Air Mata Ar-Raji'
Peristiwa ar-Raji’ telah berlaku pada bulan Safar tahun ke-4 Hijrah, di mana beberapa orang wakil daripada qabilah ‘Adal dan Qarah telah datang menemui Rasulullah s.a.w , meminta baginda Rasulullah saw agar menghantar beberapa orang sahabat supaya mengajar al-Quran dan hukum-hukum agama kerana di sana (ar-Raji’) terdapat sambutan yang baik kepada ajaran Islam. Lalu Rasulullah sa.w menghantar 6 orang sahabat (menurut riwayat imam Bukhari 10 orang sahabat) di mana Mar’id bin Abi Mar’id dilantik menjadi ketua kepada rombongan pendakwah tersebut. (menurut riwayat al-Bukhari, ketuanya adalah 'Asim bin Tsabit).
Ketika sampai di kawasan ar-Raji’ iaitu di suatu kawasan yang bernama Huzail, tiba-tiba mereka telah didatangi bala tentera yang lengkap bersenjata menunggu untuk bertindak. Mereka datang beramai-ramai mengepung para sahabat yang ditugaskan untuk menjalankan tugas dakwah itu dan berkata,
“Lebih baik kamu semua menyerah diri kepada kami kerana kami tidak akan melakukan apa-apa kepada kamu. Kami cuma mahu mendapatkan sesuatu daripada orang-orang Mekah jika kami menyerahkan kamu kepada mereka”.
Tetapi ketua rombongan pendakwah Islam itu tidak mahu mahu menyerah dan mengambil keputusan lebih baik mati bertempur daripada menyerah serta tidak sekali-kali percaya kepada janji-janji orang musyrikin itu lalu beliau dan beberapa orang sahabat yang lain menentang musuh sehingga mereka gugur syahid.
Seorang perempuan musyrikin Quraisy dimana salah seorang anaknya dibunuh dalam satu peperangan oleh ‘Asim bin Thabit iaitu salah seorang daripada pendakwah yang telah gugur syahid itu telah bernazar untuk minum arak dalam tempurung kepala ‘Asim tetapi Allah memelihara kepalanya daripada diambil oleh musuh apabila Allah mengahantarkan sekumpulan lebah untuk menjaga jasadnya.
Manakala 3 orang daripada mereka yang masih tinggal iaitu Zaid bin Abi ad-Dasinah, Khubaib bin ‘Adi dan Abdullah bin Tariq telah mengambil keputusan untuk menerima janji yang ditawarkan oleh musuh Islam itu. 3 orang tawanan tadi dibawa ke Mekah untuk dijual.
Ketika mereka tiba di Zuhran, Abdullah bin Tariq berjaya melepaskan diri daripada ikatan lalu menyambar pedang dan melawan musuh sehingga dia gugur syahid. 2 orang yang masioh tinggal terus dibawa ke Mekah dan dijual dengan bayarannya ialah membebaskan 2 tawanan daripada qabilah Huzail yang ditawan oleh pihak kafir Quraisy.
Khubaib bin ‘Adi telah dibeli oleh Bani al-Harith bin ‘Ammar bin Naufal kerana dia telah membunuh pemimpin mereka Harith dalam peperangan Badar.
Khubaib telah diperhinakan dan dipukul berkali-kali dengan cara yang menyakitkan dan juga telah dipenjarakan. Pada suatu hari ketika Khubaib sedang bercukur di rumah Bani Harith tempat kurungannya, tiba-tiba seorang anak kecil dari keluarga itu datang menghampiri Khubaib lalu dia mengambil anak itu dan diletakkan atas ribaannya. Apabila si ibu menyedari anak kecilnya tiada di sisi lalu dia melihat ke arah Khubaib dan terlihat anaknya berada atas ribaan Khubaib yang sedang memegang pisau cukur. Khubaib melihat kepada si ibu lalu berkata :
“ Aku tahu perasaanmu iaitu menganggap bahawa aku akan membunuh anak ini bagi membalas dendam terhadap apa yng diperlakukan kepadaku. Demi Allah aku tidak akan melakukan perkara kejam itu”.
