"Ya Allah, kurniakanlah ke atasku ketenangan, dan tetapkanlah pendirianku bersama-sama pendukung-pendukung kebenaran, dan tabahkanlah hatiku dengan mengingati Engkau, dan kurniakanlah akan daku keredhaan dengan perkara yang Engkau redhai"

Wednesday, October 29, 2008

kembali lagi...

Tak tau tajuk nak letak pun. Sekarang ni, ketepuan otak melanda.. maka rehat jap sambil membebel. rasa macam dah lama juga tak membebel. Dok membebel dalam bilik je la.

Demam pekso dah seminggu melanda. sekarang makin garing demam pekso tu. Bertambah garing bila ada banyak lagi perkara nak kena settle-kan. Assignment, report, dapat projek.. Apapun, itu lah kerja manusia bergelar pelajar ni.. Nak-nak lagi, dunia ni tak lari dari ujian. Ujian, mana-mana ujian lah. serba-serbi.
Baru-baru ni pun, tok ayah (datuk) baru dimasukkan ke dalam ward . Tapi semalam tanya abang, dia kata, dia dah culik tok ayah dari hospital, bawak balik ke rumah. Fuhh.. BiGbRo ni sejenis propeshnal punya penculik..heheh..

Waktu-waktu pekso ni lah rasa macam kepala ni pusing, mujur tak putus urat lagi.
Ada yang tegang. macam-macam. Tak pelah. Manusia ni ada waktu-waktu dia. Biasalah kalau tersedih ke, nak rasa termelenting ke, rasa tetiba nak tergelak tanpa sebab ke (jaga-jaga). Tapi, saya berfikir, ada baiknya, kita perhati sekeliling. Kalau kita melenting, pasti orang tak suka, kan? Kalau orang melenting pada kita, kita pun tak seronok, kan? Nak study pun, ternampak muka yang terpelanting tu.. (eh, silap, termelenting tu..)
eh..apa merepek ni..

Kadang-kadang, bila kita sedih, dimarahi, kita akan berfikir,
oh, ini ujian bagiku.. Alhamdulillah, Allah masih ingat padaku dan menegur silapku dengan keadaan ini. Syukurlah DIA masih sayangkan aku sebagai hamba-NYA. Semoga ALLAH ampuni kesilapan aku yang aku lakukan, sedar ataupun tak sedar.

Ya. Teruji dan diuji. Pelbagai bentuk. Ini lah peringatan dari ALLAH.. Seronok study, tapi terlewat solat..nak nak lagi terlajak dan tinggal solat terus. Bukankah kita mencari ilmu agar kita lebih mengenali ALLAH, yang menciptakan, yang memiliki ilmu semua ini? Dan bagaimana pula dalam mencari ilmu, kita boleh lupakan DIA sebagai contoh, tinggalkan solat, tak pun study berdua-duaan lelaki dan perempuan?

Ujian ni lah sebagai feedback sistem, suruh kita imbau balik dan baiki lagi agar kita dapat output yang comei. Kira ni compensated system laa..eheh..

'Mu nok kejar dunia, kejar lah. Tapi akhirat jangan lupa..' maksudnya, nak stadi, stadi lah, sampai tunggang langgang pun, xpa.. tapi jangan sampai abaikan perintahNYA.

ayukk...dah, nak smbung study plak ni..

Selamat maju jaya pada semua..

Sempena peperiksaan ni, saya minta maaf pada semua atas kata2, laku saya dan segala macam yang dah mencalarkan hati, sedang merobek jantung atau akan datang mengguriskan perasaan kalian... dan saya memaafkan kalian, tanpa sebarang cagaran..

ok, selamat maju jaya sekali lagi..

p/s : mak ayah pesan, belajaq elok2. Jaga hubungan dgn ALLAH. solat jgn tinggal, kualiti ibadah tingkatkan, hubungan manusia tambahbaikkan. Makan,ksihatan, jangan abaikan. Sayur makan banyak2...
trima kasih mak,ayah, bigbro,k.hayate...

Saturday, October 18, 2008

Air Mata Ar-Raji'

Al-Raji' ni nama bagi tempat kediaman qabilah 'Adal dan Qarah, yang telah melakukan khianat, atas dorongan dan galakkan yang diberikan oleh orang musyrikin Mekah; yang menyebabkan beberapa sahabat radhiyallahu'anhum menjadi korban syahid.

