melengung tunggu bubur 'sora'-wa
Bismillahirrahmanir rahim..
“...Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu..” (al-Hujuraat, 49: 13)
Perhatikanlah ayat di atas. Dalam apa jua keadaan, nilaian yang mulia adalah ketaqwaan disisi ALLAH. Di mana jua kita berada, TAQWA itu lah yang dikehendaki. Meski di medan perang bersenjata, bom dan sebagainya, meskipun di medan politik, ekonomi dan sebagainya; maka kita sebagai orang yang beriman memahami bahawa istilah kemenangan yang sebenar ialah kejayaan berada kekal dalam ketaqwaan.
Bagi mereka yang taat, tunduk, takut dan harap kepada ALLAH, jika kita mati (di mana-mana dan bila-bila masa sahaja), insya Allah, matinya dalam taqwa.
Bahkan, jika kita hidup dan beroleh kemenangan fizikal, material mahupun moral, kemenangan itu atas prinsip dan aspirasi taqwa.
Jika kita kalah pula, kalah dari segi fizikal, material dan moral, ingatlah bahawa mereka yang bertaqwa itu tetap menang di sisi Allah.
Atas dasar perintah Allah, Allah memerintahkan umat Islam bukannya untuk memenangi peperangan dalam apa jua bidang, tetapi perintah Allah ialah untuk bertaqwa dalam semua keadaan sepanjang masa atau zaman. Di kala sibuk mahupun lapang. Di kala kalut mahupun tenang. Dan,suka di ingatkan kepada diri dan saudara-saudara perjuangan, bahawa terjunnya kita ke landskap dan kanvas politik kampus yang juga hanyalah alat.. dan dengan alat itulah juga, kita gunakan ke arah menyeru jiwa-jiwa agar tunduk patuh kepada-NYA.. menyeru jiwa-jiwa agar memegang kalimah thoiyyibah. Justeru ia memerlukan pengembelingan tenaga dan usaha yang maksimum dari mereka yang bercita dan cinta untuk melihat Islam didaulatkan di segenap ceruk, dan secara spesifiknya di kampus. Namun, tanpa taqwa, biarpun kemenangan kita peroleh, bukanlah kemenangan, tapi kehinaan. Beringatlah kita wahai makhluk-makhluk yang seringkali alpa dan lupa.
Lantaran, taqwa adalah pembuka bagi jalan menuju kepada Allah. Barangsiapa yang terbuka jalan menuju kepada Allah nescaya dia telah mendapat segala yang dikehendakinya kerana tidak terdapat apa-apa kekurangan dalam "Khazanah Allah Yang Maha Kaya" .
Orang-orang yang bertaqwa memandang sesuatu dengan pandangan yang diliputi Nur daripada Tuhannya. Allah sentiasa menyertai mereka di mana juga mereka berada dan menjadi sumber inspirasi, tunjang kekuatan, pengatur strategi, peniup semangat juang yang tinggi dan kekental serta ketahanan mental dan fizikal. Masha’Allah. Indahnya hidup dalam perhatian dan lembayung kasih-NYA.
Kisah hebat
Seimbas kisah peristiwa Saidina Amru al 'Ash r.a yang berjuang dalam peperangan untuk menakluki kota Iskandariah dalam era pemerintahan khalifah Saidina Umar al Khatab.
Amru al 'As (r.a.) memohon bantuan ketenteraan daripada khalifah, dan Umar al-Khatab r.a telah mengutus 8,000 tentera yang di dalamnya disertakan 4 orang Sahabat Nabi SAW yang pernah berperang dengan Nabi SAW sejak Perang Badar.
Umar al Khatab (r.a) dalam sepucuk suratnya yang ditujukan kepada Amru al 'Ash, menyebutkan lebih kurang bahawa,
"...Aku menghantar kepada kamu bukannya 8,000 tentera, tetapi 12,000 tentera. Kerana 4 orang Sahabat yang pernah berperang bersama-sama Nabi SAW sejak Perang Badar itu kekuatannya adalah menyamai 1,000 orang mukmin. Seorang mukmin Allah SWT menjanjikan kekuatannya boleh mengalahkan 10 orang kafirun. Bermakna setiap orang daripada mereka boleh menghadapi 10,000 orang kafirun. “
Masya Allah! Janji Allah adalah sesuatu yang pasti. Orang yang bertaqwa amat yakin akan Allah... dalam masa yang singkat tentera Rom kafirun yang seramai 120,000 yang berkubu di dalam kota Iskandariah telah tewas dengan izin Allah. Tentera Islam telah beroleh kemenangan atas kekuatan Taqwa kepada Allah...
