"Ya Allah, kurniakanlah ke atasku ketenangan, dan tetapkanlah pendirianku bersama-sama pendukung-pendukung kebenaran, dan tabahkanlah hatiku dengan mengingati Engkau, dan kurniakanlah akan daku keredhaan dengan perkara yang Engkau redhai"

Wednesday, October 29, 2008

kembali lagi...

Tak tau tajuk nak letak pun. Sekarang ni, ketepuan otak melanda.. maka rehat jap sambil membebel. rasa macam dah lama juga tak membebel. Dok membebel dalam bilik je la.

Demam pekso dah seminggu melanda. sekarang makin garing demam pekso tu. Bertambah garing bila ada banyak lagi perkara nak kena settle-kan. Assignment, report, dapat projek.. Apapun, itu lah kerja manusia bergelar pelajar ni.. Nak-nak lagi, dunia ni tak lari dari ujian. Ujian, mana-mana ujian lah. serba-serbi.
Baru-baru ni pun, tok ayah (datuk) baru dimasukkan ke dalam ward . Tapi semalam tanya abang, dia kata, dia dah culik tok ayah dari hospital, bawak balik ke rumah. Fuhh.. BiGbRo ni sejenis propeshnal punya penculik..heheh..

Waktu-waktu pekso ni lah rasa macam kepala ni pusing, mujur tak putus urat lagi.
Ada yang tegang. macam-macam. Tak pelah. Manusia ni ada waktu-waktu dia. Biasalah kalau tersedih ke, nak rasa termelenting ke, rasa tetiba nak tergelak tanpa sebab ke (jaga-jaga). Tapi, saya berfikir, ada baiknya, kita perhati sekeliling. Kalau kita melenting, pasti orang tak suka, kan? Kalau orang melenting pada kita, kita pun tak seronok, kan? Nak study pun, ternampak muka yang terpelanting tu.. (eh, silap, termelenting tu..)
eh..apa merepek ni..

Kadang-kadang, bila kita sedih, dimarahi, kita akan berfikir,
oh, ini ujian bagiku.. Alhamdulillah, Allah masih ingat padaku dan menegur silapku dengan keadaan ini. Syukurlah DIA masih sayangkan aku sebagai hamba-NYA. Semoga ALLAH ampuni kesilapan aku yang aku lakukan, sedar ataupun tak sedar.

Ya. Teruji dan diuji. Pelbagai bentuk. Ini lah peringatan dari ALLAH.. Seronok study, tapi terlewat solat..nak nak lagi terlajak dan tinggal solat terus. Bukankah kita mencari ilmu agar kita lebih mengenali ALLAH, yang menciptakan, yang memiliki ilmu semua ini? Dan bagaimana pula dalam mencari ilmu, kita boleh lupakan DIA sebagai contoh, tinggalkan solat, tak pun study berdua-duaan lelaki dan perempuan?

Ujian ni lah sebagai feedback sistem, suruh kita imbau balik dan baiki lagi agar kita dapat output yang comei. Kira ni compensated system laa..eheh..

'Mu nok kejar dunia, kejar lah. Tapi akhirat jangan lupa..' maksudnya, nak stadi, stadi lah, sampai tunggang langgang pun, xpa.. tapi jangan sampai abaikan perintahNYA.

ayukk...dah, nak smbung study plak ni..

Selamat maju jaya pada semua..

Sempena peperiksaan ni, saya minta maaf pada semua atas kata2, laku saya dan segala macam yang dah mencalarkan hati, sedang merobek jantung atau akan datang mengguriskan perasaan kalian... dan saya memaafkan kalian, tanpa sebarang cagaran..

ok, selamat maju jaya sekali lagi..

p/s : mak ayah pesan, belajaq elok2. Jaga hubungan dgn ALLAH. solat jgn tinggal, kualiti ibadah tingkatkan, hubungan manusia tambahbaikkan. Makan,ksihatan, jangan abaikan. Sayur makan banyak2...
trima kasih mak,ayah, bigbro,k.hayate...

Saturday, October 18, 2008

Air Mata Ar-Raji'

Al-Raji' ni nama bagi tempat kediaman qabilah 'Adal dan Qarah, yang telah melakukan khianat, atas dorongan dan galakkan yang diberikan oleh orang musyrikin Mekah; yang menyebabkan beberapa sahabat radhiyallahu'anhum menjadi korban syahid.

Peristiwa ar-Raji’ telah berlaku pada bulan Safar tahun ke-4 Hijrah, di mana beberapa orang wakil daripada qabilah ‘Adal dan Qarah telah datang menemui Rasulullah s.a.w , meminta baginda Rasulullah saw agar menghantar beberapa orang sahabat supaya mengajar al-Quran dan hukum-hukum agama kerana di sana (ar-Raji’) terdapat sambutan yang baik kepada ajaran Islam. Lalu Rasulullah sa.w menghantar 6 orang sahabat (menurut riwayat imam Bukhari 10 orang sahabat) di mana Mar’id bin Abi Mar’id dilantik menjadi ketua kepada rombongan pendakwah tersebut. (menurut riwayat al-Bukhari, ketuanya adalah 'Asim bin Tsabit).

Ketika sampai di kawasan ar-Raji’ iaitu di suatu kawasan yang bernama Huzail, tiba-tiba mereka telah didatangi bala tentera yang lengkap bersenjata menunggu untuk bertindak. Mereka datang beramai-ramai mengepung para sahabat yang ditugaskan untuk menjalankan tugas dakwah itu dan berkata,

“Lebih baik kamu semua menyerah diri kepada kami kerana kami tidak akan melakukan apa-apa kepada kamu. Kami cuma mahu mendapatkan sesuatu daripada orang-orang Mekah jika kami menyerahkan kamu kepada mereka”.

Tetapi ketua rombongan pendakwah Islam itu tidak mahu mahu menyerah dan mengambil keputusan lebih baik mati bertempur daripada menyerah serta tidak sekali-kali percaya kepada janji-janji orang musyrikin itu lalu beliau dan beberapa orang sahabat yang lain menentang musuh sehingga mereka gugur syahid.

Seorang perempuan musyrikin Quraisy dimana salah seorang anaknya dibunuh dalam satu peperangan oleh ‘Asim bin Thabit iaitu salah seorang daripada pendakwah yang telah gugur syahid itu telah bernazar untuk minum arak dalam tempurung kepala ‘Asim tetapi Allah memelihara kepalanya daripada diambil oleh musuh apabila Allah mengahantarkan sekumpulan lebah untuk menjaga jasadnya.

Manakala 3 orang daripada mereka yang masih tinggal iaitu Zaid bin Abi ad-Dasinah, Khubaib bin ‘Adi dan Abdullah bin Tariq telah mengambil keputusan untuk menerima janji yang ditawarkan oleh musuh Islam itu. 3 orang tawanan tadi dibawa ke Mekah untuk dijual.