Peristiwa ar-Raji’ telah berlaku pada bulan Safar tahun ke-4 Hijrah, di mana beberapa orang wakil daripada qabilah ‘Adal dan Qarah telah datang menemui Rasulullah s.a.w , meminta baginda Rasulullah saw agar menghantar beberapa orang sahabat supaya mengajar al-Quran dan hukum-hukum agama kerana di sana (ar-Raji’) terdapat sambutan yang baik kepada ajaran Islam. Lalu Rasulullah sa.w menghantar 6 orang sahabat (menurut riwayat imam Bukhari 10 orang sahabat) di mana Mar’id bin Abi Mar’id dilantik menjadi ketua kepada rombongan pendakwah tersebut. (menurut riwayat al-Bukhari, ketuanya adalah 'Asim bin Tsabit).

Ketika sampai di kawasan ar-Raji’ iaitu di suatu kawasan yang bernama Huzail, tiba-tiba mereka telah didatangi bala tentera yang lengkap bersenjata menunggu untuk bertindak. Mereka datang beramai-ramai mengepung para sahabat yang ditugaskan untuk menjalankan tugas dakwah itu dan berkata,

“Lebih baik kamu semua menyerah diri kepada kami kerana kami tidak akan melakukan apa-apa kepada kamu. Kami cuma mahu mendapatkan sesuatu daripada orang-orang Mekah jika kami menyerahkan kamu kepada mereka”.

Tetapi ketua rombongan pendakwah Islam itu tidak mahu mahu menyerah dan mengambil keputusan lebih baik mati bertempur daripada menyerah serta tidak sekali-kali percaya kepada janji-janji orang musyrikin itu lalu beliau dan beberapa orang sahabat yang lain menentang musuh sehingga mereka gugur syahid.

Seorang perempuan musyrikin Quraisy dimana salah seorang anaknya dibunuh dalam satu peperangan oleh ‘Asim bin Thabit iaitu salah seorang daripada pendakwah yang telah gugur syahid itu telah bernazar untuk minum arak dalam tempurung kepala ‘Asim tetapi Allah memelihara kepalanya daripada diambil oleh musuh apabila Allah mengahantarkan sekumpulan lebah untuk menjaga jasadnya.

Manakala 3 orang daripada mereka yang masih tinggal iaitu Zaid bin Abi ad-Dasinah, Khubaib bin ‘Adi dan Abdullah bin Tariq telah mengambil keputusan untuk menerima janji yang ditawarkan oleh musuh Islam itu. 3 orang tawanan tadi dibawa ke Mekah untuk dijual.


Ketika mereka tiba di Zuhran, Abdullah bin Tariq berjaya melepaskan diri daripada ikatan lalu menyambar pedang dan melawan musuh sehingga dia gugur syahid. 2 orang yang masioh tinggal terus dibawa ke Mekah dan dijual dengan bayarannya ialah membebaskan 2 tawanan daripada qabilah Huzail yang ditawan oleh pihak kafir Quraisy.


Khubaib bin ‘Adi telah dibeli oleh Bani al-Harith bin ‘Ammar bin Naufal kerana dia telah membunuh pemimpin mereka Harith dalam peperangan Badar.
Khubaib telah diperhinakan dan dipukul berkali-kali dengan cara yang menyakitkan dan juga telah dipenjarakan. Pada suatu hari ketika Khubaib sedang bercukur di rumah Bani Harith tempat kurungannya, tiba-tiba seorang anak kecil dari keluarga itu datang menghampiri Khubaib lalu dia mengambil anak itu dan diletakkan atas ribaannya. Apabila si ibu menyedari anak kecilnya tiada di sisi lalu dia melihat ke arah Khubaib dan terlihat anaknya berada atas ribaan Khubaib yang sedang memegang pisau cukur. Khubaib melihat kepada si ibu lalu berkata :
“ Aku tahu perasaanmu iaitu menganggap bahawa aku akan membunuh anak ini bagi membalas dendam terhadap apa yng diperlakukan kepadaku. Demi Allah aku tidak akan melakukan perkara kejam itu”.


