live In Kuala Lumpur pada 13 Februari ini.

Konsert yang julung kali diadakan itu merupakan sebahagian daripada siri konsert jelajahnya, Good Girl Gone Bad World Tour yang dijadualkan berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada pukul 8.30 malam.

Bakal beraksi di hadapan hampir 12,000 penonton, menurut Pengarah Urusan Pineapple Concerts Sdn. Bhd., Razman Razali, sehingga kini satu perempat (3,000 keping) daripada jumlah keseluruhan tiket telah terjual.'


Mereka sedar, di luar sana, ramai yang bencikan kezaliman. Mereka tahu, di luar sana ramai yang tidak ingin lagi bekerjasama dengan Israel & Amerika.

Bahkan, mereka juga tahu, Syeikh al-Azhar, Mufti Mesir, Mufti Pakistan, Mufti Arab Saudi, Persatuan Ulama Pakistan, Dr Yusof al-Qaradhawi, dan majoriti ulama’ dari seluruh dunia telah memfatwakan WAJIB bagi seluruh umat Islam memboikot barangan Israel, menjalinkan hubungan dagang dengan mereka, dan juga memberikan apa-apa bekalan kepada mereka. (Fatwa ini dikeluarkan setelah mengambil kira kekejaman yang telah mereka lakukan terhadap umat Islam. Para ulama’ ini juga telah menyeru agar kita semua memboikot barangan Amerika yang merupakan sekutu utama yang sering menyalurkan bantuan kepada Israel terutamanya dalam aspek persenjataan.)

Dr Yusuf al-Qaradhawi telah mengatakan, “Satu riyal (ringgit) yang digunakan untuk membeli barangan Amerika adalah bersamaan dengan sebutir peluru yang akan digunakan oleh tentera-tentera Zionis untuk membunuh anak-anak kecil di Palestin.”

Tapi malang, konsert ini hanya dipandang dari satu sudut, HIBURAN!!

Bercerita tentang isu boikot produk keluaran Amerika kerana menyokong tindakan ganas rejim Zionis Israel menyerang penduduk Palestin di Genting Gaza, kata Shazalli, konsert tersebut perlu dilihat dari sudut positif berkaitan hiburan.
"Konsert ini merupakan sepenuhnya melibatkan muzik dan hiburan. Jadi, saya harap kita boleh cuba tangani isu ini secara berasingan dan tidak dicampuradukkan dengan isu politik," katanya.

Yang tak tahannya, pulon dok berebut beli payung nuu. Bukan tak pernah kedai-kedai jual payung. Dapat payung sekaki, seronok tak terkata. Lupa dah saudara-saudara di sana. Lupa dah Israel & konconya menghina Islam.

Lupa bahawa, orang-orang Palestin ni berjaga siang malam, demi mempertahankan kemuliaan, maruah umat Islam seluruh dunia. Kalau nak tau, mereka turut jaga Masjid Al-Aqsa kerana itu simbol MARUAH UMAT ISLAM seluruhnya!



Apakah langsung tiada sentimen? Apakah dalam hidup kita semata-mata untuk hiburan?

Saya melayari Forum TV3, anda boleh lihat sendiri komen-komen anak-anak muda di Malaysia.
Ini lah mentaliti masyarakat apabila disogokkan dengan hiburan melampau. Hedonisme!


Saya terpandang juga beberapa komen yang saya kira, sejuk hati sikit dengar komen begini, sebab apa, sebab ada yang ambil cakna terhadap isu saudara-saudara kita di sana. Petikan seperti di bawah:

----------

Tak patut adakan konsert seperti ini dalam keadaan kita bersedih atas apa yang terjadi ke atas umat Palestine.

Lagi pula tak ada yang bagusnya konsert macam ni selain menggalakkan maksiat terutama di kalangan muda-mudi.

Kita dalam kempen boikot barang dari AS, maknanya hiburan ini juga adalah produk mereka.. Kalau kerajaan benarkan juga, maknanya kerajaan tidak peka dengan kehendak rakyat.