Ketika mereka tiba di Zuhran, Abdullah bin Tariq berjaya melepaskan diri daripada ikatan lalu menyambar pedang dan melawan musuh sehingga dia gugur syahid. 2 orang yang masioh tinggal terus dibawa ke Mekah dan dijual dengan bayarannya ialah membebaskan 2 tawanan daripada qabilah Huzail yang ditawan oleh pihak kafir Quraisy.


Khubaib bin ‘Adi telah dibeli oleh Bani al-Harith bin ‘Ammar bin Naufal kerana dia telah membunuh pemimpin mereka Harith dalam peperangan Badar.
Khubaib telah diperhinakan dan dipukul berkali-kali dengan cara yang menyakitkan dan juga telah dipenjarakan. Pada suatu hari ketika Khubaib sedang bercukur di rumah Bani Harith tempat kurungannya, tiba-tiba seorang anak kecil dari keluarga itu datang menghampiri Khubaib lalu dia mengambil anak itu dan diletakkan atas ribaannya. Apabila si ibu menyedari anak kecilnya tiada di sisi lalu dia melihat ke arah Khubaib dan terlihat anaknya berada atas ribaan Khubaib yang sedang memegang pisau cukur. Khubaib melihat kepada si ibu lalu berkata :
“ Aku tahu perasaanmu iaitu menganggap bahawa aku akan membunuh anak ini bagi membalas dendam terhadap apa yng diperlakukan kepadaku. Demi Allah aku tidak akan melakukan perkara kejam itu”.


Selepas itu dia melepaskan anak kecil itu walau pun dia boleh membunuhnya atau pun menjadikannya tebusan untuk membebaskannya tetapi dia tidak berbuat demikian. Si ibu begitu takjub melihat apa yang berlaku dan memuji kemuliaan akhlak Khubaib. Inilah dia antara kesan daripada tarbiah Rasulullah s.a.w yang dapat kita sama-sama lihat. Seterusnya Khubaib di bawa ke Tan’im untuk dibunuh di mana sebelum itu dia telah meminta agar diberi peluang untuk dia melakukan solat sunat 2 rakaat. Setelah selesai solat lalu dia berkata dengan tegas :
“ Demi Allah, jika tidak kerana bimbang kamu menuduh aku pengecut nescaya aku akan bersembahyang lebih panjang lagi”.

Kemudian dia berdoa :
“Wahai Tuhanku! Hitungkanlah mereka semua dan binasakanlah mereka semua sehingga jangan tinggalkan walau pun seorang”.

Kemudian dia bersyair antaranya :
“ Demi sesungguhnya aku tidak peduli sekiranya aku dibunuh sebagai seorang Islam di mana sahaja anggota yang dibunuh. Perkara itu kerana Allah jika ia mengkehendaki nescaya Dia memberkati setiap anggota yang dihiris”.

Lantas, bangunlah Uqbah bin al-Harith lalu membunuh Khubaib dan gugurlah seorang sahabat yang tabah dan berani mati kerana Islam.


Pada hari yang sama mereka membunuh seorang lagi sahabat iaitu Zaid bin ad-Dasinah, yang dibeli oleh Safuan bin Umaiyyah. Abu Sufian yang menjadi pemimpin taghut pada masa itu bertanya kepada Zaid :
“ Apakah pendapat kamu jika Muhammad berada sekarang mengantimu supaya kami dapat pancungkan lehernya?”.

Dengan tegas Zaid menjawab :
“ Demi Allah! Aku tidak rela sekali pun nabi Muhammad s.a.w terkena duri sedangkan aku bersama-sama keluargaku”.

Abu Sufian berkata :
“ Aku tidak pernah bertemu sesorang itu begitu kasih kepada seseorang yang lain seperti para sahabat Muhammad kasih kepada Muhammad”.

Selepas itu Zaid dibunuh oleh musuh tanpa belas kasihan. Inilah dia kasih sayang para sahabat terhadap diri Rasulullah s.a.w dan Islam sehingga mereka lebih rela mati daripada melihat baginda dikhianati dan Islam dihina.

Firman ALLAH dalam surah Al-Ahzab,

Maksunya : "Antara orang-orang mukmin itu ada mereka yang telah menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Maka di antara mereka ada yang telah gugur syahid dan antara mereka ada pula yang menunggu (datangnya syahid) dan mereka sedikit pun tidak mengubah janjinya.." (al-Ahzab:23)

Begitulah kesungguhan dan kejujuran Rasulullah saw untuk mengajak dan menyelamatkan manusia dengan Islam; dan mereka yang dihantar bukanlah daripada kalangan panglima-panglima tentera Islam, tetapi dari kalangan yang sekadar mengajar Al-Qur’an dan hokum-hukum agama. Walaupun demikian, mereka tetap mempunyai sifat kepahlawanan Islam yang bersedia untuk mati syahid. Mereka bukan sahaja mempunyai ilmu untuk menjadi guru agama dan mengajar semata-mata, tanpa bersedia berjuang mempertahankan dan meninggikan kalimah ALLAH SWT. Begini sifat generasi pertama, hasil madrasah dan tarbiyyah Rasulullah; yang mana mereka ini menjadi pahlawan di siang hari, dan ahli-ahli ibadah dimalam hari. Ataupun, mereka ini mencari kayu api disiang hari, dan tekun beribadah di malam hari.


Bagaimana dengan kita pada hari ini?. Adakah kita terus rela melihat Islam dimaki, umat Islam dibunuh dan dihalau dari tanahair mereka sendiri, Hukum Allah dipersenda, Sunnah nabi dihina,para ulama’ dicerca oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan memang bencikan Islam daripada dilaksana.

Dan kebanyakan umat manusia hari ini pula, bekerja kuat disiang hari, mengqadha’ tidur di malam hari. Ataupun, bekerja (shift) dimalam hari, qadha’ tidur di siang hari, melewati solat-solat fardhu. Alangkah jauhnya kita… Itu pun masih nak berlagak menjadi orang hebat? Mengandaikan diri sudah terbaik ? Sama-sama fikirkan...

Rujukan :
[1] Al-Qur’an Tafsir
[2] TG Haji Abdul Hadi Awang, Fiqh Al-Harakah Dari Sirah Nabawiyyah (Jilid 2), Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam, Selangor, 2001.

Friday, October 17, 2008

syahdu Eryna...

Hening benar suasana di Mahallah Khadijah. Aku menyusun langkah ke mahallah ’A’isyah. Tidak lah jauh jaraknya. Namun tidaklah terlalu dekat dengan mahallah yang aku menginap. Ku dongak ke langit. Ahh.. hari nak hujan. Aku percepatkan langkah. Fathma pasti sudah menunggu aku begitu lama.

