NASIONALISME
Teringat pada adik-adik yang melalui perhentian 'Nasionalisme'. Itu kumpulan pertama. Mengingat akan peristiwa tu menyebabkan aku tersenyum simpul. Sebenarnya, apa yang adik-adik katakan itu benar. "Kita bukan perjuangkan bangsa. Tapi agama. Kerana agama Islam itu bersifat sejagat. Untuk semua." Lebih kurang begitu bunyinya. Baguslah. Adik-adik faham. [p/s: tip utk adik-adik.. kalu rse jwpn tu btol, pertahankn lh.. tetaplah pndirian kalu rse jwpn tu btol.. =) ]
Cuma disini, saya ingin kongsikan bersama,
Apa itu Nasionalisme sebenarnya.
NASIONALISME
Ia merupakan fahaman yang menjadikan ikatan bangsa, keturunan, bahasa ataupun kawasan sebagai matlamat perjuangan, semuanya bagi menegakkan kepentingannya; tanpa mengambil kira batas keadilan menurut perspektif Islam hinggakan akhirnya sekarang ideologi ataupun fahaman ini telah menjadi falsafah ekonomi, politik dan sebagainya.
Jika ditanya, apakah ia ada kaitan dengan Sekularisme, maka jawapannya, YA. Fahaman ini lahir dari fahaman tersebut, fahaman yang memisahkan agama dengan kehidupan.
Kenapa pula?
Kerana agama tidak dijadikan dasar dan panduan dalam kepentingan politik, ekonomi dan sebagainya; bahkan ia mempunyai kecenderungan yang tinggi pada semangat kebangsaan. Ia mengatasi kepentingan aqidah yang menjadi pegangan hidup hatta disebuah negara yang dikatakan negara Islam!
Jadi, Nasionalisme ni adik-beradik assobiyah lah?
Ya, adik-beradik. Dulu, fahaman sebegini memang dikenali sebagai ashobiyah. Tapi bila kita dengar ’ashobiyah’ ni nampak macam kecil, hanya untuk kelompok kecil. Yang selalunya orang lebih merujuk kepada kabilah ataupun kekeluargaan yang mesti dipertahankan, walaupun dalam keadaan menindas atau menzalimi kabilah lain.
Dialog nabi dan sahabat;
”bukan daripada kalangan kami orang yang menyeru kepada ashobiyah, bukan daripada kalangan kami orang yang berperang atas dasar ashobiyah, dan bukan dari kalangan kami orang yang mati atas dasar ashobiyah.”
Lalu, seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah,
”Apakah itu ashobiyah, wahai Rasulullah?”
Baginda menjawab,
”Ashobiyah itu ialah, kamu menolong kaummu atas dasar kezaliman.”
(HR Muslim, Abu Daud dan Nasa’i)
ISLAM & NASIONALISME
Islam mengiktiraf rasa kasih dan cintakan bangsa dan tanah air, sebagaimana firman Allah dalam surah as-Syu’araa’ : 214
”Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat”
Dan baginda Rasulullah saw juga pernah berkata pada Hari pembukaan Kota Mekah (fathu Makkah),
”Demi Allah, sesungguhnya engkaulah (Makkah) sebaik-baik bumi Allah, dan bumi Allah yang paling Allah kasih kepadanya. Kalaulah tidak kerana kaumku mengeluarkan aku darimu, nescaya aku tidak keluar.”
Walau bagaimanapun, Islam melarang daripada kasihkan sesuatu melebihi kasih kepada ALLAH, Rasulullah dan Islam. Dan menjadi kebimbangan apabila sesorang meletakkan kepentingan bangsa dan puak melebihi yang lain, malah melampaui batas-batasan yang ALLAH letakkan.
Firman Allah,
Katakanlah (wahai Muhammad): "jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya." Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik. (surah at-taubah:24)
Dalam surah al-Mujadalah, ayat ke-22, ALLAH berfirman yang bermaksud,
”Kamu tak akan mendapati kaum yang beriman pada Allah dan hari akhirat, saling berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu bapak-bapak, atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka. Mereka itulah orang-orang yang telah menanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripada-Nya. Dan dimasukan-Nya mereka ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Allah ridha terhadap mereka, dan merekapun merasa puas terhadap (limpahan rahmat)-Nya. Mereka itulah golongan Allah. Ketahuilah, bahwa sesungguhnya hizbullah itu adalah golongan yang beruntung.”
