Sahabat sahabiyyah, hafizhakumullah wa yarhamkum..
8 Ramadhan 1429H-maksudnya, 7 hari penuh kita berada dalam bulan Ramadhan dan menunaikan ibadah puasa, dan hari ini, melangkah ke hari ke-8 dalam bulan Ramadhan. Dah berlalu seminggu dalam bulan Ramadhan. Cepatnya! Sedikit hari sahaja lagi bertukarlah ke fasa kedua, fasa maghfirah. Jom, kita imbas kembali, selama 1 minggu puasa kita. Apakah semangat juang kita meningkat? Okey, tidak perlu pergi jauh. Kita tengok semangat study kita. Semakin malas, atau rajin? Berbalik pula pada hubungan kita dengan ALLAH. Kalau sebelum tibanya Ramadhan, rasa-rasa macam jarang pergi masjid je, (sebagai contoh) , kini dalam bulan Ramadhan, ada peningkatan?
"ehemm.. macam biasa jer.." ;
"urmm..ade la sikit-sikit.." ;
"alhamdulillah, ada, mudah-mudahan terus istiqamah.."
Pelbagai versi jawapan. Rata-ratanya ada peningkatan. Semoga kita semua, ada peningkatan yang cukup baik dan semoga kita ikhlas dan istiqamah dalam melaksanakan ketaatan kita sebagai hamba-NYA.
Alangkah ruginya bagi hamba ALLAH yang tidak menghargai kurniaan ALLAH ini... Masih ada kesempatan, laksanakan perintah dengan sebaiknya..
Kalau sebuah institusi, mahupun mana-mana organisasi sesebuah persatuan, pertubuhan, pastinya ada visi, misi, dan objektifnya yang hendak dicapai. Ramadhan juga begitu. ALLAH letakkan objektif Ramadhan ni, kepada umat Islam,iaitu,TAQWA sebagaimana dalam surah Al-Baqarah, ayat 183 yang bermaksud;
"Wahai orang yang beriman ! diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ianya diwajibkan ke atas orang - orang sebelum kamu , semoga kamu bertaqwa kepada Allah swt."
( Surah al Baqarah : Ayat 183 )
Perkara asas yang ingin dicapai adalah melalui ibadah puasa yang difardhukan ke atas kita umat Islam, adalah taqwa. Dan melalui Ramadhan, kita melahirkan, memupuk, menyemarakkan ketaqwaan kita. Bagaiman? Ada beberapa faktor yang dapat melahirkan ketaqwaan kita kepada ALLAH swt , dan antaranya :
1- melahirkan rasa takut kepada ALLAH dimana-mana pun; secara terbuka didepan orang ramai, ataupun sembunyi, seorang diri.
--siapa-siapa pun boleh berpura-pura berlapar dihadapan orang ramai, tetapi makan disebalik peti sejuk umpamanya, tetapi tiada siapapun yang boleh lari dari pandangan ALLAH. Ini perkara asas , dan menambahkan keutuhan dalam diri kita bahawa, ALLAH itu Maha Melihat dan Maha Mengetahui.
2-mengekang keterlanjuran syahwah dan meirngankan pengaruh serta penguasaannya.
-- lantaran, puasa dapat melemahkan gelora nafsu.
terdapat beberapa faktor lagi.. untuk keterangan lanjut, bolehlah layari blog ustaz Nasrudin at-Tantawi kita bakal melangkah ke fasa ke-2, dan dalam fasa kedua inilah berlakunya peperang pertama bagi umat Islam,ghazwah Badar ( perang Badar), yang berlaku pada 17 Ramadhan tahun ke-2 hijrah. Di kala ini umat Islam diuji dengan ujian getir. Dalam keadaan berpuasa, ditambah pula dengan kekuatan tentera Islam hanya sekitar 313 orang berdepan dengan 1300 orang bala tentera musyrikin. Logik aqal kita, pastinya mereka yang mempunyai bilangan yang ramai pastinya menguasai percaturan dimedan perang. Namun, logik aqal takkan dapt mengenepikan taqdir dan pertolongan dari ALLAH swt.