”Assalamu’alaikum. Assifli. Ana baru tangguhkan meeting rakan sejawat tadi. Maaf ambil masa antunna menunggu begitu lama.”
Aku cuba menutur sopan. Bukankah dalam Islam dianjurkan berakhlaq mulia? Beradab?

Fathma tersenyum. ”Tidaklah. Kebetulan kami baru saja sampai.”

Fathma el-Batrisha. Orang pertama yang memperkenalkan wadah perjuangan ini kepadaku. Gadis kacukan Melayu-Jordan. Menetap di Gombak, Selangor. Aku mengaguminya lantaran kecerdasannya dalam gerak kerja dakwah. Sepadan dengan namanya, bermaksud ’cerdas pintar’. Jauh dari mengaguminya, aku mengagumi Sang Pencipta yang menciptakan hamba yang begitu lunak dan sebati dalam jalan dakwah ini. Subhanallah..

Aku tersenyum sendiri.

” Aishya ghaaibah, ya Fathma. Hiya maridhati.”
Habeebah bertutur arab. Sebagai foreign student, Habeebah lebih gemar menggunakan bahasa ibundanya. Biarpun aku tidaklah boleh bertutur Arab dengan baik, namun aku faham apa yang Habeebah perkatakan.

“Syafakillah..” kami mendoakan agar Aishya disembuhkan segera.

Aku tidak pernah jemu berada dalam halaqah. Mungkin kerana punyai naqibah yang cukup baik tutur bicara dan perawakannya.



_______________________________________________



”Umat Islam sekarang lemah. Kita lemah..” nada Fathma sayu.


Zhafarina mengangkat wajahnya. ”Maksud akak?”

”Sejak zaman-berzaman Islam ditentang musuhnya. Lihat semasa zaman Rasulullah saw dan para sahabat, baginda dan para sahabat ditentang, di ancam bunuh dan sebagainya; kemudian di zaman khulafa’ ar-rashidin dan zaman-zaman seterusnya. Mereka tak pernah berhenti memerangi dan memusuhi Islam, hingga misi mereka tercapai. Dan pada tahun 1924 Masihi, kerajaan Islam khalifah uthmaniyyah Turki dijatuhkan, dengan boneka yang dididik mereka, Kamal attartuk laknatullah, bapa sekularisme.. Tidak berhenti disitu, mereka menyebarkan sekularisme yang menanam fahaman pemisahan agama dari kehidupan ke seluruh umat Islam; pembawaan nasionalisme, yang bersifatkan kenegaraan..” panjang Fathma menghuraikan.

Aishya yang lebih gemar berdiam diri kini mencelah.
”bukan ke nasionalisme ni semangat kebangsaan, semangat kenegaraan, yang disetupkan untuk cuba memisahkan persaudaraan orang Islam yang begitu kuat suatu masa lalu?

Fathma tersenyum dan mengangguk.
”Ya..dan kenapa mereka buat begitu?”


Suasana sepi seketika. Mungkin semua sedang menyusun ayat.

”Saya cuba ye kak?” Eisya tersenyum sambil mengambil pen yang terlepas dari tangannya. Fathma, Habeebah, Zhafarina, Aishya, Syaiqa’ dan aku memandang Eisya, menantikan jawapan darinya.

”kalau tak salah saya, ideologi ni dibawa sebab mereka tak nak umat Islam bersatu. Walaupun mereka sebenarnya tidak faham bagaimana yang dikatakan persaudaraan Islam yang kita bina, tapi mereka dah lihat bagaimana umat Islam suatu ketika dahulu gagah dan kuat apabila bersatu. Bersatu dengan aqidah yang satu. Sebab itu orang Islam dulu kuat. Seorang wanita Islam ataupun mudahnya, Muslimah ditarik-tarik kainnya oleh beberapa orang Yahudi,ketika berjalan dipasar, maka tentera-tentera Islam bertindak. Diorang gerun dengan kekuatan persaudaraan yang ada masa dulu. Tak perlu tunggu orang besar-besar dan orang kenamaan dihina, baru tentera bertindak. Siapa pun dia, dari mana pun dia, asalkan dia umat Islam.. apabila dihina, maka seluruh umat Islam bangkit menentang penghinaan tersebut...” Eisya terdiam seketika, memandangku. Sekilas pandangan darinya, aku menyambut permintaannya agar menyambung bicaranya.

”urmm.. ana setuju dengan Eisya. Ana sambung, ye? Baik. Kita kehadapan sikit, lihat pada rantau ni pada tahun 1950 Masihi.. Semasa
tragedi Natrah yang berlaku di Singapura pun, sensitiviti umat Islam masih ada sengatnya. Tak kira siapapun dia, ustaz ustazah ke, orang kampung ke, penyanyi ke, pelakon ke, dia umat Islam. Dia tahu, dia kena menentang undang-undang yang cukup menghina Islam, yang menyetujui dan membenarkan kemurtadan umat Islam, maka dia perlu bangkit menentang. Tak kisah, pergi ke singapura naik apa pun. Berjalan kaki, berbasikal dan sebagainya. Semasa saya di sekolah, ustazah ceritakan, ada seorang polis sanggup melepaskan jawatannya semata-mata tidak bersetuju dengan pengadilan tersebut. Baginya, tidak mengapa hilang kerja sebagai polis, asalkan maruahnya tidak tercemar dihadapan ALLAH. Itu dulu.. Hebatnya umat Islam dulu. Tapi sekarang sengatan itu kian hilang.. Sebab itu musuh-musuh Islam makin berani. Hina Islam dihadapan pemimpin Islam pun, tak ada apa-apa. Hari ini Islam dihina, tiada apa-apa pun yang berlaku.. sebab itu pada awal-awal tadi, akak kata umat Islam lemah, kan? Kalau salah betulkan ana ye..Allahu’alam. ”
ada getaran dihujung suara. Tangan menjadi sejuk secara tiba-tiba..


Hening. Rintikan hujan yang bertapak di atas bumbung masjid kedengaran.. Mungkinkah titisan hujan tersebut adalah gambaran dari hati-hati mereka yang sayu dengan keadaan umat Islam kini...?

”hmm.. betul, adik-adik. Sengatan dan sensitiviti umat Islam kian puput ditiup bayu wahn, penyakit cintakan dunia, dan takutkan mati.. Umat Islam semakin kuat dalam mencari kemewahan, kepopularitian, keseronokan, pangkat.. hinggakan lupa siapa kawan, siapa lawan, siapa musuh...Musuh bergelak ketawa, umat Islam sesama sendiri bergaduh, bertekak dengan hal-hal khilafiah..” Fathma bersuara setelah mendengar anak buahnya melontarkan pendapat..

....................



Thursday, October 16, 2008

PRK : ambang malam..