Adalah lebih baik buat konsert nasyid seru orang ke jalan Allah sambil kutip derma untuk tabung Palestin.

p/s: saya sokong boikot konsert artis amerika, kita duk sibuk2 pasal palestin, mereka sibuk nak buat konsert pulak, apa kejadahnya, tak perihatin ker dengan nasib2 rakyat palestin, kat negara kita ni pun dah cukup hiburan kalau nk diikutkan, cukup la dengan apa yang dah ada. hentikan la seketika dengan benda2 yang tak berguna dan tak perlu tu…..BOIKOT…BOIKOT…AMERIKA...
-mat rock-
-----------------

ape ni??? Macamane konsert ni boleh diluluskan pulak???
Memang kita ni talam dua muka, bising nak bela palestin, tapi, pada masa yg sama, masih lagi berkonsert, merokok....
Sebenarnya, kita lebih jahat, lebih kejam daripada Israel sendiri.
Kita tikam kawan kita dari belakang. Israel tak hebat, tapi kita yang lemah sebenarnya.
Kita yang patut kutuk diri kita dulu sebelum kita kutuk Israel dan Amerika.
-ASMN-
-----------------

Fikir-fikirkan, renung-renungkan, ambillah tindakan, buatlah apa-apa yang patut.

Semoga ALLAH mengurniakan kita sekeping hati yang dapat membezakan antara yang haqq dan yang bathil.

Thursday, January 29, 2009

tiada manja-manja di jalan ini

“Maka berangkatlah kamu ke jalan Allah sama ada kamu senang atau berat dan berjihadlah dengan harta dan jiwa kamu.” (At-Taubah : 41)

Wahai saudara-saudaraku, anak-anak muda Islam yang beriman!

Perjalanan dakwah yang kita lalui ini tidak disediakan hamparan permaidani merah sebagai alas, bahkan bukanlah pula perjalanan ini ditaburi emas permata, banglo mewah dan kereta. Ia merupakan perjalanan panjang yang penuh tentangan dan rintangan hebat dan berat, secara terangan mahupun secara berlindung-lindungan, dari dalaman mahupun luaran. Mehnah dan ibtila’ itu pasti menerjah dilorong-lorong sepanjang perjalanan.

Jika dibuka kembali lipatan sejarah, jika direnung kembali buku-buku sirah, maka kita akan dapati sudah banyak sejarah orang-orang terdahulu sebelum kita mengenal tanggungjawab da’wah ini, yang merasakan pahit getirnya perjalanan dakwah ini. Ada yang diusir. Ada yang disiksa. Tidak ketinggalan juga, ada yang harus berpisah dengan sanak saudara dan kaum kerabat mereka. Namun, pahit getir perjuangan tidak membantutkan mereka. Buktinya, ada pada hebatnya pengorbanan mereka dalam jalan dakwah ini. Mereka telah merasakan dan sekaligus membuktikan cinta dan kesetiaan terhadap dakwah.

Lihatlah bagaimana Abu Huzaifah ketika peristiwa Ghazwah Badar. Apabila mayat ayahnya ’Utbah Ibn Rabi’ah diheret untuk dicampakkan ke dalam telaga buruk, berubah air mukanya. Lantas, Rasulullah saw yang melihatkan perubahan itu bertanya, ” Wahai Abu Huzaifah, aku dapati kamu terasa sesuatu terhadap ayahmu.” Lalu, apa yang dijawab Abu Huzaifah? ”Demi Allah, wahai Rasulullah, aku tidak terasa kerana dia dibunuh, tetapi aku mengharapkan dia masuk Islam dengan mendapat hidayah. Setelah dia mati dengan cara begini, aku terharu kerana matinya kafir, tidak seperti apa yang aku harapkan.” Ini rijal da’wah. Dia tak mengharapkan lainnya melainkan sinar Islam pada saudaranya. Bapanya. Berpisah mereka bukan sikit-sikit. Bukan kecil-kecil sebagaimana kita dizaman sekarang, yang baru nak keluar ke program da’wah dalam kampus. Dalam kampus. Jauh sikit pun, di luar kampus. Bukan luar negara lagi.

Ini bukti keikhlasan mereka. Keikhlasan membuatkan mereka gigih dalam pengorbanan dan menjadi permata bernilai buat sejarah umat da’wah ini. Pengorbanan yang telah mereka berikan dalam perjalanan dakwah ini menjadi contoh teladan kepada kita.

Berkata As-Syahid Sayyid Qutb,
"Kita akan merasai perjuangan ini sempit apabila memikirkan bahawa kita yang memulakan perjuangan dan akan mengakhiri perjuangan ini. Tetapi apabila kita memikirkan bahawa perjuangan ini bukan kita yang memulakan dan menamatkannya, maka ketika itu terasalah kita bagaimana luasnya perjuangan kita, bagaimana luasnya keluarga kita kerana keluarga kita bukan keluarga yang diikat oleh keturunan darah tetapi diikat oleh kesatuan 'Aqidah la ila illallah Muhamad al Rasullullah".



