"Ya Allah, kurniakanlah ke atasku ketenangan, dan tetapkanlah pendirianku bersama-sama pendukung-pendukung kebenaran, dan tabahkanlah hatiku dengan mengingati Engkau, dan kurniakanlah akan daku keredhaan dengan perkara yang Engkau redhai"

Tuesday, January 12, 2010

Harapkan CINTA & REDHA


 

Apalagi perumpamaan biasa yang sering kedengaran untuk ia..
Kopi yang pahit menjadi begitu manis;
lautan api, hutan belantara sanggup diredahkan, 

apa saja sanggup digadaikan.Semua ini mungkin sudah acap kali menjadi skrip lakonan dalam cerita cinta. Tidaklah ingin saya bicarakan skrip lakonan yang boleh didapati dan dilambakan di mana-mana saja. 



Mari kita bercerita tentang
harapkan cinta dan redha...





Di kala mabuknya bercinta dan berkasih, harta, jiwa dan raga menjadi murah, semuanya dipersembahkan untuk satu kalimah cinta yang agung, berkasih dan bercinta antara kita dengan Yang Maha Mencinta.






Keimanan yang benar menjadikan perjalanan hidup umpama sebuah kisah cinta; 
kesetiaan dan pengorbanan menukar ujian pahit menjadi satu kenangan manis,
 kesabaran menjadikan segala beban yang ditanggung ringan dan mudah, 
keyakinan pada janji-janji Allah menjadikan jiwa tenang ketika perjalanan begitu sukar, 
kerinduan pada-Nya menjadi pembakar semangat setiap kali berdepan dengan kegagalan dan ujian berat...  



 
Sorotilah sebuah kisah cinta yang hebat...



Suatu hari di medan peperangan Uhud, Abdullah bin Jahsy berkata kepada sahabatnya, Saad bin Abi Waqash: 

“Wahai sahabatku, mari kita berdoa kepada Allah kerana apabila seorang hamba memohon suatu hajat dan sahabatnya mengaminkan permohonan itu, nescaya Allah SWT akan memperkenankan hajatnya itu.”

Kedua-duanya berdoa, Saad berdoa di sisi Abdullah: 

“Ya Allah, saat aku berada di medan pertempuran esok dengan rahmat-Mu ya Allah, biarkanlah musuh menyerang dengan ganas, biarlah kekuatannya mencabar diriku, namun aku akan melawannya dengan segenap tenaga, tolonglah aku memperoleh kemenangan dengan membunuhnya kerana-Mu ya Allah, biarkanlah aku memperoleh harta rampasannya dengan limpah kurnia dari-Mu.”

Selepas Abdullah mengaminkan doa sahabatnya itu, beliau pula berdoa:
“Ya Allah, biarkanlah aku menemui musuhku dari kalangan mereka yang gagah dan mereka menyerangku dengan kemarahan yang amat membara.
Biarlah kuperangi mereka dengan kekuatanku, jika mereka berhasil membunuhku, aku redha ya Allah, biarlah mereka menghiris telinga dan hidungku kerana pada hari kiamat nanti Engkau akan memanggilku dan bertanya kepadaku: Wahai Abdullah! Mengapa hidung dan telingamu boleh bercerai dari jasadmu? Aku akan menjawab di hadapan-Mu:
 “Semuanya sudah hilang kerana mengharap keredhaan dan kecintaan-Mu ya Allah.” Kemudian Engkau akan berkata:
“Benar, tentu semua yang hilang itu adalah di jalan-Ku!”


Lalu, pada keesokan harinya, peperangan meninggalkan jasad syahid yang dimuliakan Allah SWT. Saat itu apabila melihat Abdullah kembali ke sisi Allah SWT, Saad berkata:
“Doa Abdullah lebih mulia dari doaku, aku melihat hidung dan telinganya diikat dengan benang (kerana ia sudah dipisahkan daripada badannya).”



Kekuatan cinta kepada Allah SWT boleh mengubah pemikiran dan perasaan seseorang . Orang yang mencintai Allah memiliki perasaan yang tunduk kepada kehendak Allah. Dia marah ketika Allah murka, dia benci kerana Allah benci, dia pun suka dan sayang ketika Allah sayang.


Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Barang siapa yang cinta kerana Allah, benci kerana Allah, memberi kerana Allah, menahannya kerana Allah, maka dia menyempurnakan imannya.” (Hadis riwayat Abu Daud)

  Tanda cinta kepada Allah ialah taat, patuh, tunduk, rela mengabdikan diri, reda dengan ketentuan-Nya, mengorbankan hati dan perasaan, harta dan jiwa demi mendapatkan keredhaan-Nya.

Perjalanan hidup manusia yang mencintai Allah tidak mudah untuk dilalui. Mereka sentiasa menghadapi pelbagai dugaan untuk memenangi cinta itu. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Apabila Allah mencintai suatu kaum Dia akan mengujinya.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)


  Kesusahan dan kesedihan adalah suatu lumrah dalam bercinta, namun di akhir perjalanan mesti ada kegembiraan, iaitu ketika Allah membalas cinta hamba-Nya ketika nyawa akan berlepas dari jasad.

 Firman ALLAH yang bermaksud: 
“Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan keredaan lagi diredai.” (Surah al-Fajr)

Saat terakhir kehidupan Baginda SAW terakam begitu indah, jiwa seorang Rasul membuktikan cintanya kepada Allah SWT.

Baginda bersabda yang maksudnya: “Bersamaku mereka yang dilimpahi nikmat Allah daripada golongan Nabi, syuhada dan salihin, wahai Tuhanku, tolonglah hamba-Mu daripada kepedihan sakarat ini, aku memohon berada di sisi teman yang tertinggi, teman yang tertinggi.”

Al-Rafiq al-A'la itulah sebutan bagi kekasih yang Maha Penyayang, Dialah yang kekal dalam mengasihani makhluk-Nya, rahmat-Nya mengatasi kemurkaan-Nya.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Tiada suatu hari pun melainkan lautan meminta izin kepada Tuhan untuk menenggelamkan anak Adam. Dan malaikat meminta izin untuk segera menghukum dan membinasakan.

Tetapi Allah Taala berfirman:
“Siapakah yang lebih pengasih dan pemurah daripada-Ku, padahal Aku Maha Pengasih lagi Maha Pemurah. Pada malam hari hamba-Ku menentang-Ku dengan melakukan dosa besar. Namun, Aku menjaga mereka di tempat tidur mereka dan melindungi mereka di ranjang mereka. Siapa yang datang menghadap kepada-Ku, maka Aku akan menyambutnya dari jauh.


Sesiapa yang meninggalkan sesuatu kerana Aku, maka Aku akan memberinya kelebihan. Sesiapa yang berbuat dengan daya dan kekuatan-Ku maka Aku akan lunakkan besi untuknya. Sesiapa yang hendak sesuai dengan kehendak-Ku, maka Aku berkehendak sesuai dengan kehendaknya.

Ahli zikir-Ku adalah teman duduk-Ku. Ahli syukur-Ku adalah orang yang paling berhak mendapatkan tambahan kurnia-ku. Ahli taat-ku adalah orang yang berhak mendapat kemuliaan-Ku. Dan ahli maksiat kepada-Ku tiada Aku jadikan mereka berputus asa dari rahmat-Ku. Jika mereka bertaubat Akulah kekasih mereka. Jika mereka tidak bertaubat Akulah penyembuh bagi mereka, Aku menguji mereka dengan musibah untuk mensucikan mereka dari aib dan dosa.” (Hadis Riwayat Ahmad)






1 komen:

SeMoga Allah Kurniakan Kepadaku Kesabaran untuk aku MentaatiNya Ameen. said...

Sabar kepada Allah tiada batasnya :

Sabar untuk mentaati perintahNya

Sabar untuk meninggalkan laranganNYa

pada setiap nadi yang bdenyut, pada setiap waktu dan ketika

Ketahuilah Cinta dan Redho Allah hanya layak untuk orang bersabar padaNya.

Kerana Allah bersama orang-orang yang BerSABAR

Wallahu'alam

Template Design | monera87