Setelah beberapa hari penyampaian manifesto 0leh calon-calon PRK , maka pada hari ini, tibalah masanya para mahasiswa membuat pilihan di atas kriteria yang diadakan oleh diri. Berkenan pada wajah yang cantik/hensem ?menyejukkan hati? pandainya berkata-kata? manisnya taburan janji-janji? kuat dan rajinnya bekerja? ya.. rata-rata punyai kriteria pemilihan tersendiri. Tapi setakat yang didengari desas-desus terhadap calon-calon tersebut, tidak pula aku dengari, "kiter nak pilih diorang sebab diorang beriman dan berakhlaq baik.." dsb.
mungkin aku jer yang tak terdengar..
jam 1647, aku pulang dari kelas.. terasa rugi juga tak dapat join sahabat-sahabat ke astaka. Tapi, takpe. Aku teringat ayahku berpesan, "nak buat apa-apapun, semayang (solat) dulu. Tak rugi.."
takpe,takpe..
selesai solat, rumet mengkhabarkan berita gumbira... ALLAHUAKBAR!! aku tengok jam. kol 5.42 petang. Kesyukuran diterjemahkan dengan sujud syukur..
terima kasih kepada yang memberi ulasan pada malam manifesto pertama, kedua, dan ketiga.
anda turut membantu kami secara tak langsung sebenarnya.. terima kasih...
Kenapa perkara pahit sukar ditelan?
kerana pahit bisa menyembuhkan.. sepertimana ubat2an. Nak telan, payah. Pahit pulak tu. Tapi, dengan izin ALLAH, ia bisa menyembuhkan penyakit...
macam tulah juga, pada adik2 yang mengalami keperitan mungkin sepanjang manifesto.. Kritikan itu perit untuk didengar. Bukan diri adik2 saja, bahkan kami juga. Tapi itu jua yang membantu meningkatkan rasa ingin tahu pengundi-pengundi pada diri adik2, dan berkat kesabaran n kesungguhan, ALLAH anugerahkan kemenangan.. TAHNIAH & TAKZIAH diucapkan...
Jom mengisi kemenangan.. Bagaimana..? Pasti ada perancangannya yang tersusun rapi lagi berstrategi..
Taknak ulas panjang lagi..
Jom kita gi Ifthar jama'ie..??
6.41 pm
ifthar di masjid jamek

Monday, October 6, 2008

Raya...

Tanggal 1 Syawal, di mana seluruh umat Islam merayakan kemenangan setelah berpuasa di bulan Ramadhan. Cukup, tak cukup, puasa betul-betul, puasa 'yang-yok' pun, raya juga.. Mercun bunyi sana-sini. Merayakan apa tu? Pelik juga.. Aku dengar abang aku berkata, "puok2 tu raikan kebebasan syaitan..." Dengar macam kasar je.. Tapi, hakikatnya, begitulah yang disimpulkan secara kasar. Kita tak diajar menyambut kemenangan dengan mercun.. Tapi, bertakbir, bertahmid, bertasbih..

Pagi raya...aku mendengar khutbah 'eidul Fitri.. JAHILIYYAH.
Kalau ikut Jahiliyyah ni, kita termerujuk kepada Arab Jahiliyyah. Tu orang penggil jahiliyyah kuno. Mencuri, berzina, dan sekutu dengannya.. Tapi, manusia ni, lupa... sekarang pun masih ada jahiliyyahnya. Jahiliyyah cara moden lah. Mencuri (dah pelbagai versi.. bertambah kreatif cara nak curi.. barang-barang yang dicuri pun, dasyat..besi buruk, wayar telefon dll..), berzina (merata 'cerok' dah tak hirau..), minum arak (kilang, kedai arak bersepah-sepah), berjudi (peraduan sms pun boleh jadi), dsb.

Kalau di zaman Arab Jahiliyyah dulu, sampai berlaku perebutan takhta kuasa dari qabilah-qabilah, sekarang pun tak kurang hebatnya. Berebut nak kekuasaan. Gilakah mereka dengan sejenis ilusi bernama kuasa? Hamba Allah ni semakin tidak berasa apa-apa menjadi gila sebegitu, hinggakan sanggup mencantas mana-mana yang cuba menentang, dan memonopoli kapal yang kian karam.
Betapa tiada bezanya antara kejahilan dulu dan sekarang. Bezanya (ada jugak beza..??) , mungkin kita dapat lihat agak moden sedikit cara 'perlaksanaan' kejahilan tersebut.

Lagi, macam mana nak lenyapkan kejahilan? Mesti ada ilmu.. Macam mana? Cari lah. Nak cari dimana? Dimana-mana lah. Bumi ALLAH kan luas? Ilmu agama, ilmu akademik, ilmu dalam bidang-bidang lain juga kena kuasai.

Hebat di mata manusia tak membawa makna apa-apa kalau kita ini jijik, jelik, bobrok dipandangan ALLAH. Contoh, gah menerajui kepimpinan dimata manusia, tapi rasuah dan kezaliman dilakukan dengan perselindungan.. Takde maknenye...

Cakap pasal raya kali ini, mudah-mudahan ianya lebih bermakna. Macam mana? Kita lebih mensyukuri nikmat ALLAH, dan terus istiqamah dalam melaksanakan ibadah yang kita usahakan dalam madrasah Ramadhan baru-baru ni..

Friday, September 26, 2008

jangan berlagak..

Hidup Ayop begitu susah. Esok lusa nak raya dah. Persiapan untuk raya belum dibuat lagi. Baju anak-anak belum ada. Juadah pun tidak ada. Ayop pergi kedai, dalam keadaan tak berduit. Ayop menongak melihat baju melayu kecil, baju kurung kecil dan sehelai selendang. Cantik. ’Kalau Hasnan dengan Hasni pakai, mesti comel..dan selendang tu, kalau Leha pakai mesti lawa..’
Dia memandang harga dan mengira-ngira duit yang ada. Ahh.. tak cukup.. Lalu, dia hanya jadi pemerhati bebas saja.
Ketika melihat-lihat pakaian itu, tetiba Salim, si tokei kedai kata, " Yop, ambillah. Aku bagi percuma ni kat mu. Ambil lah, buat persiapan raya nanti.."
Ayop tidak menghiraukan tawaran Salim. Dia bimbang status diri nya diketahui dan dia berkata pada dirinya, 'tidak mengapa..aku boleh usahakannya sendiri tanpa simpati orang..' Keegoannya tebal.
Dia terlupa, anak-anak nya dirumah masih kecil dan mereka hanya tahu raya itu adalah kegembiraan. Akhirnya Ayop pulang ke rumah dengan tangan kosong...

Pengajaran:

Kita ini hina. Dari setitis air mani yang hina. ALLAH muliakan kita dengan Islam. Saidina Umar Al-Khattab berkata,
“Nahnu qaumun a’azzanallah bil Islam, famahna nabtaghi izzah, bi ghairi ma a’azzanallah, azallanallahu.”
(Kita adalah kaum yang hina, kemudian Allah muliakan kita dengan Islam, barangsiapa yang mencari kemuliaan selain dari apa yang Allah muliakan kita, maka Allah pasti akan menghina kita.)