Dan, di antara rahsia kemenangan umat Islam yang boleh kita contohi adalah semangat juang tentera-tenteranya. Kita boleh lihat bagaimana wakil dari golongan kaum Ansar iaitu Sa’ad bin Mu’az ketikamana Nabi Muhammad S.A.W sedang bermesyuarat dengan sahabatnya di kalangan Ansar, lalu beliau bangkit menyatakan kesiapannya untuk diterjunkan lebih dahulu kemedan pertempuran lalu berkatalah dia,
"Wahai Rasulullah, sungguh kami ini telah beriman kepadamu, telah seratus peratus meyakini agamamu dan telah mengakui kebenaran agama yang engkau bawa kepada kami. Kami telah bersumpah setia untuk melaksanakan semua yang telah kami janjikan kepadamu. Oleh kerana itu, segeralah laksanakan apa yang telah menjadi keputusanmu, ya Rasulullah, dan kami setia padamu. Demi Allah yang telah membangkitkanmu dengan membawa kebenaran, kalau engkau perintahkan kami untuk mengharungi lautan ini (perang), nescayalah kami harungi ia bersamamu. Tak seorang pun diantara kami ini yang menolak arahanmu dan tak seorang pun yang akan mundur dari medan perang, hari ini atau besok. Kami sanggup tabah menjalani peperangan ini dan telah siap sedia untuk shahid di dalamnya. Mudah-mudahan Allah S.W.T merestui apa-apa yang engkau percayakan kepada kami dan marilah berangkat bersama kami, dalam berkat Ilahi.."
Begitu ucapan daripada bibir seorang pejuang Allah yang benar-benar mencari redha ALLAH dan benar-benar mencintai Rasul-nya serta bercita-citakan syahid; yang boleh kita jadikannya sebagai sumber untuk melahirkan semangat juang yang tinggi terutamanya bagi mereka yang bergelar pejuang-pejuang agama Allah, ansorullah.
Mungkin jika dilihat di negara kita, apa yang berlaku tidaklah sampai ke tahap untuk kita mengangkat senjata terhadap musuh-musuh Islam. Walau bagaimanapun, sebenarnya apa yang kita hadapi pada hari ini juga, sebenarnya adalah peperangan dalam bentuk yang lain diantara umat Islam yang benar-benar ikhlas dalam memperjuangkan Islam dengan musuh-musuh Islam sama ada orang kafir itu sendiri mahupun umat Islam yang menjadi boneka puak Yahudi dan barat. Inilah tanggungjawab, amanah kita yang mesti kita tunaikan. Bukan perkara mudah. Tentu dan pastinya ia memerlukan satu semangat juang yang tinggi dan di sini kita boleh ambil bebepara pengajaran berdasarkan peristiwa ghazwah badar :
1- sifat cintakan Rasulullah saw. (namun, sekarang, manusia lebih menyintai kayu balak dan uuweekss)
tanda orang yang bercinta adalah, sanggup berkorban demi orang yang dicintainya. Lihatlah, bagaimana Sa'ad bin Mu'az meletakkan kecintaan beliau kepada baginda Rasulullah saw. Dan ummat pada hari ini....?
2- dengar dan taat. Para sahabat tidak membantah dan merungut apabila turunnya perintah mewajibkan puasa Ramadhan (yang mana perintah ini diturunkan pada bulan Sya'aban, tahun ke-2 hijrah). Para sahabat menerima perintah itu dengan sikap sami'na wa atho'na (kami dengar dan kami taat), sama ada mengetahui hikmah dan tujuannya ataupun tidak, kerana meyakini bahawa ALLAH yang memerintah itu Maha Mengetahui segala yang membawa kebaikan kepada hamba-hamba-NYA; sementara Rasulullah saw yang tercinta yang membawa perintah itu adalah banar dan amanah.
(dan berbalik kepada kita, cukupkah pendengaran dan ketaatan kita kepada ayat-ayat dan perintah ALLAH? dan ketaatan kita kepada Rasul kita? serta ulil amri, pemimpin kita.....?
3- keyakinan yang tinggi. Para sahabat benar-benar yakin dengan janji ALLAH SWT, Sehinggakan nabi sendiri pantas memberikan kata-kata semangat kepada seluruh tenteranya :
"Demi Allah, yang nyawaku ini ditangannya, musuh-musuh kita sekarang akan menghadapi pahlawan-pahlawan yang sabar dan tangguh, serta akan memenangkan peperanagn. Jika satu diantaranya terbunuh maka Allah lah yang akan memasukkan ke syurga."
Tak cukup itu, nabi juga telah berdoa setelah mana kembali ke khemahnya dengan ditemani oleh Abu Bakar sementara Sa’ad bin Mu’az mengawalnya dengan pedang terhunus lalu berdoa :
"Ya Allah, aku nantikan janji-mu. Ya Allah jika pasukanku ini kalah, nescaya tidak ada lagi orang yang akan menyembah Mu di muka bumi ini."
Dikemuncak pertempuran dalam perang Badar, telah turun pertolongan ALLAH yang amat menakjubkan apabila para malaikat yang tidak pernah derhaka kepada ALLAH SWT menjalankan tugasnya. Antara perkara yang menakjubkan adalah :
- terputusnya kepala dan tangan tanpa dilihat sesiapa yang memancungnya. (riwayat Ibn Sa'ad dari Ikrimah).