Wahai jiwa yang membara-bara demi menegakkan tertegaknya daulah Islamiah,

Renungkanlah pengalaman mereka sebagaimana yang difirmankan ALLAH SWT dalam surah At-Taubah: 42.
Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: "Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu." Mereka membinasakan diri mereka sendiri (disebabkan sumpah mereka yang palsu) dan Allah mengetahui bahwa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.
(At-Taubah : 42)

Tapisan ALLAH berlaku setiap masa. DIA memilih hamba-hamba-Nya yang benar-benar ikhlas dan sabar dalam memikul beban da’wah ini. Meniti sirah perjuangan Rasulullah dan para sahabat, mereka juga telah melihat siapakah antaranya yang dapat bertahan dalam mengarungi perjalanan yang berat itu. Hanya kikhlasan yang dapat mengukuhkan perjalanan dakwah ini. Keikhlasan dan kesetiaan yang menjadikan pemiliknya sabar dalam menghadapi cubaan dan ujian. Ini menjadikan mereka optimis menghadapi apa jua bentuk ujian, dan siap sedia berkorban untuk meraih kejayaan. Keikhlasan dan kesetiaan yang membawa jiwa-jiwa belia untuk berada pada barisan terdepan dalam perjuangan ini. Ini lah perasaan yang membuatkannya berbahagia dan sangat bersungguh-sungguh menikmati beban hidupnya. Setia dalam kesempitan dan kesukaran. Demikian pula setia dalam kelapangan dan kemudahan.

Berkata si pujangga,
Keimanan yang benar menjadikan perjalanan hidup umpama sebuah kisah cinta; kesetiaan dan pengorbanan menukar ujian pahit menjadi satu kenangan manis, kesabaran menjadikan segala beban yang ditanggung ringan dan mudah,
keyakinan pada janji-janji Allah menjadikan jiwa tenang ketika perjalanan begitu sukar,
kerinduan padaNya menjadi pembakar semangat setiap kali berdepan dengan kegagalan dan ujian berat...



Wahai sekalian pencinta tertegaknya Negara Islam,
Demikian orang orang yang benar-benar jujur, ikhlas dan setia dalam perjuangan. Sebaliknya orang-orang yang rapuh jiwanya dalam perjuangan ini tidak akan dapat bertahan lama. Merungut pada banyaknya tanggungjawab dan gerak kerja. Mengeluh pada beratnya beban, dan jauhnya perjalanan yang ditempuh. Mereka menolak untuk menunaikannya dengan segala macam bentuk alasan agar mereka diberi kelonggaran dan pengecualian untuk tidak turut serta. Menjadi berat hati berada dalam perjuangan ini dan hingga akhirnya lemah dan berguguran satu per satu, sebelum sampai pada tujuan perjuangan.

Serangan dari penyakit wahan telah merapuhkan hati dan melemahkan mental sehingga mereka tidak dapat menerima kenyataan pahit sebagai risiko dan sunnah dakwah ini. Malah mereka menggugatnya lantaran anggapan mereka bahwa perjuangan dakwah tidaklah harus mengalami kesulitan, malah ianya mudah lantaran adanya pertolongan.

Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu, hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian, dan hati mereka ragu-ragu, karena itu mereka selalu bimbang dalam keraguannya. Dan jika mereka mau berangkat, tentulah mereka menyiapkan persiapan untuk keberangkatan itu, tetapi Allah tidak menyukai keberangkatan mereka, maka Allah melemahkan keinginan mereka. dan dikatakan kepada mereka: "Tinggallah kamu bersama orang-orang yang tinggal itu."
(At-Taubah : 45-46)


Keikhlasan dan kesetiaan yang ada pada diri merupakan faktor kuatnya daya tahan dan teguhnya dalam dakwah ini. Sikap ini membuat mereka sentiasa bersedia dalam menggalas dan menjalankan tanggungjawabnya. Mereka punyai sistem on-call, bukannya sistem on the way. Bersiap sedia bila-bila masa. Mereka juga dapat menunaikan tugas dengan sebaik-baiknya. Mereka tidak mengira apakah kedudukan mahupun posisi dalam gerak da’wah. Sama ada mereka di atas, mahupun ditengah, ataupun di bawah. Bagi mereka, itu bukanlah faktor utama. Itu hanyalah alat. Yang penting, Islam tertegak. Da’wah berjalan lancar.