Tengok Ayop, tokei bagi free taknak ambil. Orang nak tolong, ego pulak dia. Last-last, balik dengan tangan kosong . Tokei tu tak rugi apa-apa pun kalau Ayop tak ambil. Orang lain berlambak (ramai) lagi yang sudi.

Sama lah dengan kita. ALLAH bagi tawaran percuma, free tuu.. tak nak terima juga. Bagi Ramadhan. Dalam Ramadhan macam-macam ALLAH tawarkan, ada Lailatul Qadr lagi. ALLAH offer comei-comei, tak nak ambil. Tak nak usahakan. Dah lah bagi percuma tak nak ambil, buat perkara tak elok pulak tu.


(Teringat peristiwa 2 3 hari sebelum ni, aku menegur sepasang merpati yang berjoli.
Aku pun bukan bagus pun nak tegur orang, sebab aku memang bukan dari kalangan mereka yang bagus-bagus. Nak tunggu bagus, agak-agaknya berdubel-dubelan ni akan jadi macam ulat-ulat yang melata atas makanan basi lah. Jadi, jangan tunggu diri sampai habis bagus, baru nak laksanakan perintah Allah yang termaktub dalam Al-Qur’an.)

Amboi, berlagak. Ego . Sombong. Kalau nak bonus, buat elok-elok. Kalau kita terima dan usahakan, kita untung. Kalau kita tak kisah, buat tak endah, kita rugi.. ALLAH tak rugi apa. Tak berkurang sikit pun. Ramai lagi hamba DIA yang terima tawaran-NYA. Kalau raya pun kita nak comei-comei, kenapa tidak kita fikir, kita nak menghadap ALLAH pun dalam keadaan comei.


Sibuk nak raya..

Aku melihat rata-rata manusia mula membanjiri kedai-kedai, terutamanya pada malam hari. Bilangan jamaah di masjid kian kurang hari demi hari. Entah kenapa..? Di tempat aku juga.. kalu minggu pertama kat masjid, penuh.. sampaikan orang kata, tahi cicak jatuh pun takkan samapi lantai. (sebab jatuh atas kepala orang. Kena la cuci..najis). sekarang, jatuh kerbau sekor pun ada ruang lagi untuk kerbau tu. Nak bagitau nya, sikit sangatlah jemaah solat di akhir Ramadhan ni..

Percayalah...Kalau kita benar-benar hargai Ramadhan ini, dengan keikhlasan dan kesungguhan mengharapkan keredhaan ALLAH, suasana hari raya kita lebih bermakna. Itu lah kemenangan dan kejayaan kita.. dan kemenangan sebenar adalah apabila kita bertemu dengan ALLAH kelak.. Kemeriahan suasana raya bukanlah dilihat pada cantiknya baju baru, berkilatnya kasut raya, banyaknya kuih muih dan sebagainya. Itu hanya nampak diluaran.. Tapi, kita akan rasai dari dalaman kita..

Apapun, aku mohon kemaafan pada semua, moga aku dimaafkan atas segala salah silap. Dan moga ALLAH mengampuni aku dan kalian..




YA ALLAH..Dihadapan-MU aku bersimpuh, pada-MU cintaku berlabuh. Ya ALLAH, muliakan kami dgn ISLAM.. YA ALLAH.. RAMADHAN datang dan pergi. Dan sekarang ia kian hampir ke garis penamat..aku gembira n bsyukur kerana di 10 mlm t'akhirnya dikurniakan suatu malam yg cukup indah..dan aku hiba kerana ia begtu cepat berlalu. Sedangkan kami laku bermacam kelalaian tanpa kami sedari? Apakah ini Ramadhan terakhir kami YA ALLAH? Terimalah amalan kami... YA ALLAH, berilah rahmat, pengampunan kpd kami.. YA ALLAH, bebaskan kami dari azab api neraka..Bebaskan ibu bapa kami dari azab api neraka...


Selamat Mengejar Lailatul Qadr, Selamat Hari Raya Aidilfitri, selamat dan selamat..

Tuesday, September 16, 2008

Patah tumbuh hilang berganti?

Latar tempat : Laluan masjid-mahallah
Latar masa : selepas solat tarawih


"Nisa', kenapa akak nampak perubahan pada muka Nisa'?"

"perubahan?"

"A'aa.. lain pada sebelum-sebelum ni. Macam sedih jer.."

"Tak lah,kak..urmm... kak, sedar tak sedar, tadi kite dah baca Qunut semasa solat witir tadi. Cepatnya Ramadhan nak tinggalkan kita..kak, orang rasa sayu je."

"Kenapa Nisa' rasa sayu ?"

"sebab Nisa' rasa, Nisa' dah mensia-siakan 15 hari lalu. Nisa' ni hamba yang tidak menghargai peluang yang ALLAH bagi." suasana sepi seketika.

Rupa-rupanya air mukamu berubah kerana ini. Kesedihan yang terlukis diraut wajahmu kerana kekesalan ini..

Ahh, dik.. berapa kerat manusia yang merasai sayunya hati lantaran Ramadhan kini sudah di pertengahan bulan, dan tanpa berbuat apa-apa. Begitu cepat. Ada manusia, gembiranya bukan kepalang lagi. Pesta mercun ada saja disana-sini. Ada manusia, duduk berdua-duaan tiada rasa malu lagi, hatta di bulan RAMADHAN !! Aku renung kau, kau tenung aku. Aku betulkan kolar baju kau. Kau senyum macam kerang busuk. Alangkah tidak menghormati hadirnya Ramadhan. Alangkah !! Astaghfirullahal’azhiim.. Tiada lagi rasa hadirnya Ramadhan dalam hati. Roh Ramadhan berkeliaran bebas di anjung September.

Wahai diriku, wahai umat Muhammad,
Rugi. Amatlah rugi sekiranya ruang dan peluang yang ALLAH offer ni dipandang sepi. Acuh tak acuh. Sekali terlepas Ramadhan ini, maka kita tak akan bertemu lagi dengan Ramadhan ini. Ramadhan 1429H takkan mencari kita lagi sekiranya kita terlepas dan terlalai dalam menghayatinya. Lain lah kalau bas Rahmat Alam. Bas Rahmat Alam yang bernombor 43 boleh lah dia ulang 2 3 4 kali sehari datang mencari penumpang. Kalau terlepas pukul 8.00 pagi, pukul 10.00 pagi nanti pun dia datang lagi. Tak pun, pukul 12.00 tengah hari. (ye ke? ntah, tak check jadual bas). Ramadhan 1429H, bukan bas Rahmat Alam bernombor 43. Dia tak berpatah balik.


