jangan biar ia tersia-sia
Sesi angkut-mengangkut beg kini bermula. Kegembiraan jelas terpancar diwajah. Siapa tak suka pulang kampung. Menatap wajah ibu bapa. Beramah mesra dengan adik beradik. Menatap wajah ibu bapa pun sedah besar kebaikan disisi ALLAH, inikan pula meringankan bebanan ibu bapa. Ya, kegembiraan yang terpancar kerana itu tidaklah ada salahnya. Bahkan sangatlah baik. NAK BALIK....
Namun apakah halnya pula kegembiraan menghitung detik-detik tamatnya Ramadhan? Apakah dengan sedar tidak sedar kita telah dan berusaha menghalau kehadiran Ramadhan.
Jauhnya kita hari ni...
Manakan tidak..
Rata-ratanya, pada hari-hari terakhir pada bulan Ramadhan adalah hari shopping sakan. Hari-hari terakhir pada bulan Ramadhan adalah hari pembaziran wang dengan membakaw duit (bunga api, mercun). Berbeza dengan orang-orang soleh. Yang padanya, hari-hari terakhir pada bulan Ramadhan adalah hari-hari duka buat mereka. Hati dan jantung bagaikan disentap-sentap gelisahnya.
Ramadhan,
bulan yang ALLAH bukakan pintu syurga seluas-luasnya, pintu neraka ditutup serapat-rapatnya, bahkan diikatnya syaitan, musuh nyata kita.
Ramadhan,
yang pada awalnya rahmat, pertengahannya keampunan, dan penghujungnya pembebasan dari api neraka.
Ramadhan,
bulan yang ALLAH menjadikannya sebagai penghubung antara seorang hamba yang terpalit dosa noda, dengan ALLAH swt.
Air mata dan tangisan mereka kerana merasakan diri belum sempat mengambil manfaat dengan sebaiknya di bulan Ramadhan. Sedih kerana bimbang dan khuatir amalan-amalan mereka tidak diterima. Hangus hati mereka kerana takut dosa-dosa mereka belum diampuni. Dan duka yang ada dihati dek kerana boleh jadi, Ramadhan kali ini adalah Ramadhan terakhir buat mereka, tidak lagi menemui mereka pada sesi akan datang.
Tambatan cinta mereka kepada ALLAH , kepada Rasul dan agamanya begitu teguh. Tidak hairanlah, mengapa hati mereka bagai disiat-siat saat bulan Ramadhan bakal melabuhkan tirainya. Seperti orang bercinta, bila berpisah duka bertandang. Air mata setempayan.
Hakikat kepedihan hati meninggalkan apa yang kita cintai tak dapat disangkal. Begitu yang berlaku pada orang-orang soleh.
Dan pada yang tidak mencintai apa-apa, maka dia takkan terasa dan merasai kehilangan apa-apa pun.
Astaghfirullah, jauhnya kita pada hari ini...
Ramadhan, disini menjadi titik tolak kita menambahbaikkan amalan dan kedekatan diri dengan ALLAH. Namun malang, masih ada yang menyia-nyiakan hadirnya ia. Datang dan perginya Ramadhan langsung tak berkesan dihati. Level tetap tiada perubahan, lebih malang dan celaka apabila semakin teruk dari yang sebelumnya.
Kiranya peluang ini tidak digunakan sebaiknya, maka penyesalan bakal menanti kita di kampung abadi..Na'uzubillah.
Pada Ramadhan yang mulia, dilapangkan seluasnya penjanaan dan sumber kekayaan kerohanian, manfaatkanlah ia sebaiknya, takut-takut ini adalah kali terakhir sapaan Ramadhan menyapa kita.
0 komen:
Post a Comment