Selepas itu dia melepaskan anak kecil itu walau pun dia boleh membunuhnya atau pun menjadikannya tebusan untuk membebaskannya tetapi dia tidak berbuat demikian. Si ibu begitu takjub melihat apa yang berlaku dan memuji kemuliaan akhlak Khubaib. Inilah dia antara kesan daripada tarbiah Rasulullah s.a.w yang dapat kita sama-sama lihat. Seterusnya Khubaib di bawa ke Tan’im untuk dibunuh di mana sebelum itu dia telah meminta agar diberi peluang untuk dia melakukan solat sunat 2 rakaat. Setelah selesai solat lalu dia berkata dengan tegas :
“ Demi Allah, jika tidak kerana bimbang kamu menuduh aku pengecut nescaya aku akan bersembahyang lebih panjang lagi”.

Kemudian dia berdoa :
“Wahai Tuhanku! Hitungkanlah mereka semua dan binasakanlah mereka semua sehingga jangan tinggalkan walau pun seorang”.

Kemudian dia bersyair antaranya :
“ Demi sesungguhnya aku tidak peduli sekiranya aku dibunuh sebagai seorang Islam di mana sahaja anggota yang dibunuh. Perkara itu kerana Allah jika ia mengkehendaki nescaya Dia memberkati setiap anggota yang dihiris”.

Lantas, bangunlah Uqbah bin al-Harith lalu membunuh Khubaib dan gugurlah seorang sahabat yang tabah dan berani mati kerana Islam.


Pada hari yang sama mereka membunuh seorang lagi sahabat iaitu Zaid bin ad-Dasinah, yang dibeli oleh Safuan bin Umaiyyah. Abu Sufian yang menjadi pemimpin taghut pada masa itu bertanya kepada Zaid :
“ Apakah pendapat kamu jika Muhammad berada sekarang mengantimu supaya kami dapat pancungkan lehernya?”.

Dengan tegas Zaid menjawab :
“ Demi Allah! Aku tidak rela sekali pun nabi Muhammad s.a.w terkena duri sedangkan aku bersama-sama keluargaku”.

Abu Sufian berkata :
“ Aku tidak pernah bertemu sesorang itu begitu kasih kepada seseorang yang lain seperti para sahabat Muhammad kasih kepada Muhammad”.

Selepas itu Zaid dibunuh oleh musuh tanpa belas kasihan. Inilah dia kasih sayang para sahabat terhadap diri Rasulullah s.a.w dan Islam sehingga mereka lebih rela mati daripada melihat baginda dikhianati dan Islam dihina.

Firman ALLAH dalam surah Al-Ahzab,

Maksunya : "Antara orang-orang mukmin itu ada mereka yang telah menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Maka di antara mereka ada yang telah gugur syahid dan antara mereka ada pula yang menunggu (datangnya syahid) dan mereka sedikit pun tidak mengubah janjinya.." (al-Ahzab:23)

Begitulah kesungguhan dan kejujuran Rasulullah saw untuk mengajak dan menyelamatkan manusia dengan Islam; dan mereka yang dihantar bukanlah daripada kalangan panglima-panglima tentera Islam, tetapi dari kalangan yang sekadar mengajar Al-Qur’an dan hokum-hukum agama. Walaupun demikian, mereka tetap mempunyai sifat kepahlawanan Islam yang bersedia untuk mati syahid. Mereka bukan sahaja mempunyai ilmu untuk menjadi guru agama dan mengajar semata-mata, tanpa bersedia berjuang mempertahankan dan meninggikan kalimah ALLAH SWT. Begini sifat generasi pertama, hasil madrasah dan tarbiyyah Rasulullah; yang mana mereka ini menjadi pahlawan di siang hari, dan ahli-ahli ibadah dimalam hari. Ataupun, mereka ini mencari kayu api disiang hari, dan tekun beribadah di malam hari.


Bagaimana dengan kita pada hari ini?. Adakah kita terus rela melihat Islam dimaki, umat Islam dibunuh dan dihalau dari tanahair mereka sendiri, Hukum Allah dipersenda, Sunnah nabi dihina,para ulama’ dicerca oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan memang bencikan Islam daripada dilaksana.

Dan kebanyakan umat manusia hari ini pula, bekerja kuat disiang hari, mengqadha’ tidur di malam hari. Ataupun, bekerja (shift) dimalam hari, qadha’ tidur di siang hari, melewati solat-solat fardhu. Alangkah jauhnya kita… Itu pun masih nak berlagak menjadi orang hebat? Mengandaikan diri sudah terbaik ? Sama-sama fikirkan...

