"Ya Allah, kurniakanlah ke atasku ketenangan, dan tetapkanlah pendirianku bersama-sama pendukung-pendukung kebenaran, dan tabahkanlah hatiku dengan mengingati Engkau, dan kurniakanlah akan daku keredhaan dengan perkara yang Engkau redhai"

Friday, February 13, 2009

Wahai Penyeru Kebaikan!

Tiada suatu kepuasan pun yang di nikmati oleh seorang da’ie selain daripada apabila orang yang diseru menerima seruan yang disampaikan.

Inilah satu anugerah Allah s.w.t. yang tidak terhingga kepada hamba-hambaNya yang sentiasa bekerja siang dan malam untuk mengembangkan dan mendaulatkan agamaNya. Kepuasan ini tidak akan dapat dinilai dengan wang ringgit dan tidak mungkin dapat dirasa melainkan hanya kepada mereka-mereka yang bekerja mengajak orang lain memahami islam.

Sebagaimana yang diungkapkan oleh Rasulullah saw kepada Saidina ’Ali kwjh ketika Perang Khaibar.
”Jalankan tugasmu, teruskan perjalanan! Sehingga berada di halaman mereka, kemudia ajak mereka kepada Islam, khabarkan kepada mereka apa yang diwajibkan oleh Allah ke atas mereka daripada hak yang mesti ditunaikan. Manakala demi Allah, sesungguhnya engkau berjaya dengan sebabmu Allah memberi hidayah kepada seseorang terlebih baik kepadamu daripada mendapat seekor unta berwarna merah (barang yang paling mahal).”

Mengubah manusia bukanlah suatu perkara yang mudah. Ianya sukar. Malahan, kita akui bahawa untuk membina sesebuah bangunan sekalipun, bukanlah satu perkara yang mudah terutama yang besar seperti mahligai di Putrajaya; ia memakan masa bertahun-tahun lamanya dan menelan belanja jutaan malah bilionan ringgit serta melibatkan ribuan pekerja.
Sesusah-susah membina bangunan, rijal da’wah mengetahui, bahawa untuk membina manusia adalah seribu kali ganda susahnya kerana manusia itu ada pemikiran, perasaan dan budaya yang mencorakkan kehidupan mereka.
Kita ambil contoh,
Nak menderma duit. Bukan senang nak keluarkan duit RM 1 umat Islam hari ini untuk tujuan infaq di jalan da’wah jika mereka tidak yakin dengan apa yang diseru. Amat wajarlah Allah s.w.t. memberikan ganjaran pahala yang sangat besar kepada mereka-mereka yang bergelar da’ie.

Mereka bukan sahaja dijanji dengan kurniaan di akhirat nanti tetapi juga anugerah yang tidak ternilai dengan menanamkan perasaan kepuasan dan gembira di hati da’ie-da’ie ini. Inilah kurniaan dan limpahan (jazbah) kepada mereka dari Allah s.w.t. Maka berembiralah wahai saudara-saudaraku, da’ie yang menghabiskan hidupnya berda’wah untuk menghidupkan hati-hati manusia.

Namun begitu, perkara yang indah untuk dikecapi, pastinya ada cabarannya, sepertimana yang digariskan oleh Fathi Yakan, dalam buku karangannya, Bahtera Penyelamat;

Sabda Rasulullah,
Al-Mu’minu baina khamsa shadaa id ( Orang Mu’min sentiasa diambang 5 dugaan yang susah) ;
1-Mu’minin yuhsiduh (Mu’min yang dengki kepadanya);
2-Munafiqin yubghidhuh (Munafiq yang benci kepadanya) ;
3-Kafirin yuqatiluh (Kafir yang memeranginya) ;
4-Syaithonin yudhilluh (syaitan yang menyesatkannya) ;
5-Nafsin tunaazi’uh (nafsu yang sering bertarung untuk mengalahkannya).
(Hadith ini di takhrijkan oleh Abu Bakar Ibnu Lal, dari hadith Anas, dalam tajuk; ”Akhlaq yang luhur”)

Ingin saya bawa saudara-saudara melihat cabaran keempat, yang digariskan Rasulullah; bahawa syaitan tidak akan senang duduk dengan tindakan saudara, mereka sudah berjanji dengan Allah s.w.t. untuk menipu dan menyesatkan manusia hinggalah manusia itu menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dalam hal ini kita semua tahu bahawa syaitan bukanlah makhluk biasa. Kepintaran dan kelicikannya amat-amat meperdayakan manusia hingga kadang-kadang kita tidak sedar bahawa kita telah terjebak dalam perangkapnya; Malah kerajinannya mendapat 1st class apabila dibandingkan dengan manusia. Kerana apa? Kerana mereka tidak mengenal erti putus asa.

