"Ya Allah, kurniakanlah ke atasku ketenangan, dan tetapkanlah pendirianku bersama-sama pendukung-pendukung kebenaran, dan tabahkanlah hatiku dengan mengingati Engkau, dan kurniakanlah akan daku keredhaan dengan perkara yang Engkau redhai"

Monday, July 19, 2010

berkata ibnu Qayyim al-jauzi...



Bismillahirrahmanirrahim..



Berkata ibnu al-Jauzi,

"ALLAH lebih dekat kepada hamba-NYA daripada urat nadi. Akan tetapi, ALLAH berhubungan dengan hamba-NYA secara ghaib dan seakan-akan jauh darinya. ALLAH memerintah untuk mengarahkan niat kepada-NYA, supaya menadah tangan kepada-NYA, dan meminta kepada-NYA. Hati mereka yang jahil merasakan bahawa ALLAH itu jauh. Oleh kerana itu, antara mereka ada yang terjerumus ke dalam kemaksiatan yang jika mereka diawasi oleh orang yang hadir dan melihat, nescaya mereka akan menahan diri dari kesalahan tersebut. Manakala mereka yang sedar itu, mengetahui bahawa betapa dekatnya ALLAH dengan hamba-NYA. Oleh kerana itu, mereka merasa selalu diawasi ALLAH sehingga perasaan ini menahan diri mereka dari sibuk memerhatikan keadaan di luar dirinya."



berkata lagi Ibnu Qayyim al-Jauzi,

"tatkala perasaan selalu diawasi ALLAH (muraqabah) ini wujud, maka hati pelakunya pun menjadi gembira. Kegembiraan hati ini hanya boleh dikecapi dengan ketaatan. Kerana, pelanggaran terhadap aturan ALLAH mendatangkan kesedihan, sedangkan penerimaan terhadapnya mendatangkan kegembiraan.Alangkah nikmatnya kehidupan mereka yang bergembira dan alangkah ruginya mereka yang bersedih.
Ketaatan bukan seperti sangkaan orang jahil, iaitu hanya dengan mengerjakan solat dan puasa. Akan tetapi ketaatan yang diterima itu adalah dengan menjalankan perintah dan menjauhi larangan. Inilah prinsip dan kaedah secara umum.
Berapa ramai orang yang beribadah kepada ALLAH, namun dia menjadi lebih jauh dari ALLAH, kerana dia meninggalkan prinsip dan menghancurkan kaedah dengan melanggar perintah dan mengerjakan pula larangan?
Sesungguhnya orang yang teliti adalah orang yang memegang ikatan timbangan nilai dalaman diri, lalu dia menunaikan apa yang diperintahkan kepadanya, dan menjauhi apa yang dilarang. Apabila rezekinya bertambah, dia semakin menjalankan sunnah. Namun, apabila rezekinya tidak bertambah, dia tidak merasa rugi."


Semoga dalam diri dan jiwa kita sentiasa merasa selalu diawasi ALLAH.

** “Apakah itu Ihsan? Baginda menjawab : Sesungguhnya kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu melihatnya, walaupun kamu tidak melihatnya, akan tetapi Allah melihat kamu” (HR Bukhari&Muslim).

Ibnu Rajab menyatakan bahawa hadith ini menunjukkan bahawa seseorang itu hendaklah beribadat seperti cara ini, menggambarkan dia hampir dengan Tuhannya, Ia memerlukan sifat TAKUT, GERUN dan TUNDUK kepada Allah swt. Sifat ini juga akan menimbulkan rasa ikhlas didalam beribadat, dan seseorang itu akan cuba memperbaiki lagi ibadatnya agar ia menjadi lengkap dan sempurna.


Semoga hari ini lebih baik dari hari semalam..Esok lebih cemerlang dari hari ini..

Template Design | monera87