Orang kata, patah tumbuh hilang berganti.
Ramadhan 1429H pergi, akan datang, Ramadhan 1430H. Amboi, yakin benar dapat tebusi kelalaian kali ni di masa akan datang. Seolah-olah begitu yakin akan bertemu Ramadhan 1430H. Tak perlu pergi jauh. Cukup kita pandang esok, dalam Ramadhan 1429H, yakin kah kita masih bernafas pada hari esok untuk menebus kelalaian semalam? Kalau ditakdirkan panjang umur, sempat bertemu Ramadhan tahun depan pun, takkan sama dengan kali ni. Eii syeikh.. barang yang pergi ni, kalau diganti, tak sama dengan yang dah pergi. Contoh, pen yang kita suka guna hilang, pergi beli pen yang sama jenis juga, kesedapan guna pen baru tak sama dengan kesedapan dan keselesaan menggunakan pen lama.

Panjang pulak berleter...

Jom banyak-banyak lah bermuhasabah dan terjemahkan ia. Moga-moga kita tergolong dalam golongan yang beruntung, bukan dari kalangan orang yang rugi.

Monday, September 8, 2008

cepatnya..seminggu dah berlalu..

Sahabat sahabiyyah, hafizhakumullah wa yarhamkum..

8 Ramadhan 1429H-maksudnya, 7 hari penuh kita berada dalam bulan Ramadhan dan menunaikan ibadah puasa, dan hari ini, melangkah ke hari ke-8 dalam bulan Ramadhan. Dah berlalu seminggu dalam bulan Ramadhan. Cepatnya! Sedikit hari sahaja lagi bertukarlah ke fasa kedua, fasa maghfirah. Jom, kita imbas kembali, selama 1 minggu puasa kita. Apakah semangat juang kita meningkat? Okey, tidak perlu pergi jauh. Kita tengok semangat study kita. Semakin malas, atau rajin? Berbalik pula pada hubungan kita dengan ALLAH. Kalau sebelum tibanya Ramadhan, rasa-rasa macam jarang pergi masjid je, (sebagai contoh) , kini dalam bulan Ramadhan, ada peningkatan?
"ehemm.. macam biasa jer.." ;
"urmm..ade la sikit-sikit.." ;
"alhamdulillah, ada, mudah-mudahan terus istiqamah.."

Pelbagai versi jawapan. Rata-ratanya ada peningkatan. Semoga kita semua, ada peningkatan yang cukup baik dan semoga kita ikhlas dan istiqamah dalam melaksanakan ketaatan kita sebagai hamba-NYA.

Alangkah ruginya bagi hamba ALLAH yang tidak menghargai kurniaan ALLAH ini... Masih ada kesempatan, laksanakan perintah dengan sebaiknya..


Kalau sebuah institusi, mahupun mana-mana organisasi sesebuah persatuan, pertubuhan, pastinya ada visi, misi, dan objektifnya yang hendak dicapai. Ramadhan juga begitu. ALLAH letakkan objektif Ramadhan ni, kepada umat Islam,iaitu,TAQWA sebagaimana dalam surah Al-Baqarah, ayat 183 yang bermaksud;



"Wahai orang yang beriman ! diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ianya diwajibkan ke atas orang - orang sebelum kamu , semoga kamu bertaqwa kepada Allah swt."
( Surah al Baqarah : Ayat 183 )



Perkara asas yang ingin dicapai adalah melalui ibadah puasa yang difardhukan ke atas kita umat Islam, adalah taqwa. Dan melalui Ramadhan, kita melahirkan, memupuk, menyemarakkan ketaqwaan kita. Bagaiman? Ada beberapa faktor yang dapat melahirkan ketaqwaan kita kepada ALLAH swt , dan antaranya :

1- melahirkan rasa takut kepada ALLAH dimana-mana pun; secara terbuka didepan orang ramai, ataupun sembunyi, seorang diri.
--siapa-siapa pun boleh berpura-pura berlapar dihadapan orang ramai, tetapi makan disebalik peti sejuk umpamanya, tetapi tiada siapapun yang boleh lari dari pandangan ALLAH. Ini perkara asas , dan menambahkan keutuhan dalam diri kita bahawa, ALLAH itu Maha Melihat dan Maha Mengetahui.

2-mengekang keterlanjuran syahwah dan meirngankan pengaruh serta penguasaannya.
-- lantaran, puasa dapat melemahkan gelora nafsu.

terdapat beberapa faktor lagi.. untuk keterangan lanjut, bolehlah layari blog ustaz
Nasrudin at-Tantawi


kita bakal melangkah ke fasa ke-2, dan dalam fasa kedua inilah berlakunya peperang pertama bagi umat Islam,ghazwah Badar ( perang Badar), yang berlaku pada 17 Ramadhan tahun ke-2 hijrah. Di kala ini umat Islam diuji dengan ujian getir. Dalam keadaan berpuasa, ditambah pula dengan kekuatan tentera Islam hanya sekitar 313 orang berdepan dengan 1300 orang bala tentera musyrikin. Logik aqal kita, pastinya mereka yang mempunyai bilangan yang ramai pastinya menguasai percaturan dimedan perang. Namun, logik aqal takkan dapt mengenepikan taqdir dan pertolongan dari ALLAH swt.



Dan, di antara rahsia kemenangan umat Islam yang boleh kita contohi adalah semangat juang tentera-tenteranya. Kita boleh lihat bagaimana wakil dari golongan kaum Ansar iaitu Sa’ad bin Mu’az ketikamana Nabi Muhammad S.A.W sedang bermesyuarat dengan sahabatnya di kalangan Ansar, lalu beliau bangkit menyatakan kesiapannya untuk diterjunkan lebih dahulu kemedan pertempuran lalu berkatalah dia,



"Wahai Rasulullah, sungguh kami ini telah beriman kepadamu, telah seratus peratus meyakini agamamu dan telah mengakui kebenaran agama yang engkau bawa kepada kami. Kami telah bersumpah setia untuk melaksanakan semua yang telah kami janjikan kepadamu. Oleh kerana itu, segeralah laksanakan apa yang telah menjadi keputusanmu, ya Rasulullah, dan kami setia padamu. Demi Allah yang telah membangkitkanmu dengan membawa kebenaran, kalau engkau perintahkan kami untuk mengharungi lautan ini (perang), nescayalah kami harungi ia bersamamu. Tak seorang pun diantara kami ini yang menolak arahanmu dan tak seorang pun yang akan mundur dari medan perang, hari ini atau besok. Kami sanggup tabah menjalani peperangan ini dan telah siap sedia untuk shahid di dalamnya. Mudah-mudahan Allah S.W.T merestui apa-apa yang engkau percayakan kepada kami dan marilah berangkat bersama kami, dalam berkat Ilahi.."


Begitu ucapan daripada bibir seorang pejuang Allah yang benar-benar mencari redha ALLAH dan benar-benar mencintai Rasul-nya serta bercita-citakan syahid; yang boleh kita jadikannya sebagai sumber untuk melahirkan semangat juang yang tinggi terutamanya bagi mereka yang bergelar pejuang-pejuang agama Allah, ansorullah.



