"Ya Allah, kurniakanlah ke atasku ketenangan, dan tetapkanlah pendirianku bersama-sama pendukung-pendukung kebenaran, dan tabahkanlah hatiku dengan mengingati Engkau, dan kurniakanlah akan daku keredhaan dengan perkara yang Engkau redhai"

Monday, January 12, 2009

Kembali gemilang...

Pagi tadi juga, suara saudaraku mengingatkan, kita jangan bicara dengan bicara lagha. Sekarang ini, melakukan sebarang usaha/ kerja/ gerak untuk Palestin adalah FARDHU AIN ke atas semua individu Muslim. Tiada masa lagi nak melaghakan diri.

Lihatlah Salahuddin Al-Ayyubi, saat orang-orang sekeliling mengajaknya berbual, dia berkata, ”Tidak! Aku hanya ingin berbicara mengenai jihad!”
Masha’Allah..
Semangat jihadnya yang terlalu tinggi sehinggakan beliau tidak akan bercakap-cakap sesuatu perkara melainkan perkara jihad. Hampir keseluruhan hidupnya dicurahkan untuk jihad. Beliau tidak kenal apa itu erti penat tetapi sentiasa berfikir akan kemaslahatan umat Islam. Beliau cukup sedih apabila Masjid Al-Aqsa dihuni golongan yang sentiasa dahagakan darah umat islam. Dan, ditakdirkan Allah swt, dialah pemerintah Islam selepas Al-Farouq berjaya membebaskan Al-Aqsa di tangan puak kuffar.

Lihat pula Sultan Muhammad Al-Fateh. Diceritakan, kapal-kapal laut tentera Uthmaniyah tidak dapat merempuh masuk kota Constantinople disebabkan oleh rantai besi yang melindungi Tanjung Emas. Tanjung Emas merupakan antara lautan yang mengelilingi Constantinople, selain daripada Selat Bhosphore dan Laut Marmara. Agak-agak kita, apa penyelesaian yang akan diambil oleh seorang Sultan yang juga panglima, Al-Fateh untuk mengatasi masalah ini? Logik aqal kita, ini suatu penyelesaian yang tak dapat diterima pakai oleh aqal fikiran kita yang normal.

Cuba kita bayangkan, kapal laut-kapal laut itu ditarik masuk ke perairan Tanjung Emas dengan menggunakan jalan darat. Kapal yang ditarik tu bukannya sedikit, tetapi 70 buah. 70 buah KAPAL !! bukan kerusi plastik!
Kapal-kapal ni ditarik dari pantai Besiktas ke Galata melalui bukit tinggi dengan jarak melebihi 3 batu. Lantas, ditakdirkan Allah, Constantinople berjaya ditawan oleh umat Islam melalui pemimpinnya Sultan Muhammad Al-Fateh.
Bersesuaian dengan isyarat, dan menepati apa yang dikhabarkan oleh Nabi Muhammad saw ketika mana menggali parit sewaktu perang Khandak, "Kota Constantinople itu akan dibuka, rajanya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera".

Seingat saya, ketika saya dalam Tingkatan 3, saya membaca buku bertajuk Kamus Hidup Orang-orang Soleh, saya juga tidak terlepas pandang pada satu hadis:

Dari Abdullah, beliau berkata bahawa ketika dia dan sahabat berada di sisi Rasulullah SAW, tiba2 datang sekumpulan anak-anak muda dari kalangan Bani Hasyim. Bila terpandang akan mereka maka kedua mata Rasulullah SAW berlinang dan warna wajah baginda berubah. Abdullah pun bertanya,
"Mengapa kami melihat pada wajahmu sesuatu yang tidak kami sukai?”
Baginda menjawab: " Kami ahlul bait telah dipilih oleh Allah akan akhirat itu lebih baik dari dunia. Kaum kerabatku akan menerima bencana dan penyingkiran selepasku kelak sehingga datang satu kaum dari sebelah Timur dengan membawa bersama-sama mereka panji-panji hitam serta meminta kebaikan tetapi mereka tidak diberikan. Maka mereka pun berjuang dan beroleh kejayaan, lalu diberikanlah apa yang mereka kehendak itu. Tetapi mereka menolaknya kepada seorang lelaki dari kaum kerabatku yang akan memenuhi bumi dengan keadilan sebagai mana ia dipenuhi kedurjanaan. siapa di antara kamu yang sempat menemuinya maka datangilah mereka walaupun merangkak di atas salji: (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Terpaku membaca hadith tersebut. Rupa2 nya hari tu hampir tiba. Adakah kita mujahid dan mujahidah itu? Apakah layak kita menjadi antara mujahid dan mujahidah itu? Apakah kita tergolong dari kalangan mereka itu? Mahukah kita berada bersama-sama antara mujahid dan mujahidah itu?



Berkata Saidina Umar kepada sahabatnya: " Impikanlah"
Seorang pemuda berkata: " Aku mengimpikan jika sekiranya negeri ini dipenuhi dengan emas lalu aku infakkan pada jalan Allah."
Umar berkata lagi: "Impikanlah".
Seorang pemuda berkata: "Aku mengimpikan jika negeri ini dipenuhi dengan batu permata lalu aku infakkan pada jalan Allah."
Umar berkata lagi: "Impikanlah".
Mereka berkata: "Kami tidak tahu apa yang hendak dikatakan wahai Amirul Mukminin" Umar pun berkata: "Tetapi aku mengimpikan rijal seperti Abu Ubaidah bin al Jarrah, Muaz bin Jabal dan Salim, hamba Abu Huzaifah. Lalu aku meminta pertolongan dari mereka untuk meninggikan kalimah Allah".


Memetik kata imam Malik,
“Tidak gemilang umat akhir zaman, melainkan kembali laksanakan apa yang telah menyebabkan umat terdahulu menjadi gemilang.’


Apa yang penting kita mesti memiliki 3 prinsip :

• Iman dan Tawakkal maksudnya Yakin menang dan serah kepada Allah. ( rujuk surah Al Ahzab ayat 22 )
• Tegas : Tidak berganjak & cintakan syahid. ( sila rujuk surah Al Ahzab ayat 23 )
• Teruskan Dakwah & Istiqamah.

Allahu’alam.

0 komen:

Template Design | monera87