Wahai sekalian perindu negeri akhirat,
Marilah kita menyelusuri perjalanan dakwah Abdul Fattah Abu Ismail, salah seorang murid Imam Hasan Al Banna yang selalu menjalankan tugas dakwahnya tanpa keluhan sedikitpun. Dialah yang disebutkan oleh Hasan Al Banna orang yang sepulang dari tempatnya bekerja sudah berada di kota lain untuk memberikan ceramah kemudian berpindah tempat lagi untuk mengisi pengajian dari waktu ke waktu secara larian. Dia selalu berpindah-pindah dari suatu kota ke kota lainnya untuk menunaikan amanah dakwah. Sesudah menunaikan tugas dengan sebaik-baiknya, dia merupakan orang yang pertama kali datang ke tempatnya bekerja (jangan cari alasan untuk datang lewat). Malah, ia yang membukakan pintu gerbangnya. Pernah ia mengalami keletihan hingga tertidur di sofa rumah Zainab Al-Ghazali. Melihat keadaan tubuhnya yang lelah dan penat itu, tuan rumah membiarkan tetamunya tertidur sampaikan dia bangun. Setelah menyampaikan amanah untuk Zainab Al-Ghazali, Abdul Fattah Abu Ismail bergegas untuk ke tempat seterusnya. Kerana keletihan yang dialaminya, Zainab Al-Ghazali memberikan wang untuk beliau bergerak menaiki teksi. Abdul Fattah Abu Ismail mengembalikannya sambil mengatakan,
“Dakwah ini tidak akan dapat dipikul oleh orang-orang yang manja.”
Zainab pun menjawab, “Saya sering ke mana-mana dengan teksi dan kereta-kereta mewah, tapi saya tetap dapat memikul dakwah ini dan saya pun tidak menjadi orang yang manja terhadap dakwah. Kerana itu, ambillah wang ini, tubuhmu letih dan engkau memerlukan istirehat sejenak.”
Ia pun menjawab, “Berbahagialah ibu. Ibu telah berjaya menghadapi ujian Allah swt. Berbentuk kenikmatan-kenikmatan seperti itu. Namun, saya bimbang saya tidak dapat menghadapinya sebagaimana sikap ibu. Terima kasih atas kebaikan ibu. Biarlah saya menaiki kenderaan umum saja.”


Duhai saudaraku yang dimuliakan Allah swt.

Itulah contoh orang yang telah membuktikan kesetiaannya pada dakwah lantaran keyakinannya terhadap janji-janji Allah swt. Janji yang tidak akan pernah dimungkiri sedikit pun. Janji yang tidak pernah gagal. Allah swt. telah banyak memberikan janji-Nya pada orang-orang yang beriman, yang setia pada jalan da’wah berbentuk pelbagai anugerah-Nya. Sebagaimana yang terdapat dalam Al-Qur’an.

Hai orang-orang yang beriman, jika kamu bertakwa kepada Allah, niscaya Dia akan memberikan kepadamu furqan (petunjuk yang dapat membedakan antara yang haq dan yang batil, dapat juga diartikan disini sebagai pertolongan) dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahanmu dan mengampuni (dosa-dosa)-mu. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.” (Al-Anfal: 29)

Dengan janji Allah swt. tersebut, orang-orang beriman tetap bertahan mengharungi jalan da’wah ini. Dan mereka menyedari bahawa perjuangan yang berat itulah sebenarnya menjadi kunci untuk mendapatkannya. Semakin berat perjuangan ini semakin besar janji yang diberikan Allah swt. Kesetiaan yang bersemi kukuh dalam diri, itulah yang membuat mereka tidak akan pernah menyalahi janji-Nya. Dan, mereka pun tidak akan pernah ingin merubah janji apatah lagi mengingkari kepada-Nya.

Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak merubah (janjinya). (Al Ahzab: 23)


Wahai teman – teman sepejuanganku dunia akhirat,
Aktivis da’wah sangat menyakini bahawa adanya kesabaran membuatkan mereka kuat menghadapi berbagai rintangan dakwah. Bila dibandingkan apa yang kita lakukan serta yang kita dapatkan sebagai risiko perjuangan di hari ini dengan keadaan orang-orang terdahulu dalam perjalanan dakwah ini, tidaklah seberapa. Pengorbanan kita di hari ini masih dipermukaan pengorbanan waktu untuk da’wah. Pengorbanan tenaga dalam gerak kerja untuk kepentingan da’wah. Dan sebahagian kecil adalah pengorbanan dari harta kita yang banyak. Cuba lihat pengorbanan orang-orang terdahulu, ada yang disalai di bawah panasnya mentari, digergaji, ada yang diikat dengan empat ekor kuda yang berlawanan arah, lalu kuda itu dipukul untuk lari sekencang-kencangnya hingga terkoyak orang itu. Ada pula yang dibakar dengan tungku yang berisi minyak panas. Mereka dapat menerima risiko kerana kesabaran yang ada pada dirinya. Dan mereka tetap tidak berpaling dari medan da’wah ini. ALLAHUKABAR! Bekalan kesabaran mereka tidak pernah berkurang sedikit pun kerana keikhlasan dan ke-taat-setiaan mereka pada Allah swt.

