"Ya Allah, kurniakanlah ke atasku ketenangan, dan tetapkanlah pendirianku bersama-sama pendukung-pendukung kebenaran, dan tabahkanlah hatiku dengan mengingati Engkau, dan kurniakanlah akan daku keredhaan dengan perkara yang Engkau redhai"

Friday, September 5, 2008

Amanah itu...itu amanah

Bila pengurusan kampung celaru caca-merba, maka Sandikugan bertindak untuk membantu kampong dan seisi penduduknya. Namun malang sekali, tok ketua tidak berkenan akan tindakan Sandikugan dan membuat perhitungan, barang siapa yang mengikuti Sandikugan, maka akan caca merba pulalah kehidupan mereka. Tok ketua masih ada kuasa. Dia lah yang berkuasa. Dialah yang berhak memutuskan segala sesuatu. Dia terlupa, kuasa yang dia ada tidak kekal. Dia terlupa, kuasa yang ada itu lah selama ini memusnahkan dan menggelapkan. Bukan, bukan salah kuasa. Bukan akibat kuasa itu. Tapi akibat tersalah percaturan. Salah guna kepercayaan yang penduduk kampung berikan suatu ketika dulu. Dan, paling penting, dia lupa, kuasa itu bukan milik mutlak baginya. Dia terlupa, ayat suci, kalimah ALLAH dalam surah Ali-‘imran (26-27) ynag bermaksud,

katakanlah, “Wahai ALLAH, yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki . Engkau memuliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki . Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu. Engkau masukkan malam ke dalam siang, dan Engkau masukkan siang ke dalam malam . Engkau keluarkan yang hidup dari yang mati dan Engkau keluarkan mati dari yang hidup . Dan Engkau beri rezeki kepada siapa yang Engkau kehendaki tanpa hisab.”
(Ali ‘Imran : 26-27)


semuanya milik ALLAH. siapa-siapa pun kena beringat. Tok ketua, Sandikugan, orang yang menaip, orang yang membaca.. siapa-siapa jua. semua di atas dunia ni hanyalah ilusi lagi ujian. Kuasa dan pangkat. Sememangnya, itu adalah amanah dan dalam masa yang sama, itunya adalah ujian. Teringat pula pesanan yang disampaikan oleh seorang saudara seislam , jawatan ni merupakan penghinaan didunia dan penyesalan diakhirat. (khizyun fiddunya wannadamah fil akhirah).
menerima jawatan/pangkat bukanlah sesuatu yang mudah, kerana kata imam al-Ghazali, yang paling berat itu adalah amanah. Namun, segelintir umat akhir zaman ini begitu tergila-gilakan jawatan dan pangkat. Bagi mereka dengan pangkatlah, mereka punyai kekuasaan mutlak. Bila ada jawatan tinggi-tinggi, maka cukuplah sekadar dapat SKIM EXPRESS KAYA KOYA YOYA LOYA, sudah memadai. Tak perlu masuk SKIM CEPAT KAYA.
Amanah yang begitu berat, dipandang enteng hinggakan bukan sekadar pejam sebelah mata sahaja boleh dilaksanakan, tapi pejam kedua-dua belah mata pun, tak ada masalah. Ini lah budaya dan fenomena yang cukup tidak sihat di akhir zaman.
Apabila amanah disia-siakan, maka ini merupakan antara tanda-tanda qiamat sughra (kecil) ,
Dari Abi Hurairah r.a. bahawa seseorang bertanya:
"Wahai Rasulullah, bilakah datangnya qiamat itu?"
Rasulullah saw menjawab: "Jika amanah telah disia-siakan maka nantikanlah (datangnya) qiamat."
Bertanya (al-'Araby): "Bagaimana menyia-nyiakannya?"
Nabi saw bersabda: "Apabila perkara sudah diserahkan kepada yang bukan ahlinya maka nantikanlah kiamat itu."
(HR Al-Bukhari )
"Apabila perkara telah disandarkan kepada yang bukan ahlinya maka tunggulah kiamat."
Al-Hafidzh Ibn Hajar berkata dalam kitab Fathul Bari:
Penyandaran perkara kepada yang bukan ahlinya itu hanyalah akan terjadi ketika kebodohan telah menjadi lumrah dan ilmu (agama) telah hilang.
dan, yang juga dimaksud dengan perkara adalah perkara-perkara yang bergantung dengan agama, seperti
-khilafah (kekhalifahan),
-imarah (pemerintahan),
-qadha' (hukum),
-ifta' (fatwa) dan lain-lain.

Apabila perkara-perkara ini diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka hal itu akan menghilangkan kepentingan ummat dan kaum Muslimin.
Melihat situasi sekarang, suatu persoalan yang timbul, adakah urusan ketika ini diserahkan kepada orang yang benar-benar ahlinya?
Tepuk dada, tanya iman, luaskan fikiran, bertindaklah dengan matang.
Dan apa yang kita temui kini, bahawa 'perkara' itu telah diserahkan kepada orang-orang yang bukan ahlinya, iaitu orang yang tiada perhatian kecuali terhadap kepentingan duniawi yang umpama logamaya, dan hanya dunia fana' inilah menjadi matlamat (mengaut keuntungan demi peribadi dan sebagainya). Dan kepentingan akhirat, maka urusan itu hanyalah dipandang sipi lagi enteng, jauh dan tak diperhatikan.
Semoga ALLAH pelihara kita dari sifat ini, dan semoga ALLAH mengampuni kita seluruhnya.
Dan semoga Al-Qur'an jadi pedoman, dan Sunnah jadi acuan kita.
Wallahu'alam.

0 komen:

Template Design | monera87