Rujukan :
[1] Al-Qur’an Tafsir
[2] TG Haji Abdul Hadi Awang, Fiqh Al-Harakah Dari Sirah Nabawiyyah (Jilid 2), Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam, Selangor, 2001.

Friday, October 17, 2008

syahdu Eryna...

Hening benar suasana di Mahallah Khadijah. Aku menyusun langkah ke mahallah ’A’isyah. Tidak lah jauh jaraknya. Namun tidaklah terlalu dekat dengan mahallah yang aku menginap. Ku dongak ke langit. Ahh.. hari nak hujan. Aku percepatkan langkah. Fathma pasti sudah menunggu aku begitu lama.

”Assalamu’alaikum. Assifli. Ana baru tangguhkan meeting rakan sejawat tadi. Maaf ambil masa antunna menunggu begitu lama.”
Aku cuba menutur sopan. Bukankah dalam Islam dianjurkan berakhlaq mulia? Beradab?

Fathma tersenyum. ”Tidaklah. Kebetulan kami baru saja sampai.”

Fathma el-Batrisha. Orang pertama yang memperkenalkan wadah perjuangan ini kepadaku. Gadis kacukan Melayu-Jordan. Menetap di Gombak, Selangor. Aku mengaguminya lantaran kecerdasannya dalam gerak kerja dakwah. Sepadan dengan namanya, bermaksud ’cerdas pintar’. Jauh dari mengaguminya, aku mengagumi Sang Pencipta yang menciptakan hamba yang begitu lunak dan sebati dalam jalan dakwah ini. Subhanallah..

Aku tersenyum sendiri.

” Aishya ghaaibah, ya Fathma. Hiya maridhati.”
Habeebah bertutur arab. Sebagai foreign student, Habeebah lebih gemar menggunakan bahasa ibundanya. Biarpun aku tidaklah boleh bertutur Arab dengan baik, namun aku faham apa yang Habeebah perkatakan.

“Syafakillah..” kami mendoakan agar Aishya disembuhkan segera.

Aku tidak pernah jemu berada dalam halaqah. Mungkin kerana punyai naqibah yang cukup baik tutur bicara dan perawakannya.



_______________________________________________



”Umat Islam sekarang lemah. Kita lemah..” nada Fathma sayu.


Zhafarina mengangkat wajahnya. ”Maksud akak?”

”Sejak zaman-berzaman Islam ditentang musuhnya. Lihat semasa zaman Rasulullah saw dan para sahabat, baginda dan para sahabat ditentang, di ancam bunuh dan sebagainya; kemudian di zaman khulafa’ ar-rashidin dan zaman-zaman seterusnya. Mereka tak pernah berhenti memerangi dan memusuhi Islam, hingga misi mereka tercapai. Dan pada tahun 1924 Masihi, kerajaan Islam khalifah uthmaniyyah Turki dijatuhkan, dengan boneka yang dididik mereka, Kamal attartuk laknatullah, bapa sekularisme.. Tidak berhenti disitu, mereka menyebarkan sekularisme yang menanam fahaman pemisahan agama dari kehidupan ke seluruh umat Islam; pembawaan nasionalisme, yang bersifatkan kenegaraan..” panjang Fathma menghuraikan.

Aishya yang lebih gemar berdiam diri kini mencelah.
”bukan ke nasionalisme ni semangat kebangsaan, semangat kenegaraan, yang disetupkan untuk cuba memisahkan persaudaraan orang Islam yang begitu kuat suatu masa lalu?

Fathma tersenyum dan mengangguk.
”Ya..dan kenapa mereka buat begitu?”


Suasana sepi seketika. Mungkin semua sedang menyusun ayat.

”Saya cuba ye kak?” Eisya tersenyum sambil mengambil pen yang terlepas dari tangannya. Fathma, Habeebah, Zhafarina, Aishya, Syaiqa’ dan aku memandang Eisya, menantikan jawapan darinya.