- seorang tentera Islam yang sedang mengejar tentera musyrik, tiba-tiba terdengar pukulan cemetidari atas dan terdengar pula suara pahlawan berkuda. (Riwayat Ibn Abbas)
Benarlah apa yang dijanjikan Allah. Pertolongan yang dijanjikannya pasti tiba. Mereka beroleh kemenangan dengan sebenar-benar kemenangan. Kita dapat lihat daripada sedikit perjalanan peristiwa perang badar ini, bagaiamana contoh dan teladan yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w bersama tentera-tenteranya. Peperangan yang mereka hadapi bukanlah disebabkan mereka nakkan harta rampasan atau yang seumpama dengannya, akan tetapi peperangan yang mereka hadapi adalah peperangn diantara pertembungan aqidah. Tidak lain tidak bukan, tujuan mereka adalah untuk menegakkan kebenaran dan membuang segala macam bentuk penyekutuan yang berlaku terhadap Allah swt. Oleh sebab itulah, kita dapat lihat bagaimana mereka mementingkan kekuatan rohani, sepertimana yang ditunjukkan oleh nabi Muhammad s.a.w dengan menunaikan solat khauf dan berdoa. Berbeza dengan pihak musuh, kita dapat lihat bagaimana mereka mengadakan pesta berhibur dan inilah yang kita dapat lihat pada hari ini. Hatta di dinegara kita sekarang, bentuk-bentuk hiburan yang melalaikan kian rancak tumbuh serti cendawan tumbuh selepas hujan.
(Dan, hari ini manusia lebih yakin dengan janji manusia berbanding dengan janji Allah. Hasilnya, ada dikalangan kita yang sanggup menjual agamanya demi menjaga periuk nasinya. Hari ini manusia lebih sanggup berdiam diri menyembunyikan kebenaran daripada menghebohkannya kerana mereka lebih takut janji-janji kezaliman manusia daripada janji-janji azab Allah S.W.T. )
4- keimanan dan keikhlasan. melaui peritiswa ini, memperlihatkan kekentalan keimanan para sahabat dan keikhlasan para sahabat berjuang dijalan ALLAH SWT. sebagaimana berlaku kepada Abu Huzaifah, tatkala melihat mayat ayah beliau, 'Utbah bin Rabi'ah diheret untuk dicampakkan ke telaga buruk, maka berubah wajahnya. Keadaan ini disedari oleh Rasulullah saw, dan baginda berkata kepadanya, " Wahai Abu Huzaifah, aku dapati kamu terasa sesuatu terhadap ayahmu." maka, Abu Huzaifah menjawab, " Demi ALLAH, wahai Rasulullah, aku tidak merasa dia dibunuh.Tetapi aku mengharapkan dia masuk Islam dengan mendapat hidayah. Setelah dia mati dengan cara begini aku terharu kerana matinya kafir, tidak seperti apa yang aku harapkan."
(itulah seorang pejuang Islam yang sejati. Sedihnya dia bukan kerana peribadi. Tetapi segala perasaan dan dirinya diserahkan demi Islam. Kecintaan kepada Allah melebihi segalanya. Di mana Abu 'Ubaidah membunuh bapanya, Abu Bakar bersedia membunuh saudaranya, Mus'ab bin 'Umair membunuh saudaranya, 'Ubaid bin 'Umair. Dan ummat hari ini, kesedihannya lebih bersifat peribadi..Air mata bergelen ditumpahkan kerana hati terguris dek cinta tak berbalas. Dan hati merasa berat apabila diajak ke majlis-majlis ilmu dan bersama-sama bergerak berjuang dijalan ALLAH..)
Justeru, sempena Ramadhan ini,marilah kita mengambil kesempatan yang dikurniakan ALLAH..binalah syakhsiyyah muslim yangyang berdaya juang dan bertaqwa dengan mendidik jiwa, minda, serta seluruh anggota tubuh dan pancaindera agar tunduk dan patuh kepada ALLAH dan melakukan dan memperkemaskan persiapan ilmu, mental, fizikal dan sebagainya dalam melaksanakan amanah sebagai khalifatullahu fil ardhi, memperjuangkan ISLAM agar laungan takbir memuji dan mengagungkan ALLAH bergema di seluruh pelusuk dunia ini.
Hanya pejuang yang memiliki sifat taqwa yang manthop dan mempunyai asas kekuatan diri dapatmemanagi antara iman dan kufur, Islam dan Jahiliyyah, dan antara Haqq dan bathil.
Allahumma arinil haqqa haqqawwarzuqnitthiba'ah,
wa arinil baathila bathilawwarzuqnijtinaabah..
ALLAHUAKBAR!!
Rujukan :
[1] Al-Qur'an Tafsir
[2] TG Hj Abdul Hadi Awang, Fiqh Al-Harakah dari sirah Nabawiyyah, Dewan Pustaka Fajar
0 komen:
Post a Comment