Selepas itu dia melepaskan anak kecil itu walau pun dia boleh membunuhnya atau pun menjadikannya tebusan untuk membebaskannya tetapi dia tidak berbuat demikian. Si ibu begitu takjub melihat apa yang berlaku dan memuji kemuliaan akhlak Khubaib. Inilah dia antara kesan daripada tarbiah Rasulullah s.a.w yang dapat kita sama-sama lihat. Seterusnya Khubaib di bawa ke Tan’im untuk dibunuh di mana sebelum itu dia telah meminta agar diberi peluang untuk dia melakukan solat sunat 2 rakaat. Setelah selesai solat lalu dia berkata dengan tegas :
“ Demi Allah, jika tidak kerana bimbang kamu menuduh aku pengecut nescaya aku akan bersembahyang lebih panjang lagi”.
Kemudian dia berdoa :
“Wahai Tuhanku! Hitungkanlah mereka semua dan binasakanlah mereka semua sehingga jangan tinggalkan walau pun seorang”.
Kemudian dia bersyair antaranya :
“ Demi sesungguhnya aku tidak peduli sekiranya aku dibunuh sebagai seorang Islam di mana sahaja anggota yang dibunuh. Perkara itu kerana Allah jika ia mengkehendaki nescaya Dia memberkati setiap anggota yang dihiris”.
Lantas, bangunlah Uqbah bin al-Harith lalu membunuh Khubaib dan gugurlah seorang sahabat yang tabah dan berani mati kerana Islam.
Pada hari yang sama mereka membunuh seorang lagi sahabat iaitu Zaid bin ad-Dasinah, yang dibeli oleh Safuan bin Umaiyyah. Abu Sufian yang menjadi pemimpin taghut pada masa itu bertanya kepada Zaid :
“ Apakah pendapat kamu jika Muhammad berada sekarang mengantimu supaya kami dapat pancungkan lehernya?”.
Dengan tegas Zaid menjawab :
“ Demi Allah! Aku tidak rela sekali pun nabi Muhammad s.a.w terkena duri sedangkan aku bersama-sama keluargaku”.
Abu Sufian berkata :
“ Aku tidak pernah bertemu sesorang itu begitu kasih kepada seseorang yang lain seperti para sahabat Muhammad kasih kepada Muhammad”.
Selepas itu Zaid dibunuh oleh musuh tanpa belas kasihan. Inilah dia kasih sayang para sahabat terhadap diri Rasulullah s.a.w dan Islam sehingga mereka lebih rela mati daripada melihat baginda dikhianati dan Islam dihina.
Firman ALLAH dalam surah Al-Ahzab,
Maksunya : "Antara orang-orang mukmin itu ada mereka yang telah menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Maka di antara mereka ada yang telah gugur syahid dan antara mereka ada pula yang menunggu (datangnya syahid) dan mereka sedikit pun tidak mengubah janjinya.." (al-Ahzab:23)
Begitulah kesungguhan dan kejujuran Rasulullah saw untuk mengajak dan menyelamatkan manusia dengan Islam; dan mereka yang dihantar bukanlah daripada kalangan panglima-panglima tentera Islam, tetapi dari kalangan yang sekadar mengajar Al-Qur’an dan hokum-hukum agama. Walaupun demikian, mereka tetap mempunyai sifat kepahlawanan Islam yang bersedia untuk mati syahid. Mereka bukan sahaja mempunyai ilmu untuk menjadi guru agama dan mengajar semata-mata, tanpa bersedia berjuang mempertahankan dan meninggikan kalimah ALLAH SWT. Begini sifat generasi pertama, hasil madrasah dan tarbiyyah Rasulullah; yang mana mereka ini menjadi pahlawan di siang hari, dan ahli-ahli ibadah dimalam hari. Ataupun, mereka ini mencari kayu api disiang hari, dan tekun beribadah di malam hari.
Bagaimana dengan kita pada hari ini?. Adakah kita terus rela melihat Islam dimaki, umat Islam dibunuh dan dihalau dari tanahair mereka sendiri, Hukum Allah dipersenda, Sunnah nabi dihina,para ulama’ dicerca oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan memang bencikan Islam daripada dilaksana.
Dan kebanyakan umat manusia hari ini pula, bekerja kuat disiang hari, mengqadha’ tidur di malam hari. Ataupun, bekerja (shift) dimalam hari, qadha’ tidur di siang hari, melewati solat-solat fardhu. Alangkah jauhnya kita… Itu pun masih nak berlagak menjadi orang hebat? Mengandaikan diri sudah terbaik ? Sama-sama fikirkan...
1 komen:
alhamdulillah...satu cerita yg patut disebarkan dan diambil iktibarnya...terima kasih kerana berkongsi...
Post a Comment