Mungkin jika dilihat di negara kita, apa yang berlaku tidaklah sampai ke tahap untuk kita mengangkat senjata terhadap musuh-musuh Islam. Walau bagaimanapun, sebenarnya apa yang kita hadapi pada hari ini juga, sebenarnya adalah peperangan dalam bentuk yang lain diantara umat Islam yang benar-benar ikhlas dalam memperjuangkan Islam dengan musuh-musuh Islam sama ada orang kafir itu sendiri mahupun umat Islam yang menjadi boneka puak Yahudi dan barat. Inilah tanggungjawab, amanah kita yang mesti kita tunaikan. Bukan perkara mudah. Tentu dan pastinya ia memerlukan satu semangat juang yang tinggi dan di sini kita boleh ambil bebepara pengajaran berdasarkan peristiwa ghazwah badar :



1- sifat cintakan Rasulullah saw. (namun, sekarang, manusia lebih menyintai kayu balak dan uuweekss)


tanda orang yang bercinta adalah, sanggup berkorban demi orang yang dicintainya. Lihatlah, bagaimana Sa'ad bin Mu'az meletakkan kecintaan beliau kepada baginda Rasulullah saw. Dan ummat pada hari ini....?



2- dengar dan taat. Para sahabat tidak membantah dan merungut apabila turunnya perintah mewajibkan puasa Ramadhan (yang mana perintah ini diturunkan pada bulan Sya'aban, tahun ke-2 hijrah). Para sahabat menerima perintah itu dengan sikap sami'na wa atho'na (kami dengar dan kami taat), sama ada mengetahui hikmah dan tujuannya ataupun tidak, kerana meyakini bahawa ALLAH yang memerintah itu Maha Mengetahui segala yang membawa kebaikan kepada hamba-hamba-NYA; sementara Rasulullah saw yang tercinta yang membawa perintah itu adalah banar dan amanah.


(dan berbalik kepada kita, cukupkah pendengaran dan ketaatan kita kepada ayat-ayat dan perintah ALLAH? dan ketaatan kita kepada Rasul kita? serta ulil amri, pemimpin kita.....?



3- keyakinan yang tinggi. Para sahabat benar-benar yakin dengan janji ALLAH SWT, Sehinggakan nabi sendiri pantas memberikan kata-kata semangat kepada seluruh tenteranya :

"Demi Allah, yang nyawaku ini ditangannya, musuh-musuh kita sekarang akan menghadapi pahlawan-pahlawan yang sabar dan tangguh, serta akan memenangkan peperanagn. Jika satu diantaranya terbunuh maka Allah lah yang akan memasukkan ke syurga."

Tak cukup itu, nabi juga telah berdoa setelah mana kembali ke khemahnya dengan ditemani oleh Abu Bakar sementara Sa’ad bin Mu’az mengawalnya dengan pedang terhunus lalu berdoa :

"Ya Allah, aku nantikan janji-mu. Ya Allah jika pasukanku ini kalah, nescaya tidak ada lagi orang yang akan menyembah Mu di muka bumi ini."

Dikemuncak pertempuran dalam perang Badar, telah turun pertolongan ALLAH yang amat menakjubkan apabila para malaikat yang tidak pernah derhaka kepada ALLAH SWT menjalankan tugasnya. Antara perkara yang menakjubkan adalah :


- terputusnya kepala dan tangan tanpa dilihat sesiapa yang memancungnya. (riwayat Ibn Sa'ad dari Ikrimah).


- seorang tentera Islam yang sedang mengejar tentera musyrik, tiba-tiba terdengar pukulan cemetidari atas dan terdengar pula suara pahlawan berkuda. (Riwayat Ibn Abbas)



Benarlah apa yang dijanjikan Allah. Pertolongan yang dijanjikannya pasti tiba. Mereka beroleh kemenangan dengan sebenar-benar kemenangan. Kita dapat lihat daripada sedikit perjalanan peristiwa perang badar ini, bagaiamana contoh dan teladan yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w bersama tentera-tenteranya. Peperangan yang mereka hadapi bukanlah disebabkan mereka nakkan harta rampasan atau yang seumpama dengannya, akan tetapi peperangan yang mereka hadapi adalah peperangn diantara pertembungan aqidah. Tidak lain tidak bukan, tujuan mereka adalah untuk menegakkan kebenaran dan membuang segala macam bentuk penyekutuan yang berlaku terhadap Allah swt. Oleh sebab itulah, kita dapat lihat bagaimana mereka mementingkan kekuatan rohani, sepertimana yang ditunjukkan oleh nabi Muhammad s.a.w dengan menunaikan solat khauf dan berdoa. Berbeza dengan pihak musuh, kita dapat lihat bagaimana mereka mengadakan pesta berhibur dan inilah yang kita dapat lihat pada hari ini. Hatta di dinegara kita sekarang, bentuk-bentuk hiburan yang melalaikan kian rancak tumbuh serti cendawan tumbuh selepas hujan.


(Dan, hari ini manusia lebih yakin dengan janji manusia berbanding dengan janji Allah. Hasilnya, ada dikalangan kita yang sanggup menjual agamanya demi menjaga periuk nasinya. Hari ini manusia lebih sanggup berdiam diri menyembunyikan kebenaran daripada menghebohkannya kerana mereka lebih takut janji-janji kezaliman manusia daripada janji-janji azab Allah S.W.T. )


4- keimanan dan keikhlasan. melaui peritiswa ini, memperlihatkan kekentalan keimanan para sahabat dan keikhlasan para sahabat berjuang dijalan ALLAH SWT. sebagaimana berlaku kepada Abu Huzaifah, tatkala melihat mayat ayah beliau, 'Utbah bin Rabi'ah diheret untuk dicampakkan ke telaga buruk, maka berubah wajahnya. Keadaan ini disedari oleh Rasulullah saw, dan baginda berkata kepadanya, " Wahai Abu Huzaifah, aku dapati kamu terasa sesuatu terhadap ayahmu." maka, Abu Huzaifah menjawab, " Demi ALLAH, wahai Rasulullah, aku tidak merasa dia dibunuh.Tetapi aku mengharapkan dia masuk Islam dengan mendapat hidayah. Setelah dia mati dengan cara begini aku terharu kerana matinya kafir, tidak seperti apa yang aku harapkan."


(itulah seorang pejuang Islam yang sejati. Sedihnya dia bukan kerana peribadi. Tetapi segala perasaan dan dirinya diserahkan demi Islam. Kecintaan kepada Allah melebihi segalanya. Di mana Abu 'Ubaidah membunuh bapanya, Abu Bakar bersedia membunuh saudaranya, Mus'ab bin 'Umair membunuh saudaranya, 'Ubaid bin 'Umair. Dan ummat hari ini, kesedihannya lebih bersifat peribadi..Air mata bergelen ditumpahkan kerana hati terguris dek cinta tak berbalas. Dan hati merasa berat apabila diajak ke majlis-majlis ilmu dan bersama-sama bergerak berjuang dijalan ALLAH..)