Jelas terang lagi bersuluh, aqidah Islam mengatasi segala bentuk hubungan lain, sama ada kekeluargaan, keturunan, dan bangsa. Aqidah islam mengunjurkan satu bentuk ikatan yang manis, yang acapkali kita dengar, ukhuwwah Islamiyyah.
Perlu kita fahami dan lihat dengan jelas, bahawa pemikiran (ideologi) dan kefahaman ini digunakan untuk memecah belahkan perpaduan umat Islam. Mereka gerun dengan kekuatan umat Islam, yang mana apabila umat Islam mempunyai aqidah yang kuat dan perpaduan serta kesatuan yang utuh, berbilion-bilion tentera mereka kumpulkan, berbekas-bekas senjata mereka himpun dan canggihkan, mereka tahu, mereka takkan dapat tumpaskan kemaraan umat Islam. Dan sebab itulah, mereka cuba menjatuhkan khilafah Islam, yang akhirnya berjaya dijatuhkan pada 1924M, mereka bertebaran ke seluruh pelusuk bumi untuk menjajah dan membiuskan pemikiran mereka kepada anak-anak dan seluruh umat Islam. Di mana yang tiada? Hampir keseluruhan negara Islam dijajah. Negara-negara Islam dipisahkan melalui sempadan negara dan ditiupkan semangat kebangsaan negara masing-masing, hingga tidak peduli dengan nasib yang menimpa umat Islam di negara lain.
Lihat sahaja di negara kita. Mereka menjajah kita. Dan masyarakat di Tanah Melayu ketika itu bangkit atas dasar ingin membebaskan tanah air dan bangsa daripada dijajah; dan akhirnya, apa yang tinggal, mereka meninggalkan fahaman cintakan bangsa yang melebih-lebih. Dan kita melihat, mereka meninggalkan kita dengan menyerahkan kuasa pemerintahannya kepada golongan yang bersifat nasionalis. Golongan yang berjuang bermati-matian sehingga korban syahid, meringkuk dalam penjara dan dibuang negeri; golongan Islam dan para sarjananya dilupakan. Lihatlah apa yang berlaku sekarang, semangat kebangsaan yang diterapkan oleh musuh Islam membuatkan kita hanya memikirkan periuk nasi keluarga dan bangsa sahaja. Tetapi kita lupa, lupa dengan saudara se’aqidah kita yang rata-ratanya ditindas dan tertindas.
Inilah agenda mereka. Kita, kita. Mereka mereka. Kita warganegara Malaysia. Mereka rakyat Palestin. Kita tiada kaitan dengan mereka. Mereka ditindas, di ganyang, itu mereka. Tiada kena mengena dengan kita di Malaysia bumi permai aman damai ni. Itu sebenarnya matlamat musuh Islam. Agar umat Islam tidak bersatu dan agar umat Islam berada dalam kepompongnya, bertepa dibawah telengkup gelas kaca. Nampak apa yang berlaku, tetaplah tidak rasa apa-apa dan tidak buat apa...
Rujukan:
[1] TG Haji Abdul Hadi Awang,fahaman & Ideologi umat Islam
1 komen:
“Orang Barat tidak takutkan umat Islam kerana:
“Mereka telah meninggalkan al-Quran
“Jika mereka membaca al-Quran sekalipun, mereka tidak memahaminya
“Jika mereka memahaminya, mereka tidak akan beramal dengannya
“Malah, jika mereka beramal dengan isi kandung al-Quran, amalannya tidak cantik
“Bahkan, jika amalan mereka cantik, ia tidak bertahan dalam masa yang lama”.
“Dahulu, sahabat nabi yang menjadi Generasi al-Quran. Sekarang tugas kamulah untuk menjadi Generasi al-Quran tersebut”.
“Tujuh tuntutan yang terdapat dalam Iqra’ ialah:
“Hendaklah kamu sentiasa membaca al-Quran
“Hendaklah kamu memperbetulkan bacaan al-Quran
“Bacalah dan fahamilah makna dan inti pati al-Quran
“Hayati dan beramallah dengan seruan al-Quran
“Bacalah al-Quran sehingga kamu mampu mengajarkannya
“Bacalah sehingga al-Quran menjadi bahan bacaan massa
“Martabatkan al-Quran sehingga ia menjadi dasar dan perlembagaan negara”.
Post a Comment