”kalau tak salah saya, ideologi ni dibawa sebab mereka tak nak umat Islam bersatu. Walaupun mereka sebenarnya tidak faham bagaimana yang dikatakan persaudaraan Islam yang kita bina, tapi mereka dah lihat bagaimana umat Islam suatu ketika dahulu gagah dan kuat apabila bersatu. Bersatu dengan aqidah yang satu. Sebab itu orang Islam dulu kuat. Seorang wanita Islam ataupun mudahnya, Muslimah ditarik-tarik kainnya oleh beberapa orang Yahudi,ketika berjalan dipasar, maka tentera-tentera Islam bertindak. Diorang gerun dengan kekuatan persaudaraan yang ada masa dulu. Tak perlu tunggu orang besar-besar dan orang kenamaan dihina, baru tentera bertindak. Siapa pun dia, dari mana pun dia, asalkan dia umat Islam.. apabila dihina, maka seluruh umat Islam bangkit menentang penghinaan tersebut...” Eisya terdiam seketika, memandangku. Sekilas pandangan darinya, aku menyambut permintaannya agar menyambung bicaranya.

”urmm.. ana setuju dengan Eisya. Ana sambung, ye? Baik. Kita kehadapan sikit, lihat pada rantau ni pada tahun 1950 Masihi.. Semasa
tragedi Natrah yang berlaku di Singapura pun, sensitiviti umat Islam masih ada sengatnya. Tak kira siapapun dia, ustaz ustazah ke, orang kampung ke, penyanyi ke, pelakon ke, dia umat Islam. Dia tahu, dia kena menentang undang-undang yang cukup menghina Islam, yang menyetujui dan membenarkan kemurtadan umat Islam, maka dia perlu bangkit menentang. Tak kisah, pergi ke singapura naik apa pun. Berjalan kaki, berbasikal dan sebagainya. Semasa saya di sekolah, ustazah ceritakan, ada seorang polis sanggup melepaskan jawatannya semata-mata tidak bersetuju dengan pengadilan tersebut. Baginya, tidak mengapa hilang kerja sebagai polis, asalkan maruahnya tidak tercemar dihadapan ALLAH. Itu dulu.. Hebatnya umat Islam dulu. Tapi sekarang sengatan itu kian hilang.. Sebab itu musuh-musuh Islam makin berani. Hina Islam dihadapan pemimpin Islam pun, tak ada apa-apa. Hari ini Islam dihina, tiada apa-apa pun yang berlaku.. sebab itu pada awal-awal tadi, akak kata umat Islam lemah, kan? Kalau salah betulkan ana ye..Allahu’alam. ”
ada getaran dihujung suara. Tangan menjadi sejuk secara tiba-tiba..


Hening. Rintikan hujan yang bertapak di atas bumbung masjid kedengaran.. Mungkinkah titisan hujan tersebut adalah gambaran dari hati-hati mereka yang sayu dengan keadaan umat Islam kini...?

”hmm.. betul, adik-adik. Sengatan dan sensitiviti umat Islam kian puput ditiup bayu wahn, penyakit cintakan dunia, dan takutkan mati.. Umat Islam semakin kuat dalam mencari kemewahan, kepopularitian, keseronokan, pangkat.. hinggakan lupa siapa kawan, siapa lawan, siapa musuh...Musuh bergelak ketawa, umat Islam sesama sendiri bergaduh, bertekak dengan hal-hal khilafiah..” Fathma bersuara setelah mendengar anak buahnya melontarkan pendapat..

....................



Thursday, October 16, 2008

PRK : ambang malam..