Justeru, sempena Ramadhan ini,marilah kita mengambil kesempatan yang dikurniakan ALLAH..binalah syakhsiyyah muslim yangyang berdaya juang dan bertaqwa dengan mendidik jiwa, minda, serta seluruh anggota tubuh dan pancaindera agar tunduk dan patuh kepada ALLAH dan melakukan dan memperkemaskan persiapan ilmu, mental, fizikal dan sebagainya dalam melaksanakan amanah sebagai khalifatullahu fil ardhi, memperjuangkan ISLAM agar laungan takbir memuji dan mengagungkan ALLAH bergema di seluruh pelusuk dunia ini.


Hanya pejuang yang memiliki sifat taqwa yang manthop dan mempunyai asas kekuatan diri dapatmemanagi antara iman dan kufur, Islam dan Jahiliyyah, dan antara Haqq dan bathil.


Allahumma arinil haqqa haqqawwarzuqnitthiba'ah,
wa arinil baathila bathilawwarzuqnijtinaabah..




ALLAHUAKBAR!!





Rujukan :


[1] Al-Qur'an Tafsir
[2] TG Hj Abdul Hadi Awang, Fiqh Al-Harakah dari sirah Nabawiyyah, Dewan Pustaka Fajar

Friday, September 5, 2008

Amanah itu...itu amanah

Bila pengurusan kampung celaru caca-merba, maka Sandikugan bertindak untuk membantu kampong dan seisi penduduknya. Namun malang sekali, tok ketua tidak berkenan akan tindakan Sandikugan dan membuat perhitungan, barang siapa yang mengikuti Sandikugan, maka akan caca merba pulalah kehidupan mereka. Tok ketua masih ada kuasa. Dia lah yang berkuasa. Dialah yang berhak memutuskan segala sesuatu. Dia terlupa, kuasa yang dia ada tidak kekal. Dia terlupa, kuasa yang ada itu lah selama ini memusnahkan dan menggelapkan. Bukan, bukan salah kuasa. Bukan akibat kuasa itu. Tapi akibat tersalah percaturan. Salah guna kepercayaan yang penduduk kampung berikan suatu ketika dulu. Dan, paling penting, dia lupa, kuasa itu bukan milik mutlak baginya. Dia terlupa, ayat suci, kalimah ALLAH dalam surah Ali-‘imran (26-27) ynag bermaksud,

katakanlah, “Wahai ALLAH, yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki . Engkau memuliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki . Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu. Engkau masukkan malam ke dalam siang, dan Engkau masukkan siang ke dalam malam . Engkau keluarkan yang hidup dari yang mati dan Engkau keluarkan mati dari yang hidup . Dan Engkau beri rezeki kepada siapa yang Engkau kehendaki tanpa hisab.”
(Ali ‘Imran : 26-27)


semuanya milik ALLAH. siapa-siapa pun kena beringat. Tok ketua, Sandikugan, orang yang menaip, orang yang membaca.. siapa-siapa jua. semua di atas dunia ni hanyalah ilusi lagi ujian. Kuasa dan pangkat. Sememangnya, itu adalah amanah dan dalam masa yang sama, itunya adalah ujian. Teringat pula pesanan yang disampaikan oleh seorang saudara seislam , jawatan ni merupakan penghinaan didunia dan penyesalan diakhirat. (khizyun fiddunya wannadamah fil akhirah).
menerima jawatan/pangkat bukanlah sesuatu yang mudah, kerana kata imam al-Ghazali, yang paling berat itu adalah amanah. Namun, segelintir umat akhir zaman ini begitu tergila-gilakan jawatan dan pangkat. Bagi mereka dengan pangkatlah, mereka punyai kekuasaan mutlak. Bila ada jawatan tinggi-tinggi, maka cukuplah sekadar dapat SKIM EXPRESS KAYA KOYA YOYA LOYA, sudah memadai. Tak perlu masuk SKIM CEPAT KAYA.
Amanah yang begitu berat, dipandang enteng hinggakan bukan sekadar pejam sebelah mata sahaja boleh dilaksanakan, tapi pejam kedua-dua belah mata pun, tak ada masalah. Ini lah budaya dan fenomena yang cukup tidak sihat di akhir zaman.
Apabila amanah disia-siakan, maka ini merupakan antara tanda-tanda qiamat sughra (kecil) ,
Dari Abi Hurairah r.a. bahawa seseorang bertanya:
"Wahai Rasulullah, bilakah datangnya qiamat itu?"
Rasulullah saw menjawab: "Jika amanah telah disia-siakan maka nantikanlah (datangnya) qiamat."
Bertanya (al-'Araby): "Bagaimana menyia-nyiakannya?"
Nabi saw bersabda: "Apabila perkara sudah diserahkan kepada yang bukan ahlinya maka nantikanlah kiamat itu."
(HR Al-Bukhari )
"Apabila perkara telah disandarkan kepada yang bukan ahlinya maka tunggulah kiamat."
Al-Hafidzh Ibn Hajar berkata dalam kitab Fathul Bari:
Penyandaran perkara kepada yang bukan ahlinya itu hanyalah akan terjadi ketika kebodohan telah menjadi lumrah dan ilmu (agama) telah hilang.
dan, yang juga dimaksud dengan perkara adalah perkara-perkara yang bergantung dengan agama, seperti
-khilafah (kekhalifahan),
-imarah (pemerintahan),
-qadha' (hukum),
-ifta' (fatwa) dan lain-lain.

Apabila perkara-perkara ini diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka hal itu akan menghilangkan kepentingan ummat dan kaum Muslimin.
Melihat situasi sekarang, suatu persoalan yang timbul, adakah urusan ketika ini diserahkan kepada orang yang benar-benar ahlinya?
Tepuk dada, tanya iman, luaskan fikiran, bertindaklah dengan matang.
Dan apa yang kita temui kini, bahawa 'perkara' itu telah diserahkan kepada orang-orang yang bukan ahlinya, iaitu orang yang tiada perhatian kecuali terhadap kepentingan duniawi yang umpama logamaya, dan hanya dunia fana' inilah menjadi matlamat (mengaut keuntungan demi peribadi dan sebagainya). Dan kepentingan akhirat, maka urusan itu hanyalah dipandang sipi lagi enteng, jauh dan tak diperhatikan.
Semoga ALLAH pelihara kita dari sifat ini, dan semoga ALLAH mengampuni kita seluruhnya.
Dan semoga Al-Qur'an jadi pedoman, dan Sunnah jadi acuan kita.
Wallahu'alam.

Template Design | monera87