Dan berapa banyak nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikut (nya) yang bertakwa. Mereka tidak menjadi lemah karena bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Allah menyukai orang-orang yang sabar. (Ali Imran: 146)

Bila kita memandang kehidupan generasi pilihan, kita akan temukan kisah-kisah brilian yang telah menyuburkan dakwah ini. Muncullah pertanyaan besar yang harus kita tujukan pada diri kita saat ini. Apakah kita dapat menyemai dakwah ini menjadi subur dengan perjuangan yang kita lakukan sekarang ini ataukah kita akan menjadi generasi yang hilang dalam sejarah dakwah ini.

Ingat, dakwah ini tidak akan pernah dapat dipikul oleh orang-orang yang manja. Kita perlu menilai pentarbiyyahan agar ianya menyeluruh dan mampu mencetuskan al-yaqazah al-ruhiyyah (kesedaran rohani) supaya lahirnya beliawan dan beliawanis yang punyai hidup yang bererti, bercahaya ruhaninya, mengakar pemikirannya, dan berkembang gerakannya.

Dr Yusuf Al-Qardhawi dlm kitabnya Al-Iman wal Hayah menyatakan:
“Tidak mungkin manusia dapat menghindarkan diri daripada pelbagai kesulitan, begitulah kenyataan hidup, ramai yang bersua dengan kegagalan,ditinggalkan kekasih, penyakit menyerang tubuh, kehilangan harta benda dan seterusnya. Kemudian beliau mengambil hadis Rasulullah bermaksud:
“Perumpamaan org beriman yg ditimpa ujian bagai besi yg dimasukkan kdlm api lalu hilang karat dan tinggal yg baiknya saja”.

Dengarlah rintihan Zinnirah kepada Al-Khaleeq,
"Ini untukmu Ya Allah. Aku mengharungi kesengsaraan ini untuk mendapat kesenangan di akhirat kelak. Perjuangan ini sememangnya berat, selalu menderita dan sengsara kerana aku sedar untuk mendapat syurga. aku terpaksa menagih ujian berat, sedangkan neraka itu dipagari oleh pelbagai kesenangan.”
Inilah rintihan hati Zinnirah kepada Allah S.W.T ketika bermunajat kepada Allah di setiap malam sebagai penawar jiwa di atas segala kesusahan yang dia hadapi. Jiwanya semakin kukuh. Imannya semakin teguh.

Apabila tiba hari akhirat kelak, Allah Taala akan menghimpunkan seluruh mujahidin dalam satu saf semantara menanti masa untuk dimasukkan ke dalam syurga-Nya.
Mengenangkan munajat Uthman bin Affan,
“Sekiranya aku dihadapkan di hadapan Allah, untuk menanti keputusan sama ada aku diletakkan ke dalam syurga atau dicampakkan ke dalam neraka-Nya, maka aku lebih rela untuk menjadi debu kerana takutnya hati ini”.
Sedangkan Umar Al-Khattab yang imannya di akui penduduk langit dan bumi juga memukul dirinya kerana takut tergolong dalam golongan munafiq. Ini kan pula kita yang iman senipis sel bawang, yang mana kita mengenal perjuangan ini baru saja dipermukaan kulit buku, sebagai analogi nya.

Ya Allah, ampunilah dosa kami. Betapa tinggi ibadat mereka sehingga mereka sanggup menghabiskan masa berjam-jam lamanya untuk berdialog dengan-Mu sedangkan kami pula sebaliknya. Ya Allah, kasihilah kami. Betapa khusyu’ dan tawadhu’nya hati mereka sehingga mereka menangis mengenangkan dosa, sehingga berbekas aliran putih di bawah mata mereka lantaran tangisan mereka yang berpanjangan. Ya Allah, kami merindui belaian lembut maghfirah-Mu. Ampunilah segala kesilapan dan kealpaan kami.

Semoga Allah mengampuni kita dan meneguhkan kita dalam perjuangan.

Template Design | monera87