Setelah beberapa hari penyampaian manifesto 0leh calon-calon PRK , maka pada hari ini, tibalah masanya para mahasiswa membuat pilihan di atas kriteria yang diadakan oleh diri. Berkenan pada wajah yang cantik/hensem ?menyejukkan hati? pandainya berkata-kata? manisnya taburan janji-janji? kuat dan rajinnya bekerja? ya.. rata-rata punyai kriteria pemilihan tersendiri. Tapi setakat yang didengari desas-desus terhadap calon-calon tersebut, tidak pula aku dengari, "kiter nak pilih diorang sebab diorang beriman dan berakhlaq baik.." dsb.
mungkin aku jer yang tak terdengar..
jam 1647, aku pulang dari kelas.. terasa rugi juga tak dapat join sahabat-sahabat ke astaka. Tapi, takpe. Aku teringat ayahku berpesan, "nak buat apa-apapun, semayang (solat) dulu. Tak rugi.."
takpe,takpe..
selesai solat, rumet mengkhabarkan berita gumbira... ALLAHUAKBAR!! aku tengok jam. kol 5.42 petang. Kesyukuran diterjemahkan dengan sujud syukur..
terima kasih kepada yang memberi ulasan pada malam manifesto pertama, kedua, dan ketiga.
anda turut membantu kami secara tak langsung sebenarnya.. terima kasih...
Kenapa perkara pahit sukar ditelan?
kerana pahit bisa menyembuhkan.. sepertimana ubat2an. Nak telan, payah. Pahit pulak tu. Tapi, dengan izin ALLAH, ia bisa menyembuhkan penyakit...
macam tulah juga, pada adik2 yang mengalami keperitan mungkin sepanjang manifesto.. Kritikan itu perit untuk didengar. Bukan diri adik2 saja, bahkan kami juga. Tapi itu jua yang membantu meningkatkan rasa ingin tahu pengundi-pengundi pada diri adik2, dan berkat kesabaran n kesungguhan, ALLAH anugerahkan kemenangan.. TAHNIAH & TAKZIAH diucapkan...
Jom mengisi kemenangan.. Bagaimana..? Pasti ada perancangannya yang tersusun rapi lagi berstrategi..
Taknak ulas panjang lagi..
Jom kita gi Ifthar jama'ie..??
6.41 pm
ifthar di masjid jamek

Monday, October 6, 2008

Raya...

Tanggal 1 Syawal, di mana seluruh umat Islam merayakan kemenangan setelah berpuasa di bulan Ramadhan. Cukup, tak cukup, puasa betul-betul, puasa 'yang-yok' pun, raya juga.. Mercun bunyi sana-sini. Merayakan apa tu? Pelik juga.. Aku dengar abang aku berkata, "puok2 tu raikan kebebasan syaitan..." Dengar macam kasar je.. Tapi, hakikatnya, begitulah yang disimpulkan secara kasar. Kita tak diajar menyambut kemenangan dengan mercun.. Tapi, bertakbir, bertahmid, bertasbih..

Pagi raya...aku mendengar khutbah 'eidul Fitri.. JAHILIYYAH.
Kalau ikut Jahiliyyah ni, kita termerujuk kepada Arab Jahiliyyah. Tu orang penggil jahiliyyah kuno. Mencuri, berzina, dan sekutu dengannya.. Tapi, manusia ni, lupa... sekarang pun masih ada jahiliyyahnya. Jahiliyyah cara moden lah. Mencuri (dah pelbagai versi.. bertambah kreatif cara nak curi.. barang-barang yang dicuri pun, dasyat..besi buruk, wayar telefon dll..), berzina (merata 'cerok' dah tak hirau..), minum arak (kilang, kedai arak bersepah-sepah), berjudi (peraduan sms pun boleh jadi), dsb.

Kalau di zaman Arab Jahiliyyah dulu, sampai berlaku perebutan takhta kuasa dari qabilah-qabilah, sekarang pun tak kurang hebatnya. Berebut nak kekuasaan. Gilakah mereka dengan sejenis ilusi bernama kuasa? Hamba Allah ni semakin tidak berasa apa-apa menjadi gila sebegitu, hinggakan sanggup mencantas mana-mana yang cuba menentang, dan memonopoli kapal yang kian karam.
Betapa tiada bezanya antara kejahilan dulu dan sekarang. Bezanya (ada jugak beza..??) , mungkin kita dapat lihat agak moden sedikit cara 'perlaksanaan' kejahilan tersebut.

Lagi, macam mana nak lenyapkan kejahilan? Mesti ada ilmu.. Macam mana? Cari lah. Nak cari dimana? Dimana-mana lah. Bumi ALLAH kan luas? Ilmu agama, ilmu akademik, ilmu dalam bidang-bidang lain juga kena kuasai.

Hebat di mata manusia tak membawa makna apa-apa kalau kita ini jijik, jelik, bobrok dipandangan ALLAH. Contoh, gah menerajui kepimpinan dimata manusia, tapi rasuah dan kezaliman dilakukan dengan perselindungan.. Takde maknenye...

Cakap pasal raya kali ini, mudah-mudahan ianya lebih bermakna. Macam mana? Kita lebih mensyukuri nikmat ALLAH, dan terus istiqamah dalam melaksanakan ibadah yang kita usahakan dalam madrasah Ramadhan baru-baru ni..

Template Design | monera87