Jika kita lihat secara fizik dan matematik, bantuan tentera Islam yang dihantar khalifah Umar r.a. itu 12,000 (angka sebenar 8,000 + 4 sahabat) boleh dan mampu mengalahkan bilangan musuh yang lebih besar (120,000).
Tentera Islam begitu hebat dan unggul atas bantuan Allah. Sesuai dengan janji Allah satu orang mukmin boleh mengalahkan 10 kafirun....Bilangan yang kecil boleh mengalahkan bilangan yang besar..
Ini kisah-kisah kemenangan di zaman Nabi dan para sahabat. Allah Ta'ala membuktikan kemenangan Islam berlaku dalam Peperangan Badar, apabila orang Islam menyediakan kekuatan yang ada pada mereka di samping tidak melakukan maksiat.
Oleh kerana itu apabila Saidina Umar r.a. mahu menghantar Sa'ad bin Abi Waqqas menyerang Negara Parsi, ketika bala tentera Parsi terlalu ramai dan bala tentera Islam yang menyerang tidak mampu menghadapi tentera berkenaan sehingga panglima tentera Islam telah syahid dan ada yang mendapat luka parah lalu mereka mengutus surat ke Madinah meminta supaya dihantar bantuan.
Diriwayatkan Sayidina Umar mahu pergi sendiri ke medan perang. Sayidina Ali melarang Umar berbuat demikan.
Saidina Ali kwjh berkata: "Engkau khalifah, memimpin orang ramai secara umum. Biar aku yang pergi."
Bagaimanapun Saidina Ali kwjh tidak dibenarkan kerana dia merupakan penasihat kanan kepada khalifah.
Akhirnya mereka bersetuju memilih seorang dari kalangan 10 sahabat yang dijanjikan syurga oleh Rasulullah s.a.w. untuk dihantar ke Parsi lalu dipilih Sa'ad bin Abi Waqqas r.a. bersama beberapa ribu bala tentera.
Sayidina Umar berpesan kepada Sa'ad:
"Wahai Sa'ad! Aku berpesan kepada kamu dan bala tentera bersamamu supaya bertaqwa kepada Allah kerana kita ditolong oleh-Nya dengan maksiat yang dilakukan oleh musuh. Sekiranya kita mengerjakan maksiat, Allah tidak akan menolong kita."
"Musuh lebih ramai dari kita, senjata mereka lebih banyak daripada kita, persediaan mereka lebih lengkap daripada kita. Sekiranya kita tidak ditolong oleh Allah, kita tidak boleh mengalahkan mereka."
"Wahai Sa'ad! Jangan engkau berkata kami adalah orang-orang yang baik. Kami mesti menang. Sesungguhnya Allah mengalah dan menghancurkan Bani Israel walaupun mereka adalah umat yang baik di zaman itu. Apabila mereka mengerjakan maksiat mereka dikalahkan oleh Bala Tentera Bakhtanusar dan mereka diburu di lorong-lorong rumah dalam keadaan lari bertempiaran kerana mereka kalah di medan perang."
"Oleh itu aku berpesan kepada kamu sebagaimana aku berpesan kepada diriku sendiri supaya bertaqwa kepada Allah, jangan mengerjakan maksiat."
Inilah kemenangan yang diberi oleh Allah kepada bala tentera Islam.
Salahuddin al-Ayyubi yang memimpin bala tentera Islam menentang tentera salibiyyah, pernah memeriksa khemah tenteranya satu persatu sebagai menyiasat sama ada bala tenteranya bertahajjud ataupun tidak, mengerjakan maksiat ataupun tidak sehingga dalam keadaan benar-benar baik, Salahuddin melancarkan serangan di dalam peperangan salib dan orang Islam mendapat kemenangan.
(Adaptasi dan kupasan dari kuliah tafsir TG Haji Abdul Hadi)
Kisah-kisah hebat begini sudah pasti saudara-saudara lebih hadam. Benar, kemenangan ISLAM sudah dijanjikan ALLAH. Dan pada masa sekarang, kita boleh lihat kebangkitan ISLAM di merata tempat, hatta di Barat sekalipun. Bahkan, kita mendengar tentang kemenangan saudara-saudara kita di lain-lain kampus.
Teringat kata-kata Ust Tn Ibrahim Tn Man,
“Betul dah Islam tu dok naik. Islam naik doh. Cumanya kita dok mano? Kita naik bersama Islam ke, atau kita dok tengok; supo (serupa) kacau bubur asyura. Waktu kacau bubur asyura, pakat dok jauh. Dekat nok masak, pakat kerumun blake. Mudah-mudahan kita x jd org yg amek pekdoh dgn menang Islam,tapi x kijo waktu nok mene (menang)kan Islam.”
Semoga ALLAH swt mengampuni dosa dan kelalaian kita