Walaupun saya katakan tadi bahawa perasaan ”puas” yang dirasai oleh da’ie adalah merupakan satu anugerah dari Allah s.w.t. tetapi jika tidak diawasi ianya boleh melahirkan sifat keselesaan (comfort zone) kerana yakin akan terselamat dari seksaan api neraka dengan amalan-amalan yang dilakukan. Yang lebih membimbangkan ialah akan lahir sifat berbangga dengan ramainya bilangan pengikut dan memandang rendah kepada orang lain yang tidak berda'wah.
Pada ketika itu akan timbul sifat ria' dan 'ujub dengan kehebatan diri. Nauzubillah.

Inilah panahan-panahan dan tusukan-tusukan jarum syaitan yang begitu pantas dan cukup halus hinggakan tidak disedari oleh kita.
Siapa yang berani kata dan tahu bahawa amalannya atau kerja-kerja dakwahnya diterima Allah?
Tidakkah kita pernah membaca hadith riwayat Muaz Ibn Jabal tentang tiga golongan yang akan dicampak ke dalam neraka kerana tidak ikhlas kepada Allah s.w.t. walupun mereka berdakwah, menginfaq dan syahid dalam peperangan? Ini semua persoalan-persoalan yang mesti sentiasa bermain di dalam fikiran kita.

Jadi,kita nak buat apa? Berhenti beramal dan bekerja untuk islam?
No!
Tidak sama sekali!! Islam melarang keras umatnya dari berputus asa dengan rahmat Allah.

Untuk itu Allah telah membekalkan kita dengan satu senjata yang begitu ampuh bagi menangani syaitan. Senjata yang akan membakar segala sifat-sifat mazmumah dan menggantikannya dengan sifat-sifat mahmudah, yang akan membuat syaitan bertempiaran lari, yang akan menyebabkan kita menerima keampunan dari Allah s.w.t. seluas langit dan bumi iaitu dengan .....

BERISTIGHFAR !!!

Inilah senjata yang amat besar, yang akan menembusi pintu-pintu langit untuk terus pergi kepada Allah.
Persoalan buat diri saya dan saudara-saudara,
Berapa kalikah kita beristighfar sehari?

Saudara,
Jangan sekali-kali kita lupa bahawa walau banyak mana ilmu yang ada di dada, ianya hanyalah setitis air di lautan yang amat luas, sehebat mana kita bercakap dan berusaha, ia tidak akan mampu untuk merubah hati manusia tanpa kehendak dan pertolongan Allah s.w.t. Peristiwa Nabi Nuh dan isteri serta anaknya, Nabi Ibrahim dengan bapanya, Rasulullah dengan bapa saudara Baginda sudah cukup untuk mengajar kita siapakah sebenarnya yang memberikan hidayah.

Mari kita sama-sama bermuhasabah..

Kita tidak akan mampu bergerak walau selangkah tanpa izin Allah.
Hatta, kita tidak akan boleh mengeluarkan kata-kata jika tidak ada hidayah Allah.


Kita perlu menyedari, bahawa kita juga tergolong dalam golongan yang tertipu dengan bisikan syaitan, apabila kita menyampaikan da’wah, tapi dalam masa yang sama, kita abaikan penjagaan hubungan kita dengan Allah. Menyeru orang lain melakukan kebajikan, mengajak orang lain turun solat berjamaah, sedangkan diri kita, memberi seribu satu alasan untuk sama-sama berjamaah; penat? Mandi? Makan? Membasuh baju? Sedangkan masa terluang yang ada diisi dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Mari kita sama-sama bermuhasabah..

"Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami ini kasih kepada iman dan hiaskanlah iman itu dalam hati-hati kami; dan jadikanlah kami benci kepada kufur, fasiq, dan maksiat; dan jadikanlah kami termasuk di kalangan orang-orang yang mendapat petunjuk."

0 komen:

Template Design | monera87